Tuesday, March 6, 2012

Bahasa Melayu gaya Bahasa Inggeris

Saya cukup pantang sebenarnya mendengar orang Melayu bertutur bahasa Melayu dalam slang (gaya) Inggeris. Susah sangatkah untuk bertutur bahasa melayu dalam  gaya Bahasa Melayu juga? Saya pernah mendengar mantan perdana menteri (TDM) berucap didalam Bahasa Inggeris, tetapi di dalam gaya Bahasa Melayu. Tujuannya adalah untuk menunjukkan kita berbangga dengan bangsa kita  jadi apa pula masalahnya bertutur Bahasa Melayu dalam gaya Inggeris pula, sedangkan kita memang dilahirkan Melayu dan di Tanah Melayu.

Saya biasa menjawab panggilan telefon atau membuat panggilan telefon yang dijawab oleh orang Melayu yang suka bercakap didalam Bahasa Melayu berslangkan Bahasa Inggeris. Adakah mereka akan nampak lebih hebat dan berpelajaran (educated) apabila berbual dalam gaya yang agak jelek ini?Apa yang lebih pelik, mereka memandang rendah pula kepada kita ini yang bercakap Bahasa Melayu tradisi seolah-olah mereka adalah sejenis makhluk yang sangat pandai dan kita ini adalah makhluk bodoh yang datang entah dari planet mana.

Bukan semua orang Melayu yang bertutur didalam Bahasa Melayu tidak boleh langsung memahami Bahasa Inggeris. Saya boleh bertutur didalam Bahasa Inggeris. Dalam kebayakan perbincangan dengan pelanggan Jabatan dari luar negara saya akan bertutur dalam Bahasa Inggeris kerana mereka tidak boleh bertutur dalam Bahasa Melayu. Begitu juga dengan sesetengah bangsa selain Melayu (yang mendakwa warganegara negara ini) tetapi tidak fasih bertutur Bahasa Melayu, jadi saya akan bertutur Bahasa Inggeris juga.

Bertutur dalam Bahasa Inggeris untuk tujuan memantapkan penggunaan bahasa ini tidak mengapa, seperti kata pepatah Inggeris, practise made perfect (latihan akan menghasilkan kesempurnaan). Penggunaan Bahasa Inggeris dalam matapelajaran Sains dan Matematik juga tidak salah, kerana ia adalah untuk meningkatkan daya saing orang Melayu dengan bangsa lain supaya mereka tidak jauh ketinggalan.

Tetapi bertutur Bahasa Melayu didalam slang Bahasa Inggeris tidak akan menampakkan kecerdikan orang itu langsung, malahan hanya akan menunjukkan kejahilannya.

Inilah satu perkara yang amat merugikan dan memalukan bagi Bangsa Melayu. Berlagak pada tempat yang tidak kena. Tidak ada satu bangsapun didalam dunia ini yang malu dengan bahasa mereka sendiri kecuali Bangsa Melayu.

No comments:

Post a Comment