Saturday, March 17, 2012

Do you know the meaning of being wife ?

p/s : maaf, jika ada di antara bahagian-bahagian dalam entry ini yang agak menyakitkan hati. Sesungguhnya saya tidak bermaksud sedemikian.

Saya telah ditanya oleh seseorang berkenaan soalan di atas. Orang itu adalah seorang lelaki yang sudah berumahtangga dan isterinya seorang wanita yang bekerja sebagai surirumah sepenuh masa.

Jika saya menjawab soalan ini bagi pihak semua wanita tentang semua perkara yang kami lakukan untuk suami kami pasti akan ada pihak yang mengatakan saya seorang yang bias.

Tafsiran meaning of being wife ini tidaklah terlalu rumit bagi saya. Hanya sesetengah orang yang menjadikan maknanya rumit. Kadang-kadang si pelaku (suami-isteri) juga yang menjadikan meaning of being wife itu nampak seperti susah. Secara generalnya dimana-mana negarapun, meaning of being wife ialah apabila seseorang wanita itu sanggup berkongsi segala-galanya bersama suaminya ( kecuali isteri tambahan ) dan taat kepada suaminya itu. Tetapi adalah sangat tidak adil apabila ada pasangan suami yang secara sengaja atau secara tidak sengaja telah mengambil kesempatan diatas nama meaning of being wife ini. Menyalahgunakan maksud perkataan isteri itu sehingga si isteri tampak seperti seorang amah atau seorang yang tidak berharga langsun. Ada juga yang mentafsirkan makna isteri itu sebagai taat membabi buta sehingga kelihatan seperti tidak ada hak untuk menyuarakan pendapat.

Menjadi seorang isteri pada pandangan peribadi saya sendiri adalah berkongsi apa sahaja tentang perkahwinan itu ( maaf, tidak termasuk isteri kedua atau seterusnya, kerana itu dikira perkahwinan yang lain pula). Apa sahaja, termasuk ahli keluarganya sendiri. Bukan kepada pihak isteri atau pihak suami sahaja. Juga berkongsi perasaan, kesusahan, kebahagiaan dan material.

Tetapi dalam konteks ini ada ramai lelaki yang tidak memahami erti kata berkongsi itu sebenarnya. lalu memihak kepada diri sendiri atas kepentingan peribadi sahaja.

Saya pernah mendengar kata-kata ini, yang saya petik dari blogger mana tah, katanya, lebih baik menjadi ibu tunggal dari menjadi ibu tunggul atau ibu tinggal. Saya percaya, kata-kata ini mempunyai hubungan yang begitu mendalam dalam menerangkan meaning of being wife itu.

Saya ingin berkongsi sedikit tentang situasi diri saya sebagai seorang isteri. Situasi ini mungkin sama atau mungkin berbeza kepada wanita lain. Tetapi sebelum itu, saya inghin menerangkan latar belakang saya. Saya adalah seorang isteri, seorang pekerja makan gaji, seorang  surirumah sepenuh masa dan seorang ibu kepada 3 orang anak, dua orang  perempuan (7 tahun dan 11 bulan) dan seorang lelaki (5 tahun). Saya memiliki seorang suami yang sangat baik, penyabar, humble dan sanggup membantu apa sahaja apabila diperlukan. Tetapi didalam sesetengah kes beliau tidaklah terlalu sempurna dan saya juga tidak ingin menjadi riak dengan terlalu memuji-muji suami saya. Ingat, riak adalah satu musuh utama yang dengan mudah dapat menyesatkan mana-mana orang Islam hatta yang paling besar serbannya atau yang paling labuh jubahnya sekalipun.

Berikut adalah jadual biasa saya pada setiap hari :
  1. Bangun
  2. Memasak
  3. Mengemas rumah
  4. Mengurus diri sendiri
  5. Menguruskan anak-anak hendak kesekolah, tadika dan kerumah pengasuh (yang ini ada macam-macam task)
  6. Menghantar anak-anak ke sekolah dan rumah pengasuh
  7. Masuk kerja
  8. Menjemput anak yang balik dari sekolah kebangsaan, beri makan dan siapkan kemudian hantar semula ke sekolah agama.
  9. Menjemput anak-anak dari sekolah agama, Tadika dan rumah pengasuh. 
  10. Pergi kekedai membeli barang-barang untuk di masak.
  11. Memasak, mencuci pinggan mangkuk, membasuh kain mengemas rumah.
  12. Mengurus anak-anak, bagi susu, tukar lampin, melayan cerita mereka di sekolah atau di tadika.dan rumah pengasuh.
  13. Jemput suami balik kerja di perhentian bas hampir 10 km dari rumah (dari k.l naik bas, kerana lebih jimat dan mudah)
  14. Balik bagi anak-anak makan dan basuh pinggan.
  15. Memantau kerja sekolah anak-anak dan mengemas buku-buku sekolah mereka.
  16. Menggosok baju-baju untuk persediaan hari esok (kadang-kadang bila ada masa lebih pada hari minggu saya akan menggosok sekali banyak untuk stok seminggu)
Itu adalah kerja-kerja yang jelas rutinnya setiap hari. Mungkin ada yang saya tertinggal. Ada rutin-rutin seperti menyidai kain dan menjaga anak tidak saya masukkan kerana kadang-kadang ia dibantu suami. Kadang-kadang rutin itu akan bertambah seperti suami demam, anak demam, esok ada mesyuarat atau outstation, suami balik lambat dan sebagainya. Saya percaya bagi isteri-isteri yang tahu meaning of being wife ini kebanyakan rutin mereka adalah sama atau lebih kurang dengan saya.

Saya ingin menyentuh bahawa dalam kesibukan kita sebagai seorang isteri ada ramai sebenarnya suami yang tidak menyedari tanggungjawab mereka sebagai seorang suami, walaupun mungkin tidak semua, tetapi ada. Mereka hanya memikirkan dan mempersoalkan bagaimana seorang isteri menjalankan tanggungjawab mereka, tetapi tidak memikirkan tanggungjawab mereka sebagai seorang ketua keluarga. Ada suami yang tidak mahu bersama-sama berkongsi kerja rumah dengan isteri atas alasan itu tanggungjawab seorang isteri. Malah pengurusan anak-anak juga diserahkan sepenuhnya kepada tangan si isteri. Paling bebal sekali ialah bila suami berkata, "kamu diam-diam duduk dirumah sudahlah", bila isteri persoalkan kenapa suami mereka balik lambat dari destinasi yang tidak penting contohnya seperti minum-minum dikedai kopi atau memancing dikolam (ini hanya contoh). Jelas di sini, ramai lelaki yang selalu mempersoalkan meaning if being wife tetapi sangat tidak suka apabila dipersoalkan meaning of being husband .

Perkara ini bermula sejak zaman berzaman apabila anak lelaki tidak diasuh sama untuk membantu kerja-kerja rumah seperti anak perempuan atas alasan itu bukan kerja orang lelaki.  Menolong kerja rumah yang biasa dibuat oleh orang perempuan merupakan satu taboo dikalangan sesetengah kaum Melayu. Suami saya sendiri pernah dipersoalkan oleh seorang saudara yang ternampak dia membasuh kain. Saudara itu beranggapan kerja membasuh kain itu adalah tugasan hakiki saya yang tidak boleh dilakukan oleh seorang suami.  Dulu saya memikirkan kejadian-kejadian ini hanya terjadi pada masa-masa yang lampau semasa isteri duduk dirumah dan suami keluar bekerja mencari rezeki. tetapi sebenarnya situasi ini masih ada berlaku walaupun isteri zaman ini turut sama keluar bekerja untuk membantu suami. Ini membuatkan meaning of being wife itu menjadi begitu rendah grednya dimata sesetengah lelaki.

Setelah saya membaca-baca sedikit pendapat-pendapat diruangan akhbar dan buku, sebenarnya tidak ada hadis dan ayat-ayat Al-Quran  yang menyatakan kaum wanita wajib untuk melakukan kerja-kerja rumah untuk suaminya. Dari segi hak ada dinyatakan melalui firman Allah, "Bagi perempuan ada hak yang baik seperti yang ke atas lelaki" (2:228) dan "Lelaki-lelaki adalah pengurus-pengurus urusan perempuan, dengan sebab Allah melebihkan sebahagian mereka di atas sebahagian yang lain, dan kerana mereka menafkahkan (membelanjakan) daripada harta mereka" (4:34). Oleh itu kerja-kerja rumah yang dilakukan oleh kaum wanita ini sebenarnya adalah atas dasar meaning of being wife sahaja, bukan satu pekerjaan wajib yang dituntut.

Tentang pertanyaan lelaki tersebut berkenaan meaning of being wife, telah saya jawabkan dalam beberapa perenggan di atas secara mata kasarnya. Secara halusnya tidak saya jawab kerana ia akan nampak melalut-lalut dan menimbulkan kemarahan pula dari pihak lelaki kerana nampak terlalu menyebelahi kaum sendiri. Jika seorang perempuan tidak menyedari akan makna menjadi seorang isteri itu, rumahtangga mereka akan selalu berantakan dan tidak bahagia, perkara yang sama juga, jika seorang lelaki tidak menyedari makna menjadi seorang suami. Sekian, itu sahaja.

No comments:

Post a Comment