Thursday, March 22, 2012

Jawapan Hilal Asyraf kepada soalan Tun Dr. Mahathir

Terlebih dahulu saya ingin menerangkan bahawa TDM (Tun Dr Mahathir) adalah salah seorang politician Kelas A yang menjadi idola saya selain Tun Abd Razak dan Dato'Onn Jaafar. Dalam banyak segi  saya memang sangat obses dengan pendapat TDM, malah sejak saya mengenali beliau dari darjah satu lagi. Walaupun berkali-kali ada cubaan dari mana-mana pihak untuk menjatuhkan beliau tetapi buat masa ini saya masih setia untuk mendengar buah pendapat beliau. Namun saya bukanlah pro politik atau ahli mana-mana pertubuhan politik sama ada kerajaan atau pembangkang. Cuma buah fikiran TDM ini sahaja yang saya hormati dan kagumi. Fikirannya ada pelbagai sisi. Saya tahu, memang ramai yang memandang tinggi terhadap seorang lagi politician kelas A iaitu TGHNA (Tuan Guru Haji Nik Aziz), tetapi sisi beliau tidak sama dengan sisi TDM. Sisi TDM memancarkan aura yang sangat kuat menyerlah ke setiap pelosok hati saya, tidak kira beliau berbicara tentang agama, politik, kehidupan sehariannya, sastera, sains teknologi dan apa sahaja. Memang benar kata sesetengah orang, TDM sebenarnya melangkaui zamannya sehingga berpuluh-puluh tahun kehadapan. Dengan itu saya teringat pula kepada Ibnu Sina yang telah melangkaui zamannya sehingga beratus-ratus tahun kehadapan (sedikit catatan, Ibnu sina adalah ilmuwan sains dan perubatan Islam yang tersohor di dunia). Ok, kita tamatkan perbincangan tentang pengenalan terhadap TDM di mata saya.

Berbalik kepada tajuk di atas, saya telah membaca pertanyaan TDM kepada saudara H.A (Hilal Asyraf) di dalam blognya. Dan saudara H.A telah menjawab dengan panjang lebar pertanyaan TDM tentang hukum hudud tersebut. Opss, saya tidak ingin menyentuh apa-apa tentang soalan atau jawapan itu kerana saya bukan pakar agama, dan saya juga bukan orang yang layak memberikan komen keatas soalan dan jawapan itu. Cuma saya ingin lampirkan sedikit permulaan soalan TDM itu terhadap H.A, iaitu seperti berikut :

"Sebelum saya menjelaskan maksud saya di dalam ucapan itu, saya harap adik Asyraf dapat menjawab secara ringkas (Ya atau Tidak) beberapa soalan yang ingin saya tanya kepada adik".

TDM hanya meminta H.A menjawab persoalan beliau dalam bentuk objektif Y/T (Ya/Tidak), tetapi sedih sekali H.A telah menjawab persoalan itu dengan begitu panjang lebar malah mungkin boleh dibuat sebagai satu buku yang panjang. Dicampur dari komen-komen pembaca yang berbagai-bagai ragam, ada yang positif, ada yang negatif (tetapi lebih ramai yang positif memuji-muji saudara H.A ini), betambah-tambah panjang lebarlah blog beliau tersebut. Mungkin juga saudara H.A suka untuk menunjukkan yang beliau ini berpengetahuan dan "boleh menjawab" soalan yang dikemukakan tersebut, lalu beliau dengan ghairahnya memasukkan segala macam rujukan yang telah beliau baca untuk menerangkan perkara ini, sedangkan TDM hanya meminta beliau menjawab Y/T sahaja!

Walaupun beliau menyatakan beliau cuba meringkaskan jawapannya, tetapi sebenarnya beliau boleh membuka satu entry yang lain bagi menerangkan maksud-maksud beliau kemudian, selepas mejawab soalan itu. Tetapi orang melayu memang suka menjawab luar kebiasaan dari soalan itu sendiri. Mungkin kadang-kadang tanpa disedari, saya juga sebegitu... Ya, memang amat sukar untuk mulut orang melayu berlaku tepat. Mungkin sudah jadi kebiasaan zaman-berzaman. Namun ada satu perkara yang amat saya kagumi tentang TDM. Kalau ada orang bertanya kepadanya tentang satu-satu isu, beliau tidak berpusing-pusing sebaliknya akan terus menjawab kepada soalan itu. Itulah TDM.

Tentang jawapan yang panjang lebar ini satu hal, tapi yang paling saya musykilkan, mengapa H.A tidak menjawab terus soalan itu di blog TDM sahaja? Mengapa perlu di jawab di Blog nya sendiri? Itu mungkin ego namanya atau mungkin juga marketing strategi. Kerana, bila menjawab di laman blognya sendiri, beliau akan mempunyai ramai pengunjung pula selepas itu. Itu satu marketing strategi yang cukup baik kerana pembaca dan pengikut blog TDM memang ramai. Malah bila nama di sebut dalam blog TDM juga adalah satu kredit kepada H.A.

Saya tahu, saudara H.A ini digambarkan sebagai seorang muda yang sangat berwibawa, berilmu tinggi, lemah lembut, bijak dan sebagainya. Beliau berpotensi besar dalam bidangnya. Saya juga mengharapkan kejayaan beliau.

Tetapi, maafkanlah saya, kerana siapalah saya pacal hamba Tuhan yang hina ini bila ingin mengeluarkan sedikit pendapat ke atas kedaifan diri saya sendiri dan ilmuwan yang hebat itu, sedangkan sebenarnya Tuhanlah yang menjadikan diri kita semua. Semoga kita semua selalu dirahmati Tuhan dan dijauhkan dari perasaan riak.

2 comments:

  1. Assalamu'alaikum tuan,
    terima kasih atas komentar tuan ini.

    Tuan antara yang memberikan komentar dengan nada yang baik di dalam isu ini.

    Mungkin saya patut beritahu kenapa saya jawab panjang, dan kenapa saya tulis di blog saya.

    1 - Saya jawab panjang kerana menjawab ya atau tidak, tidak akan memberikan jawapan yang sepatutnya, dan akan menimbulkan lebih banyak salah faham.

    Maka saya jawab, 'seringkas yang boleh', dan itulah yang paling ringkas saya boleh jawab dalam keadaan tidak menimbulkan lebih banyak salah faham berkenaan isu ini.

    Mungkin tidak ringkas bagi tuan, atau yang menyanjungi Tun, hingga saya dicop seperti ingin menunjukkan ilmu dan sebagainya. Tetapi, bila Tun membuat keputusan tanya saya di khalayak, terpaksalah saya mengira khalayak juga untuk membaca dan memahami penulisan saya.

    Seringkas ya atau tidak, itu hanya akan menimbulkan banyak salah faham pada masyarakat.

    2 - Kenapa saya tulis di blog saya sendiri. Saya menulis di blog saya sendiri atas dua sebab.

    Pertama: Supaya jawapan saya jelas dilihat sebagai jawapan saya. Kita semua maklum bahawa blog Tun sudah dipenuhi dengan pelbagai jawapan orang ramai di ruangan komen. Kalau saya menjawab di situ juga, maka jawapan saya akan dipengaruhi jawapan-jawapan lain. Saya yakin, Tun pun memahami.

    Keduanya: Agar jawapan saya tidak dipolitikkan. Bila menulis di blog saya, orang yang bijak akan luangkan masa melihat-lihat blog saya, memerhati artikel2 yang lain, yang mana jelas bahawa itu bukan blog politik. Ini menunjukkan bahawa, saya bukan orang politik, yang menegur Tun atas dasar politik.

    Jadi, utu adalah reason saya. Dan bukanlah saya suka-suka buat keputusan sebegini, melainkan telah meminta pendapat beberapa orang lain yang lebih tua.

    Sekiranya saya ingin dipandang sebagai menunjuk-nunjuk, atau dikatakan ingin mendapatkan trafik dan sebagainya, terpulanglah. Saya serahkan perkara itu, antara orang yang berkata, dengan Allah SWT.

    Sekurang-kurangnya saya berharap, kalaulah bukan penulisan saya itu memberikan manfaat kepada Tun dan penyanjungnya, biarlah penulisan saya itu memberikan manfaat kepada selainnya.

    Apa-apa pun, saya ucapkan terima kasih atas komentar tuan. Saya hormati kerana setelah saya teliti di alam maya ini, tuan antara yang paling sopan sekali mengulas. Di situ, saya respect.

    Semoga Allah redha dengan tuan dan keluarga tuan.
    Nyata anak-anak tuan comel. ^^

    Sekian,
    HilalAsyraf
    http://langitilahi.com

    ReplyDelete
    Replies
    1. Tuan hilal yang budiman..

      Terima kasih atas penjelasan yang telah tuan berikan dengan baik sekali. Saya amat menghargainya. Tampak tuan memang seorang yang berpendidikan tinggi dan berhati-hati dalam mengeluarkan ulasan dan buah fikiran. Maafkan saya jika saya telah terkasar bahasa, tersalah anggap atau memberikan ulasan yang kurang adil kepada tuan melalui catatan tersebut. Sesungguhnya yang baik itu adalah dari Tuhan dan yang silap itu adalah dari diri saya sendiri. Saya mendoakan agar tuan berjaya didalam bidang yang tuan ceburi, di dunia dan akhirat. Sekian

      Delete