Tuesday, March 6, 2012

Kebahagiaan


Kebahagiaan

Kebahagiaan boleh menjadi tafsiran yang berbeza bagi setiap individu. Ada orang melihat kebahagiaan itu dari wang ringgit dan kesenangan. Tetapi pendapat itu tidak salah. Sememangnya dalam dunia yang moden ini kebahagiaan boleh diatur dengan wang ringgit. Bayangkanlah, adakah kebahagiaan itu boleh didapati dengan perut yang lapar, baju yang koyak rabak dan tidur yang beralaskan bumi, berbumbungkan langit.  
Ada pula orang yang merasakan kebahagiaan berpunca dari hati yang tenang. Pun ini pendapat yang benar dan bernas. Bayangkan seseorang yang memiliki segalanya, tetapi hidupnya tidak tenang dan huru-hara . bolehkah itu ditafsirkan sebagai kebahagiaan?

Ada orang tidak pernah berkahwin, tetapi tetap merasai kebahagiaan. Ada orang pula berkahwin bertahun-tahun, tetapi tidak pernah merasai kebahagiaan. Ada orang yang tidak berkahwin dan tidak bahagia dan ada orang yang berkahwin lalu sangat merasai kebahagian dari perkahwinan itu.
Ada orang memikirkan bagaimanakah surirumah yang duduk sahaja dirumah dapat merasai kebahagiaan sedangkan surirumah itu jauh dari dunia luar. Ada pula orang yang hairan bagaimana seorang yang bekerja boleh merasai kebahagiaan dengan badan yang penat, hati yang berserabut dateline kerja dan menghadapi bermacam-macam karenah ditempat kerja.

Ada orang pelik bagaimana orang kampung yang tinggal diceruk mana boleh merasai kebahagiaan sedangkan kampung itu tidak langsung punya kemudahan dan kemodenan seperti dibandar, hendak menunggu bas pun boleh mengambil masa sehingga 2-3 jam. Tetapi ada pula orang yang berfikir bagaimanakah kebahagiaan boleh didapati dengan kebisingan, habuk , jalan-jalan yang sesak dan serba-serbinya yang mahal memerlukan duit di bandar-bandar.

Itulah kebahagiaan.

Tafsirannya sangat berbeza bagi setiap individu. Dalam konteks secara meluas.
Bagi saya seorang wanita tipikal, mempunyai hati yang tenang, kesihatan yang baik (amin), seorang suami yang sangat baik, tiga anak yang sihat, rumah yang sempurna untuk berteduh, pakaian untuk dipakai, makan yang cukup dan kenderaan untuk bergerak pun sudah boleh ditafsirkan sebagai bahagia. Tetapi mungkin ada juga insan lain yang mempunyai segalanya kecuali salah satu mana-mana di atas merasa hidupnya tidak begitu bahagia.Terpulanglah.

Bersyukur.

Dalam keadaan apapun, seharusnya kita manusia bersyukur kerana dapat dilahirkan didunia, sempat untuk merasai segala nikmat yang ada walaupun mungkin cuma seketika dan mungkin cuma sedikit. Mungkin kita sesekali terlepas pandang lalu tidak bersyukur di atas nikmat itu. Lalu merasalah kita tidak bahagia buat seketika.


No comments:

Post a Comment