Friday, March 2, 2012

Membaca

Dari sekolah rendah lagi saya suka membaca. Abang saya seorang kaki buku, jadi dalam rumah saya ada banyak bahan yang boleh dibaca. Bahan bacaan yang paling kerap beliau beli ialah suratkhabar dan majalah variasari. Masa berumur 8 tahun saya sudah baca novel klasik arab dalam tulisan rumi yang saya lupa tajuknya. Memanglah ditulis dalam ayat-ayat melayu purba, tapi saya faham dengan novel itu. Ia betul-betul menarik minat saya. Lepas itu abang dan kakak saya rajin pula membeli buku Tamar Jalis, novel bersiri Bercakap Dengan Jin. Ayat-ayat yang digunakan sungguh mempengaruhi gaya penulisan saya beberapa tahun selepas itu. Memang itulah Harry Potter malaysia yang asli.
Pinjam dari google image
Kemudian masa sekolah rendah juga saya banyak membaca novel-novel sasterawan seperti A.Samad Said, Usman Awang, Azizi Abdullah, Othman Puteh, Arenawati dan Abdullah Hussin. Novel yang paling saya suka ialah Salina(A.Samad Said) dan Peristiwa ( Abdullah Hussin). Dua novel ini memberikan saya impak yang cukup besar. Membawa saya menyelami satu dunia lain didalam keadaan yang sedar dan waras.

Saya baca juga novel-novel cinta, tapi bukan peminat tegar novel genre ini. Hanya sedikit sahaja jenis novel cinta yang saya baca, itupun bukan yang terlalu jiwang, seperti Di Bawah Lindungan Kaabah. Membaca novel karya HAMKA ini selalu sahaja membuatkan saya berasa sedih, walaupun saya bukan kaki jiwang. Susunan ayat dan kekreatifannya itu, memang tidak dinafikan, dia seorang saserawan yang genius.

Kebanyakan novel cinta bukan novel sastera, jadi ia lebih bersifat komersial yang tidak original. Tapi tak mengapa, setiap manusia mempunyai minat yang berbeda-beda (cewahhh..).Meminjam kata kawan, jika setiap menusia mempunyai minat yang sama, haruslah semua orang berkongsi suami atau isteri (ubah suai sikit).

Beberapa tahun selepas tamat persekolahan, saya mula kurang membaca novel. Lama juga iaitu sepanjang tempoh berada di Universiti. Kurang membaca ini bermaksud membaca secara lompat-lompat sahaja, bila ada material. Itupun jarang. Aktiviti lebih terarah kepada aktiviti kampus. Bila mula bekerja, lagilah aktiviti seni dan membaca saya berkurangan.

Sewaktu mengandung anak sulung saya baru menyedari akan kepentingan membaca, walaupun hanya setakat membaca majalah jenis kekeluargaan atau keibubapaan, tetapi ia masih dapat menambahkan ilmu pengetahuan. Semasa dalam pantang saya berpantang sendiri. Jadi untuk menghilangkan kebosanan  bersendirian di rumah, suami selalu membawa balik bahan bacaan dan beberapa novel, antaranya Harry Potter yang menjadi kegilaan saya (saya akan buka satu enry tentang novel ini kemudian). Selepas itu, saya agak kerap juga membawa anak sulung saya ke kedai buku untuk membeli buku. Antara kedai buku yang  saya paling suka kunjungi ialah Border, tapi buku-bukunya agak mahal. Sekarang ada sebuah kedai buku di PJ yang menjual buku baru dengan harga yang sangat murah.

Minat membaca  tidak pernah lekang dihati saya. Cuma sekarang genrenya agak berubah....saya lebih banyak membaca novel kanak-kanak dan remaja. Zaman dulu-dulu saya hanya membaca buku Bahasa Melayu sahaja, tetapi sekarang saya juga membaca buku Bahasa Inggerisi. Namun ia  tidaklah bermaksud saya perasan muda kembali, novel-novel itu saya baca akibat pengaruh-pengaruh media dan komen pembaca-pembaca.

Memang banyak perbezaan penulisan novel kreatif barat dan melayu. Salah satu sebabnya, orang barat tidak kisah tentang agama, jadi mereka bebas untuk melangkaui imaginasi mereka seperti novel Harry Potter, Twillight dan The Forbidden Game. Orang Islam pula tidak sesuai menulis tentang perkara-perkara yang membelakangkan agama. Itu satu perkara yang saya boleh terima. Cuma penulis novel kreatif Malaysia terlalu bergantung kepada novel cinta yang stereotype dan klise. Saya sangat jemu dengan semua ini. Apabila saya membaca novel Black Beauty (sesuai untuk remaja), saya  dapat membezakan betapa jauhnya kualiti penulis novel-novel remaja di negara ini.  Walaupun novel itu ditulis beratus tahun nan lalu, tapi saya dapat menyelami tentang betapa kreatif dan bersungguhnya penulis itu dalam melakarkan apa yang tersirat di hatinya, sehingga saya berulang-ulangkali menitiskan airmata apabila membacanya. Selain, Stephanie Meyer, J.K Rowling dan Anna Sewell, saya juga berminat dengan penulisan Enyd Blyton. Memanglah hasil tulisan beliau cenderung kearah novel kanak-kanak dan remaja sahaja, tetapi beliau menampilkan gaya penulisan yang begitu mengkagumkan. Hasil karyanya ringan, tetapi tidak jemu dibaca.

Walaupun saya peminat sastera melayu, tapi bidang saya lebih menjurus kepada sains semasa di Sekolah dan Universiti. Emak dan adik-beradik  lebih bersikap ke arah fakta dan rasional dan menggalakkan pembelajaran dalam bidang sains dan matematik. Tapi saya sendiri juga turut menyedari akan kepentingan pelajaran sains itu. Sastera hanya sebagai minat dan mempertahankan kebudayaan sahaja. Walaupun saya peminat buku-buku tulisan A.Samad Said, tapi tidak bermakna saya bersetuju dengan buah fikirannya dalam beberapa perkara yang melibatkan Bahasa Melayu. Dari segi inteleknya saya lebih bersetuju matematik dan sains diajar didalam bahasa inggeris. Sebagai seorang peminat sastera tetapi bekerja dalam bidang yang melibatkan sains, teknologi dan sastera itu dua perkara yang berbeza. Semasa di Universiti anda tidak akan bertemu dengan mana-mana buku teks matematik dan sains yang sepenuhnya menggunakan bahasa melayu. Kalau adapun, kebanyakan terma-terma masih menggunakan bahasa inggeris. Kadang-kadang ia tidak tepat pula. Seringkali pelajar melayu di universiti ketinggalan. Sangat menyedihkan!

Perspektif  orang melayu tentang matapelajaran sains dan teknologi juga sangat ketinggalan. Sejarah telah membuktikan ramai ahli-ahli sains bangsa Arab terdahulu adalah sasterawan juga. Sebagai contohnya Ibnu Sina (Avicenna), adalah seorang penulis yang begitu kreatif, tetapi dalam masa yang sama beliau juga adalah seorang saintis bijak yang telah melampaui zamannya sendiri, ( apabila menulis tentang proses-proses dan mekanisme buah pinggang ) sehingga beratus-ratus tahun kehadapan!

Ada orang beranggapan, buat apa masuk Universiti belajar sains dan matematik susah-susah, aku tak masuk pun pandai juga, kerja bagus juga. Pembelajaran sains dan matematik ini secara realistiknya akan banyak membuka minda kita tentang satu pemikiran yang lebih kritis. Tetapi terpulanglah kepada si pemikir itu juga sebenarnya. Ada orang belajar tinggi-tinggi tetapi masih tidak menggunakan pemikiran mereka dengan baik dan waras, walaupun mempunyai ilmu di dada.  Oh..terbabas dari tajuk sebenar pulak...he he he. Mungkin saya kena buka satu entry berkenaan sains, matematik dan teknologi pulak selepas ini. Sekian terima kasih

No comments:

Post a Comment