Monday, March 19, 2012

Peti Televisyen

Saya hanya memiliki satu peti televisyen yang sangat kecil di rumah, berukuran kira-kira 14 inci. T.V itu dibeli kira-kira 10 tahun dulu sewaktu saya masih belajar. Dan tidak ada perkhidmatan siaran T.V berbayar di rumah saya.

Setiap kali saudara-mara datang, pasti ada menegur kenapa saya tidak menukar sahaja T.V buruk ini dengan T.V baru yang lebih canggih dan besar. Sekarang terdapat berbagai-bagai jenis T.V di pasaran, L.E.D, L.C.D, Plasma dan macam-macam lagilah yang tidak saya teliti. Harganya pun tidaklah terlalu mahal. Mungkin saya boleh membayar RM 1500 secara tunai atau secara runcit-runcit sebanyak lebih kurang RM200 bulan-bulan jika tidak mampu.

Saya akui, kerana T.V yang kecil dan susah untuk dapat siaran inilah membuatkan saya tidak menonton rancangan-rancangan yang selau diperkatakan oleh kawan-kawan dan saudara-mara saya seperti Raja Lawak, Maharaja Lawak dan segala macam lawak lagilah. Tapi saya tidak kisah atau ambil hati, kerana saya fikir rancangan itu memang sangat penting bagi masyarakat Malaysia secara umumnya, cuma ianya tidak begitu penting bagi diri saya sekeluarga (buat masa ini).

Anak-anak juga sering bertanya (suatu masa dulu), kenapa kita tidak punya T.V besar macam makcik pengasuhnya yang bekerja sebagai pengasuh budak itu sahaja . Saya tidak dapat menjawab dengan tepat soalan ini kepada anak saya kerana beliau masih kecil ketika itu dan kalau saya jawab pun mungkin dia tidak akan faham. Jadi saya katakan padanya saya belum ada duit untuk membeli T.V baru. Tetapi saya tak tahulah, sama ada beliau faham atau tidak dengan jawapan itu.

Tapi kini anak saya sudah besar sedikit dan tidak kisah lagi dengan T.V buruk yang kecil itu, jadi saya fikir memang saya tidak perlu membeli satu televisyen yang yang lain buat masa ini. Selain itu, saya juga merasa gembira kerana anak sulung saya itu sudah bersekolah pagi dan petang, jadi memanglah beliau tidak akan berjumpa T.V di kedua-dua sekolah itu.

Anak yang nombor dua pula, bersekolah tadika diwaktu pagi dan kerumah pengasuh disebelah tengahari hingga kepetang. Tetapi pengasuhnya yang ini tidak meletak T.V di ruang tamu, sebaliknya meletak bayi-bayi kecil yang mudah untuk dipantau ketika membuat kerja-kerja rumah, dan anak saya yang nombor dua ini agak kurang berminat untuk menonton bayi-bayi tersebut. Dia juga kurang digalak menonton T.V oleh pengasuh itu. Anak saya yang ketiga masih kecil dan belum faham menonton T.V, kerana baru berumur 11 bulan.

saya tidak katakan T.V tidak penting dalam urusan seharian kita, kadang-kadang T.V boleh menjadi peneman kesepian walaupun kita tidak menontonnya (bunyi-bunyian dari T.V itu boleh menghilangkan kesepian). Ada juga siaran-siaran T.V yang baik untuk ditonton seperti rencana-rencana, berita, sesetengah rancangan kanak dan beberapa lagi.

Kadang-kadang ada juga terbit dari fikiran saya untuk menukar T.V baru lantaran kesukaran untuk mendapat siaran (terutama ketika sesekali hendak menonton siaran langsung bolasepak). Saya terpaksa berdiri dan meletak tin-tin biskut untuk memusing-musing arial T.V tersebut bagi membolehkan mendapat siaran yang jelas. Tetapi apabila keadaan reda, saya pun kembali normal dan tak jadilah untuk saya membeli T.V baru.

Rakyat Malaysia tidak kira apa bangsapun amnya memang amat mementingkan T.V. Setiap rumah mesti ada sekurang-kurangnya satu peti televisyen. Dan sekarang negara kita sudah mempunyai syarikat siaran T.V berbayar yang membekalkan perkhidmatan yang lebih baik. Kalau di kawasan perumahan saya ini, rasanya hanya saya dan jiran depan saya sahaja yang tidak memiliki perkhidmatan siaran berbayar. Hampir kesemua penduduk di kawasan ini melanggani siaran berbayar tersebut.

Daripada pengalaman-pengalaman ini, saya dapat merumuskan bahawa T.V adalah satu keperluan bagi kebanyakan rakyat Malaysia sekarang ini, sama seperti keperluan terhadap minyak masak, minyak petrol dan minyak angin. Mungkin suatu hari nanti apabila tiba masanya saya juga akan membeli satu peti T.V yang baru dan melanggan siaran T.V berbayar ini. Tetapi bila masanya tidaklah saya tahu, dan saya berdoa biarlah masa itu akan menjadi lebih panjang.

No comments:

Post a Comment