Monday, April 23, 2012

Masa Tua

Sabtu yang lalu kami ke Seremban untuk menempah baju raya. Ada satu tailor di Senawang, Jenny namanya, pernah menjahit baju kami semasa nikah dahulu. Jahitannya agak baik dan memuaskan hati. Sebelum ini saya pernah menempah baju dengan seorang tailor dari Selayang yang berlagak seolah-olah beliau sangat mahir menjahit dan mempunyai akademi jahitannya sendiri. Tetapi jahitan bajunya sangat teruk! Dan salah satu dari baju yang saya hantar itu langsung tidak boleh di pakai. Arahan yang saya beri langsung tidak difahaminya. Oleh kerana kain yang baru ini saya kirim dari kawan di Indonesia, jadi saya tidak mahu merasa hampa jika ianya dijahit dengan tidak betul. Lalu saya mengambil keputusan untuk menghantar kain ini kepada tailor yang boleh dipercayai. Disamping itu dapat juga saya melawat kakak di Seremban. Kebetulan emak ada di sana.

Balik itu saya terus menghantar emak di kampung kerana dakwanya dia sudah lama di rumah kakak. Padahal baru sahaja tidak kurang seminggu. Biasalah, orang tua memang tidak betah untuk duduk lama di rumah anak-anak, mereka lebih selesa di rumah sendiri. Tidak ada bantahan tentang perkara ini. Kami cuma mahu emak sihat dan bahagia, kerana apabila duduk di kampung dia nampak lebih gembira. Namun rasa bimbang itu tetap ada untuk melepaskannya duduk sendiri kerana diapun tidaklah begitu tegap. Kami bertawakkal sahaja kepada Tuhan supaya emak sentiasa dilindungi.

Malam itu sempatlah kami makan bersama-sama. Selepas isyak kamipun bertolak balik. Dalam kereta sebelum meninggalkan rumah, saya lihat emak kesayuan sambil melambai-lambai. Tinggallah beliau kesunyian sekali lagi tanpa keriuhan cucu-cucunya. Tapi itu adalah pilihannya, apalah yang boleh dibuat, bukan saya tidak mengajak untuk tinggal bersama-sama kami, begitu juga dengan kakak-kakak. Tapi beliau lebih selesa bersendirian di kampung.

Tidak sampai beberapa minit perjalanan, anak-anakpun tidur dengan lena. Dalam kereta kamipun berbual seperti biasa. Kemudian sayapun berkata, bagaimanalah agaknya kehidupan kami semasa tua nanti. Adakah akan sebegitu juga. Bagaimana jika ditakdirkan salah seorang dari kami pergi dahulu sedangkan dalam keadaan sekarangpun kami tidak betah jika salah seorang tiada. Terasa seperti sebahagian dari diri tidak sempurna. Suasana menjadi agak suram ketika kami berbual tentang perkara itu ditambah pulak dengan keadaan malam yang gelap. Tidak ada konklusi yang dapat disimpulkan. Tuhan lebih mengetahui apa yang terbaik untuk hambanya dan dia juga tahu bagaimana untuk mengurus hamba-hambanya.Walau bagaimana cintanya pun kita terhadap sesama manusia, Tuhan tetap tahu apa yang seharus dilakukanNya.

Sebagai seorang manusia biasa, memang rasanya saya tidak sanggup untuk hidup tanpa suami di sisi, tetapi keadaan akan lebih menyedihkan bila memikirkan bagaimanakah kehidupannya tanpa saya di sisi. Bukanlah kami tidak pernah bertengkar langsung, tetapi  disebalik itu perhubungan kami tetap erat. Namun kuasa Tuhan tetap kuasa Tuhan, kita hanyalah hambaNya. Apa yang termampu dilakukan hanyalah selalu berdoa dan berusaha agar dipanjangkan usia dalam menjalankan amanah dan tanggungjawab untuk membesarkan anak-anak ini disamping memperbaiki kelemahan diri sendiri. Semoga Allah memakbulkan doa-doa itu dan dikurniakan kami dengan kesihatan yang baik dan murah rezeki (juga untuk anda).

Amin

No comments:

Post a Comment