Wednesday, May 30, 2012

Air Pocket Pesawat Penerbangan

"Turbulence is air movement that normally cannot be seen. It may occur when the sky appears to be clear and can happen unexpectedly. It can be created by any number of different conditions, including atmospheric pressures, jet streams, mountain waves, cold or warm fronts, or thunderstorms."

Saya bukan kali pertama menaiki kapal terbang, begitu juga dengan suami saya. Tetapi penerbangan kali ini adalah yang paling menakutkan bagi saya, kerana sewaktu sudah separuh jalan dari Kota Bharu ke Kuala Lumpur, kami mengalami situasi air pocket beberapa kali sehingga pesawat itu seolah-olah melantun ke atas dan jatuh balik kebawah. Ketua pramugara yang baru sahaja berjalan melepasi saya pun turut terhuyung hayang. Beberapa penumpang juga menjerit ketakutan. Tetapi berbeza pula dengan anak-anak saya yang ketawa sesama sendiri sambil menikmati kejadian itu seolah-olah mereka sedang menaiki sebuah roller coaster yang selamat dan tiada apa-apa yang berlaku. Sebelum itu sewaktu pesawat mula meluncur ke udara, cuaca amat baik dan terang benderang berbanding dengan tiga hari sebelumnya sewaktu kami mula-mula hendak mendarat di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra yang mana cuaca agak buruk dan kilat sabung menyabung.

Situasi seperti ini mungkin perkara biasa sahaja bagi mereka yang kerap menaiki kapal terbang, terutama sekali kepada kru-kru kabin. Ia mungkin mempunyai risiko, tetapi tidaklah begitu berbahaya selagi juruterbang dapat mengawal dengan baik pesawat itu. Namun mengikut pengalaman peribadi saya, rasanya ini adalah kali pertama saya mengalami situasi air pocket yang sangat buruk, begitu juga dengan suami. Ketakutan yang dialami sama tahap seperti hendak disorong kedalam dewan bedah untuk dibedah sekali lagi. Memanglah, nyawa milik Tuhan, kalau sudah  ditakdirkan hendak mati, bukan di dalam kapal terbang sahaja, di mana-manapun akan mati juga, tapi sebagai manusia biasa, tiada siapa yang boleh lari dari perasaan takut.

Ini adalah kali pertama saya menaiki pesawat tambang murah. Sebelum ini saya hanya menaiki pesawat yang tambang mahal (bagi saya) dengan menggunakan warrant dari kerajaan untuk tujuan-tujuan rasmi. Tujuan kali ini adalah untuk membawa anak-anak bercuti dan merasai pengalaman menaiki kapal terbang sahaja. Jadi saya membeli tiket pesawat tambang murah kerana rasanya saya belum mampu untuk membeli tiket tambang mahal (walaupun saya merasa lebih yakin dengan penerbangannya).

Saya tidak tahu samada juruterbang boleh mengesan situasi air pocket atau tidak semasa dalam penerbangan, kerana dalam penerbangan-penerbangan sebelum ini, ia tidaklah begitu buruk sehingga menyebabkan sesetengah penumpang terasa panik, malah pesawat itu juga nampak sangat tidak stabil sehingga terasa seperti terhuyung-hayang ke kiri dan kekanan. Bagi yang kali pertama menaiki kapal terbang, ia mungkin boleh menjadi satu pengalaman yang sangat buruk kepada mereka.  Selain dari situasi air pocket, saya juga sangat tidak gembira menaiki pesawat dalam keadaan hujan dan kilat. Sangat menggerunkan melihatkan kilat-kilat yang memancar berhampiran dengan pesawat. Dalam satu penerbangan dari Tawau Sabah, pesawat yang kami naiki telah mengalami kerosakan semasa dalam hujan. Tetapi syukurlah kami selamat, namun situasi itu tidaklah secemas situasi yang saya lalui seperti di atas.

Teringat pula kepada cerita kawan sepejabat, sewaktu beliau dalam perjalanan balik dari Australia, pesawat yang dinaikinya melalui satu kawasan yang sedang mengalami ribut, jadi situasi air pocket yang di alami menjadi sangat buruk, malah pesawat itu mengalami kerosakan sehingga juruterbang terpaksa mengumumkan kepada penumpang yang beragama Islam untuk membaca surah Yaasin. Tidaklah dapat saya bayangkan betapa tegangnya situasi ketika itu. Mungkin juga juruterbang sudahpun menjeritkan perkataan "mayday, mayday" kepada  pegawai traffik udaranya!

Namun saya ingin menerangkan di sini bahawa risiko kemalangan menaiki kapal terbang adalah sangat rendah berbanding dengan menaiki kenderaan di atas darat. Memang kerap kali kemalangan kapal terbang yang berlaku menyebabkan harapan untuk menemui mangsa terselamat sangat tipis, tetapi kemalangan udara sangat sangat jarang berlaku. Satu-satunya kejadian kemalangan pesawat penumpang (besar) paling buruk pernah berlaku dalam sejarah negara kita ialah yang melibatkan pesawat MH 653 milik MAS dan ia berlaku kira-kira 35 tahun lalu. Kemalangan itu pula berlaku bukanlah disebabkan kerosakan teknikal atau cuaca yang buruk atau kelalaian juruterbang, ia berlaku disebabkan rampasan pengganas dan ia terhempas di sebuah hutan paya bakau di Tanjung Kupang Johor.

Balik itu saya bertanya kepada anak-anak saya, seronok ke menaiki kapalterbang? Mereka tersengih-sengih memberitahu, sangat seronok! ( tanpa mengetahui situasi emak dan ayahnya yang sikit lagi nak terkucil kerana situasi air pocket yang sangat buruk itu )


No comments:

Post a Comment