Thursday, May 17, 2012

Balasan Tuhan

"itu sebablah dia kena macam tu, balasan Tuhan..Memang patut pun"

Kata-kata itu diluahkan oleh seorang rakan sekerja yang bukan beragama Islam. Saya ingin membantah kata-katanya itu, tetapi bila memikirkan ketidakwajaran kelakuan si pelaku itu kepada kawan saya tadi, jadi sayapun mendiamkan diri sahaja. Tidak tergamak pula saya menaikkan lagi kemarahan kawan saya itu. Memang tidak patut saya berfikiran begini, tetapi kadang-kadang apabila emosi tidak stabil, kita cenderung untuk menerima kata-kata negatif orang lain (jangan mencontohi perkara yang tidak baik ini). Pelaku itu cuba memperlekehkan kerja-kerja kami yang sebenarnya tidak ada kaitan satu sen pun dengan kehidupan kerja mahupun kehidupan personalnya, malah menggunakan kata-kata yang sangat sarcastic pula terhadap kawan saya itu, mentang-mentanglah dia bukan seorang yang beragama Islam.

Tetapi walau bagaimanapun, sebenarnya sebagai seorang Islam, adalah salah untuk kita mengaitkan seseorang yang ditimpa musibah itu sebagai balasan Tuhan. Ini kerana manusia tidak pernah mengetahui walau sedikitpun urusan Tuhan dan urusan alam ghaib. Jadi memang sangat salah untuk kita menuduh-nuduh orang yang ditimpa musibah itu didenda oleh Tuhan. Semulajadinya memang kita nampak begitu, tetapi yang batin itu bukan milik kita untuk menilai kesalahan orang lain.

Pernahkan kita memikirkan bagaimanakah perasaan seseorang yang ditimpa musibah kemudian diejek-ejek oleh orang kerana dia pernah melakukan dosa? Bagaimana jika diri kita yang berada ditempatnya? Sudahlah mengalami kesusahan, kemudian dihina-hina pula. Sangat tidak wajar kan? Jadi, pada pendapat peribadi saya, walau sebesar manapun musibah yang menimpa, bukanlah menjadi hak kita untuk memberitahu kepada orang lain bahawa individu itu pernah melakukan kesalahan. Kita tidak pernah tahu akan jumlah dosa dan pahala yang dimiliki oleh seseorang itu sehingga kita menjadi begitu berani untuk menilaikan musibah yang menimpa dirinya. Bagaimana jika sebenarnya kita yang memiliki dosa yang lebih dari orang itu, walaupun orang itu nampak melakukan kesalahan yang sangat besar? Adalah menjadi sesuatu yang memalukan kan? Sebab itulah Tuhan tidak menunjukkan dengan terang dosa dan pahala yang dimiliki oleh seseorang individu. Oleh itu, secara automatiknya kita memang tidak layak untuk menilaikan orang lain. Mungkin kita boleh mengambil ikhtibar, tetapi untuk menyebar fitnah dan mengata-ngata adalah salah sama sekali. Jadi jauhkanlah perkara ini jika tidak mahu ianya terjadi pula kepada kita

1 comment: