Sunday, May 20, 2012

Pengalaman bersalin caeser II

Entry ini adalah sambungan dari entry Pengalaman bersalin caeser I

Sebaik sahaja disahkan kandungan itu songsang, Dr bertindak mengarahkan saya di admit kehospital. Saya sangat tidak gembira dengan situasi ini. Apalah yang seronoknya duduk di Hospital kan, ianya sangat membosankan. Apatah lagi dalam satu jangkamasa yang sangat lama, iaitu sehingga tarikh saya bersalin, kalau lambat saya bersalin, lama lagilah duduk di hospital itu. Oh, tertekannya. Akhirnya selepas puas merayu-rayu, saya dibenarkan juga balik dengan pelbagai syarat yang ketat. Saya terima sahaja syarat itu dengan senang hati asal tidak tinggal di hospital. Dalam masa ini Dr masih memberi harapan yang saya boleh bersalin normal jika kepala bayi turun kebawah. Ketika ini, saya sudah siap-siap mengambil cuti rehat . Jadi sepanjang tempoh itu saya hanya duduk dirumah sahaja. Hari-hari sebelum pergi kerja, suami akan membelikan makanan supaya saya tidak perlu memasak. Saya ingat lagi makanan kegemaran masa itu ialah roti canai dan burger malaysia. Oleh itu hari-hari suami membelikan saya dua macam makanan ini. Namun akhirnya saya merasa jemu juga sampai sudah tak lalu nak makan.

Tiba masanya sayapun pergilah menyerah diri dihospital. Sebenarnya selepas tarikh jangkaan bersalin, jika tak bersalin juga, kita akan diberi tempoh 10 hari menunggu. Tetapi jika selepas tempoh 10 hari itu masih tidak ada tanda-tanda untuk bersalin, maka hospital biasanya akan membuat beberapa pertimbangan, antaranya ibu akan diinduce untuk mempercepatkan proses bersalin, kerana dikuatiri, jika terlalu lama akan berlaku komplikasi lain pula.

Tidak seperti kelahiran pertama, kali ini suami tidak lagi tinggal dihospital untuk menemani. Ini kerana rumah kami agak dekat dan saya juga tidak mahu travel ke Seremban kerana kandungan yang songsang ini. Saya hanya menyuruh suami standby sahaja dirumah bila masanya hampir tiba. Kesian juga jika dia terpaksa menunggu di hospital seperti kelahiran pertama dahulu, memanglah dia tidak merungut, tapi saya tak sampai hati melihat dia tidur dibangku hospital.  Selepas pemeriksaan pagi itu, didapati kepala bayi masih lagi songsang, jadi teruslah Doktor menetapkan waktu untuk dibedah. Maka dengan itu berkecailah harapan saya untuk bersalin secara normal.

Malamnya saya diberi kaunseling kerana kegusaran mengenai proses bersalin itu. Dengan sokongan kawan-kawan saya menjadi agak berani juga. Akhirnya pada jam 3 atau 4 pagi saya mula mengalami mild kontraksi. Sedikit darah sudah keluar. Dengan segera saya memberi tahu Doktor on duty. Selepas pemeriksaan, didapati bukaan sudah 4cm. O.T (Operation Theater) segera disiapkan dan Doktor pakar on call  yang sepatutnya membedah saya pada pukul 9 pagi esok dihubungi dengan segera dirumahnya. Saya pula kelam kabut menelefon suami di rumah dan tak tahu berapakah pecutan keretanya untuk sampai segera dihospital, kerana tak berapa lama kemudian, beliau sudah terpacul di sisi saya. Dalam kelam kabut itu, Doktor pakar berbangsa India itupun sampai dan berkata kepada saya, "kenapalah anak You ni nak keluar sekarang juga, bukan lama sangat nak tunggu pukul 9 pun" katanya. Saya hanya tersengih. Sepatutnya saya adalah patient yang ketiga di bedah pada hari itu, tetapi kerana emergency, saya pula mengambil alih tempat nombor satu dan ibu yang sepatutnya dibedah paling awal pada hari itu hanya mampu melihat sambil mendoakan keselamatan kami.

Kemudian saya pun disiapkan untuk dibedah. Diberi minum MMT (ubat gastrik) untuk tahan muntah. Pada malam dan hari sebelumnya saya sudah disuruh berpuasa. Sangat gentar rasanya apabila disorong ke dalam O.T tersebut, maklumlah kali pertama. Bersalin cara bedah juga mempunyai risiko. Jika diberi pilihan, memang saya tak mahu bersalin secara bedah.

Doktor pakar bius memperkenalkan diri dan segera membuat suntikan. Tidak lama kemudian, sayapun merasa kebas dan selepas itu tidak merasa apa-apa lagi dari bahagian pinggang hingga ke kaki. Sejuknya dalam O.T itu memang tidak terkata sampai menggigil-gigil. Saya mengadu kepada Doktor pengawal ditepi saya, tapi katanya memang bilik O.T mesti sejuk untuk mengurangkan risiko jangkitan kuman dan melambatkan proses pembekuan darah. Selepas bergoncang-goncang perut dikerjakan oleh Doktor bedah tersebut, terdengarlah bunyi tangisan bayi saya! Selesai dibersihkan, sementara doktor menjahit kembali luka di perut, Nurse pun menunjukkan bayi itu sambil menanyakan jantinanya, (sebenarnya itu adalah satu prosedur) dan sayapun melihat dengan cerianya untuk kali pertama bayi lelaki saya itu. Dia kemudian diserahkan kepada ayahnya untuk di azankan sebelum diambil kembali untuk pemeriksaan rutin yang lain pula.

Selesai pembedahan tersebut, rasa sejuk itu masih tidak hilang. Saya masih mengigil-gigil dan mengambil masa yang sangat lama untuk recover berbanding dengan orang lain. Sampai ke katil di wad terjadi pula satu insiden lain. Suami saya tidak dapat dihubungi kerana kesilapan komunikasi. Rupanya beliau menunggu ditempat yang salah, padanlah tidak berjumpa dengan katil saya dan selepas meminta nurse menghubungi telefon bimbitnya, barulah dia dapat berjumpa dengan saya, waktu itu sudahpun jam 10 pagi.

Pengalaman itu tidak terhenti di situ sahaja, pada mula-mula bersalin itu, semuanya ok. Saya tidak mengalami kesakitan yang amat sangat malah saya boleh berjalan selepas 7 jam. Masalah timbul selepas beberapa jam dari itu. Saya mengalami pening yang amat sangat dan sakit pinggang setiap kali berdiri. Selepas pemeriksaan, Doktor mengesahkan saya mengalami sindrom tekanan darah rendah yang mana ubat bius berjalan dengan tidak sempurna selepas pembedahan menyebabkan saluran darah menjadi kecut atau kembang (sayapun tidak ingat yang mana satu). Doktor cuma menasihatkan saya meminum banyak minuman berkafein untuk melegakan kesakitan. Akhirnya suami saya membelikan saya berbotol-botol air coke dan nescafe. Alhamdulilllah, selepas minum air-air ini, kesakitan sayapun berkurangan. Jadilah saya pecah rekod, baru satu hari pantang sudah minum coke dan nescafe, yang mana minuman-minuman ini merupakan satu taboo kepada syarat-syarat berpantang dikalangan masyarakat Melayu. Cuma yang menjadi masalah lainnya pula selepas itu ialah, anak saya menjadi lebih kerap cirit kerana mungkin dia tidak tahan dengan coke dan nescafe itu, tapi apakan daya, bersyukur sahajalah kerana sudah selamat.

Kini anak saya itu sudahpun besar, sudah bersekolah tadika 5 tahun dan sudah mempunyai seorang adik perempuan  yang juga dilahirkan secara ceaser kerana komplikasi yang lain pula!




No comments:

Post a Comment