Sunday, May 13, 2012

Rumah batu atas bukit



(Minneta Lane - Tommy Page)


Lagu ini mengingatkan saya kepada sebuah rumah batu atas bukit. Tinggal di rumah itu ialah sahabat baik saya, Ina yang dikenali sejak dari darjah satu lagi. Masih saya ingat rumah itu dikelilingi oleh banyak pokok-pokok yang rendang dan jalan masuknya tidak berturap serta masih bertanah merah ketika itu. Dibelakang rumah pula terdapat sebuah kolam kecil dimana sesekali kami turun untuk melihat ikan-ikan di dalamnya dan itik-itik nila yang garang dipinggir kolam itu. Alangkah gembiranya setiap kali bertemu. Bersama-sama ketawa tanpa mengetahui bahawa suatu harinya dalam penghidupan ini kami akan berpisah dan mempunyai jalan hidup masing-masing.

Masih saya terkenang, ketika malam gelap penuh bintang bersinar-sinar dilangit, kami duduk bersembang di atas pangkin di  hadapan laman rumah itu, sambil mendengar lagu-lagu di radio (termasuk lagu ini) dan sambil berkongsi cerita tentang segala macamnya kehidupan zaman remaja kami serta pengharapan masa depan. Masa terasa berlalu dengan begitu pantas sekali, kini kami bukan lagi kanak-kanak atau remaja yang tidak punyai tanggungjawab untuk digalas. Zaman itu telah lama berlalu dan kami sudah ada jalan kehidupan tersendiri. Cuma hubungan persahabatan ini masih erat terjalin walaupun terpisah jauh.

Kini  rumah batu atas bukit itu bukan lagi menjadi milik sahabat saya, namun ia tetap menjadi tanda kenangan yang indah untuk kami bahawa kami pernah sama-sama berkongsi cerita zaman remaja pada suatu masa dulu. Hidup kini juga masih indah untuk diteruskan!


No comments:

Post a Comment