Thursday, June 28, 2012

Meteor Garden dan Boys Over Flower

p/s : Saya bukan peminat tegar K-Pop (Korea) atau T-Pop (Taiwan) atau J-pop (Jepun). Tetapi suatu masa dulu saya pernah melalui apa yang dilalui oleh remaja-remaja masa kini. Namun zaman itu minat kami tidaklah seghairah peminat zaman sekarang. Tidaklah sampai hendak ditampal satu bilik dengan gambar bintang K-pop atau sampai mengumpul duit untuk ke korea bertemu dengan artis idola. Tapi bagus juga, sekurang-kurangnya hidup ada wawasan walaupun kata ustaz-ustaz dari kumpul duit hendak ke Korea lebih baik kumpul duit untuk mengerjakan haji atau umrah. Itu terpulanglah kepada masing-masing, dari buat benda mengarut yang lain seperti menghisap dadah atau berjoli di kelab malam lebih baik mereka bekerja kumpul duit, yang penting jaga diri baik-baik jangan terjerumus kepada perkara yang tidak sihat. Tapi saya harus mengaku juga, saya pernah tampal gambar Jerry Yen pada salah satu fail yang memuatkan nota-nota kuliah saya. Walaupun fail itu sudah berusia 10 tahun, ia masih ada dalam simpanan, sampai anak saya bertanya, ini gambar siapa? Ha ha ha. Eh, panjang pulak intronya...

Kedua-dua Drama ini telah memberikan impak yang cukup hebat didalam dunia hiburan versi timur.

Semasa masih menuntut, cerita Meteor Garden (Taiwan) ini begitu hangat dan sensasi di pasaran, terutama dikalangan anak-anak gadis remaja. Walau bagaimanapun, masa mula-mula ditayangkan di T.V saya tak kisah pun, saya sibuk menonton satu lagi cerita cina Hong Kong berkenaan ladang teh. Entah macamana kemudian seorang rakan serumah yang memang 'kaki' drama bersiri dari timur ini telah menghasut segala isi rumah untuk menonton drama itu. Maka bermulalah episod kegilaan kami pula. Habis semua komputer yang ada dalam rumah sewa dipasang dengan cerita Meteor garden. Bukan setakat tu sahaja, kami turut menempah CDnya dari kawan serumah itu. Pada hari jadi tahun itu, saya juga telah dihadiahkan dengan kaset soundtrack drama ini oleh orang yang teristimewa iaitu suami saya sekarang, manakala Email yang masih saya gunakan sampai hari ini, meterburning@yahoo pula adalah bersempena dengan cerita Meteor Garden itu. Gila kan?


BOF vs MG
Walaupun cerita ini dibuat semula oleh orang Korea (Boys Over Flower) dan telah dibuat sebelumnya oleh orang Jepun (Hana Dori), secara peribadi saya berpendapat, versi Taiwan tetap yang terbaik (saya telah menonton ketiga-tiga versi). Lakonan mantap dan skrip yang berkesan menjadikan cerita itu lebih hidup dalam versi Taiwan. Saya minta maaf kepada peminat BOF kerana walaupun ramai penonton menganggap versi Korea terbaik, tetapi saya tidak dapat sependapat dengan mereka, kerana bagi saya hubungan antara ahli F4 dalam BOF tidak menyerlah, tidak seperti keakraban F4 dalam MG.

Selain itu perasaan kasih sayang dizahirkan dengan sempurna dan bersungguh-sungguh oleh Dao Ming Zhi dan San Chai. Dengan hanya melihat mata Dao Ming Shi dan san Chai pun sudah nampak aura cerita ini berbanding Gu Jun Pyo dan Geum Jan Dii. Saya masih ingat, ada satu part di mana San Chai di halau keluar dari rumah oleh Daoming Feng (emak Dao Ming Zhi) dan Dao Ming Zhi mencarinya dengan sepenuh hati seolah-olah seperti seorang yang telah benar-benar kehilangan sehingga kami-kami yang masih muda remaja ini (ketika itu) turut lemah lutut melihat kesungguhan Dao Ming Zhi dan berangan-angan kalau-kalau ada putera raja hensem turut sama melayan kami seperti itu, hampeh betul angan-angannya, tak berpijak dibumi yang nyata sungguh. Banyak lagi adegan romantik menarik yang cukup menambat hati remaja-remaja masa itu, salah adegan lain ialah dimana Dao Ming Zhi mengejar San Chai di dalam bas selepas meluahkan perasaan dan San Chai turun semula dari bas berlari untuk mendapatkan Dao Ming Zhi. Sungguh Hindustan drama ini, tapi layan jugakk...



Manakala karakter Hua Zei Lei juga di bawa dengan sangat baik oleh Victor Zhou berbanding karakter Yoon Ji Hoo oleh Kim Yoon Jong. Saya fikir, pemilihan Vic Zhou untuk membawa watak ini sangat berjaya oleh pengarahnya. Walaupun karakter Ji hoon berkarisma, segak dan menarik, tetapi Vic Zhou tidak kurang hebatnya dan San Chai pula nampak matang berbanding Jan Dii, sesuai dengan wataknya sebagai pelajar kolej.

Bagi saya, BOF lebih sesuai untuk remaja yang berumur dibawah 18 tahun.
Hero kedua

Watak hero kedua (Ji Hoon dalam BOF dan Hua Zei Lei dalam Meteor Garden) sebenarnya adalah untuk memperkukuhkan lagi plot cerita dan menambah kekuatan kedua-dua watak utama cerita ini. Walau bagaimanapun, berbanding Jii hoon, sisi kelam dan misteri watak Hua Zei Lei sebenarnya nampak lebih berkesan. Vic Zhou menghayati bersungguh-sungguh wataknya dan mengekspresikan dengan begitu baik sekali. Ia terserlah melalui cara percakapan, cara berpakaian, cara tersenyum dan caranya berjalan. Ada bahagian pula, perbuatan Hua Zei Lei turut menyentuh hati penonton. Bukanlah Kim Hyun Joong tidak pandai berlakon, tetapi eksperesi kelam dan misteri itu tidak terserlah dengan begitu baik. Dalam BOF, watak Ji Hoon nampak lebih berwarna-warni dan terang. Ji Hoon juga tidak menyembunyikan misteri perasaannya, dia nampak lebih bersemangat dengan hidupnya berbanding Hua Zei lei.

Gadget dan kekayaan

Yang ini tidak saya nafikan, memang gadget dan kekayaan Jun Pyo nampak lebih advance berbanding Dao Ming Zhi. Nampaknya pengarah BOF mengambil iktibar dari drama Meteor Garden yang mana kekayaannya tidak ditunjukkan dengan baik. Gadget pula memanglah BOF lebih advance, kerana Meteor Garden dihasilkan lebih sepuluh tahun yang lalu berbanding BOF, sudah tentulah gadget-gadgetnya bertambah moden seiring dengan peredaran zaman.

Lagu tema

Saya dan rakan serumah pernah menghafal lagu tema Meteor Garden! Dua lagu terkenal dari drama ini dinyanyikan oleh Harlem Yu dan Penny Tai yang berasal dari Malaysia. Kami juga selalu dengar lagu ini di radio. Juruhebah ketika itu mungkin turut tertarik dengan cerita ini agaknya. Skor muziknya memang menarik dan berkesan, tak kira untuk adegan sedih, romantik, kelakar dan sebagainya. Tapi saya jarang dengar lagu BOF di radio, penyanyinya pun saya tak kenal.

Kenangan manis

Sebenarnya drama Meteor Garden ini telah banyak memberi kenangan manis kepada saya dan rakan-rakan sewaktu zaman di Universiti dulu. Tidak banyak drama yang saya benar-benar bersungguh-sungguh menontonnya dan masih saya ingati sampai ke hari ini tak kiralah drama dari negara manapun (kecuali drama With Love dari Jepun dan My Girl dari Korea). Drama BOF pula saya tonton tanpa mempunyai apa-apa feel kerana  ia tidak lagi sesuai untuk jiwa dan umur saya, tetapi kerana minat dengan drama Meteor Garden, saya menonton juga BOF ( hanya untuk membuat perbandingan) dan mungkin saya bersikap sedikit bias terhadap drama BOF semasa membuat entry ini.