Friday, June 1, 2012

Percutian di kota Bharu - Part 1

Memang sudah agak lama saya tidak ke Kota Bharu. Mungkin sudah lebih 5 tahun. Kedatangan kami kali ini bukanlah untuk menghadiri urusan tertentu, tetapi ia lebih kepada membawa anak-anak berjalan sahaja. Entah kenapa saya merasa agak selesa untuk berjalan-jalan makan angin di sini. Mungkin disebabkan sudah pernah datang ke sini beberapa kali. Dan kami masih memilih hotel yang sama pada kali terakhir kami datang ke sini. Walaupun bukan hotel bertaraf 5 bintang, tetapi pekerja-pekerjanya sangat peramah, itu yang membuatkan kami selesa. Selain dari itu, hotel ini ini juga berada di tempat yang sangat strategik di dalam kota bharu. Harga berpatutan, bilik yang selesa, pekerja yang baik dan akses yang mudah, sesuailah untuk kami yang membawa anak-anak kecil ini. Kami juga mendapat diskaun kerana pernah menginap dahulu. Saya tidak menolak kemungkinan, jka ke KB lagi, hotel ini masih menjadi pilihan.

Percutian ini telah dirancang sejak berbulan-bulan yang lalu. Tujuannya memang betul-betul untuk makan angin dan bukan membeli-belah. Kami datang kesini cuma untuk berehat, makan, tidur dan sedikit berjalan-jalan. Namun perancangan manusia  tidak selalunya tepat, pesawat kami itu telah tertangguh selama sejam dari jadual asalnya, saya dimaklumkan melalui emel beberapa minggu sebelum itu. Oleh kerana masa tiba agak lewat, kami menggunakan pengangkutan hotel sahaja dari airport dengan di cas RM 30. Bila sampai di hotel pada pukul 10 malam itu, semua kedai makan berhampiran hotelpun sudah ditutup, anak-anak pula mengadu kelaparan. Tetapi saya agak terkejut kerana KFC masih dibuka dan KFC di sini tutup pada pukul 3 pagi rupanya. Lokasinya pula, hanya beberapa ratus meter dari hotel itu.

Pagi esoknya, kami bersarapan di hotel sahaja. Memang kami tidak keluar pada hari itu dari pagi sampai ke petang. Makananpun hanya dibeli di dalam hotel. Room service untuk makanan sangat murah di sini, kualitinya boleh tahan juga. Sepinggan bihun hanya berharga RM 7, manakala chicken chop pula kira-kira rm10. Berbanding dengan beberapa hotel yang saya menginap sebelum ini, untuk sepinggan bihun goreng yang bodoh-bodoh pun boleh di cas sehingga rm 35! Memang saya sanggup naik bas ke tengah bandar kalau macam itu mahalnya.

 Pada petangnya barulah kami keluar berjalan-jalan di sekitar bandar Kota Bharu itu, di Pasar Siti Khadijah yang terkenal dan Wakaf Che Yeh. Namun hanya setakat bersiar-siar kerana kami bukan hendak membeli barang. Malamnya makan di pasar malam yang tidak kurang terkenalnya di sini. Disitu segala macam makanan Kelantan dan Siam ada dijual seperti jala mas, tahi itik, sotong sumbat pulut, som tam dan macam-macam lagi. Walaupun bukan peminat makanan manis, saya cuba juga seketul dua kuih muih itu. Pasar malam ini bukan setakat dihadiri oleh orang tempatan, malahan pelancong asing. Walaupun nampak teragak-agak, mereka memberanikan diri juga membeli makanan-makanan itu. Kalau saya jadi pelancong pun saya akan mencuba makanan tempatan tempat yang saya lawati itu selagi halal. Apa salahnya mencuba, kalau tak boleh makan banyak, makanlah sikit sahaja. Anak-anak saya, kerana sudah letih berjalan, ada yang sampai tertidur di meja makan. Jenuh jugak nak mendukung sampai ke hotel.

cerita ini bersambung lagi disini 
gambar pula di sini

No comments:

Post a Comment