Friday, June 1, 2012

percutian di Kota Bharu - Part 2 (kenduri dan pasar pasir puteh)

Sambungan dari sini

Malam kedua di Kota Bharu, suami memaklumkan yang adiknya ada di Kelantan. Adik ipar saya berkahwin dengan orang Kelantan, jadi sempena cuti sekolah ini mereka pulang membawa anak-anak ke kampung selain menghadiri majlis kenduri kahwin seorang saudara. Langsunglah kami dipelawa untuk menghadiri kenduri itu di Pasir Puteh. Esoknya dia datang menjemput kami di hotel. Jalan penuh sesak kerana cuti sekolah dan hari bekerja, kesian saya kerana dia terpaksa menjemput kami anak beranak, walaupun pada asalnya kami merancang untuk menaiki bas sahaja.

Walau bagaimanapun saya tidak dapat menghayati kenduri itu dengan sepenuhnya, tetapi bukanlah kerana orang Kelantan tidak peramah atau budaya yang berbeza dan makanan yang tidak sedap, ini kerana waktu kami sampai itu, majlis masih belum sampai kemuncaknya, pengantinpun belum balik dari majlis akad nikah di masjid, cuaca pula sangat panas dan anak adik ipar saya demam. Jadi sebaik sahaja suami saya selesai makan, kamipun bergegas balik ke rumah mertua adik ipar saya. Saya agak terkilan juga kerana tidak sempat beramah mesra dengan tuan rumah, saya malu sebenarnya, tapi saya pasti, pengantinnya sudah tentu cantik, kerana ramai orang-orang kelantan memang cantik seperti isteri adik ipar saya itu.

Secara asasnya tidak ada apa perbezaan ketara pun antara kenduri orang di pantai barat dan di pantai timur, yang penting tetap akad nikah. Cuma mungkin sedikit lain ialah, mereka tidak kisah mengadakan kenduri pada hari berkerja, tidak seperti di sebelah pantai barat, amnya kenduri diadakan pada hujung minggu untuk memudahkan saudara-mara yang bekerja balik meraikan bersama-sama. Satu yang menarik hati saya ialah, masyarakat disini masih mengamalkan budaya menghulurkan barang keperluan asas seperti gula dan beras sebagai buah tangan untuk tuan rumah. Dulu-dulu orang kampung saya juga begitu, tapi kini ia semakin terhakis, mereka lebih selesa memberi dalam bentuk duit kerana beranggapan lebih mudah untuk tuan rumah merancang perbelanjaan dengan pemberian duit.

Balik itu, walaupun saya dan suami beria-ia meminta dihantarkan ke Pekan Pasir puteh sahaja (kami berniat untuk menaiki bas), tetapi adik ipar saya lebih beria-ia untuk menghantar terus ke bandar KB. Dia dan isteri kemudian membawa kami ke pekan pasir puteh tempat membeli belah terkenal di sini. Sangat hebat pasar ini, padanlah orang ramai rajin ke Kelantan untuk membeli barang-barang seperti periuk, toto, pinggan mangkuk dan sebagainya kerana harga yang sangat berpatutan. Maka, hancurlah janji saya untuk tidak membeli-belah selepas membeli dua buah toto dengan sokongan suami. Lagi sekali saya terhutang budi kepada adik ipar kerana sudi membawa toto itu balik ke Penang sebelum di hantar ke Perak rumah mak mertua. Ini kerana, kami datang menaiki kapal terbang jadi agak sukar untuk membawa barang-barang itu balik.

Di pasar itu juga ada dijual makanan-makanan yang terkenal di Kelantan seperti keropok dan asam-asaman, tetapi yang lebih menarik bagi saya ialah apam balik yang istimewa, dalamnya ada kismis, pisang dan sebagainya, terasa lebih enak dan kena dengan citarasa saya, walaupun ia agak manis. Ada juga tapai ubi yang digoreng sesuai untuk minum petang selain dari remis yang sudah siap di masak.

Dalam perjalanan balik itu sempatlah suami dan adik ipar mengimbas kenangan lalu mereka, iaitu ketika berjalan kaki sejauh lebih 5 kilometer bersama-sama emak mertua di hari pendaftaran adik ipar ke sebuah politeknik berhampiran. Adik ipar saya meluahkan kekesalannya kerana tidak mengambil teksi sahaja pada masa itu untuk ibu yang sudah tua. Tetapi saya fikir, memang kebanyakkan orang tidak banyak duit pada zaman itu, jadi mereka sangat sayang untuk berbelanja walaupun terpaksa berkorban tenaga yang banyak. Keluarga saya juga selalu begitu, dan saya amat memahaminya.

gambar di sini


No comments:

Post a Comment