Wednesday, June 27, 2012

Seorang bapa dan kerja

Ya. Saya telah bekerja bertahun-tahun lamanya sebaik sahaja saya menamatkan alam persekolahan. Semasa di Universiti juga saya telah bekerja separuh masa untuk menampung perbelanjaan. Pelbagai ragam manusia dan cabaran telah saya tempuhi sepanjang bekerja itu sampailah kini. Banyak pengalaman pekerjaan telah saya lalui. Pernah menjadi orang bawahan dan juga pernah menjadi seorang ketua. Ada yang pahit, ada yang manis, ada yang masih saya gunakan ilmunya sehingga kini samada di rumah atau ditempat kerja.

Tetapi sekarang, walaupun gaji tidak sebesar mana, saya sangat gembira dengan kerjaya saya. Cuma saya harus merajinkan diri sedikit sahaja lagi jika mahu menjadi seorang yang lebih versatile kerana banyak peluang yang baik-baik ada di sini dan belum tentu semua orang mampu memiliki peluang seperti ini. Alangkah bertuahnya saya.

Sebenarnya saya bukan hendak bercerita tentang kerjaya saya dalam entry ini. pagi tadi saya mendengar Sinar FM tentang keluh kesah masyarakat berkenaan tempat kerja mereka, ada yang gembira, ada yang tidak gembira, ada bos baik, ada bos cenggeng, ada yang dapat pekerja rajin, ada pula dapat pegawai bawahan yang bermasalah dan ada yang sampai terpaksa di rujuk ke pakar psikiatrik akibat stress dengan tempat kerja. Macam-macam ragam. Semua itu pernah saya lalui, kecuali kena rujuk ke pakar psikiatrik, tidaklah sampai ke situ.

Entry ini sebenarnya adalah berkenaan dengan ketua saya. Ya, sepanjang 33 tahun umur saya, inilah kali pertama saya mempunyai seorang ketua yang sangat baik sekali. Yang saya anggap seperti bapa saya sendiri. Yang tidak pernah marah ketika saya melakukan kesilapan, sebaliknya menegur dengan begitu berhemah sehingga tidak rasa direndahkan dan dimalukan langsung. Yang begitu prihatin dengan masalah-masalah pekerjanya (tak kira lelaki atau perempuan). Seorang ketua yang sangat senang untuk diajak berbincang dalam masa yang sama mempunyai batas-batas tersendiri tanpa perlu beliau mengingatkanya kepada saya bahawa beliau adalah seorang ketua dan saya hanya pegawai bawahan. Sampai pernah satu ketika dalam mesyuarat secara tak sengaja saya telah berkata, kalau ketua saya dipindahkan, sayapun nak ikut jugak! Lantas sayapun kena marah dengan pengarah saya. Padan muka saya kerana cabul sangat. Nasib baik ketua saya tidak pindah. Kalau ketua saya pindah, habislah saya. Seriau satu opis.

Bukan mudah untuk menjadi seorang ketua yang baik dan sangat di sayangi oleh anak-anak buah dalam masa yang sama ada batas pergaulan sebagai ketua dan pegawai bawahan. Berat beban yang dipikul itu dan saya memahaminya. Justeru saya amat menghargai ketua saya, kerana dalam banyak-banyak kaunseling pekerjaan, ketua saya adalah contoh ketua yang mengamalkan ciri-ciri teladan yang baik kepada pekerjanya tidak kira dari segi keagamaan, keperibadian dan sebagainya. Semoga saya berjaya menjadi pekerja yang terbaik selepas ini. Amin