Sunday, July 22, 2012

Baru mendapat hidayah, Abby Abadi

Sangat sensitif sebenarnya entry saya pada kali ini.

Saya baru membaca teguran Abby terhadap perempuan-perempuan yang tidak bertudung. Ada yang memberikan komen yang negatif, tak kurang juga yang memberi komen positif. Terpulang masing-masing.

Saya bukan pakar hal-hal Agama dan saya bukan hendak menegur sesiapa. Saya hanya ingin berkongsi pengalaman melalui pemerhatian saya.

Cabaran menjadi lebih besar sebenarnya bagi orang yang baru sahaja mendapat hidayah. Ada beberapa peringkat bagi manusia biasa. Peringkat pertama mendapat hidayah, peringkat kedua melaksanakannya, peringkat ketiga meneruskan melaksanakannya. Peringkat pertama syaitan akan takut. Peringkat kedua, syaitan akan mencucuk dengan cara memuji-muji diri kita. Peringkat ketiga syaitan akan berusaha memasukkan jarum riak.

Kalau syaitan berjaya dalam peringkat kedua, tidak mustahil dia akan berjaya dalam peringkat yang ketiga. Dan kalau sudah berjaya pada peringkat yang ketiga, kita sudah dikira gagal sebenarnya, walaupun memakai hijab dengan menutup segala tubuh sekalipun. Itulah cabarannya bagi orang yang baru mendapat hidayah.

Seringkali pada peringkat kedua, manusia akan lalai dan merasa bangga. Pada peringkat ini juga manusia akan merasa takjub dengan dirinya dan dengan jelas dapat melihat kekurangan orang lain sebagai satu kesalahan yang besar. Pada peringkat yang terakhir (mungkin akan mengambil masa yang lama) manusia sudah mulai rasa riak dengan amalan-amalannya. Pada peringkat ini juga, jika nafsu riak sudah menguasai diri, maka manusia akan menjadi lebih ego dan sukar untuk diperbetulkan.

Ya, memang sukar untuk menghalang hasutan-hasutan syaitan pada peringkat kedua dan ketiga itu sebenarnya, kerana kita tidak menyedarinya. Maka haruslah selalu kita merendah diri dan sentiasa beringat. Hidup ini penuh dengan dugaan.

Sekian, itu sahaja.