Monday, July 16, 2012

Bermain rumput dan tanah bagi anak-anak kecil.

Ilmu pedologi menyifatkan tanah sebagai suatu badan semulajadi yang terbentuk oleh tindakan atmosfera ke atas bahan induk. Bagi ahli pedologi, tanah adalah berbeza daripada segala bahan tinggalan yang terluluhawa yang terdapat dipermukaan bumi. Petani-petani biasanya mengganggap tanah sebagai medium untuk tumbuhan

(Sumber : Sains Tanah, Dr Othman Yaacob dan Prof Dr Shamsudin Yaacob, UPM)

Tapi bagi kebanyakan ibubapa di Malaysia, tanah adalah satu sumber yang kotor dan perlu dijauhi oleh anak-anak. Saya tidak salahkan mereka kerana taburan hujan dinegara kita memang agak tinggi dan taburan hujan ini pula mempengaruhi tekstur tanah dan bahan-bahan lain dalam tanah itu. Ia mungkin bercampur-baur dengan bahan asing yang kotor termasuk kuman bakteria dan sebagainya. Tetapi untuk menyalahkan hujan juga tidak patut, kerana ia adalah sumber air yang akan menyuburkan lagi tanah itu supaya sesuai dijadikan kawasan untuk penanaman.

Namun begitu persepsi saya dengan kebanyakan ibubapa tidaklah begitu sama dan mungkin juga pada segelintir kecil ibubapa lain. Dalam keadaan tertentu saya tidak kisah anak-anak saya bermain tanah dan rumput. Ia adalah sebagai sebahagian dari pembelajaran alam.

Sewaktu pertama kali membawa bayi saya memijak rumput suami agak bising. Kemudian saya menyertai anak lelaki bermain tanah, pun dia tidak setuju, lalu saya katakan padanya, dahulu kami sangat miskin, saya tidak mempunyai kertas dan pensil sebagai medium untuk menulis, maka saya menjadikan tanah di halaman rumah sebagai kertas dan ranting-ranting kayu sebagai pensilnya. Jadi tanah dan ranting kayu itu telah lama menjadi alat-alatan tulis membantu saya mengenali abjad-abjad dan perihal alam. Oleh itu diapun tidak kisah lagi.

Tetapi tidaklah setiap masa saya membenarkan anak-anak saya bermain tanah dan rumput, hanya pada waktu-waktu yang saya rasakan sesuai sahaja dan mereka harus dibersihkan sebaiknya setelah selesai bermain.