Wednesday, July 11, 2012

Legasi Azah Aziz dan Prof Diraja Ungku Aziz

Berita semalam melaporkan kematian Azah Aziz, iaitu isteri kepada Prof Diraja Ungku Aziz. Beliau adalah emak kepada wanita yang sangat berpengaruh dan terkenal di dalam negara mahupun diluar negara, iaitu Zeti Akhtar Aziz.


Sungguhpun saya tidak mendalami sejarah kisah hidupnya, tetapi saya tahu beliau adalah seorang wanita berjiwa besar dan bersemangat patriotik yang tinggi. Takdir telah menemukan jodohnya dengan seorang lelaki yang juga berjiwa besar dan besemangat patriotik. Prof Diraja Ungku Aziz suatu masa dahulu aktif menjadi penaung kepada  program penterjemahan buku-buku rujukan sains dalam Bahasa Inggeris ke Bahasa Melayu. Salah satu buku rujukan yang telah diterjemah melalui projek itu bertajuk Biologi Satu Pendekatan Dari Fungsi yang di karang oleh MBV Roberts. Buku itu saya baca ketika masih bersekolah rendah selain di gunakan sebagai rujukan sewaktu SPM, Diploma dan Ijazah. Ia juga menjadi bahan rujukan untuk membuat tesis di tahun akhir pengajian saya. Dan saya masih simpan buku itu sehingga ke hari ini sebagai harta yang tidak ternilai.

Zeti Akhtar Aziz pula sebagai anak beliau adalah seorang yang begitu hebat bagi saya. Dalam tahun 1998, sewaktu krisis ekonomi melanda negara dan dunia beliau adalah salah seorang dari team yang bekerjasama dengan Tun Mahathir dan Tan Sri Nor Mohamed Yakcop untuk menyelesaikan masalah tersebut. Saya fikir beliau mampu melakukannya kerana sifat-sifat tegas dan terbuka yang telah didik oleh ibunya. Zeti juga adalah Gabenor Bank Negara Wanita yang pertama Malaysia dan gabenor bank pusat wanita pertama di Asia, bukan calang-calang orang boleh menjadi sedemikian.

Allahyarhamah Puan Azah Aziz sendiri adalah seorang wanita cekal yang banyak berjuang untuk kaum wanita di negara ini. Beliau menaik martabat kesenian dan kebudayaan orang melayu termasuk pakaian tradisi baju kurung, puisi-puisi serta pantun, selain membela kebajikan kaum wanita dan kanak-kanak terbiar. Walaupun tidak pernah berjumpa dan mengenalinya tapi saya dapat simpulkan dari temuramah-temuramah yang dibuat oleh wartawan, beliau adalah seorang yang lemah lembut dan disenangi ramai.

Demikianlah legasi keluarga ini. Harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama dan jasa.