Saturday, July 21, 2012

Loghat Negeri Sembilan.

Memang saya anak jati Negeri Sembilan yang lahir dan di besarkan sepenuhnya di Negeri Sembilan. Kedua-dua orang tua saya juga adalah orang Negeri Sembilan yang lahir di sini, bukan di Indonesia. Begitu juga dengan nenek dan datuk saya yang merupakan orang jati negeri sembilan.

Sedikit sebanyak lagu lirik lagu negaraku iaitu "Negaraku, tanah tumpahnya darahku" itu memang begitu berkaitan denagn saya dari segi rohani atau jasmaninya. Ini kerana, telah beberapa kali saya mengalami kemalangan yang menyebabkan darah saya tumpah di tanah Negeri Sembilan ini. Dua kemalangan teruk telah berlaku kepada saya sewaktu masih kecil, satu darinya ketika sedang bermain sembilu buluh dirumah kawan, sembilu buluh itu telah menghiris jari saya sehingga hampir putus. Mujur dengan tindakan pantas arwah  ayah dan jiran, jari itu dapat dijahit semula, tetapi kesannya masih ada sampai ke hari ini. Saya berumur 6 tahun sewaktu kejadian ini.  Kali kedua pula berlaku semasa saya berumur 11 tahun. Kali ini saya jatuh basikal ketika pulang dari sekolah. Basikal itu telah terlanggar tebing jalan dan saya hilang kawalan lalu tercampak ke tengah jalan, hasilnya saya mendapat kesan parut yang juga masih tidak hilang sehingga ke hari ini di bahagian dahi. Doktor membuat sebanyak lima jahitan kalau saya tidak silap ketika itu. Kedua-dua insiden ini telah menyebabkan darah saya tumpah ke tanah Negeri Sembilan berdaulat ini.

Ok, sebenarnya saya bukan hendak bercerita tentang diri saya. Saya ingin bercerita tentang loghat  Negeri Sembilan. Satu loghat unik yang menjadi trademark walaupun tidak digunapakai oleh keseluruhan daerah dan mukim Negeri Sembilan. Ada beberapa daerah atau mukim di Negeri Sembilan tidak menggunakan loghat Negeri Sembilan dalam pertuturan sehari-harian mereka, antaranya ialah kawasan Linggi dan Seremban. Tetapi selalunya mereka faham akan loghat ini walaupun tidak mengamalkannya.

Suatu masa dulu saya pernah ditegur oleh kartunis Ujang yang tinggi semangat kenegeriannya. Puncanya saya cuba bercakap pekan dengannya ketika meminta autograf di satu majlis di UPM. Saya tak tahu nak kategorikan apa perasaan saya ketika itu, tidaklah sampai malu, tetapi saya agak ralat juga bila memikirkannya semula. Kalau orang Kelantan, Kedah dan Terengganu tidak malu menuturkan loghat mereka, mengapa pula saya harus malu kan? Saya berbangga dengan loghat ini sebenarnya.

Ada satu lagi trademark loghat atau dialek bagi Negeri Sembilan, iaitu Minangkabau. Namun dialek Minangkabau dan loghat Negeri Sembilan berbeza sebenarnya. Saya sendiri tidak boleh bertutur dalam dialek Minang walaupun ayah saya berketurunan Minang. Kelaurga saya hanya bertutur dalam loghat Negeri Sembilan. Kalau orang cuba bertutur dalam dialek Minang dengan sayapun mungkin saya tidak akan faham.

Loghat Negeri Sembilan banyak menggunakan O pada penghujung ayatnya, contoh seperti siapa, jadi siapo, dimana jadi di mano, dan sebagainya. Semasa menyelusuri alam maya ini, saya telah berjumpa dengan satu blog yang menerangkan bagaimana penggunaan loghat Negeri Sembilan itu dengan baik sekali, iaitu disini.

Selain itu terdapat juga beberapa perkataan yang mungkin berbeza dengan negeri lain, contohnya seperti dibawah :

keropai - beg
ontok-ontok - diam
ceneke - main tipu/pengelat

 dan banyak lagi anda boleh dapati di sini

Apapun, saya bangga menjadi anak Negeri Sembilan. Berkongsi pengalaman, hari pertama selepas bergelar suami isteri, suami saya langsung tidak memahami apa yang dituturkan oleh keluarga saya, agak kelakar juga, bila dia terpaksa berdiam diri dan saya jadi penterjemahnya. Kadang-kadang bila membawa emak saya ke klinik, doktor pula tidak faham apa yang dituturkannya kerana loghat Negeri Sembilan yang pekat itu, maka lagi sekalilah saya menjadi penterjemah