Tuesday, August 28, 2012

Al-Arqam

Tujuan saya menulis entry ini adalah bukan kerana saya pengikut Al-Arqam atau ingin mempertahankan perjuangan mereka. Saya tidak pernah bergaul secara langsung atau terbabit dengan aktiviti-aktiviti mereka. Saya cuma ingin menceritakan beberapa pengalaman melalui kertas yang pernah dilihat mengenai Al-Arqam ini, terutamanya dari sudut positif. Tetapi untuk menggalakkan penubuhan semula Al-Arqam ini, tentulah tidak sama sekali kerana sudah nyata ia sebuah pertubuhan yang haram. Isunya juga amat-amat sensitif kerana dalam mana-mana ajaran sesatpun, sudah pasti ia melibatkan pemesongan aqidah.

Namun realitinya, Al-Arqam adalah antara pertubuhan sesat yang paling berjaya didalam negara kita. Walaupun ajaran Ayah Pin begitu panas dikatakan, tetapi impaknya tidak sehebat yang pernah dilakukan oleh Al-Arqam. Justeru, saya tidak dapat menolak, bahawa suatu masa dulu saya pernah merasa kagum dengan kejayaan kumpulan sesat ini.

Sebagai sedikit informasi, pertubuhan ini tidak pernah menggunakan kekerasan dalam ajaran mereka. Tidak ada pistol dan senjata-senjata. Juga bagi level yang rendah, tidak ada zikir keras yang pelik-pelik (untuk level yang lebih tinggi saya tidak tahulah). Mereka lebih menekankan aspek diplomasi dan dakwah yang berterusan. Aktiviti banyak difokus di kampung-kampung pedalaman dan dikawasan-kawasan orang miskin. Saya juga mendapati, mereka bukan berdakwah dengan cara memujuk atau menyeru seperti yang dilakukan oleh kumpulan-kumpulan tabligh biasa. Cara yang dilakukan oleh dua kumpulan ini adalah berbeza. Modus Operandi Al-Arqam lebih kepada mendekati, membantu secara berterusan, berkomunikasi dengan kaedah yang betul dan menunjukkan cara-cara hidup muslimin/muslimat yang baik tanpa menyeru sesiapa untuk menyertai mereka. Manakala, kumpulan tabligh pula datang terus kepada orang ramai sambil menyeru untuk masuk Islam dan sebagainya. Kebanyakan orang yang terlibat dengan Al-Arqam bukanlah kerana mereka diseru atau diajak, tetapi mereka menyertai dengan sukarela.

Kumpulan ini tidak mengharapkan belas ihsan dan bantuan kewangan dari derma atau kutipan pengikut, tetapi mereka mewujudkan empayar ekonomi tersendiri yang diasaskan oleh hampir kesemua jenis golongan, seperti Doktor, Jurutera, Peguam, Artis, Peniaga dan sebagainya. Diperkampungan di Sungai Penchala itu, mereka mewujudkan banyak jenis perniagaan yang ada di kalangan masyarakat seperti kedai runcit, kilang kecil, klinik dan dunia penerbitan majalah/bacaan untuk membiayai aktiviti dan menjana ekonomi seharian.. Walaupun nampak seperti kuno dan terkurung, tetapi sebenarnya mereka adalah jenis golongan yang berfikiran luas. Malah pengalaman mereka juga mungkin lebih luas berbanding dengan ustaz-ustaz yang di lantik oleh kerajaan-kerajaan pada masa ketika itu. Kumpulan ini juga banyak merendah diri dan mendekatkan diri kepada banyak golongan marhaen tanpa ragu-ragu.

Beberapa buku yang dihasilkan oleh Ashaari seperti 'Mengenal Diri Melalui Rasa Hati' dan 'Kenapa Salahkan Musuh' dari segi motivasinya adalah relevan untuk di baca. Walaupun buku itu saya baca sewaktu zaman kanak-kanak dulu, iaitu sekitar umur sepuluh tahun, tetapi saya positif yang ia tidak mempunyai sebarang unsur penyelewengan akidah. Buku itu juga pernah terjual sehingga lebih 1/2 juta unit. Suatu angka yang amat besar.

Benar, saya tidak pernah masuk ke dalam rumah Al-Arqam, walau sekalipun. Saya hanya melihat mereka dari luar sahaja. Tapi dari luarpun saya dapat merasakan, banyak kaedah yang digunakan oleh Al-Arqam ini boleh dicontohi oleh pendakwah-pendakwah dan alim-ulama kita. Buangkan sahaja kepercayaan yang memesongkan akidah mereka itu, tetapi ambillah apa yang baik yang pernah mereka lakukan. Tidak ada apa salah dan ruginya. Mereka berdakwah dengan cara mendekati dan menyertai. Mereka pergi dan hampir kepada golongan yang memerlukan. Mereka mengajar dan berlemah lembut. Mereka memerhati dan memberi perhatian. Mereka mewujudkan satu dunia ekonomi mereka sendiri yang berasaskan ciri-ciri keislaman. Itulah sesuatu yang masih gagal dilaksanakan oleh banyak golongan ilmu agama dan mana-mana pemerintahpun pada hari ini.

Namun dari beberapa pembacaan saya terutamanya dari buku bertajuk tersungkur di kaki syurga karya Zabidi Mohamed saya dapat menyimpulkan bahawa, manusia ini apabila terlalu taksub, syaitan dengan sedaya upayanya akan menghasut agar kita menjai riak dan ujub. Begitulah akhirnya syaitan memusnahkan sebuah institusi yang mungkin landasannya benar pada awalnya, diyakini, digerakkan dengan baik dan betul, tapi kemudiannya terpesong secara halus dan tanpa di sedari.

Saudara Zulkifli Nordin dalam satu entrynya pernah menyifatkan Ashaari adalah seorang lelaki yang amat sederhana seperti di sini.

Saya tidak pernah menyalahkan TDM atas keputusannya mengharamkan Institusi ini suatu ketika dahulu. Ia bukanlah kerana saya begitu taksub dengan orang tua itu. Beliau mempunyai alasannya tersendiri sebagai seorang ketua negara pada ketika itu. Tetapi bagi saya, sedikit kesilapan sahaja dari segi kepercayaan akidah boleh menghancurkan keseluruhan hidup umat muslimin ini. Begitulah yang terjadi kepada Al-Arqam.

imej kredit dari ms.wikipedia.org



No comments:

Post a Comment