Friday, September 14, 2012

Cikgu tadika lelaki

Memang jarang kita dengar orang lelaki menjadi cikgu tadika. Justeru bila kali pertama saya melihat seorang lelaki muda yang tampan menjadi cikgu tadika di sekolah anak saya, saya menjadi tipikal pula. Saya bertanya kepada ketua gurunya, 

"Eh, boleh ke cikgu lelaki jadi tadika?', 

Lalu ketua guru itu tersenyum menjawab kepada saya, 

"Kenapa tak boleh pula puan? Cikgu tadikapun cikgu juga, cikgu pra sekolah kan ada lelaki, pra sekolah dan tadika tu kan sama?" 

Iya tak iya, betul juga. Kenapa pula perlu berfikiran negatif bila orang lelaki menjadi cikgu tadika. Sebenarnya bagus bila ada seorang lelaki menjadi cikgu tadika, jadi murid-murid lelaki boleh diuruskan oleh cikgu tersebut dan murid-murid perempuan boleh diuruskan oleh cikgu perempuan. Orang lelaki juga ada yang dikurniakan kesabaran yang baik, lebih prihatin dan fokus. Saya mengambil contoh suami saya (bukan memuji), saya lebih percaya suami yang menjaga anak-anak (berbanding dihantar ke pengasuh, bila saya ada urusan luar) kerana beliau seorang yang penyabar dan fokus terhadap kanak-kanak.

Berbalik kepada cikgu anak saya ini, mula-mula dulu saya ingat dia terpaksa menjadi cikgu tadika kerana tiada pilihan lain. Saya menjangka, selepas beberapa minggu dia akan berhenti kerja kerana tidak sanggup berhadapan dengan karenah kanak-kanak kecil. Tetapi tekaan saya tersilap pula, kerana sehingga kini dia masih lagi mengajar dan saya dapati kanak-kanak di sekolah itu juga suka dengannya, termasuklah anak saya. 

Pada majlis hari raya baru-baru ini, saya perhatikan ketika cikgu itu sedang makan, anak-anak murid datang berkerumun dengannya sampai tak menang tangan nak melayan. Sambil makan terpaksa pula mendengar dan melayan kaletah anak-anak murid yang comel itu. Sayang sekali saya tidak sempat mengambil gambar mereka.

Hari sukan




Cikgu Nazri sedang melayan anak-anak muridnya

memberi arahan sebelum acara

Hero saya

Rombongan sekolah (cikgu sedang menyusun murid )

didalam bas sebelum bertolak

majlis jamuan hari raya sekolah

Menurut ketua guru, cikgu nazri yang melatih anak-anak ini untuk aktiviti tersebut
Walaupun pekerjaan cikgu tadika di negara ini banyak dimonopoli oleh orang perempuan kerana sifat lemah lembut mereka (mungkin juga ada cikgu tadika lelaki diluar sana yang saya tidak tahu), tetapi kehadiran cikgu ini, cikgu Nazri namanya, amatlah dihargai. Bukan semua lelaki mampu terjun kedalam bidang yang dimonopoli kaum wanita selain bidang solekan, masakan dan jahitan. Kalau adapun, banyak dari mereka yang bersifat sangat lembut. Cikgu Nazri membuktikan, menjadi seorang cikgu tadika tidak perlu menjadi seorang sangat lembut kerana kalau sangat lembutpun, pastilah ibubapa tidak percaya dan takut hendak menghantar anak mereka ke tadika itu.

Oleh itu, tahniah di ucapkan kepada Cikgu Nazri kerana berjaya membina kepercayaan ibubapa kepada keupayaan kaum lelaki (jangan dimusnahkan kepercayaan itu), Ketua Guru dan juga MAIWP yang telah memberi kepercayaan sama rata kepada kaum lelaki. Kalau di luar negara memang ada cikgu lelaki yang menjadi cikgu tadika, tetapi di dalam negara kita ini amat berkurangan sekali akibat pemikiran dangkal sesetengah pihak. Bukan semua lelaki tidak boleh dipercayai, oleh itu keberanian MAIWP untuk melantik seorang guru lelaki adalah amat dikagumi, kerana kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya.

No comments:

Post a Comment