Friday, September 7, 2012

Rumah kampung dan suasana hari raya

Memang sambutan hari raya kami pada tahun ini agak meriah. Bukanlah kerana kami berlebih-lebihan. Semuanya sama sahaja seperti tahun yang lepas. Rumah emak sayapun masih juga seperti dulu. Tidak ada apa-apa tambahan. Cuma mungkin saudara-mara yang agak berada sedikit tidak berminat untuk datang beraya dirumah kami yang sangat sederhana itu kerana tidak selesa. Saya akui, rumah emak saya tidak mewah. Sebuah rumah papan yang agak besar, tetapi compang-camping. Banyak papan-papan yang telah di makan anai-anai. Tingkap-tingkapnya juga sudah banyak yang pecah. Rumah emak mertua saya di Sabak Bernam dan di Teluk Intan pun jauh lebih baik dari rumah emak saya itu. Begitu juga dengan rumah maklong saya yang sudah meninggal setahun yang lalu, kelihatan lebih terbela.

Dulu saya memang merancang untuk memperbaiki beberapa bahagian di rumah pusaka ini, tetapi saya dapati emak saya sudah semakin uzur dan selalu tidak berada di rumah itu lagi. Kakak-kakak saya juga sudah memiliki rumah mereka sendiri dan tidak berminat untuk tinggal menetap di Kampung ini lagi. Kami hanya balik sekali-sekala sahaja berkumpul beramai-ramai. Lalu saya batalkan hasrat saya, walaupun tiada siapa yang menghalangnya. Beberapa kejadian juga membuatkan saya kurang berminat untuk memperbaiki rumah ini. Biarlah apa yang ada sahaja. Emak boleh menetap dengan kami sampai bila-bilapun.

Mungkin lain orang, lain pula pendapatnya, tetapi rumah bukanlah menjadi pokok utama kami dalam merayakan Aidilfitri di kampung ini. Asalkan terlindung dari panas cahaya matahari dan hujan, ada kemudahan-kemudahan asas, ada tempat untuk tidur dan bersih, sudah cukuplah. Yang paling penting sekali kami semua merasa sangat gembira.

Gembira. Ya, itulah matlamat kita sebenarnya selain dari mencari keredaan Illahi. Apalah gunanya rumah yang besar cantik tetapi hati kita sentiasa dangkal dan tidak bahagia. Tidaklah maksud saya itu salah mempunyai rumah yang besar dan cantik, yang salah ialah, bila hati tidak mahu mencari kebahagiaan, asyik bermusuh-musuhan, penuh dengan syak wasangka dan dendam.














Hari raya kali ini, kesemua adik-beradik saya balik berkumpul. Anak-anak buah saya yang berjumlah 17 belas orang juga ada bersama-sama, kecuali anak kakak saya yang sudah meninggal dan kakak saya yang tinggal di Kajang, beliau hanya balik pada petang hari raya pertama. Kalaulah mereka ada sekali, suasana akan pasti menjadi lebih meriah.

Mungkin tidak setiap tahun kami dapat berkumpul beramai-ramai seperti ini, berbual santak ke pagi, berkongsi cerita (terutama pakar cerita hantu, abang ipar keempat saya), makan bersama-sama dan berebutkan bilik air. Tetapi saya akan selalu merindui momen itu.

No comments:

Post a Comment