Wednesday, September 26, 2012

Space Dementia Review

Saya bukanlah begitu pandai membuat penilaian tentang sesebuah lagu. Dalam entry Muse, Radiohead dan Coldplay saya ada menyatakan tentang minat dan kekaguman saya kepada kumpulan Muse yang identiti lagu-lagu mereka adalah misteri dan gelap. Walaupun sebenarnya mereka adalah pemuzik yang mudah didekati dan dunia mereka bersama peminat tidaklah terlalu gelap seperti kumpulan-kumpulan hardcore lain. (Maksudnya, mereka bukanlah pemuzik underground yang selalu menyumpah seranah dan bercerita tentang seks).

Ada banyak lagu-lagu dari kumpulan ini yang menjadi pilihan saya, antaranya ialah lagu ini, iaitu Space Dementia. Namun, bukanlah semua orang akan memahami minat kita dan bukan semua orang juga akan berminat dengan apa yang kita minati. Kawan satu ofis dengan saya walaupun seorang pemain gitar untuk sebuah band tetapi tidak juga berminat dengan kumpulan ini. Sayapun tidak kisah tentang hal itu kerana itu adalah adat dunia. Jadi review lagu ini adalah dari kacamata saya sendiri (walaupun saya sebenarnya tidak memakai kacamata).

Mungkin ia bukan sebuah lagu yang benar-benar sempurna. Sempurna itu begitu subjektif. Tetapi saya meletakkan sepenuh-penuh bintang yang saya ada kepada lagu ini kerana ia adalah melambangkan ketinggian IQ seorang anak muda. Dari piano, hinggalah ke gitar dan drumnya, di adun dengan begitu baik sekali. Dan apabila meneliti liriknya pula, tanpa ragu-ragu lagi saya berkata, lagu ini memang duduk didalam kelasnya tersendiri yang mana tidak semua lagu yang dicipta dimukabumi ini mempunyai kelas, identiti dan kualiti yang baik.

Lagu ini dimulakan dengan petikan piano yang menggambarkan sebuah kesedihan. Seterusnya Matthew Bellamy berjaya mengubah dimensi lagu kepada satu perasaan misteri yang sangat gelap. Ia adalah seperti kebangkitan dari sebuah kesedihan kepada satu keberanian. Dalam beberapa bahagian ia mengenang kembali semua kesedihan dan perasaan bercampur baur yang telah berlaku dan bangkit untuk berjaya atas satu sebab yang misteri. Lagu ini mempunyai beberapa kali korus dan diakhiri dengan begitu baik melalui piano dan gitar juga. Ia dirakam dengan penuh teliti walaupun terdapat sedikit kecacatan pada beberapa bahagian.

Matt mentafsirkan lagu ini seperti berikut :

"Space Dementia is the term NASA Used for what happens if you're left out in space for a long time, because if you truly conceptualise the situation of being there and looking back at Earth, it can drive you mad, The song's about a person who's quite important in my life and who gives me space dementia when I look at them. It's about being intensely engrossed so that you become obsessive and almost nasty"

Tetapi bagi saya lagu ini boleh ditafsirkan dengan pelbagai perkara mengikut pemikiran individu itu sendiri.
Saya bukanlah seorang pemuzik, jadi saya tidak pandai untuk menerangkan selok-belok muzik yang telah diciptakan oleh Matthew Bellamy ini. Tetapi saya adalah seorang pendengar yang sukakan satu ketelitian dan keunggulan. Tidak semua pemuzik mampu mencipta muzik yang beridentiti. Walaupun ada beberapa bahagian dari lagu ini boleh diperbaiki, tetapi saya tetap menganggap lagu ini antara yang terbaik dari Muse.

Mungkin lagu ini telah memberikan makna yang begitu besar yang membuatkan saya begitu menghargainya. Saya pernah mengimpikan untuk melakukan sesuatu didalam hidup, namun tidak semua impian itu dapat dipenuhi dengan mudah. Lalu saya berpijak dibumi yang nyata, namun lagu ini telah membangkitkan kembali semangat untuk memenuhi impian saya sebagai seorang budak kampung yang biasa-biasa sahaja.

Sungguhpun begitu, sedikit nasihat, walau bagaimanapun anda meminati sesebuah lagu, artis atau genre, saya ulangi sekali lagi perkataan ini, berpijaklah di bumi yang nyata. Janganlah menjadi begitu taksub sehingga menafikan perkara-perkara yang hakiki. Hidup ini memang begitu indah jika pandai menghargai dan menterjemahkannya. Namun kadang-kala, jalan yang indah boleh juga menyesatkan jika tidak diamati dengan betul-betul.

 Manusia tetap manusia yang marhaen. Kurt Cobain, Matthew Bellamy, Thom Yorke dan Chris Martin bukanlah pengukur asas kepada kejayaan dan kesempurnaan manusia. Mereka tetap makhluk biasa yang diciptakan oleh Tuhan dengan mungkin sedikit keistimewaan. Jadi tak usah terlalu taksub. Kita masih perlu bersederhana dalam apa-apa perkarapun dan tahu batas-batasnya

Tentang impian saya pula, ya, bukan semua impian mudah untuk dipenuhi. Walaupun saya sudah hampir kepada impian itu namun masih ada banyak lagi halangan-halangan yang lain. Dalam hidup ini apa yang paling penting adalah kebahagiaan. Kebahagiaan. Jadi, janganlah mudah berputus asa dan janganlah mudah merasa terjatuh kerana perkara-perkara yang remeh. Ada banyak perkara yang boleh kita lakukan dengan begitu gembira walaupun mungkin tidak semua impian dapat dipenuhi.









No comments:

Post a Comment