Friday, October 19, 2012

Pengurusan Emosi


Saya adalah salah satu contoh manusia yang kurang cemerlang dalam mengurus riak muka atau EI (emotional Intelligence) sewaktu berhadapan emosi-emosi tertentu. Saya tidak pandai bermuka-muka untuk menyembunyikan emosi ketika marah, gembira, teruja, letih dan sebagainya. Itu adalah kelemahan yang agak ketara dan walaupun malu, saya tetap terpaksa menerima hakikat ini. Cuma mungkin nasib saya agak baik kerana mempunyai seorang suami yang begitu memahami, adik-beradik yang baik, ketua yang begitu bijak dan kawan yang setia sejak dari darjah satu.

Saya akui, kegagalan dalam menyembunyikan riak muka boleh mengundang masalah walaupun tidak pernah berniat jahat. Dalam dua kejadian yang berlaku baru-baru ini telah menyedarkan saya bahawa sebenarnya tahap EI saya adalah tahap biasa-biasa sahaja. Ia amat memalukan sebenarnya bagi orang yang telah dewasa seperti saya. Lalu saya teringat pada kata-kata ini, “Marah umumnya menunjukkan sifat seorang yang lemah kerana gagal mengawal emosinya sendiri. Ia merupakan tabiat yang sukar dihapuskan”. Memang tidak mudah mengawal api kemarahan, tambahan pula bila kita dihasut-hasut oleh syaitan (kesalahan bukan kepada syaitan sahaja, kerana sudah menjadi tugasnya untuk menghasut manusia, jadi kita harus memainkan peranan kita pula sebagai seorang manusia). Mungkin saya harus belajar lebih banyak untuk mengurus emosi agar tidak mudah terganggu dengan sedikit ujian dari Tuhan. 

EI sama juga seperti IQ, mempunyai tahap pengukurannya sendiri. Oleh kerana setiap manusia yang lahir dimuka bumi mempunyai sifat dan kelakuan yang berbeza-beza, maka itu pengurusannya juga berbeza bagi setiap individu.

Sepanjang perjalanan ini saya dapat melihat beberapa orang yang benar-benar berjaya dalam menguruskan emosi mereka dengan baik. Antaranya ialah Dr Mahathir Mohammad, Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat, Ketua Seksyen saya dan suami saya sendiri. Mereka bukan sahaja bijak menguruskan emosi, tetapi juga bijak dalam banyak hal. Cuma suami saya agak gagal dalam menguruskan emosi ketika memandu kenderaan 
(rasanya kegagalan bagi semua pemandu di Malaysia).

Ahli-ahli politik sepatutnya mampu menguruskan emosi mereka dengan baik ketika berhadapan dengan rakyat. Kegagalan mereka dalam mengawal emosi akan memberikan impak yang besar dan hanya akan menunjukkan kejahilan mereka. Mereka juga tidak akan mampu mengurus tadbir negara dengan baik. Dalam satu wawancara TDM di luar negara dengan satu stesen televisyen terkenal di dunia, beliau telah diajukan dengan soalan-soalan yang begitu pedas dan menyedihkan sekali sebagai seorang individu bermaruah, tetapi TDM dengan tenang tidak melenting atau berubah wajah sebaliknya menjawab soalan itu dengan begitu baik, malahan menempelak pula pengacaranya sehingga dia termalu sendiri. Saya kira soalan-soalan pedas itu diajukan adalah untuk merendahkan martabat TDM dan jika beliau melenting, kredibilitinya akan turut tercalar. Mujurlah beliau cepat sedar dengan taktik itu dan berjaya mengawal emosinya dengan baik.Wawancara inilah sebenarnya yang telah mengangkat nama TDM di kalangan orang barat. Dalam parti pembangkang pula, Nik Aziz juga kerap menjawab soalan yang diajukan dengan tenang dan baik, walaupun banyak dari jawapan yang diberikannya itu sering diputarbelit media tempatan. Beliau jarang sekali kelihatan marah, menengking atau menjawab dengan kasar walaupun soalan yang dikemukakan itu kadang-kadang tidak masuk akal.

Tetapi lain pula yang terjadi kepada beberapa orang ahli politik dari pihak pembangkang ataupun kerajaan sendiri. Shahrizat, ketika suaminya dituduh menyalahgunakan duit NFC telah melenting dengan begitu garang sekali sehingga ia menjadi bahan ketawa pula dikalangan rakyat. Sekiranya beliau bertenang ketika itu, sudah pasti kes ini tidak akan menjadi sebegitu rumit pada pandangan mata rakyat. Manakala Anwar Ibrahim pula ketika ditanya oleh seorang wartawan tentang skandal seksnya, dengan begitu cepat melenting dan segera ia membangkitkan kisah Najib-Altantuya untuk mengaburi skandalnya itu. Malahan dalam sidang akhbar itu turut menunjukkan Anwar sedang cuba menakut-nakutkan wartawan yang menyoal apabila bertanyakan dengan garang dia dari media yang mana. 

Semua itu menunjukkan tidak semua pemimpin berjaya mengurus dengan baik emosi mereka. Untuk menjadi pemimpin yang mempunyai kredibiliti, memiliki aura positif dan cemerlang haruslah pandai menguruskan emosi. Setahu saya doktor-doktor perubatan memang dilatih untuk bertenang dan mengawal emosi mereka, oleh itu tidak hairan mengapa TDM selalu dapat mengawal emosinya pada saat-saat genting.

Sebenarnya, rata-rata rakyat malaysia tidak kira apa peringkat umur, pangkat dan taraf pendidikan pun adalah kurang berjaya dalam pengurusan emosi. Kita di Malaysia ini hanya mementingkan kualiti IQ, tetapi memandang rendah ataupun tidak tahu kepada keperluan kualiti EI. Oleh itu tidak hairanlah mengapa negara kita menduduki tempat yang kedua tercorot dalam satu kajian yang dibuat oleh Readers Digest terhadap 36 buah negara (seperti di sini) dan  pemandu teksi Malaysia pula diiktiraf sebagai antara pemandu teksi paling teruk di dunia oleh Londoncabs, manakala kedai-kedai milik orang melayu pula, seperti yang telah saya tulis di sini selalu juga menunjukkan kegagalan pengurusan emosi mereka. Kalaupun kajian-kajian yang dibuat oleh pihak barat itu tidak betul dan bertujuan untuk menjatuhkan nama baik negara, tetapi banyak perkara yang disebutkan itu benar-benar berlaku dalam kehidupan seharian kita. Kadang-kadang dalam hal-hal yang kecil sahaja, peniaga dan pembeli atau pemandu-pemandu kenderaan begitu cepat sekali melenting dan cenderung untuk bergaduh, walaupun masalah itu dengan mudah dapat diselesaikan dengan tolak ansur.

Saya tidak percaya bahawa semua orang yang mempunyai pendidikan yang tinggi atau ilmu agama yang tinggi mampu menguruskan emosi mereka dengan baik. Telah banyak bukti yang menunjukkan ada golongan profesional dan ahli-ahli agama ini yang tersasar dalam hidup mereka akibat pengurusan emosi yang tidak betul. Inilah yang membezakan antara IQ dan EI. Ada orang yang mempunyai tahap IQ yang tinggi, tetapi tidak semestinya tahap EInya tinggi juga. Kalau tidak masakan terjadi kes-kes rasuah, salah guna kuasa dan sebagainya oleh golongan profesional, manakala kes-kes liwat dan rogol turut terjadi dikalangan ilmuwan agama, walaupun mereka arif benar tentang ilmu dosa pahala dan syurga neraka.

Bersambung ke sini

No comments:

Post a Comment