Friday, November 2, 2012

Review album 2-nd Law MUSE

 To the other Muse fan (from the other country) who wants to know the translation of the article ( or to share an opinion), please email me at the meteorburning@yahoo.com

Bagi yang benar-benar mengenali pasti sudah maklum bahawa saya adalah peminat kumpulan Muse sejak 10 tahun yang lepas. Saya juga adalah peminat Coldplay dengan usia yang sama dengan kumpulan Muse itu serta kumpulan Nirvana, Radiohead dan Greenday sejak hampir 20 tahun yang lalu.

Tetapi hari ini saya ingin bercerita tentang album baru kumpulan Muse yang bertajuk 2-nd law. Namun sewaktu menulis entry ini saya sedang mendengar lagu Space Dementia dari album Origin of the Symmetry dan Exogenesis Symphony (Full) dari album the Resistance.

Dalam kebanyakan album sebelum ini saya tidak pernah merasa kecewa kerana mereka sentiasa menghasilkan album yang berkualiti dan mempunyai identiti. Walaupun Muse kerap dituduh meniru Radiohead tetapi bagi saya, peniruan terhadap konsep lagu tidak akan mendatangkan kudis dan malapetaka kepada pemilik asal selagi masing-masing boleh bersaing dengan cara yang sihat dan dapat menghasilkan lagu yang terbaik.

Walau bagaimanapun kali ini saya terpaksa berterus terang di samping menerima hakikat bahawa kebanyakan lagu dari album 2-nd Law Muse tidak sama lagi genrenya dengan album-album lama mereka. Pendek kata, konsep mereka telah hampir bertukar sepenuhnya. Tidak ada lagi konsep gelap dan misteri dan saya juga masih belum berjumpa dengan 'kelas' yang dimiliki oleh kumpulan ini di dalam album itu. Versatile mereka seolah-olah sudah hampir terhapus.

credit : en.wikipedia.org

Album ini tidaklah teruk sangat, cuma ia seperti sudah menghilangkan identiti kepada kumpulan Muse itu. Ada banyak kumpulan yang telah menghasilkan lagu-lagu sebegitu sebelum ini dan bunyi mereka seakan-akan sama sahaja antara satu sama lain. Ia mungkin telah berjaya menarik peminat-peminat dari genre berlainan tetapi dalam masa yang sama turut mengurangkan sokongan dari peminat asalnya sendiri.

Sebenarnya saya tidak kisah jika Matthew Bellamy ingin mengubah konsep asal album mereka, tetapi perubahan yang dilakukan itu nampaknya tidak begitu sesuai. Oleh itu saya terpaksa menyifatkan mereka sebagai gagal, walaupun Album ini berjaya di pasaran.

Saya percaya ramai peminat setia muzik Muse  tidak begitu gembira dengan lagu-lagu dari album terbaru ini. Kebanyakkan rentak yang didengari adalah rentak yang sangat biasa di pasaran. Ada diantara lagu-lagu yang dirakamkan lebih berentak seperti Pop (Madness) atau rock biasa (Supremacy), malah ada juga yang berentak seperti breakdance (Panic station). Lagu Explorers berentak seperti balada manakala lagu-lagu lain juga lebih menjurus kepada rentak rock biasa atau pop. Tidak banyak pengunaan instrumen klasik seperti piano yang selalu menjadi identiti Muse. Cuma bagi lagu survival, ia adalah sebuah lagu yang diciptakan khas untuk sukan Olimpik 2012, jadi saya tidak begitu kisah tentang rentaknya kerana ia mempunyai spesifikasinya tersendiri

Kebanyakan album Muse sebelum ini mempunyai tema yang mendalam dan dipersembahkan dengan cara yang sangat unik (hanya orang yang memahami sahaja mengenali keunikan itu). Walaupun album baru ini mempunyai tema seperti album-album yang lain tetapi ia tidak dipersembahkan dengan kemas dan unik.

Sehingga ke hari ini saya masih lagi merasakan album terbaru Muse itu tidak dapat menandingi  album-album lamanya. Saya juga tetap merasakan album Absolution adalah album terhebat diantara album-album terhebat mereka setakat ini. Harap-harapnya  Muse akan menyedari kesilapan mereka dan memperbaiki semula konsep muzik mereka pada masa akan datang. Bagi saya konsep asal muzik mereka adalah sesuatu yang luar biasa dan kedengaran lebih jujur dan sangat misteri.

credit  : prog-sphere.com






No comments:

Post a Comment