Tuesday, November 27, 2012

Cabaran ibu bekerja 2 (Tips ibu bekerja di luar)

Bukan sedikit bilangan ibu yang bekerja di dalam negara ini. Ia merupakan sesuatu perkara yang baik untuk kemajuan negara. Kalau di tempat kerja saya, bekerja diluar pejabat (out station) memanglah perkara yang amat biasa. Ada pegawai yang baru sahaja balik dari lapanganpun kadang-kadang terpaksa keluar lagi untuk bertugas. Ada yang bertugas  dikawasan projek, ada yang menghadiri seminar atau konvensyen, ada yang terpaksa memantau projek pelanggan majikan dan sebagainya. Kalau untuk rekod, saya bukanlah orangnya yang terlalu kerap keluar bertugas di luar kawasan, tetapi ia masih di kira banyak berbanding dengan sesetengah tempat kerja lain. Ada kawan yang ditemui di satu kursus memberitahu saya, majikannya tidak membenarkan mereka untuk keluar berkursus atau bertugas di luar kawasan langsung selain dari kursus wajib itu. Tetapi iyalah, ia bergantung kepada jenis pekerjaan juga, jika pekerjaan yang dilakukan itu tidak menuntut kerja luar, mengapa harus susah-susah, patuhi sahaja arahan majikan.

Saya tidak mempunyai orang gaji, semua kerja harus dilakukan sendiri, sama sahaja tugasan hakiki saya seperti surirumah sepenuh masa. Tidak ada bezanya, kadangkala membersihkan halaman rumah juga terpaksa dilakukan di malam hari. Jiran-jiranpun tidak kisah kerana hampir kesemua jiran wanita di sekeliling rumah saya bekerja. Memang agak janggal jika terjumpa ibu yang tidak bekerja di kejiranan saya. Ya, mungkin ada seorang dua. Tetapi pekerjaan surirumahpun bukanlah satu pekerjaan yang boleh dikecil-kecilkan, merekapun bekerja juga.

Berikut adalah tips yang selalu saya gunakan ketika bertugas diluar pejabat:

  • Basuh kesemua baju kotor sebelum keluar bertugas
  • Susun jumlah pakaian dan barang keperluan yang akan diguna oleh anak-anak setiap hari mengikut umur anak. Dulu saya akan masukkan ke dalam plastik bersih untuk setiap anak dan membuat tanda mengikut hari. Contohnya, hari Isnin : 2 pasang baju, tuala, botol susu dan sebagainya. Jadi suami saya tidak akan kelam kabut pada waktu pagi atau malam dalam menyediakan barangan anaknya.
  • Gosok baju sekolah anak-anak siap untuk seminggu, termasuk baju sendiri yang akan dipakai untuk bertugas semula balik dari outstation nanti.
  • Minta tolong rakan yang anak sama sekolah dengan anak dan boleh dipercayai untuk mengambil anak sewaktu balik sekolah. Berikan terus wang belanja kepada mereka untuk anak makan tengahari. Jika anak turut bersekolah di sebelah petang, cari juga kawan yang boleh membantu untuk membawa anak balik. Penting untuk berbaik-baik dengan masyarakat dan jiran!
  • Catatkan nombor-nombor telefon guru kelas dan sekolah, kalau terlewat mengambil, selalunya saya akan telefon guru kelas terus.
  • Makanan adalah perkara yang selalu menjadi isu utama ketika bekerja luar kawasan. Kalau berkemampuan, boleh guna khidmat syarikat mangkuk tingkat (www.mangkuktingkat.com), tetapi ia agak mahal sedikit. Dulu saya siap masak dan sejuk beku makanan dalam freezer, tetapi sekarang suami saya siap-siap beli sebelum balik dari pejabatnya.
  • Stock-up barang-barang makanan alternatif seperti biskut, roti dan sebagainya secukupnya sebelum kerja luar.
  • Saya juga menyediakan pingan mangkuk disposable sebagai alternatif dirumah, yang mana kalau suami saya tidak sempat membasuh pinggan, dia akan gunakan pinggan pinggan disposable itu, tetapi tidaklah begitu kerap dia menggunakannya. 
Begitulah yang biasa saya lakukan apabila ada kerja luar. Mungkin dengan tips yang tidak seberapa ini boleh membantu menambah idea kepada ibu-ibu yang bakal bekerja luar daerah.

Sekian







1 comment:

  1. salam kak..camna lak kalau ada 2 anak yg kecik,dan sy bekerja?sy dgn suami PJJ.ada yg cdgkn sy ambil tukang gaji sbb katanya kos hntq ke pengasuh dgn gaji tukang gaji sama ja.mslhnya sy takmo ada org luar msuk rumah sy.sy sgup hntq anak ke pengasuh.tp cuma rasa risau takut tak terurus rumah ka,diri ka,anak2 ka bila balik keja.kot2 la akak ada tips..sy bakal lahirkan anak kedua tak lama lg.cuti 3 bulan di kampung.mak mertua dh cdgkn tgalkan baby kat kampung n sy jaga yg sulung ja.tp sy tak sangup pisah ngn anak2..lgpon nak menyusu bdn sepenuhnya insyaAllah...

    ReplyDelete