Wednesday, November 14, 2012

Cabaran ibu bekerja

Teringin untuk menulis lagi. Tetapi banyak kerja yang harus saya siapkan. Menulispun kadang-kadang memerlukan penumpuan. Masalahnya idea datang banyak sewaktu hari bekerja. Sedangkan pada hari itu saya harus menumpukan perhatian terhadap kerja saya. Saya baru sahaja balik dari Sabah atas urusan kerja. Dan sepatutnya kena outstation lagi pada minggu selepas Deepavali dan awal minggu bulan Disember nanti. Kadang-kadang saya merasa kagum kepada ketua dan rakan-rakan sepejabat yang kerap outstation di luar tetapi seperti tidak ternampak rasa terganggu. Saya pula, setiap kali bekerja diluar harus merancang segala-galanya dengan baik, siapa yang akan mengambil anak-anak saya pulang sekolah, nak hantar ke sekolah agama dan sebagainya kerana suami saya bekerja di Kuala Lumpur, agak jauh juga dari Putrajaya.

Kadangkala masa cuti sekolah atau ada cuti peristiwa saya terpaksa mengusung anak ke pejabat sekali. Kalau ada mesyuarat dan sebagainya masa itu, maka anak saya terpaksalah menjaga dirinya sendiri dikawasan opis. Tetapi saya tidak begitu risau dengan anak sulung kerana dia pandai menjaga dirinya sendiri dan tidak menyusahkan rakan sepejabat yang lain. Pekerja lain juga ada yang terpaksa membawa anak ke pejabat kadang-kadang. Mungkin mereka juga seperti saya, tidak ada pilihan lain. Kalau di Putrajaya ini, meninggalkan anak-anak di mana-mana nurseri untuk satu hari harus membayar sekurang-kurangnya RM20-30. Mahal betul. Selagi anak-anak itu tidak mendatangkan masalah, maka pekerja yang tidak ada pilihan lain terpaksalah membawa anak-anak mereka ke pejabat apabila ada cuti tertentu dari pihak sekolah.

Tetapi saya redha dan gembira di sebalik itu. Sekurang-kurangnya saya masih mempunyai sebuah pekerjaan yang seronok untuk dilakukan. Berbagai pengalaman yang boleh dikutip. Dan sekurang-kurangnya saya tidaklah memikirkan perkara-perkara yang remeh temeh apabila bekerja. Sebenarnya dalam hidup ini, apa pekerjaanpun yang dilakukan, jika ia menyeronokkan, tidak mendatangkan kegusaran maka ia adalah sebuah pekerjaan yang berbaloi. Suami juga memahami apabila terpaksa bekerja luar.





















Sesungguhnya apapun cabaran, semuanya sama sahaja bagi ibu-ibu yang bekerja ini, yang membezakan adalah cabang kerja itu. Sesetengah pekerjaan tidak memerlukan ibu-ibu selalu bekerja diluar, jadi ia mungkin menjadi sedikit ringan. Cabaran menjadi lebih berat apabila tidak mendapat sokongan dari suami atau tinggal berasingan kerana faktor kerja. Suami sayapun pada mulanya agak keberatan untuk membenarkan bertugas jauh-jauh kerana faktor keselamatan dan sebagainya, tetapi akhirnya beliau memahami. Kalau di tempat kerja saya ini, boleh dikatakan kesemua pegawai teknikal tidak kira lelaki atau perempuan akan kerap bertugas di luar, jadi mengapa pula saya harus merungut-rungut. Susah juga kalau terlalu mengambil kira perkara-perkara yang negatif, jadi yang penting harus selalu bertawakkal kepada Allah.

No comments:

Post a Comment