Tuesday, December 11, 2012

Pesan orang-orang tua

Orang-orang tua selalu bercakap, satu jari menunding kepada orang lain, lagi empat jari akan menunding kepada diri sendiri. Maksudnya, berfikirlah dengan mendalam sebelum bercakap atau melakukan sesuatu kepada orang lain.

Suami saya juga selalu mengingatkan, walaupun kita berpengalaman dan pandai dalam sesuatu perkara janganlah mudah untuk berbangga-bangga diri,  kerana Tuhan yang akan menentukan segala perancangan yang telah dilakukan. Maksudnya, orang yang cerdik pandaipun boleh juga melakukan kesilapan yang tidak terjangka. Kadang-kadang kita merasakan diri kita sudah cukup sempurna dan semua orang menyukai serta menyayangi kita, tetapi kita tidak tahu hakikat yang sebenarnya dibelakang itu. Hidup hendaklah selalu berjaga-jaga, lantaran sudah disifatkan dunia berputar-putar, sekejap kita di atas dan sekejap kita dibawah.

Saya juga pernah melakukan kesilapan, tetapi dengan hati yang terbuka saya menerima kenyataan itu kerana merasakan hidup perlu ada rasa bahagia dan gembira, terutamanya bersama-sama ahli keluarga. Hati yang tenang dan bahagia berasal dari keluarga yang bahagia juga. Apalah sangat yang hendak dikejar dengan pujian dan sanjungan. Tidak guna merasa riak, ujub dan sombong, kelak akhirnya ia akan memakan diri. Amatlah menyedihkan jika tidak menyedari hakikat sebenar tentang diri sendiri dan orang disekeliling yang memandang-mandang.

Dalam beberapa minggu ini saya telah melalui banyak perkara, berjumpa ramai orang dan pergi ke beberapa tempat. Akhirnya saya memerlukan satu medium untuk berkongsi pendapat bersama-sama pembaca saya. Yang baik apa salahnya diikut, yang buruk, tinggalkan sahaja.





No comments:

Post a Comment