Wednesday, February 29, 2012

Kosmo! Online - Rencana Utama

Jawi bawa Kyoung Seok ke Malaysia dalami jawi





SEJAK bertugas sebagai pensyarah di Fakulti Bahasa dan Komunikasi, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) empat tahun lalu, Prof. Dr. Kang Kyoung Seok mengakui beliau begitu berminat untuk mempelajari tulisan jawi.
Menurut Kyoung Seok, 57, beliau banyak mendengar pelbagai cerita tentang keunikan tulisan jawi daripada salah salah seorang pensyarahnya di Universiti Hankook, Korea Selatan.
Pada masa itu, beliau mengikuti pengajian peringkat ijazah dalam bidang bahasa Melayu dan Indonesia di universiti berkenaan pada tahun 1974.
Namun, apa yang meruntun jiwanya apabila pensyarah terbabit tidak mengetahui mengenai tulisan jawi secara mendalam.
Malah pada masa itu, beliau juga tidak boleh mencari maklumat mengenai tulisan tersebut memandangkan di negaranya tiada bahan rujukan mengenai tulisan jawi.
Namun, rasa ingin tahu itu tidak terhenti di situ sahaja. Pada tahun 1982 beliau bertemu seorang pendakwah, Abdul Ghani dari Thailand di Pusan.
Anak jati Seoul, Korea ini mula mengenali huruf-huruf jawi dengan bantuan Abdul Ghani. Pada tahun 1984 beliau membuat keputusan berhijrah ke Malaysia untuk menyambung pengajian ke peringkat sarjana dalam bidang Pengajian Melayu di Universiti Malaya. Bahkan Kyoung Seok tahu, tulisan jawi merupakan seni penulisan yang berakar umbi di negara ini.
Surat tulisan jawi
"Bukan mudah untuk saya masuk ke sini (Malaysia) kerana saya telah memohon beberapa kali untuk melanjutkan pengajian sehinggalah suatu hari itu saya menggunakan tulisan jawi untuk membuat permohonan itu.
"Seingat saya, sebelum ini semua surat permohonan ditulis dalam bahasa Melayu dan Inggeris, tetapi saya kecewa kerana tidak menerima sebarang jawapan sehinggalah suatu hari itu terlintas di fikiran untuk menulisnya menggunakan tulisan jawi," katanya yang fasih berbahasa Melayu.


TULISAN jawi merupakan sebahagian daripada khazanah yang perlu dipelihara.



Tanpa diduga, dalam beberapa hari sahaja beliau menerima jawapan daripada kerajaan Malaysia. Bapa kepada dua anak ini memberitahu, beliau terkejut apabila membaca isi kandungan surat terbabit kerana kerajaan negara ini memberinya peluang untuk ke sini.
Sepanjang pertemuan dengan lelaki separuh abad yang beruban dan berkaca mata itu, semangatnya tentang tulisan jawi cukup membara. Buktinya, di atas meja beliau penuh dengan bahan-bahan kajian mengenai tulisan jawi. Penampilannya juga sedikit berbeza. Kemeja putih lengan panjang yang dipakainya dipadankan dengan skaf di leher seakan-akan tali leher.
Temu bual yang berlangsung selama hampir dua jam di UPSI itu, jelas mempamerkan keramahan dan kepakarannya dalam tulisan jawi.
Kyoung Seok menyambung pengajian ke peringkat sarjana dan memperoleh Ijazah Sarjana yang kedua dari Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya pada tahun 1987. Lima tahun kemudian, beliau memperoleh doktor falsafah dari universiti yang sama.
Terbitkan buku
Menyentuh mengenai kajiannya, Kyoung Seok memberitahu, beliau pernah menjalankan beberapa kajian mengenai sistem tulisan jawi, transliterasi manuskrip jawi, seni khat Jawi, pengajaran bahasa Korea dengan tulisan jawi, pola ayat bahasa Melayu-Indonesia, dan Batu Bersurat Terengganu.
Setakat ini, beliau juga telah menerbitkan beberapa buah buku yang bertajuk, Perkembangan Tulisan Jawi Dalam Masyarakat Melayu, Bahasa Melayu Dalam Empat Minggu, Malay Tulisan Jawi, Bahasa Indonesia-Malaysia patternzip, dan Gaya Bahasa Sejarah Melayu.
Ghairah berbicara mengenai kajian dan buku tulisan jawi, beliau mengakui tulisan tersebut mempunyai satu tarikan dan keunikan istimewa terutama dalam al-Quran.


MANUSKRIP kamus tulisan jawi yang kini dalam pembikinan Kyoung Seok.



"Saya acap kali tertanya-tanya bagaimana tulisan jawi dalam al-Quran boleh menghasilkan kaedah bacaan dalam pelbagai intonasi yang berbeza,"akuinya setiap kali mendengar bacaan al-Quran beliau berasa tenang.
Dalam keghairahan beliau menceritakan keunikan tulisan estetik itu, secara tiba-tiba nada percakapannya bertukar sayu ketika dilemparkan soalan nasib tulisan itu di negara ini.
Beliau menyuarakan kekesalan terhadap sikap golongan muda yang tidak endah dengan tulisan jawi.
Kyoung Seok berpendapat, jika keadaan itu berterusan, tulisan jawi bermungkinan terkubur suatu hari nanti. Lagipun, ramai pakar jawi yang dikenalinya telah bersara.
Justeru, beliau berharap pihak media, kerajaan termasuk Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM) dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) memainkan peranan penting dalam memastikan tulisan jawi terus terpelihara.
Menurut Kyoung Seok, sejak kebelakangan ini nilai tulisan jawi yang berteraskan al-Quran tidak dijulang dan usaha-usaha yang dilakukan dilihat kurang berjaya.
Memartabat khazanah
Menurutnya, di Korea, bahasa dan tulisan Korea adalah jati diri mereka. Beliau berharap rakyat di negara ini mempelajari tulisan jawi agar khazanah kebudayaan nasional itu tidak terus ditelan arus pemodenan.





"Khazanah ini perlu diangkat semula kerana ia sebahagian daripada warisan sejarah Melayu. Sudah tiba masanya, pelbagai langkah perlu diambil supaya generasi muda tidak melupakan asal usul yang membentuk jati diri orang Melayu,"ujarnya.
Sehubungan itu, Kyoung Seok mencadangkan supaya sistem ejaan jawi yang digunakan sekarang perlu diganti kepada sistem ejaan jawi Za'ba kerana ia ringkas dan mudah dipelajari.
Malah, jika rakyat Malaysia mempelajari ejaan jawi Za'ba, mereka lebih mudah memahami sistem ejaan jawi yang lebih kuno sekali gus boleh memahami manuskrip jawi berusia ratusan tahun memandangkan ejaan jawi Za'ba menggunakan asas yang sama dengan tulisan jawi kuno yang berasal daripada tulisan al-Quran," ujarnya yang kini sibuk menyiapkan sebuah kamus mengenai langkah perkembangan tulisan jawi. Kamus itu dijangka siap dalam tempoh lima tahun lagi.

Saturday, February 25, 2012

Orang Melayu tidak peduli?



Orang Melayu tidak peduli?

Saya ingin menarik perhatian ramai mengenai sikap orang Melayu sekarang yang sudah tidak peduli, tidak mahu ambil tahu, tidak kesah, tidak ambil 'pot' sehingga menyebabkan mereka ketinggalan dalam banyak hal.
Apa yang berlaku amat menyedihkan kerana ini akan membuat kita akan terus ketinggalan ke belakang. Banyak contoh depan mata dapat kita lihat, malah tabiat ini lebih terserlah diamalkan generasi muda kita:
* Sebagai warganegara mereka tidak peduli mendaftar untuk mengundi, tidak kesah dengan hala tuju negara.
* Tidak peduli dan ambil tahu apa yang berlaku, malah ramai tidak membaca untuk mengetahui apa berlaku di sekeliling, banyak masa dibuang di talian internet, malah mudah untuk mempercayai apa terdapat dalam pengisiannya, tidak kesah dan ramai percaya serta menerima isi kandungnya bulat-bulat.
* Tidak peka dengan persekitaran di mana mereka berada dengan membuang sampah merata-rata selepas ada sesuatu majlis, pesta dan ceramah.
* Tidak peduli dengan peraturan dan undang-undang ketika memandu, menunggang motosikal, contohnya apabila sampai persimpangan lampu isyarat, ramai melanggar lampu merah, malas hendak tunggu hingga hijau. Kejadian ini terjadi di merata-rata tempat di Malaysia.
* Tidak peduli anak-anak menunggang motosikal tanpa lesen di kampung dan ke sekolah, malah tidak peduli memakai topi keledar untuk menjaga keselamatan diri.
* Ramai yang tidak peduli dengan penjualan tanah milik orang Melayu di kampung dan juga di pekan kecil kepada bukan bumiputera. Orang Melayu di pejabat tanah tidak peduli tanah tergadai. Ini berlaku di seluruh Malaysia.
* Tidak peduli membiarkan anak-anak yang sepatutnya bersekolah mengutip derma atas nama masjid, madrasah dan sekolah tahfiz. Mereka sekarang ini terdapat di R & R, stesen minyak, depan bank, pintu pasar raya, malah sekarang ini disediakan resit. Mereka ini mengutip derma hingga tengah malam.
* Tidak peduli dengan iklan haram jual ubat kuat, pinjaman wang ah long dan iklan jual rumah oleh ejen haram, iklan urut juga sekarang ini terdapat merata-rata, tidak ada tindakan, siapa kesah?
* Tidak peduli dengan kedatangan ramai warga Afrika atas alasan belajar dan melancong, siapa peduli mereka sudah mula berniaga di jalanan dan malah membuka salon rambut dan barangan keperluan mereka di pasar raya.
* Tidak peduli berpolitik sehingga sanggup mengadai agama Islam yang suci demi untuk berkuasa di dunia ini.
* Tidak peduli, sanggup memberi sokongan kepada Israel kerana untuk kuasa.
* Bangsaku tidak peduli hingga sanggup menjual Islam dan maruah untuk kuasa dan wang. Bangsaku tidak kesah apa yang dia kata dulu hingga mengkafirkan orang.
* Tidak peduli dulu Negara Islam sekarang Negara Kebajikan, apa kesah kalau boleh ke Putrajaya bersama-sama pihak terang-terang anti Islam.
* Tidak peduli dangan fitnah, caci mencaci bangsa sendiri di hadapan bukan Islam asalkan dapat sokongan mereka untuk menang.
* Ada mahasiswa universiti yang tidak bersyukur dengan sumbangan yang diberikan untuk menimba ilmu, malah ada yang tidak peduli sanggup baring di atas jalan dan berdemonstrasi.
* Tidak peduli tanah di bandar dan pinggiran pekan dijual dan tidak kesah bangsaku terus hilang dan tinggal jauh dihujung kampung.
Ramai bangsaku yang masih tidak peduli, mereka terlupa apa yang terjadi hari ini akan dihadapi oleh anak cucu kita nanti. Pandanglah jauh ke depan demi agama, bangsa dan negara.


Ingin saya mengulas sedikit tentang pendapat penulis ini (sumber dipetik dari Utusan). Perkara ini memang terjadi dihadapan mata saya sendiri. Walaupun Utusan bukan penyampai berita 5 bintang bagi saya, tetapi sesetengah isu ia masih relevan untuk dibaca. Saya tidak gemar dengan sikap kebanyakan melayu seperti yang disebutkan oleh penulis ini, tetapi apakan daya, melayu tetap melayu. Penyakit orang melayu ialah penyakit saka dan keturunan (hasad dengki dan ego melampa)u yang memang sangat sukar untuk diubati.

Thursday, February 16, 2012

MUZIK DAN LAGU

Saya masih bercakap tentang muzik dan lagu. Muzik dan lagu memang boleh melalaikan. Malahan boleh membawa kepada kerosakan moral jika keterlaluan. Tetapi jalan yang dipilih adalah dari hati dan akal kita sendiri. Walaupun saya peminat muzik 'hardcore'(semasa zaman remaja sampai sekarang), tapi saya masih mengawal diri saya. Saya tidak masuk ke 'alam' mereka. Ada kekangan di situ. Muzik apapun, pengawalannya adalah dari diri kita sendiri. Saya memilih-milih dalam mendengar muzik. Bukan maksudnya lagu yang tidak disukai oleh saya itu tidak ada kelas. Tetapi saya hanya memilih lagu-lagu yang ada kelas tersendiri. Muzik merangsang minda, walau bagaimanapun lebih banyak perkara negatif yang akan timbul jika berlaku kelalaian. Sebab itulah Islam tidak membenarkan muzik yang melalaikan atau kelalaian kerana muzik.

Wednesday, February 15, 2012

Muse-Radiohead-Coldplay

Ke tiga-tiga band ini memang masuk ke dalam short-listed saya sebagai band yang paling di minati selain Nirvana. Radiohead, walaupun tidak banyak lagu berbanding Muse(yang saya dengar), tetapi satu lagu itu cukup meninggalkan kesan. Manakala Coldplay adalah sebuah band yang saya sentiasa boleh percayai dari segi lirik dan videonya (tapi tak semua lagu).

Lagu Creep radiohead (liriknya ada dalam salah satu entry saya sebelum ini) adalah satu jenama lagu yang cukup hebat dalam genrenya. Oleh kerana sangat meminati lagu ini, saya boleh membuat perbezaan dubbing antara versi lagu lama dan baru. Part chorus itu adalah part yang paling layan sekali gitarnya (sorry, saya tak pandai main gitar). Sebenarnya berbanding Muse, saya tidak begitu mengenali Radiohead. Walaupun ia datang dari genre yang saya minati, tapi saya tidak begitu terdedah dengan Radiohead. Saya hanya mengenali Radiohead sebagai salah satu cabang alternatif, tapi tak begitu mengikuti perkembangannya walaupun ia cukup dikenali di peringkat antarabangsa. minat saya pada zaman itu lebih menjurus kepada Greenday, Nirvana, Better Than Ezra dan beberapa lagi. Dalam beberapa album, Radiohead mempunyai persamaan dengan Muse, tetapi saya tidak pasti sama ada Radiohead yang dipengaruhi oleh Muse atau Muse yang dipengaruhi oleh Radiohead. Saya memang sukakan Radiohead.



Muse dan Coldplay. Muse bagi saya adalah satu 'gifted'. Mereka ini duduk dalam kelas yang tersendiri. Suara dan muzik itu adalah trend mereka tersendiri. Trademark yang tidak dapat di cetak rompak oleh mana-mana orang. Sebagai contoh, ada orang boleh meniru dan menyanyi macam Siti Nurhaliza. Tapi tidak bagi Muse. Jika anda peminat Muse, anda akan tahu, lagu yang dipasang di radio itu adalah dari Muse, walaupun anda tidak pernah mendengar lagu itu sebelumnya. Ada satu lagu nyanyian Andy William(Can't Take My Eyes From You) yang dinyanyikan semula oleh Muse. Saya tak pasti sama ada sebab saya peminat Muse atau lagu yang didubbing semula oleh Muse itu memang sedap didengar, kerana sebelum ini saya tak pernah kisahpun dengan lagu itu (yang dinyanyikan oleh Andy William) walaupun dah diputar banyak kali oleh stesen radio. Tapi bila dinyanyi semula oleh Muse, terasa seperti ada aliran kinetik yang luar biasa dalam lagu itu. Saya suka juga dengan pakej Sing for Absolution, Endlessly, Blackout dan Ruled by Secrecy. Muzik Muse bagi saya adalah gelap dan misteri.


Saya memang peminat Coldplay. Saya menganggap lagu-lagu genre Coldplay ini adalah garang, santai tapi tidak kasar. Cuma agak terlewat sedikit mengenali Coldplay  iaitu hanya selepas album A Rush of a Blood to the Head walaupun sebelum itu selalu mendengar lagu Yellow di radio atau t.v. Coldplay juga mempunyai personaliti yang tersendiri. Coldplay selalunya nampak simple sahaja, tetapi perfect. Mereka juga punya signature tersendiri seperti Muse.



Yang sebenarnya saya adalah peminat genre Alternatif Rock. Top 5 band yang paling saya minati sejak dari sekolah sampai sekarang ialah Nirvana. Kalau masa sekolah dulu budak-budak perempuan sebaya saya suka dengan Ukays, Spoon, Slam dan sebagainya, tapi saya layan Nirvana, Greenday, Blur, Oasis dan beberapa lagi. Bukanlah saya tak layan langsung lagu jiwang, tapi saya memilih, lagu yang mendayu-dayu sangat memang tak boleh belah (pinjam ayat nani rostam atau sesapa jelah). Terus terang, lagu genre ini tak sesuai dengar slow-slow. Mesti kena dengar dengan ear-phone yang besar (jenis lekap kat kepala, bukan yang sumbat) atau dengan speaker yang bagus, tak pecah. Suami saya pandailah ejast nih, minat kami sama.
Saya biasa guna Philip yang ini. Selesa dan bunyinya sedap. Kalau pakai earphone tak payah adjust sound effect lagi.

Cuma dalam minat-minat tu saya berhati-hati jugak, tak sapu semua, group yang liriknya keterlaluan memang saya tak layan, even Nirvana dan Greenday yang dalam top 5 tu pun saya masih tapis, tak dengar sebarang. Kalau mencarut atau berbau seks saya tak suka. Lately banyak band yang mempunyai kesedaran dan dah kurang menggunakan perkataan lucah atau berbau seks. Tapi Mat Salleh tetap Mat Salleh, saya yang kena berhati-hati agar tak terlalu lalai.



Nirvana -Pelopor Grunge

Wednesday, February 8, 2012

tadika Islam MAIWP

Beberapa tahun yang sudah saya mendapat informasi dari beberapa kawan tentang tadika islam yang dikelolakan oleh Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan. Ketika itu anak sulung saya berumur 4 tahun dan saya sudah pening kepala untuk mencari tadika mana yang sesuai untuknya. Di Putrajaya ini tadika-tadika swasta memanglah sangat mahal yuran bulanan dan yuran tahunannya. Memang pada mulanya saya bercadang untuk menyekolahkan anak saya di sekolah tadika yang hebat-hebat seperti SMART READER, CIC, REAL KIDS dan sebagainya. Tetapi bila difikir-fikirkan semula, saya bukanlah orang kaya yang banyak duit. Saya hanya bekerja makan gaji dengan kerajaan dan suami saya pula bekerja makan gaji dengan kaum kerabat Vincent Tan. Taklah hebat sangat sangat untuk sekolahkan anak saya di tadika-tadika yang boleh dikategorikan sebagai 'luxury' untuk poket kami berdua ini. Jadi biarlah kami sekolahkan anak-anak kami di tadika yang kategorinya kurang 'luxury' sahaja, orang kata sedarlah diri tu sikit, ukur baju biarlah dibadan sendiri. Yurannya pun RM20 sahaja sebulan. Lalu saya daftarkanlah anak saya di Tadika Islam Amaniah, Presint 7, Putrajaya.
Beberapa bulan pertama  memanglah tidak nampak banyak perubahan, tetapi menjelang perperiksaan penggal pertama saya mula dapati tadika ini adalah setanding dengan tadika-tadika swasta lain. Banyak perubahan yang dapat saya lihat pada anak saya. Cikgu-cikgu mesra dan sentiasa memberitahu perkembangan anak saya. Anak saya memang berbadan kecil, malah mungkin yang paling kecil pada masa itu di tadikanya, jadi dia sangatlah penakut dan pemalu. Langsung tak berani nak keluarkan suara. Tapi saya dapat lihat sedikit demi sedikit perubahan pada karakternya. Mungkin cikgu-cikgu di sana rajin melayan, jadi sifat penakut itu jadi semakin terhakis. Suatu masa, ada pertandingan bercerita di peringkat Wilayah Persekutuan, jadi cikgu mahulah beri peluang, tapi selepas berlatih beberapa hari tiba-tiba anak saya merasa rendah diri, walaupun puas dipujuk. Kemudian entah apa yang dibuat dek cikgu sekolahnya, anak saya bersemangat semula untuk masuk pertandingan itu. Pada hari pertandingan dia berjaya menghabiskan ceritanya dengan baik di atas pentas dihadapan hadirin yang ramai di Dewan Besar Masjid Wilayah itu. Walaupun hanya mendapat hadiah saguhati, tapi saya sangat bersyukur kerana dia berjaya menepis perasaan malu dan rendah diri. Selepas dari itu dia mula menjadi kanak-kanak yang berkeyakinan dan lagi tidak penakut.




Berkat komitmen dan kesabaran guru-guru, saya dapati ramai kanak-kanak sekelasnya pandai membaca seawal umur 5 tahun atau paling lewat pertengahan umur 6 tahun ( tetapi ibubapa haruslah rajin membantu anak-anak). Kanak-kanak ini juga belajar seni melukis dan seni-seni kreatif lain, turut bermain lego pada masa terluang, belajar bahasa inggeris secara audio dan visual dengan buku bertaraf antarabangsa, belajar sembahyang dan sebagainya. Mereka juga tidak tertekan kerana turut diberi masa untuk bermain-main selain berpeluang menyertai rombongan sekolah, acara persembahan tahunan, penyampaian hadiah, sukan antara zon, majlis khatam Al-Quran secara besar-besaran, terlibat dengan majlis-majlis perayaan atau keraian kerajaan tertentu seperti polis dan bomba, majlis keagamaan dan macam-macam lagi.




Tahun ini anak saya sudah masuk ke darjah satu, Alhamdulillah, sejak dari umurnya 5 tahun lagi dia sudah pandai membaca, mengira dan mengaji. Di sekolahnya kini dia duduk dikelas paling pandai. Seorang lagi rakan sekelasnya dari tadika MAWIP itu juga duduk dikelas yang sama, malah menjadi ketua kelas. Saya percaya, rakan-rakannya lain yang sama belajar di tadika itu turut duduk dikelas paling pandai di sekolah masing-masing.



Tujuan entry ini dibuat adalah untuk menerangkan tentang kelebihan yang ada pada tadika kerajaan (yang pada saya setanding dengan tadika bertaraf 5 bintang lain). Namun sebenarnya setiap anak-anak mempunyai perkembangan yang berbeza-beza (saya melihat perkara ini pada anak lelaki saya yang perkembanganya agak berbeza dengan kakaknya itu). Tidak semestinya anak kita yang masuk ke mana-mana tadika bertaraf 5 bintang akan keluar berbintang-bintang juga. Setiap ibubapa mempunyai harapan yang tinggi terhadap anak-anak masing-masing, namun jika setelah berusaha dengan gigih tapi anak-anak masih tidak menunjukkan perkembangan seperti yang kita mahu janganlah pulak kita menganggap anak kita itu bodoh dan melayannya sehingga dia tertekan. Kita juga tidak boleh memandang rendah pada jiran, kawan-kawan atau sesiapa sahaja hanya kerana perkembangan anak mereka agak perlahan. Itu bukanlah satu sikap yang terpuji kerana ia boleh mengundang perasaan riak. Akhir sekali tadika ini telah membuktikan bahawa tadika-tadika kerajaan juga ada yang setanding dengan tadika swasta dan tidaklah kokak sangat seperti menurut pandangan sesetengah ibubapa. Bagi ibu bapa yang berpendapatan sederhana atau kecil, tadika ini adalah sangat berbaloi dan boleh dipercayai. Sekian terima kasih


Hari pertama sekolah



Sukan 2011

Pertandingan bakat seni peringkat wilayah






Sukan 2010


Penyampaian Hadiah 2010

Pertandingan Mewarna Stabillo Carrefour Subang
yang ni saja jer..takde kena mengena ngan skolah tu pun...
Banyak lagi aktiviti mereka ni sebenarnya, antaranya rombongan sekolah, majlis-majlis yang melibatkan anggota polis, bomba dan sebagainya, tapi bila saya tidak ikut, maka tak adalah gambarnya...