Monday, April 30, 2012

Nafastari

Sekadar nak mencadangkan disini, bukan promosi, kerana pemilik blog telah meninggal dunia, jika tuan-tuan minat membaca, bacalah blog NAFASTARI tentang kisahnya semasa di Pakistan. Walaupun semasa hayatnya, pemilik blog lebih cenderung kepada sesetengah parti politik, tetapi apa yang ingin di ambil di sini bukanlah berkenaan hal politik. Beliau adalah seorang penulis yang baik, ambillah pengalaman beliau dan bandingkanlah bagaimana umat Islam di Pakistan dan Malaysia (terutama pada label Islamabad dan Pakistan). Anda akan begitu menghargai negara anda ini. 

Sekian terima kasih

Friday, April 27, 2012

Review Filem Dibawah Lindungan Kaabah vs Buku Dibawah Lindungan Kaabah

Saya baru sahaja menonton filem Dibawah Lindungan Kaabah (FDLK) hasil ubahsuai buku tulisan Allahyarham HAMKA.

Tidaklah dapat saya menzahirkan perasaan sebenar saya selepas menonton filem itu. Sebelum ini telah ada beberapa buku yang menjadi minat saya difilemkan. Antaranya buku Harry Potter dan Twillight. Kedua-dua buku ini apabila difilemkan juga saya tontoni.

Sebelum itu saya ingin menyatakan pendapat peribadi saya tentang perbezaan buku dan filem di entry Filem vs Buku.

Berbalik semula kepada buku dan filem DLK tadi, buku DLK ini pendek sahaja muka suratnya. Tidak sampai 50 mukasurat buku standard pun. Apa yang membuatkan cerita ini begitu diagung-agungkan adalah cara penulisan penulis buku tersebut. Bukalah sedikit mata apabila anda membaca buku ini atau telah membacanya. Jalan cerita buku ini sangat mudah, tidak terlalu kompleks, satu hala sahaja. Kisah seorang pemuda yang patah hati dalam cintanya akibat kemiskinan, lalu membawa diri ke Mekah kerana tanah Mekah itu telah diidam-idamkannya untuk dijejak sejak dari kecil lagi. Itu sahaja. Adalah beberapa elemen tambahan yang menjadikan cerita itu menarik. Lain dari itu, ayat-ayat yang digunakan dan ciri-ciri keislaman yang diterapkan amat memuaskan hati bagi pencinta sastera. HAMKA adalah seorang penulis genius yang pandai memanipulasi ayat-ayat dalam novelnya untuk menjadi lebih dramatik walaupun maksud ayat itu sangat mudah sebenarnya. Saya begitu tertarik dalam gaya dia membayangkan perihal Zainab yang sangat menderita dan babak Hamid kematian ibunya. Begitu juga HAMKA menggunakan ayat yang penuh makna dalam menerangkan kekecewaan Hamid apabila dia disuruh untuk memujuk Zainab menerima lamaran dari seorang saudagar yang kaya raya. Beginilah perenggan itu :

Sulit sekali untuk memulai pembicaraan itu, sulit menyuruh seorang mengerjakan suatu pekerjaan yang berat hatinya melakukan, pekerjaan yang berlawanan dengan kehendak hatinya sendiri. Tetapi di balik itu, sebagai seorang anak muda yang telah dicurahi orang kepercayaan dengan sepenuhnya, yang sudi mengorbankan jiwa untuk menyimpan rahsia. Akhirnya hati saya dapat saya bulatkan dan mulai berkata:
 " Begini Zainab…. Sudah lama ayah meninggal, semenjak itu lenganglah rumah ini, tiada seorang pembela pun yang akan dapat menjaganya. Selain dari itu, menurut aturan hidup di dunia, seorang gadis perlulah mengikut perintah orangtuanya, terutama kita orang Timur ini. Buat menunjukkan setia hormatnya kepada orangtuanya, ia perlu menekan perasaan hati sendiri. Dia mesti ingat sebuah saja, iaitu mempergunakan dirinya, baik murah atau mahal, untuk berkhidmat kepada orangtuanya." 
" Sekarang, kerana memikirkan kemuslihatan rumahtangga dan memikirkan hati ibumu, pada hal hanya sendiri lagi yang dapat engkau khidmati, ia berkehendak supaya engkau mahu dipersuamikan…. dipersuamikan dengan…kemanakan ayahmu." 
Seakan-akan terlepas dari suatu beban yang maha hebat saya rasanya, setelah selesai perkataan yang sulit itu. Selama saya berbicara Zainab masih tetap menekur ke meja, tanganya mempermain-mainkan sebuah pontong macis, diramas-ramasnya dan dipatah-patahnya, belum sebuah juga perkataan keluar dari mulutnya. Setelah kira-kira lima minit lamanya, barulah mukanya diangkat, airmatanya kelihatan mengalir, mengalir setitik dua titik ke pipinya yang halus dan indah itu. 
" Bagaimana, Zainab, jawablah perkataanku!" 
" Belum abang, saya belum hendak kahwin". 
" Atas nama ibu, atas nama almarhum ayahmu." 
" Belum abang!"
" Sampai hati abang memaksa aku?" 
" Abang bukan memaksa engkau, adik… ingatlah ibumu." 
Mendengar itu dia kembali terdiam, ibunya pun terdiam, ia telah menangis pula. Karam rasanya bumi ini saya pijakkan, gelap tujuan yang akan saya tempuh. Dua kejadian yang hebat telah membayang dalam kehidupan saya sehari itu, tak ubahnya dengan seorang yang bermimpi mendapat sebutir mutiara ditepi lautan besar, sebelum mutiara itu dibawa pulang, tiba-tiba sudah tersedar; meskipun mata dipaksa hendak tidur, mimpi yang tadi telah tinggal mimpi, ia telah tamat sehingga itu tidak akan bertambah-tambah lagi.

Inilah yang menjadikan HAMKA amat masyur selain di Indonesia dan Malaysia. Beliau adalah seorang ulama yang banyak menghasilkan buku-buku yang baik, tetapi dalam masa yang sama beliau juga seorang yang berjiwa seni dan sastera. Karyanya tidaklah terlingkung dalam dunia dakwah sahaja, beliau mensisikan banyak keindahan budaya kehidupan masyarakat melayu. Buku ini juga memberikan penilaian bahawa cerita yang kecil jika digarap dengan begitu baik boleh menjadi sebuah karya yang begitu agung. 

Secara peribadi saya menggangap sahabat yang mendengar keluhan Hamid pada episod pengenalan buku ini adalah diri HAMKA itu sendiri, dan cerita ini adalah cerita yang dibukukan dari sebuah kisah benar. Tetapi tidaklah saya tahu sejauh mana kebenarannya, kerana dalam sejarah, beliau adalah seorang yang banyak menuntut dan mengembara serta berjumpa dengan ramai orang. Dalam tahun 1927 beliau kali pertama telah mengerjakan haji di Mekah, dimana, cerita DLK itu juga berlatar belakangkan Tahun 1927. Jika benar, mungkin ada beberapa elemen kehidupan Hamid dan Zainab itu yang tidak di ceritakan dengan sepenuhnya demi menjaga aib si mati. Oleh itu cerita itu hanya diceritakan berasaskan kekuatan emosi dan penggunaan ayat yang berhati-hati untuk menggambarkan betapa agungnya kisah cinta ini tanpa mengguris hati mana-mana pihak keluarga Zainab atau Hamid itu sendiri. Itu adalah tanggapan saya tersendiri, tidak ada kena mengena dengan sesiapa, kalau salah, salahlah saya.

Pindah kepada DLK versi filem pula, 

Jika DLK ini difilemkan mengikut sepenuhnya seperti yang tercatat dalam buku, ianya hanya akan menjadikan jalan cerita itu perlahan dengan durasi yang terlalu pendek. Oleh itu pengarahnya telah mengubahsuai cerita ini dengan begitu banyak sekali terutama kepada plot-plotnya. Watak-watak seperti Salleh juga dikembangkan dan diubahsuai fungsinya, yang mana jika berdasarkan buku, watak Salleh itu hanya kedapatan pada permulaan dan penghabisan cerita sahaja. Yang paling ketara ialah sebab Hamid keluar kampung akibat satu tragedi yang melibatkan Zainab, iaitu Zainab hampir mati kelemasan dan Hamid cuba untuk membantunya, perkara ini telah ditokok tambah oleh pengarah kerana ia langsung tidak terdapat di dalam buku. Begitu juga dengan kebencian ibu Zainab terhadap Hamid, perkara ini tidak terjadi di dalam buku kerana ibu zainab sangat mengasihi Hamid dan menganggap Hamid itu seperti ahli keluarganya sendiri. Cerita filem itu juga tidak menggunakan kekuatan tajuk buku ini sebagai plot utamanya. Ia hanya terjadi pada pada saat-saat akhir filem itu dimana Hamid mati di hadapan Kaabah sambil meratap-ratap. 

Banyak juga perkara yang tidak ada tetapi diada-adakan didalam filem ini. Tetapi sebagai seorang penonton dan pembaca yang memahami, saya dapat menerima bahawa Filem dan Buku adalah 2 cabang seni yang berbeza. Walaupun saya menyukai buku ini tetapi saya tidak boleh bias terhadap filemnya atas sebab-sebab yang telah saya nyatakan dalam entry Filem vs Buku. Bukan mudah untuk merealisasikan sebuah buku menjadi filem. Namun filem DLK bukanlah sebenar-benar adaptasi bukunya kerana hanya beberapa peratus sahaja dari jalan ceritanya yg menyerupai buku tersebut.

Sekian, itulah sahaja ulasan saya terhadap buku dan filem DLK.


Buku Vs Filem

Memang buku adalah satu hasil karya seni yang agak susah untuk diterjemahkan kedalam bentuk filem. Bila kita membaca buku nampak agak mudah untuk membayangkan apa yang terdapat didalam buku itu, contohnya, saya membayangkan Professor Snape dalam Harry Potter adalah seorang lelaki yang berambut pendek sebelum ini dan Ron adalah seorang budak lelaki yang agak tinggi dan lebih tampan dari Harry. Manakala Bella dari Twillight lebih kecil saiznya dan lebih comel seperti gambaran wajah Jenny (dalam buku the Forbidden Game cetakan terbaru). Tetapi apabila karya-karya ini diadaptasi dalam bentuk filem, mereka akan menghadapi kesukaran untuk menterjemahkan pelbagai imaginasi manusia yang membacanya termasuklah penulis novel itu sendiri. Itu baru menceritakan kriteria pelakon, belum termasuk props, wardrobe dan sebagainya untuk menggambarkan situasi sebenar buku itu.

Masa juga memainkan peranan penting dalam menterjemahkan filem. Buku yang tebal dan sarat isinya akan mengambil masa yang lebih untuk di bentukkan sebagai filem. Kita semua tahu bahawa filem di pawagam tidak mengambil masa yang lama, paling lama selalunya tidak lebih 3 jam. Sesetengah buku tidak sempat untuk dimasukkan kesemua elemennya kedalam filem. Cerita Lord of the Ring dan dua cerita yang saya sebutkan di atas banyak dipotong jalan ceritanya untuk mencukupkan durasi. Manakala episod terakhir kedua-dua buku Twillight dan Harry Potter pula difilemkan sebanyak dua bahagian kerana semua bab tidak sempat disatukan. Jika disatukan juga, jalan ceritanya menjadi kurang sempurna dan lebih banyak elemen-elemen buku itu yang akan dipotong.

Bukan itu sahaja, sesetengah buku yang seronok untuk dibaca boleh jadi membosankan dan sukar untuk mencapai standard apabila difilemkan. Ceritanya mungkin akan menjadi lebih lembap dan melalut-lalut kerana terlalu mengikut skrip buku. Oleh sebab itu, kita nampak kebanyakan filem adaptasi buku tidak dapat memenuhi sepenuhnya apa yang terdapat didalam buku. Pengarah akan mengubahsuai filemnya untuk lebih jadi dramatik, tidak membosankan serta mencukupi standard durasi sesebuah filem itu. Itulah juga yang menyebabkan mengapa A.Samad Said tidak mahu karyanya diterjemahkan kedalam bentuk filem, kerana kebanyakkan pengarah gagal untuk memenuhi kehendak penulis seperti apa yang mereka mahu.

Jika penonton memang tidak pernah membaca buku tersebut, tidak menjadi masalah. Fikiran mereka hanya sehala mengikut jalan cerita filem. Masalah yang selalu membuatkan penonton dan penulis kecewa ialah, pengarah mendakwa filem diadaptasi dari buku, tetapi yang sebenarnya hanya beberapa peratus sahaja dari buku itu yang diangkat kedalam bentuk filem. Penonton yang membaca pasti berasa hampa kerana hanya ada beberapa kerat sahaja adegan yang dibayangkan. Begitulah yang terjadi kepada buku Di bawah Lindungan Kaabah yang diubahsuai dan ditokok tambah dengan begitu banyak sekali bila di adaptasi. Oleh itu perlu ada kerjasama penulis dan pengarah sebelum buku itu difilemkan. Kalau di barat, kebanyakan penulis akan terlibat sama dalam pembikinan filem yang diadaptasi dari novel mereka, termasuklah dalam pemilihan para pelakon, tidak seperti di negara kita. Tetapi lainlah bagi cerita Lord of the Ring, The Hobbit dan Di bawah Lindungan Kaabah itu, kerana J.R.R Tolkien dan HAMKA telah lama mati!

Ok, agak panjang juga pendapat saya.

Tuesday, April 24, 2012

Perhimpunan BERSIH

Adoi laa.. BERSIH..BERSIH. tak habis-habis mereka ni nak berhimpun. Siap marah-marah kononnya Dataran Merdeka boleh  buat konsert dan pertunjukkan sebagainya tapi untuk mereka berhimpun, tak boleh pulak. Bukan begitu bang, jika perhimpunan itu bukan sesuatu yang bakal menimbulkan ketegangan, tidak ada apa masalahnya, pergi sahajalah, tetapi perhimpunan seperti ini akan mengundang lebih banyak masalah. Kontrovesi dan ketegangan pasti akan berlaku, dan ia akan membawa kepada suasana yang tidak stabil. Sebab itulah perhimpunan seperti ini dilarang.

Rasanya kalau negara ini tidak stabil, saya ditindas dengan begitu teruk, pasti saya akan menyertai perhimpunan seperti ini untuk membantah kerajaan. Tapi sekarang, negara ini aman, saya mencari rezeki dengan senang hati. Tidak ada penindasan yang berlaku seperti di Myanmar, Cuba, Bangladesh dan sebagaimananya. Penindasan hanyalah untuk orang yang malas bekerja, kerana bumi Malaysia ini begitu aman, carilah rezeki dimana-mana, pasti anda akan berjumpa, cuma buka sedikit luas minda itu dan keluarlah dari kepompong pemikiran yang kolot, pasti anda akan berjaya!

Untuk menggulingkan kerajaan yang ada sekarang, bukan dengan cara perhimpunan yang tidak wajar seperti ini. Perhimpunan seperti ini adalah untuk menunjukkan betapa salahnya kerajaan kononnya dan betapa benarnya mereka. Walaupun saya bukan dari mana-mana belah pihak, tapi saya tidak suka sesuatu yang tidak relevan. Kita bukan negara Indonesia yang suka berhimpun dan tunjuk perasaan, Itu perangai orang-orang yang tidak profesional (dalam kontek negara yang aman).

Sangat menyedihkan, kerana yang terlibat semuanya adalah orang Melayu yang mudah sangat dihasut untuk berpecah belah dan bergaduh. Bangsa lain hanya mengetawakan kita. Dan orang-orang yang menyertai perhimpunan ini adalah orang-orang yang merasakan diri mereka terlalu betul, tidak akan dapat di tegur lagi. Hati mereka seolah-olah telah tertutup untuk menerima pendapat orang lain. Maaflah

Monday, April 23, 2012

Masa Tua

Sabtu yang lalu kami ke Seremban untuk menempah baju raya. Ada satu tailor di Senawang, Jenny namanya, pernah menjahit baju kami semasa nikah dahulu. Jahitannya agak baik dan memuaskan hati. Sebelum ini saya pernah menempah baju dengan seorang tailor dari Selayang yang berlagak seolah-olah beliau sangat mahir menjahit dan mempunyai akademi jahitannya sendiri. Tetapi jahitan bajunya sangat teruk! Dan salah satu dari baju yang saya hantar itu langsung tidak boleh di pakai. Arahan yang saya beri langsung tidak difahaminya. Oleh kerana kain yang baru ini saya kirim dari kawan di Indonesia, jadi saya tidak mahu merasa hampa jika ianya dijahit dengan tidak betul. Lalu saya mengambil keputusan untuk menghantar kain ini kepada tailor yang boleh dipercayai. Disamping itu dapat juga saya melawat kakak di Seremban. Kebetulan emak ada di sana.

Balik itu saya terus menghantar emak di kampung kerana dakwanya dia sudah lama di rumah kakak. Padahal baru sahaja tidak kurang seminggu. Biasalah, orang tua memang tidak betah untuk duduk lama di rumah anak-anak, mereka lebih selesa di rumah sendiri. Tidak ada bantahan tentang perkara ini. Kami cuma mahu emak sihat dan bahagia, kerana apabila duduk di kampung dia nampak lebih gembira. Namun rasa bimbang itu tetap ada untuk melepaskannya duduk sendiri kerana diapun tidaklah begitu tegap. Kami bertawakkal sahaja kepada Tuhan supaya emak sentiasa dilindungi.

Malam itu sempatlah kami makan bersama-sama. Selepas isyak kamipun bertolak balik. Dalam kereta sebelum meninggalkan rumah, saya lihat emak kesayuan sambil melambai-lambai. Tinggallah beliau kesunyian sekali lagi tanpa keriuhan cucu-cucunya. Tapi itu adalah pilihannya, apalah yang boleh dibuat, bukan saya tidak mengajak untuk tinggal bersama-sama kami, begitu juga dengan kakak-kakak. Tapi beliau lebih selesa bersendirian di kampung.

Tidak sampai beberapa minit perjalanan, anak-anakpun tidur dengan lena. Dalam kereta kamipun berbual seperti biasa. Kemudian sayapun berkata, bagaimanalah agaknya kehidupan kami semasa tua nanti. Adakah akan sebegitu juga. Bagaimana jika ditakdirkan salah seorang dari kami pergi dahulu sedangkan dalam keadaan sekarangpun kami tidak betah jika salah seorang tiada. Terasa seperti sebahagian dari diri tidak sempurna. Suasana menjadi agak suram ketika kami berbual tentang perkara itu ditambah pulak dengan keadaan malam yang gelap. Tidak ada konklusi yang dapat disimpulkan. Tuhan lebih mengetahui apa yang terbaik untuk hambanya dan dia juga tahu bagaimana untuk mengurus hamba-hambanya.Walau bagaimana cintanya pun kita terhadap sesama manusia, Tuhan tetap tahu apa yang seharus dilakukanNya.

Sebagai seorang manusia biasa, memang rasanya saya tidak sanggup untuk hidup tanpa suami di sisi, tetapi keadaan akan lebih menyedihkan bila memikirkan bagaimanakah kehidupannya tanpa saya di sisi. Bukanlah kami tidak pernah bertengkar langsung, tetapi  disebalik itu perhubungan kami tetap erat. Namun kuasa Tuhan tetap kuasa Tuhan, kita hanyalah hambaNya. Apa yang termampu dilakukan hanyalah selalu berdoa dan berusaha agar dipanjangkan usia dalam menjalankan amanah dan tanggungjawab untuk membesarkan anak-anak ini disamping memperbaiki kelemahan diri sendiri. Semoga Allah memakbulkan doa-doa itu dan dikurniakan kami dengan kesihatan yang baik dan murah rezeki (juga untuk anda).

Amin

Sunday, April 22, 2012

Kursus di INTAN

Tamat akhirnya kursus seminggu saya di INTAN Bukit Kiara. Memang kursus itu sangat berguna dan sangat membuka mata saya tentang banyak perkara. Tentang perkara yang membuatkan mengapa orang melayu sering ketinggalan.

Tetapi walau bagaimana kuatpun azam dan semangat, saya masih belum mampu berubah ke arah dunia perniagaan. Ilmu yang ada itu akan saya simpan sehingga ke satu masa bila sudah bersedia untuk mempraktikkannya. Saya punya banyak kekangan buat masa ini. Bukan maknanya menyalahkan anak-anak kerana tidak dapat berniaga atau itu dan ini, tetapi tanggungjawab saya lebih besar kepada mereka. Mereka bukan alasan, saya cuma tidak mahu mereka terabai. Bidang ini hanya akan diceburi apabila benar-benar telah bersedia. Mungkin lagi 5 tahun, atau 10 tahun, saya tidak tetapkan sasaran. Atau mungkin juga tidak akan menceburinya langsung. Terpulanglah kepada apa yang saya mampu lakukan suatu hari nanti.

Ia juga memberi saya tentang satu motivasi hidup walaupun saya bukan seorang peniaga.

Tuesday, April 17, 2012

Politik dan agama di tanah air

Seringkali sahaja orang berbalah tentang isu ini. Baik ahli politik itu sendiri mahupun rakyat jelata, tidak terkecuali juga alim ulama. Lebih menyakitkan hati bila isu agama sering sahaja dikaitkan dengan politik. Seolah-olah agama itu adalah politik. Sungguhlah memualkan. Tapi yang paling ketara ialah bangsa melayu. Semua perkara hendak dipolitikkan. Yang tua sudah hendak mati, yang muda baru nak hidup, semuanya bersemangat bercerita tentang politik. Kalaulah dunia ini siang 24 jam, maka cerita politik itu juga akan dibualkan selama 24 jam tanpa ada kesudahan. Begitulah obsesnya bangsa kita dengan politik. Namun politik bukanlah sesuatu yang jahat. Semasa Rasullullah wafat dulupun, sahabat-sahabat bermesyuawarah untuk melantik pemimpin baru mengambil tempatnya. Itupun dikira politik juga. Tapi politik zaman ini sudah sangat berbeza dengan politik zaman itu. Saya sangat tidak suka bila orang membuat satu-satu komen tentang satu-satu perkara, datang pula satu pihak cuba mengaitkannya dengan politik, terutama apabila perkara itu berkaitan dengan agama atau kemajuan. Mulalah komen mereka berbaur begini :

"itulah, ini parti si polan-sipolanlah yang buat jadi begini"

atau,

"haa..ikutlah lagi parti sipolan-sipolan tu, kan dah kena"

Undi anda adalah rahsia. Jangan suka bergaduh kerana pegangan politik yang berbeza, terutama sekali bangsa Melayu. Anda undilah apa yang anda mahu. PAS, PKR, UMNO dan sebagainya, tapi janganlah bergaduh. Orang yang berpihak kepada parti PAS, janganlah menganggap orang-orang UMNO dan PKR itu sesat semuanya, orang-orang PKR janganlah menganggap orang-orang PAS kolot dan orang-orang UMNO semuanya makan rasuah, orang-orang UMNO jangan menganggap orang-orang PAS itu orang kampung yang bodoh dan orang PKR itu semuanya gila kuasa. Bersatulah semuanya. Rahsiakan sahaja undi anda. Dan kalau anda mendengar kata-kata kurang enak tentang parti yang menjadi pegangan hidup anda, tolonglah berdiam diri sahaja, kerana apabila anda melawan suasana akan menjadi lebih tegang dan anda begitu mudah mendapat musuh atau mencipta satu permusuhan. Elakkanlah bergaduh sesama sendiri.

Sekian terima kasih.

Monday, April 16, 2012

Pekan Teluk Intan

Agak lama juga saya tidak menulis, dengan penulisan terakhir saya ialah pengalaman bersalin. Ada beberapa draf yang telah saya buat dan beberapa idea yang tersemat dalam fikiran. Tapi saya tak begitu berkelapangan. Hari minggu yang lepas saya balik ke kampung suami saya di Perak dan tidur sehari di Kampung Gajah. Minggu yang sebelum itu kakak saya datang bertandang di rumah. Saya pun sangat gembira dengan kedatangannya itu. Sempatlah saya membawa anak buah saya berkelah dan mandi kolam. Itukan memang kegemaran budak-budak. Teringin jugak saya nak mandi sekali, tapi bila memikirkan kulit saya yang 'teramat cerah' ini (he he he) saya batalkan niat, kerana mereka mandi ketika matahari sedang naik mencacak ke ubun-ubun. Balik cerita tentang balik kampung tadi, kami pun singgah di pasar malam Teluk Intan yang menjadi kegemaran kami berdua itu. Sejak mula kahwin sampai sekarang pekan Teluk Intan ini memang sudah banyak berubah. Mungkin tak lama lagi ia akan menjadi sebuah bandar pula. Pasar malam itu menjadi semakin meriah kini, hatta nak mendapatkan petak parking teramatlah susah. Jam besar itu juga masih condong kedudukannya seperti dulu dan tidak akan dibetulkan atas tujuan perlancongan. Sepatutnya kita berbangga bila kita juga mempunyai bangunan seperti menara Condong Pisa dan tidak perlu bersusah payah terbang ke Itali untuk melihatnya! Apapun perkembangan kemajuan Teluk Intan ini boleh menjadi sesuatu yang positif dan boleh jadi sesuatu negatif, terutamanya kepada remaja melayu. Harapnya kemajuan tidaklah sampai memusnahkan pekan Teluk Intan yang klasik itu.

Gambar saya pinjam dari seorang blogger (lupa plak). Saya ke Pasar Malam, jadi gambar menggunakan HP tak begitu cantik pada waktu malam.

Tuesday, April 3, 2012

Pengalaman bersalin..

Orang pompuan mana-manapun, kalau dah kawin dan beranak memang suka cerita hal dia mengandung dan bersalin tu, termasuk la saya..

Anak sulung lahir masa pada tahun 2005. Tempat lahir, Hospital Tuanku Jaafar Seremban. Kami travel dari Gombak (masa tu duduk di Gombak) sebaik sahaja saya merasa ada tanda-tanda nak bersalin. Nasib baik ada membaca, jadi boleh tau true alarm atau false alarm nak bersalin. Bulan puasa pulak tu. Dinasihat oleh saudara-mara dan rakan-rakan bila dah ada tanda-tanda awal nak bersalin, baik makan untuk dapat tenaga. Nanti bila dekat nak bersalin, Dr tak benarkan makan dah. So, kami berenti kat Mc Donald MRR2 beli burger, makan dalam keta..Bulan posa maa.. Mana boleh makan di khalayak ramai. Saya makan la sorok-sorok. Eh, mana pulak suami makan, , dia kena posa, wajib..

Sampai kat hospital lepas check up, bukaan dah 1cm,  Dr suruh stay kat wad, masa tu dekat-dekat raya dah, lagik 1 hari je... Berangan nak makan sedap-sedap sebelum bersalin dengan harapan bersalin lepas raya, tapi Dr tetap tak bagi balik, jadi kena jugakla stay kat wad. Malam tu, sakitnya atoii.., baru tau camana susah nak bersalin. Bila bukaan dah 4 cm, terus kena tolak dalam labour room. Suami yang mithali nipun ikut masuk  sekali. Duduk la kat situ..sama-sama menyaksikan saya berkerut-kerut menahan sakit. Picit sana, picit sini, gosok sana, gosok sini, tak hilang jugak rasa sakit ..mengantuk ada la lagi...dari semalam tak dapat tido... Untuk pengetahuan bagi mereka yang nak bersalin secara normal, apabila hampir timing nak bersalin tu kontraktion akan berlaku secara konsisten setiap 30 min kemudian 15 min, kemudian 10 minit dan kemudian 5 minit, bila dah sampai 5 min sekali maknanya memang dah nak bersalin sangat dah tu. Boleh pulak en suami keluar sekejap g toilet. Aduh, masa dia keluar tu tak expect lagi nak bersalin, dalam 2-3 minit lepas tu, rasa macam tak tahan, saya pun jerit kat nurse.. Dr pun datang jugak... diorg suruh teran-teran..Tak keluar .. nasib baik en suami sampai tak lama lepas tu bagi semangat...teran lagik baru keluar... ho ho ho..leganya...terlepas satu kesakitan yang amat sangat...Tapi ibu-ibu, tolonglah jangan takut bersalin normal ye, kecuali jika anda memang mempunyai komplikasi yang tidak dapat di elakkan.

Itu sahaja pengalaman bersalin secara normal saya. Kerana anak yang kedua dan ketiga lahir secara ceaser, walaupun tak mau, tapi tetap terpaksa. Anak ke dua saya songsang, anak ke tiga saya overdue dah induce untuk cepat bersalin pun dia tak mo keluar. So apa lagi, kena ceaser la. Di sini ceritanya