Wednesday, May 30, 2012

Menaiki kapal terbang

Masih cerita mengenai kapal terbang. Dan ia bukan dengan tujuan untuk menunjuk-nunjuk atau jakun kata orang melayu, ia hanya untuk berkongsi pengalaman.

Anak-anak saya tidak pernah menaiki kapal terbang berbanding dengan anak-anak orang lain. Oleh itu, beberapa bulan yang lepas saya dan suami merancangkan satu percutian untuk menaiki kapal terbang bagi menmberi pengalaman kepada mereka. Salah satu sebab lainnya ialah, setiap kali saya out station menaiki kapal terbang mereka akan menangis-nangis untuk mengikut saya menaiki pesawat tersebut. Oleh itu, sayapun berasa tidak sampai hati.

Walaupun perjalanan dari LCCT ke KB hanyalah mengambil masa kurang sejam, tetapi itu sudah cukup baik untuk mereka merasai pengalaman itu. Bimbang pula mereka mengalami sindrom airplane ear nanti dalam penerbangan yang lama kerana tidak biasa menaiki kapal terbang. Saya pernah mengalami sindrom ini sewaktu dalam penerbangan ke Kota Kinabalu dan ia mengambil masa yang agak lama untuk pulih.

Walaupun dikabarkan tambang penerbangan itu sangat murah, tapi selepas tingtong-tingtong, ia tetap menjadi mahal juga, tapi tak kisahlah, bukan saya hendak naik kapal terbang setiap bulanpun, sekali-sekala sahaja. Harapnya selepas ini anak-anak tidaklah lagi bertanya bagaimana rasanya menaiki kapal terbang setiap kali melihat pesawat-pesawat itu melintasi ruang udara Putrajaya ini. Berikut adalah gambar-gambar mereka.

Di stesen ERL

Dalam bas menuju ke LCCT

Pertama kali menaiki kapal terbang

Menunggu pesawat untuk balik

Dalam perjalanan balik



Sesudah turun

Dari pesawat menuju ke terminal



Air Pocket Pesawat Penerbangan

"Turbulence is air movement that normally cannot be seen. It may occur when the sky appears to be clear and can happen unexpectedly. It can be created by any number of different conditions, including atmospheric pressures, jet streams, mountain waves, cold or warm fronts, or thunderstorms."

Saya bukan kali pertama menaiki kapal terbang, begitu juga dengan suami saya. Tetapi penerbangan kali ini adalah yang paling menakutkan bagi saya, kerana sewaktu sudah separuh jalan dari Kota Bharu ke Kuala Lumpur, kami mengalami situasi air pocket beberapa kali sehingga pesawat itu seolah-olah melantun ke atas dan jatuh balik kebawah. Ketua pramugara yang baru sahaja berjalan melepasi saya pun turut terhuyung hayang. Beberapa penumpang juga menjerit ketakutan. Tetapi berbeza pula dengan anak-anak saya yang ketawa sesama sendiri sambil menikmati kejadian itu seolah-olah mereka sedang menaiki sebuah roller coaster yang selamat dan tiada apa-apa yang berlaku. Sebelum itu sewaktu pesawat mula meluncur ke udara, cuaca amat baik dan terang benderang berbanding dengan tiga hari sebelumnya sewaktu kami mula-mula hendak mendarat di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra yang mana cuaca agak buruk dan kilat sabung menyabung.

Situasi seperti ini mungkin perkara biasa sahaja bagi mereka yang kerap menaiki kapal terbang, terutama sekali kepada kru-kru kabin. Ia mungkin mempunyai risiko, tetapi tidaklah begitu berbahaya selagi juruterbang dapat mengawal dengan baik pesawat itu. Namun mengikut pengalaman peribadi saya, rasanya ini adalah kali pertama saya mengalami situasi air pocket yang sangat buruk, begitu juga dengan suami. Ketakutan yang dialami sama tahap seperti hendak disorong kedalam dewan bedah untuk dibedah sekali lagi. Memanglah, nyawa milik Tuhan, kalau sudah  ditakdirkan hendak mati, bukan di dalam kapal terbang sahaja, di mana-manapun akan mati juga, tapi sebagai manusia biasa, tiada siapa yang boleh lari dari perasaan takut.

Ini adalah kali pertama saya menaiki pesawat tambang murah. Sebelum ini saya hanya menaiki pesawat yang tambang mahal (bagi saya) dengan menggunakan warrant dari kerajaan untuk tujuan-tujuan rasmi. Tujuan kali ini adalah untuk membawa anak-anak bercuti dan merasai pengalaman menaiki kapal terbang sahaja. Jadi saya membeli tiket pesawat tambang murah kerana rasanya saya belum mampu untuk membeli tiket tambang mahal (walaupun saya merasa lebih yakin dengan penerbangannya).

Saya tidak tahu samada juruterbang boleh mengesan situasi air pocket atau tidak semasa dalam penerbangan, kerana dalam penerbangan-penerbangan sebelum ini, ia tidaklah begitu buruk sehingga menyebabkan sesetengah penumpang terasa panik, malah pesawat itu juga nampak sangat tidak stabil sehingga terasa seperti terhuyung-hayang ke kiri dan kekanan. Bagi yang kali pertama menaiki kapal terbang, ia mungkin boleh menjadi satu pengalaman yang sangat buruk kepada mereka.  Selain dari situasi air pocket, saya juga sangat tidak gembira menaiki pesawat dalam keadaan hujan dan kilat. Sangat menggerunkan melihatkan kilat-kilat yang memancar berhampiran dengan pesawat. Dalam satu penerbangan dari Tawau Sabah, pesawat yang kami naiki telah mengalami kerosakan semasa dalam hujan. Tetapi syukurlah kami selamat, namun situasi itu tidaklah secemas situasi yang saya lalui seperti di atas.

Teringat pula kepada cerita kawan sepejabat, sewaktu beliau dalam perjalanan balik dari Australia, pesawat yang dinaikinya melalui satu kawasan yang sedang mengalami ribut, jadi situasi air pocket yang di alami menjadi sangat buruk, malah pesawat itu mengalami kerosakan sehingga juruterbang terpaksa mengumumkan kepada penumpang yang beragama Islam untuk membaca surah Yaasin. Tidaklah dapat saya bayangkan betapa tegangnya situasi ketika itu. Mungkin juga juruterbang sudahpun menjeritkan perkataan "mayday, mayday" kepada  pegawai traffik udaranya!

Namun saya ingin menerangkan di sini bahawa risiko kemalangan menaiki kapal terbang adalah sangat rendah berbanding dengan menaiki kenderaan di atas darat. Memang kerap kali kemalangan kapal terbang yang berlaku menyebabkan harapan untuk menemui mangsa terselamat sangat tipis, tetapi kemalangan udara sangat sangat jarang berlaku. Satu-satunya kejadian kemalangan pesawat penumpang (besar) paling buruk pernah berlaku dalam sejarah negara kita ialah yang melibatkan pesawat MH 653 milik MAS dan ia berlaku kira-kira 35 tahun lalu. Kemalangan itu pula berlaku bukanlah disebabkan kerosakan teknikal atau cuaca yang buruk atau kelalaian juruterbang, ia berlaku disebabkan rampasan pengganas dan ia terhempas di sebuah hutan paya bakau di Tanjung Kupang Johor.

Balik itu saya bertanya kepada anak-anak saya, seronok ke menaiki kapalterbang? Mereka tersengih-sengih memberitahu, sangat seronok! ( tanpa mengetahui situasi emak dan ayahnya yang sikit lagi nak terkucil kerana situasi air pocket yang sangat buruk itu )


Tuesday, May 22, 2012

Kisah Si Pencuci

Kisah 1

Seorang wanita warganegara Malaysia. Berbangsa India. Berumur lebih 50 tahun. Memiliki 3 orang anak. Ditinggalkan suami kerana mencari perempuan lain. Menderita sakit barah di dalam perut.

Katanya kepada saya,

"Saya lahir di sini (Malaysia), hidup di sini, dan segala-galanya di sini. kenapa saya mahu balik ke India pula. India tidak menjanjikan apa-apa. Siapa ada di sana untuk saya? Saya sayang sama negara ini dan saya akan terus berada di sini selagi hayat dikandung badan"

Kisah 2

Seorang warganegara Indonesia. Berbangsa Melayu. Berumur lingkungan 30an. Belum memiliki anak. Bersuamikan seorang warga Myanmar (juga pekerja di sini).

Katanya kepada saya,

"Saya tidak tahu bagaimana hala tuju kami suami isteri selepas ini jika permit tamat. Bukan mudah hendak hidup di Myanmar selaku orang Muslim. Di Indonesia juga kehidupan tidak mudah."

Sunday, May 20, 2012

Pengalaman bersalin ceaser 1

Tiga kali bersalin, dua darinya adalah secara ceaser. Anak sulung sahaja yang lahir secara normal. Memanglah saya tak percaya kandungan yang kedua itu songsang dan akan dibedah. malah pada saat akhir hampir bersalinpun saya masih berharap akan melahirkan secara normal. Tapi apakan daya....

Begini ceritanya...

Semasa kandungan yang kedua itu saya sangatlah aktifnya bergerak dari awal mengandung sampailah ke trimester yang ketiga.  Semasa trimester yang ketiga itu juga saya diterima bekerja ditempat sekarang. Sebelum itu saya bekerja di Astro cawangan KL. Hari-hari berulang dari Gombak ke KLCC menaiki LRT. Dari stesen LRT itu pula saya akan berjalan kaki hampir 1km untuk sampai ke pejabat, ditambah dengan berbagai ragam masayarakat Malaysia yang sangat tidak prihatin dan tidak sensitif, ianya sangatlah meletihkan, tapi saya tetap mengagahkan diri. Kemudian apabila dapat kerja baru saya perlu pula berjauhan selama dua bulan dari suami untuk praktikal di Johor dan Perak. Lagi sekali cabaran. Ok, saya terima dengan senang hati, kerana bukan senang hendak dapat kerja yang bagus. Lagipun dua bulan bukanlah satu tempoh yang lama berbanding faedah yang akan saya dapat selepas itu nanti. Dalam tempoh itu saya berulang-alik memandu bersendirian setiap cuti hujung minggu ke Kuala Lumpur kerana kasihankan anak sulung yang baru nak mencapai umur dua tahun.

Dalam rutin pemeriksaan bersama-sama nurse setiap minggu didapati kandungan saya adalah normal dan tidak menghadapi apa-apa masalah. Pendek kata, Insyaallah, jika diizin Tuhan saya akan melahirkan secara normal juga. Cuma saya terperasan, bonjolan dibahagian atas perut adalah lebih ketara dan kerapkali membuatkan saya lebih senak berbanding kali pertama mengandung dahulu. Tetapi saya abaikan perkara itu kerana beranggapan, lain-lain kandungan akan melalui lain-lain frasa. Pada waktu ini saya sudah tidak memandu lagi, tugas memandu diambil alih oleh suami. dan kami agak kerap melalui satu jalan berbonggol yang sangat teruk di bawah stesen LRT Taman Melati berdekatan Kolej TAR. Setiap kali melalui bonggol ini, kandungan saya pasti bergoncang dengan kuat sekali dan terasa sangat senak.

Tiba minggu terakhir pemeriksaan dengan Doktor, satu kejutan telah berlaku apabila Doktor mendapati kandungan saya itu songsang! Saya tidak percaya, kerana dalam beberapa minggu sebelumnya setiap kali pemeriksaan, kepala bayi telah turun kebawah dan nurse tidak menjumpai sesuatu yang pelik. Malah sewaktu imbasan dilakukan sebelum itu juga mendapati kepala bayi saya telah turun kebawah. Sungguh tidak disangka pula yang bayi itu hendak naik ke atas semula.

Kerana tidak percaya, saya pergi pula ke klinik swasta yang sangat saya percayai pegawai perubatannya, iaitu Klinik Warda di Ampang. Lagi sekali saya diberitahu, kandungan saya adalah songsang. Maka, dengan itu, sahlah keraguan saya, walaupun masih diberi harapan yang bayi boleh turun kebawah semula sewaktu hampir bersalin nanti tetapi harapannya adalah amat tipis sekali. Lalu bermulalah satu frasa baru dalam pengembaraan bersalin saya.

Entry ini bersambung ke Pengalaman Bersalin Caeser II.

Catatan pengalaman bersalin normal pula di sini

Pengalaman bersalin caeser II

Entry ini adalah sambungan dari entry Pengalaman bersalin caeser I

Sebaik sahaja disahkan kandungan itu songsang, Dr bertindak mengarahkan saya di admit kehospital. Saya sangat tidak gembira dengan situasi ini. Apalah yang seronoknya duduk di Hospital kan, ianya sangat membosankan. Apatah lagi dalam satu jangkamasa yang sangat lama, iaitu sehingga tarikh saya bersalin, kalau lambat saya bersalin, lama lagilah duduk di hospital itu. Oh, tertekannya. Akhirnya selepas puas merayu-rayu, saya dibenarkan juga balik dengan pelbagai syarat yang ketat. Saya terima sahaja syarat itu dengan senang hati asal tidak tinggal di hospital. Dalam masa ini Dr masih memberi harapan yang saya boleh bersalin normal jika kepala bayi turun kebawah. Ketika ini, saya sudah siap-siap mengambil cuti rehat . Jadi sepanjang tempoh itu saya hanya duduk dirumah sahaja. Hari-hari sebelum pergi kerja, suami akan membelikan makanan supaya saya tidak perlu memasak. Saya ingat lagi makanan kegemaran masa itu ialah roti canai dan burger malaysia. Oleh itu hari-hari suami membelikan saya dua macam makanan ini. Namun akhirnya saya merasa jemu juga sampai sudah tak lalu nak makan.

Tiba masanya sayapun pergilah menyerah diri dihospital. Sebenarnya selepas tarikh jangkaan bersalin, jika tak bersalin juga, kita akan diberi tempoh 10 hari menunggu. Tetapi jika selepas tempoh 10 hari itu masih tidak ada tanda-tanda untuk bersalin, maka hospital biasanya akan membuat beberapa pertimbangan, antaranya ibu akan diinduce untuk mempercepatkan proses bersalin, kerana dikuatiri, jika terlalu lama akan berlaku komplikasi lain pula.

Tidak seperti kelahiran pertama, kali ini suami tidak lagi tinggal dihospital untuk menemani. Ini kerana rumah kami agak dekat dan saya juga tidak mahu travel ke Seremban kerana kandungan yang songsang ini. Saya hanya menyuruh suami standby sahaja dirumah bila masanya hampir tiba. Kesian juga jika dia terpaksa menunggu di hospital seperti kelahiran pertama dahulu, memanglah dia tidak merungut, tapi saya tak sampai hati melihat dia tidur dibangku hospital.  Selepas pemeriksaan pagi itu, didapati kepala bayi masih lagi songsang, jadi teruslah Doktor menetapkan waktu untuk dibedah. Maka dengan itu berkecailah harapan saya untuk bersalin secara normal.

Malamnya saya diberi kaunseling kerana kegusaran mengenai proses bersalin itu. Dengan sokongan kawan-kawan saya menjadi agak berani juga. Akhirnya pada jam 3 atau 4 pagi saya mula mengalami mild kontraksi. Sedikit darah sudah keluar. Dengan segera saya memberi tahu Doktor on duty. Selepas pemeriksaan, didapati bukaan sudah 4cm. O.T (Operation Theater) segera disiapkan dan Doktor pakar on call  yang sepatutnya membedah saya pada pukul 9 pagi esok dihubungi dengan segera dirumahnya. Saya pula kelam kabut menelefon suami di rumah dan tak tahu berapakah pecutan keretanya untuk sampai segera dihospital, kerana tak berapa lama kemudian, beliau sudah terpacul di sisi saya. Dalam kelam kabut itu, Doktor pakar berbangsa India itupun sampai dan berkata kepada saya, "kenapalah anak You ni nak keluar sekarang juga, bukan lama sangat nak tunggu pukul 9 pun" katanya. Saya hanya tersengih. Sepatutnya saya adalah patient yang ketiga di bedah pada hari itu, tetapi kerana emergency, saya pula mengambil alih tempat nombor satu dan ibu yang sepatutnya dibedah paling awal pada hari itu hanya mampu melihat sambil mendoakan keselamatan kami.

Kemudian saya pun disiapkan untuk dibedah. Diberi minum MMT (ubat gastrik) untuk tahan muntah. Pada malam dan hari sebelumnya saya sudah disuruh berpuasa. Sangat gentar rasanya apabila disorong ke dalam O.T tersebut, maklumlah kali pertama. Bersalin cara bedah juga mempunyai risiko. Jika diberi pilihan, memang saya tak mahu bersalin secara bedah.

Doktor pakar bius memperkenalkan diri dan segera membuat suntikan. Tidak lama kemudian, sayapun merasa kebas dan selepas itu tidak merasa apa-apa lagi dari bahagian pinggang hingga ke kaki. Sejuknya dalam O.T itu memang tidak terkata sampai menggigil-gigil. Saya mengadu kepada Doktor pengawal ditepi saya, tapi katanya memang bilik O.T mesti sejuk untuk mengurangkan risiko jangkitan kuman dan melambatkan proses pembekuan darah. Selepas bergoncang-goncang perut dikerjakan oleh Doktor bedah tersebut, terdengarlah bunyi tangisan bayi saya! Selesai dibersihkan, sementara doktor menjahit kembali luka di perut, Nurse pun menunjukkan bayi itu sambil menanyakan jantinanya, (sebenarnya itu adalah satu prosedur) dan sayapun melihat dengan cerianya untuk kali pertama bayi lelaki saya itu. Dia kemudian diserahkan kepada ayahnya untuk di azankan sebelum diambil kembali untuk pemeriksaan rutin yang lain pula.

Selesai pembedahan tersebut, rasa sejuk itu masih tidak hilang. Saya masih mengigil-gigil dan mengambil masa yang sangat lama untuk recover berbanding dengan orang lain. Sampai ke katil di wad terjadi pula satu insiden lain. Suami saya tidak dapat dihubungi kerana kesilapan komunikasi. Rupanya beliau menunggu ditempat yang salah, padanlah tidak berjumpa dengan katil saya dan selepas meminta nurse menghubungi telefon bimbitnya, barulah dia dapat berjumpa dengan saya, waktu itu sudahpun jam 10 pagi.

Pengalaman itu tidak terhenti di situ sahaja, pada mula-mula bersalin itu, semuanya ok. Saya tidak mengalami kesakitan yang amat sangat malah saya boleh berjalan selepas 7 jam. Masalah timbul selepas beberapa jam dari itu. Saya mengalami pening yang amat sangat dan sakit pinggang setiap kali berdiri. Selepas pemeriksaan, Doktor mengesahkan saya mengalami sindrom tekanan darah rendah yang mana ubat bius berjalan dengan tidak sempurna selepas pembedahan menyebabkan saluran darah menjadi kecut atau kembang (sayapun tidak ingat yang mana satu). Doktor cuma menasihatkan saya meminum banyak minuman berkafein untuk melegakan kesakitan. Akhirnya suami saya membelikan saya berbotol-botol air coke dan nescafe. Alhamdulilllah, selepas minum air-air ini, kesakitan sayapun berkurangan. Jadilah saya pecah rekod, baru satu hari pantang sudah minum coke dan nescafe, yang mana minuman-minuman ini merupakan satu taboo kepada syarat-syarat berpantang dikalangan masyarakat Melayu. Cuma yang menjadi masalah lainnya pula selepas itu ialah, anak saya menjadi lebih kerap cirit kerana mungkin dia tidak tahan dengan coke dan nescafe itu, tapi apakan daya, bersyukur sahajalah kerana sudah selamat.

Kini anak saya itu sudahpun besar, sudah bersekolah tadika 5 tahun dan sudah mempunyai seorang adik perempuan  yang juga dilahirkan secara ceaser kerana komplikasi yang lain pula!




Thursday, May 17, 2012

Balasan Tuhan

"itu sebablah dia kena macam tu, balasan Tuhan..Memang patut pun"

Kata-kata itu diluahkan oleh seorang rakan sekerja yang bukan beragama Islam. Saya ingin membantah kata-katanya itu, tetapi bila memikirkan ketidakwajaran kelakuan si pelaku itu kepada kawan saya tadi, jadi sayapun mendiamkan diri sahaja. Tidak tergamak pula saya menaikkan lagi kemarahan kawan saya itu. Memang tidak patut saya berfikiran begini, tetapi kadang-kadang apabila emosi tidak stabil, kita cenderung untuk menerima kata-kata negatif orang lain (jangan mencontohi perkara yang tidak baik ini). Pelaku itu cuba memperlekehkan kerja-kerja kami yang sebenarnya tidak ada kaitan satu sen pun dengan kehidupan kerja mahupun kehidupan personalnya, malah menggunakan kata-kata yang sangat sarcastic pula terhadap kawan saya itu, mentang-mentanglah dia bukan seorang yang beragama Islam.

Tetapi walau bagaimanapun, sebenarnya sebagai seorang Islam, adalah salah untuk kita mengaitkan seseorang yang ditimpa musibah itu sebagai balasan Tuhan. Ini kerana manusia tidak pernah mengetahui walau sedikitpun urusan Tuhan dan urusan alam ghaib. Jadi memang sangat salah untuk kita menuduh-nuduh orang yang ditimpa musibah itu didenda oleh Tuhan. Semulajadinya memang kita nampak begitu, tetapi yang batin itu bukan milik kita untuk menilai kesalahan orang lain.

Pernahkan kita memikirkan bagaimanakah perasaan seseorang yang ditimpa musibah kemudian diejek-ejek oleh orang kerana dia pernah melakukan dosa? Bagaimana jika diri kita yang berada ditempatnya? Sudahlah mengalami kesusahan, kemudian dihina-hina pula. Sangat tidak wajar kan? Jadi, pada pendapat peribadi saya, walau sebesar manapun musibah yang menimpa, bukanlah menjadi hak kita untuk memberitahu kepada orang lain bahawa individu itu pernah melakukan kesalahan. Kita tidak pernah tahu akan jumlah dosa dan pahala yang dimiliki oleh seseorang itu sehingga kita menjadi begitu berani untuk menilaikan musibah yang menimpa dirinya. Bagaimana jika sebenarnya kita yang memiliki dosa yang lebih dari orang itu, walaupun orang itu nampak melakukan kesalahan yang sangat besar? Adalah menjadi sesuatu yang memalukan kan? Sebab itulah Tuhan tidak menunjukkan dengan terang dosa dan pahala yang dimiliki oleh seseorang individu. Oleh itu, secara automatiknya kita memang tidak layak untuk menilaikan orang lain. Mungkin kita boleh mengambil ikhtibar, tetapi untuk menyebar fitnah dan mengata-ngata adalah salah sama sekali. Jadi jauhkanlah perkara ini jika tidak mahu ianya terjadi pula kepada kita

Sunday, May 13, 2012

Rumah batu atas bukit



(Minneta Lane - Tommy Page)


Lagu ini mengingatkan saya kepada sebuah rumah batu atas bukit. Tinggal di rumah itu ialah sahabat baik saya, Ina yang dikenali sejak dari darjah satu lagi. Masih saya ingat rumah itu dikelilingi oleh banyak pokok-pokok yang rendang dan jalan masuknya tidak berturap serta masih bertanah merah ketika itu. Dibelakang rumah pula terdapat sebuah kolam kecil dimana sesekali kami turun untuk melihat ikan-ikan di dalamnya dan itik-itik nila yang garang dipinggir kolam itu. Alangkah gembiranya setiap kali bertemu. Bersama-sama ketawa tanpa mengetahui bahawa suatu harinya dalam penghidupan ini kami akan berpisah dan mempunyai jalan hidup masing-masing.

Masih saya terkenang, ketika malam gelap penuh bintang bersinar-sinar dilangit, kami duduk bersembang di atas pangkin di  hadapan laman rumah itu, sambil mendengar lagu-lagu di radio (termasuk lagu ini) dan sambil berkongsi cerita tentang segala macamnya kehidupan zaman remaja kami serta pengharapan masa depan. Masa terasa berlalu dengan begitu pantas sekali, kini kami bukan lagi kanak-kanak atau remaja yang tidak punyai tanggungjawab untuk digalas. Zaman itu telah lama berlalu dan kami sudah ada jalan kehidupan tersendiri. Cuma hubungan persahabatan ini masih erat terjalin walaupun terpisah jauh.

Kini  rumah batu atas bukit itu bukan lagi menjadi milik sahabat saya, namun ia tetap menjadi tanda kenangan yang indah untuk kami bahawa kami pernah sama-sama berkongsi cerita zaman remaja pada suatu masa dulu. Hidup kini juga masih indah untuk diteruskan!


Sunday, May 6, 2012

Kaya dan Sombong

Kita baru naik kapal terbang, jet atau helikopter sudah sombong. Rasulullah s.a.w naik ke langit pun tidak sombong. Kita baru naik Bugatti Veyron atau Lamborghini dah sombong. Rasulullah menunggang Buraq yang selangkah kakinya itu sama dengan perjalanan sejauh mata memandang pun tidak sombong. Kita dapat berjumpa dengan orang besar sikit sudah sombong dan merasa bangga. Rasulullah s.a.w berjumpa dengan Allah s.w.t di Sidratul Muntaha yang mana Malaikat sendiri tak pernah masuk, tetapi baginda tidak pun sombong. Jadi, apa sebab kita yg ibarat 'tong najis berjalan' (istilah yg dgunakn oleh ustaz saya) mahu sombong sesama sendiri atas dunia ni???
 Saya meminjam kata-kata di atas dari Datin Ida Royani di FBnya. 

Back to few years ago, semasa saya masih bekerja di sebuah restoran sederhana mewah. Restoran itu adalah jenis kasual dining, waiter akan mengambil pesanan dan menghantar hidangan. Suatu hari, datang dua org lelaki yang agak berada untuk makan, dan seperti biasa kami melayan dua org tersebut mengikut SOP syarikat. Selesai makan, dua orang tersebut dengan segera beredar tanpa membuat pembayaran. Lalu staff saya pergi untuk memaklumkan kepada lelaki tersebut tentang bil yang belum di bayar. Saya sudah biasa dengan pelanggan yang terlupa hendak membuat bayaran (atau sengaja lari) selepas makan, jadi itu perkara normal. Biasanya kami akan memaklumkan dengan suara yang perlahan dan menjauhi pelanggan lain supaya pelanggan itu tidak merasa malu. Tetapi bagi dua orang lelaki ini, mereka masih merasa amat malu dan terhina apabila dimaklumkan yang mereka belum membayar makanan mereka. Lalu dia datang kedepan kaunter (dihadapan orang ramai) sambil bertempik kepada cashier saya, 

 "Hey, saya orang kayalah! Saya ada banyak duit tahu!" (sambil menunjuk beg dompetnya),  

"Kamu lihat kereta saya diluar sana, saya pakai Mercedes tahu! Kamu apa ada?"

Saya agak terkejut juga dengan situasi itu. tetapi sebagai seorang yang telah dilatih oleh majikan supaya bertenang dalam menghadapi pelanggan sedemikian, jadi sayapun mengarahkan staff  untuk melakukan transaksi dan meminta maaf tanpa menjawab apa-apa dan memberikan senyuman yang terbaik. Mujurlah ketegangan itu tidak berterusan dan pelanggan itu beredar sejurus selepas membayar.


 Bagi pelanggan di atas, mungkin beliau ingin memaklumkan kepada orang ramai bahawa mereka mampu sebenarnya untuk membayar makanan tersebut, namun mereka telah tidak sengaja atau terlupa. 

Tetapi apa yang ingin saya sentuh di sini ialah tentang sikap sesetengah orang yang merasakan dirinya lebih kaya dan hebat dari orang lain. Manusia biasa,  amnya dimana-mana sahaja didunia ini, apabila terasa dirinya kaya akan lebih cenderung untuk memandang rendah kepada orang lain yang difikirnya bertaraf lebih rendah. Namun tidaklah semua manusia sebegitu, ada juga yang tidak lupa daratan dan bertindak lebih rasional. Pada pendapat peribadi saya, org yang sombong ini fikiran mereka terbatas sebenarnya, mereka mungkin duduk didalam dunia mereka sendiri sahaja. Mereka tidak nampak akan dunia yang luas itu, oleh itu mereka tidak sedar betapa miskinnya mereka sebenarnya. 

Semoga saya dan ahli-ahli keluarga tidak tergolong dalam golongan ini suatu hari nanti, jika ditakdirkan kami mempunyai harta yang lebih sedikit dari orang lain! Amin

Friday, May 4, 2012

Azizah

Rupa kamu yang cantik
Mata kamu yang bulat
Membikin pemuda
Jadilah gembira

Senyumanmu yang manis
Gigi kamu yang putih
O nonaku Azizah
O nonaku Azizah

Hidungmu yang mancung
Rambutmu kerinting
Membikin pemuda
Sehari-hari menaruh cinta padamu
O Azizah

Cantik rupamu
Cantik rupamu
Dipandang mata
Bagai biduan
Bagai biduan
Dari Syurga

Tidur malam terbayang
Teringat kamu seorang
Membikin hati pemuda
Menjadi bimbang
                                                                         O Azizah