Thursday, June 28, 2012

Meteor Garden dan Boys Over Flower

p/s : Saya bukan peminat tegar K-Pop (Korea) atau T-Pop (Taiwan) atau J-pop (Jepun). Tetapi suatu masa dulu saya pernah melalui apa yang dilalui oleh remaja-remaja masa kini. Namun zaman itu minat kami tidaklah seghairah peminat zaman sekarang. Tidaklah sampai hendak ditampal satu bilik dengan gambar bintang K-pop atau sampai mengumpul duit untuk ke korea bertemu dengan artis idola. Tapi bagus juga, sekurang-kurangnya hidup ada wawasan walaupun kata ustaz-ustaz dari kumpul duit hendak ke Korea lebih baik kumpul duit untuk mengerjakan haji atau umrah. Itu terpulanglah kepada masing-masing, dari buat benda mengarut yang lain seperti menghisap dadah atau berjoli di kelab malam lebih baik mereka bekerja kumpul duit, yang penting jaga diri baik-baik jangan terjerumus kepada perkara yang tidak sihat. Tapi saya harus mengaku juga, saya pernah tampal gambar Jerry Yen pada salah satu fail yang memuatkan nota-nota kuliah saya. Walaupun fail itu sudah berusia 10 tahun, ia masih ada dalam simpanan, sampai anak saya bertanya, ini gambar siapa? Ha ha ha. Eh, panjang pulak intronya...

Kedua-dua Drama ini telah memberikan impak yang cukup hebat didalam dunia hiburan versi timur.

Semasa masih menuntut, cerita Meteor Garden (Taiwan) ini begitu hangat dan sensasi di pasaran, terutama dikalangan anak-anak gadis remaja. Walau bagaimanapun, masa mula-mula ditayangkan di T.V saya tak kisah pun, saya sibuk menonton satu lagi cerita cina Hong Kong berkenaan ladang teh. Entah macamana kemudian seorang rakan serumah yang memang 'kaki' drama bersiri dari timur ini telah menghasut segala isi rumah untuk menonton drama itu. Maka bermulalah episod kegilaan kami pula. Habis semua komputer yang ada dalam rumah sewa dipasang dengan cerita Meteor garden. Bukan setakat tu sahaja, kami turut menempah CDnya dari kawan serumah itu. Pada hari jadi tahun itu, saya juga telah dihadiahkan dengan kaset soundtrack drama ini oleh orang yang teristimewa iaitu suami saya sekarang, manakala Email yang masih saya gunakan sampai hari ini, meterburning@yahoo pula adalah bersempena dengan cerita Meteor Garden itu. Gila kan?


BOF vs MG
Walaupun cerita ini dibuat semula oleh orang Korea (Boys Over Flower) dan telah dibuat sebelumnya oleh orang Jepun (Hana Dori), secara peribadi saya berpendapat, versi Taiwan tetap yang terbaik (saya telah menonton ketiga-tiga versi). Lakonan mantap dan skrip yang berkesan menjadikan cerita itu lebih hidup dalam versi Taiwan. Saya minta maaf kepada peminat BOF kerana walaupun ramai penonton menganggap versi Korea terbaik, tetapi saya tidak dapat sependapat dengan mereka, kerana bagi saya hubungan antara ahli F4 dalam BOF tidak menyerlah, tidak seperti keakraban F4 dalam MG.

Selain itu perasaan kasih sayang dizahirkan dengan sempurna dan bersungguh-sungguh oleh Dao Ming Zhi dan San Chai. Dengan hanya melihat mata Dao Ming Shi dan san Chai pun sudah nampak aura cerita ini berbanding Gu Jun Pyo dan Geum Jan Dii. Saya masih ingat, ada satu part di mana San Chai di halau keluar dari rumah oleh Daoming Feng (emak Dao Ming Zhi) dan Dao Ming Zhi mencarinya dengan sepenuh hati seolah-olah seperti seorang yang telah benar-benar kehilangan sehingga kami-kami yang masih muda remaja ini (ketika itu) turut lemah lutut melihat kesungguhan Dao Ming Zhi dan berangan-angan kalau-kalau ada putera raja hensem turut sama melayan kami seperti itu, hampeh betul angan-angannya, tak berpijak dibumi yang nyata sungguh. Banyak lagi adegan romantik menarik yang cukup menambat hati remaja-remaja masa itu, salah adegan lain ialah dimana Dao Ming Zhi mengejar San Chai di dalam bas selepas meluahkan perasaan dan San Chai turun semula dari bas berlari untuk mendapatkan Dao Ming Zhi. Sungguh Hindustan drama ini, tapi layan jugakk...



Manakala karakter Hua Zei Lei juga di bawa dengan sangat baik oleh Victor Zhou berbanding karakter Yoon Ji Hoo oleh Kim Yoon Jong. Saya fikir, pemilihan Vic Zhou untuk membawa watak ini sangat berjaya oleh pengarahnya. Walaupun karakter Ji hoon berkarisma, segak dan menarik, tetapi Vic Zhou tidak kurang hebatnya dan San Chai pula nampak matang berbanding Jan Dii, sesuai dengan wataknya sebagai pelajar kolej.

Bagi saya, BOF lebih sesuai untuk remaja yang berumur dibawah 18 tahun.
Hero kedua

Watak hero kedua (Ji Hoon dalam BOF dan Hua Zei Lei dalam Meteor Garden) sebenarnya adalah untuk memperkukuhkan lagi plot cerita dan menambah kekuatan kedua-dua watak utama cerita ini. Walau bagaimanapun, berbanding Jii hoon, sisi kelam dan misteri watak Hua Zei Lei sebenarnya nampak lebih berkesan. Vic Zhou menghayati bersungguh-sungguh wataknya dan mengekspresikan dengan begitu baik sekali. Ia terserlah melalui cara percakapan, cara berpakaian, cara tersenyum dan caranya berjalan. Ada bahagian pula, perbuatan Hua Zei Lei turut menyentuh hati penonton. Bukanlah Kim Hyun Joong tidak pandai berlakon, tetapi eksperesi kelam dan misteri itu tidak terserlah dengan begitu baik. Dalam BOF, watak Ji Hoon nampak lebih berwarna-warni dan terang. Ji Hoon juga tidak menyembunyikan misteri perasaannya, dia nampak lebih bersemangat dengan hidupnya berbanding Hua Zei lei.

Gadget dan kekayaan

Yang ini tidak saya nafikan, memang gadget dan kekayaan Jun Pyo nampak lebih advance berbanding Dao Ming Zhi. Nampaknya pengarah BOF mengambil iktibar dari drama Meteor Garden yang mana kekayaannya tidak ditunjukkan dengan baik. Gadget pula memanglah BOF lebih advance, kerana Meteor Garden dihasilkan lebih sepuluh tahun yang lalu berbanding BOF, sudah tentulah gadget-gadgetnya bertambah moden seiring dengan peredaran zaman.

Lagu tema

Saya dan rakan serumah pernah menghafal lagu tema Meteor Garden! Dua lagu terkenal dari drama ini dinyanyikan oleh Harlem Yu dan Penny Tai yang berasal dari Malaysia. Kami juga selalu dengar lagu ini di radio. Juruhebah ketika itu mungkin turut tertarik dengan cerita ini agaknya. Skor muziknya memang menarik dan berkesan, tak kira untuk adegan sedih, romantik, kelakar dan sebagainya. Tapi saya jarang dengar lagu BOF di radio, penyanyinya pun saya tak kenal.

Kenangan manis

Sebenarnya drama Meteor Garden ini telah banyak memberi kenangan manis kepada saya dan rakan-rakan sewaktu zaman di Universiti dulu. Tidak banyak drama yang saya benar-benar bersungguh-sungguh menontonnya dan masih saya ingati sampai ke hari ini tak kiralah drama dari negara manapun (kecuali drama With Love dari Jepun dan My Girl dari Korea). Drama BOF pula saya tonton tanpa mempunyai apa-apa feel kerana  ia tidak lagi sesuai untuk jiwa dan umur saya, tetapi kerana minat dengan drama Meteor Garden, saya menonton juga BOF ( hanya untuk membuat perbandingan) dan mungkin saya bersikap sedikit bias terhadap drama BOF semasa membuat entry ini.

Wednesday, June 27, 2012

Seorang bapa dan kerja

Ya. Saya telah bekerja bertahun-tahun lamanya sebaik sahaja saya menamatkan alam persekolahan. Semasa di Universiti juga saya telah bekerja separuh masa untuk menampung perbelanjaan. Pelbagai ragam manusia dan cabaran telah saya tempuhi sepanjang bekerja itu sampailah kini. Banyak pengalaman pekerjaan telah saya lalui. Pernah menjadi orang bawahan dan juga pernah menjadi seorang ketua. Ada yang pahit, ada yang manis, ada yang masih saya gunakan ilmunya sehingga kini samada di rumah atau ditempat kerja.

Tetapi sekarang, walaupun gaji tidak sebesar mana, saya sangat gembira dengan kerjaya saya. Cuma saya harus merajinkan diri sedikit sahaja lagi jika mahu menjadi seorang yang lebih versatile kerana banyak peluang yang baik-baik ada di sini dan belum tentu semua orang mampu memiliki peluang seperti ini. Alangkah bertuahnya saya.

Sebenarnya saya bukan hendak bercerita tentang kerjaya saya dalam entry ini. pagi tadi saya mendengar Sinar FM tentang keluh kesah masyarakat berkenaan tempat kerja mereka, ada yang gembira, ada yang tidak gembira, ada bos baik, ada bos cenggeng, ada yang dapat pekerja rajin, ada pula dapat pegawai bawahan yang bermasalah dan ada yang sampai terpaksa di rujuk ke pakar psikiatrik akibat stress dengan tempat kerja. Macam-macam ragam. Semua itu pernah saya lalui, kecuali kena rujuk ke pakar psikiatrik, tidaklah sampai ke situ.

Entry ini sebenarnya adalah berkenaan dengan ketua saya. Ya, sepanjang 33 tahun umur saya, inilah kali pertama saya mempunyai seorang ketua yang sangat baik sekali. Yang saya anggap seperti bapa saya sendiri. Yang tidak pernah marah ketika saya melakukan kesilapan, sebaliknya menegur dengan begitu berhemah sehingga tidak rasa direndahkan dan dimalukan langsung. Yang begitu prihatin dengan masalah-masalah pekerjanya (tak kira lelaki atau perempuan). Seorang ketua yang sangat senang untuk diajak berbincang dalam masa yang sama mempunyai batas-batas tersendiri tanpa perlu beliau mengingatkanya kepada saya bahawa beliau adalah seorang ketua dan saya hanya pegawai bawahan. Sampai pernah satu ketika dalam mesyuarat secara tak sengaja saya telah berkata, kalau ketua saya dipindahkan, sayapun nak ikut jugak! Lantas sayapun kena marah dengan pengarah saya. Padan muka saya kerana cabul sangat. Nasib baik ketua saya tidak pindah. Kalau ketua saya pindah, habislah saya. Seriau satu opis.

Bukan mudah untuk menjadi seorang ketua yang baik dan sangat di sayangi oleh anak-anak buah dalam masa yang sama ada batas pergaulan sebagai ketua dan pegawai bawahan. Berat beban yang dipikul itu dan saya memahaminya. Justeru saya amat menghargai ketua saya, kerana dalam banyak-banyak kaunseling pekerjaan, ketua saya adalah contoh ketua yang mengamalkan ciri-ciri teladan yang baik kepada pekerjanya tidak kira dari segi keagamaan, keperibadian dan sebagainya. Semoga saya berjaya menjadi pekerja yang terbaik selepas ini. Amin


Tuesday, June 19, 2012

Kesabaran dan kesederhanaan

Tidak semua orang dikurniakan bakat mendengar yang baik. Hanya segelintir sahaja mampu menjadi seorang pendengar yang taat dengan hati yang ikhlas. Begitu juga dengan kesabaran. Tidak semua manusia di muka bumi ini mampu menjadi seorang yang penyabar dan selalu bertenang. Ada masa-masanya kita akan hilang kesabaran juga. Walau bagaimanapun, Tuhan itu bukanlah tidak adil apabila Dia tidak mahu mengurniakan sifat pendengar yang baik dan sifat penyabar itu kepada semua orang. Lalu dikurniakanNya pula beberapa sifat lain yang boleh membantu sifat penyabar apabila manusia itu sememangnya lemah dalam hal itu.

Apapun cabarannya dalam dunia ini, kita manusia sama sahaja sebenarnya. Tidak pernah Tuhan menjadikan seseorang itu tidak adil dari orang lain atau jauh darjatnya dari orang lain. Hanya kita yang kadang-kadang alpa dan memikirkan kita adalah manusia yang tinggi darjatnya dari orang lain. Oleh itu seharusnyalah kita selalu berfikiran positif dan menghalang perasaan riak mengemudi diri. Walaupun sukar untuk dilaksanakan tapi gagahkanlah diri. Tidak rugi untuk mencuba bersabar. Sabar itu manis untuk dikenang.

Monday, June 18, 2012

Bina asrama selesai penempatan pekerja asing

Bina asrama selesai penempatan pekerja asing
(sumber dipetik dari Utusan Malaysia)

Saya adalah orang yang paling bersetuju dengan rancangan kerajaan negeri Melaka ini. Sebenarnya perkara ini selalu bermain-main dalam pemikiran saya. Saya sangat menyampah dengan pekerja-pekerja asing yang sewenang-wenangnya menggunakan segala kemudahan yang ada untuk rakyat  negara kita dan kemudian tidak tahu pula untuk menjaganya dengan baik.

Kalau tinggal dikawasan perumahan yang melibatkan rakyat tempatan pula mereka selalu sahaja mengundang berbagai-bagai masalah dengan masyarakat sekeliling. Ada-ada sahaja perkara buruk yang cuba hendak diterjemahkan. Kadang-kadang mereka boleh bertindak lebih liar dan langsung tidak mahu menghormati budaya masyarakat kita. Kawan sekerja saya memberitahu, ada pendatang yang tinggal satu kawasan dengannya sungguh tidak tahu malu, mereka selalu sahaja berbuat bising dan tidak takut kepada pihak berkuasa. Paling memualkan mereka membawa apa sahaja yang boleh dibawa ke rumah sewa mereka itu termasuk membina reban-reban untuk ternakan mereka!

Justeru membuat penempatan khas seperti kerajaan Melaka ini adalah lebih baik supaya mereka tinggal berasingan dengan rakyat tempatan. Lebih baik juga, asingkan pengangkutan, segala kedai-kedai mereka dan apa-apa sahaja yang releven untuk dipisahkan dari rakyat tempatan. Saya turut bersetuju sekiranya pasaraya-pasaraya mengenakan cas tambahan membeli belah untuk pendatang-pendatang ini, seperti cas 5 % setiap kali membeli belah dan sebagainya untuk membezakan hak keistimewaan rakyat tempatan. Sudah sampai masanya untuk berbuat baik kepada rakyat sendiri selain asyik berbuat baik kepada pendatang-pendatang yang kebanyakan mereka tidak tahu menghargai jasabaik kita ini.

Bukanlah hendak menidakkan hak mereka sebagai penghuni di muka bumi Tuhan ini, tetapi kadang-kadang perlu untuk kita menyedarkan mereka tentang keperluan untuk menghormati orang lain terutama tuan rumah tempat mereka bekerja.

Model-80an: Dato' Dr Fadzilah Kam To me

Dipinjam dari blog Pn Nani Rostam



Bismillahirahmanirahim,

Assalamualaikum,

Entri ni saya tujukan khas buat seorang teman yang sedang dilanda masalah yang sungguh mengganggu jiwa.

Sesungguhnya kehidupan ini tidak pernah sempurna. Sebagai mahkluk yang diberi akal fikiran dan segala kebijaksanaan berbanding makhluk Allah yang lain, saya andaikan bahawa setiap dugaan itu insyallah akan ada hikmah disebaliknya maka harus kita gunakan sebaik baik akal fikiran untuk kita cari jalan penyelesaian yang paling baik sebagai  melabelkan yang kita sebagai manusia yang mempunyai jiwa yang besar dan sentiasa mahu berbahagia dan  tidak perlu memusuhi sesiapa.

Ya ya minda yang cerdas ya...jiwa yang tenang...hatipun senang ya. Ok yang ini versi Dato' Dr Fadzilah Kam..to me....bila menyebut kena ikut gaya Johan sambil mengayakan dengan mulut yang penuh. (Oh ya Alisya sungguh pandai imitate gaya Johan)
(Saja selit selingan  ini untuk santaikan hati sket)

Ok sambung balik ke versi yang lebih serius...

Sebolehnya tenangkan jiwa, positifkan minda, lepaskan tekanan dan segala kegundahan dalam hati. Siapa lagi yang mahu menghargai diri kita kalau kita sendiri tidak tahu menhargaiynya. Siapa yang bakal mencorakkan hari-hari yang  bakal kita lalui. kalau bukan diri kita sendiri.

Jika diri disayangi, jangan sia-siakan kasih sayang mereka. Letak penghargaan kita terhadap kasih sayang dan cinta mereka. Namun jika diri sudah dibenci jangan sampai kebencian mereka terhadap kita menyeksa diri kita sendiri. Jadikanlah titik kebencian mereka itu sebagai satu titik tolak untuk kita jadikan satu semangat yang dapat mengubah diri jadi yang lebih baik.

Apalah kebencian manusia berbanding kebencian Allah terhadap kita dan apalah kecintaan manusia berbanding kecintaan Allah terhadap kita. Apa yang penting Allah tahu di mana kita berada. Allah tahu hati kita.  Allah tahu niat kita.

Jangan sesekali menggangap dugaan itu sebagai sebuah kemusnahan atau kegagalan. Justeru semestinya kita teguhkan dalam hati dan pendirian bahawa tanpa kegagalan mana mungkin kita punya ruang untuk mencari kejayaan dan kebahagiaan.

Jangan menyalahkan orang lain apatah lagi takdir. Kendati mencari setiap sudut kesilapan dan kekhilafan orang lain pun akan membuat jiwa kita tambah tertekan., tidak keruan dan tidak tenang Selalu pahatkan dalam jiwa  supaya tidak melulu menghukum dan mencemuh orang lain kerana kita tidak tahu hakikat sebenar atau dalam ertikata lain kita tidak menyarung kasut yang sama jadi kita tidak tahu bagaimana rasanya bila memakai kasut itu. Mungkin sekadar membayangkan diri kita berada ditempat merekapun sudah memadai bagaimana rasanya jadi mereka.

Dalam perhubungan sesama manusia pasti ada budi ditabur budi dirasa. Jika ada budi yang pernah kita tabur, jangan disebut-sebut. Kerana setiap sebutan tentang budi akan menggugurkan segunung pahalanya. Kerana tidak layak  mengelarnya budi kalau tiada keikhlasan. Bila diri sendiri tidak pernah ada keikhlasan, maka jangan mengharap sebarang kebahagiaan.  Justeru keikhlasan yang kita beri, maka ketulusan yang kita dapat. Keikhlasan dan ketulusan  itu jua yang memadam segala api dendam. Bila  kita ikhlas menyayangi  pasti kita mahu mereka bahagia walaupun tiada lagi cinta mereka untuk kita.Bila tiada lagi cinta mereka untuk kita pasti kita lebih layak untuk cinta yang lain. Percayalah, hidup ini macam roda kereta lembu. Hari ini kita di atas, namun esok  adakala kita menggelek tahi lembu itu sendiri. Begitulah seterusnya sampai nyawa dihujung nanti.

....anak sungai lagi berubah
.....inikan pula hati manusia

Hati manusia sukar diduga. Hari ni dialah intan dialah payung. Esok lusa..dia yang tikam dia yang racun. Hari ini dialah  kasih dialah kesayangku. Esok lusa dialah musuh dialah seteru. Hari ini dialah penghibur segala lara.  Esok  lusa dialah punca segala sengsara segala derita.

Memang hebat perlakuan mereka terhadap kita namun jika kita sentiasa ingat bahawa itulah manusia. Rambut sama hitam hati lain-lain. Jika kita sedar yang kita pun manusia....ada kemungkinan satu hari kelakuan kita tak ubah macam mereka, sikap kita sama macam mereka maka  bermusahabah lah diri bahawa manusia itu seperti kita tidak pernah sempurna.. mempunyai hati yang tidak tetap. berbolak balik keadaannya. Jadi  jangan mencemuh kekurangan mereka. Bahkan jadikan segalanya satu  dugaan untuk kita. Hadapi dengan seribu kekuatan. Jika itu takdir buat kita kita syukuri kerana tanpa hari ni maka tiada esok...tanpa ada ujian maka tiada pembelajaran.

Memanglah tidak semua jiwa itu besar, tidak semua hati itu kuat kerana namapun manusia biasa, hambaNya yang lemah, namun bila kita diberi akal fikiran, tahu di mana mahu menangani  keadaan, tahu dimana mahu bertindak dengan kebijaksanaan maka segala permasalahn dapat kita atasi apabila kita percaya bahawa kita sedang berusaha berserta doa dan harapan serta pasti dan yakin bahawa Allah akan selalu meyertai kita kalau kita sabar akan segala ujianNya.

Insyallah, terimalah hakikat bahawa cinta mereka bukan kita lagi. Kalau mereka sudah benci lepaskanlah mereka pergi. Buat apa menyeksa diri untuk orang yang tidak sukakan kita lagi. Buat apa memikir bermati mati sekadar cinta yang tidak bersisa lagi.

Terus melangkah kerana hari tidak menunggu kita lagi. Carilah pengganti diri kerana pasti ada lain yang lebih baik untuk kita lagi. Maka kita pasti dapat bersyukur bahawa semua ujian dan dugaan Allah adalah untuk memberi kita hari ini sesuatu yang lebih baik dari semalam.

Lepaskanlah segala yang palsu dan pura-pura. Kita berhak mendapat yang lebih jujur dan tulus.

Insyallah.

Tuesday, June 5, 2012

Percutian di Kota Bharu - Part last

Mungkin tiga entry ini yang paling panjang pernah saya hasilkan. Kota Bharu part I, part II,  gambar dan part final ini. Bukanlah maksudnya saya hendak berlagak. Apalah sangat setakat berjalan di dalam semenanjung (bagi sesetengah orang). Lainlah kalau melancong di luar negeri atau tempat yang orang tidak biasa pergi. Tapi apa pula salahnya menceritakan pengalaman berjalan dalam negeri sendiri. Yang penting Nawaitu. Oklah, entry ini adalah sambungan dari entry ini , ini dan ini.

Kami sampai dari Pasir Puteh ke KB dengan dihantar adik ipar dalam pukul 7 malam. Jalan memang sesak teruk. Saya dan suami merasa sangat serba salah kerana adik ipar dan isteri terpaksa meninggalkan kenduri itu untuk menghantar kami. Tapi tidak ada apa-apa yang dapat dilakukan selain ucapan terima kasih sahaja. Semoga segalanya berjalan dengan baik sepanjang kenduri itu.

Malam itu kerana sudah letih, kami makan di dalam bilik sahaja dengan Mc D, apam balik dan remis yang dibeli di Pasir puteh tadi. Rasanya boleh tahan walaupun remis itu sangat susah dibuka. Apam balik itu pula, seperti yang telah diceritakan dalam entry sebelumnya memang sangat sedap bagi saya, walaupun manis dan ia tidak sesuai bagi pesakit diabetes.

Keesokkannya, kamipun bersiap-siap untuk check out. Memanglah flight saya pukul 6 petang, tapi kami ingin berjalan-jalan dulu. Beg di tinggalkan sahaja di dalam hotel. Kali ini kami ke muzium yang berhampiran. Rupanya ada kopitiam di situ. Saya yang memang peminat kopi sempatlah singgah minum. Selepas itu lagi sekali kami berjalan-jalan di Pasar Siti Khadijah walaupun tidak membeli apa-apa. Dan sempat pula kami makan sup yang enak di atas pasar itu.

Balik dari berjalan, kamipun  minta hotel panggilkan teksi untuk ke Lapangan Terbang. Maka berakhirlah satu percutian yang indah untuk musim cuti sekolah anak-anak pada kali ini. Semoga lain kali saya dimurahkan rezeki untuk membawa anak-anak ketempat lain pula. Amin



Gambar di Kota Bharu

Ceritanya di sini dan di sini
Menunggu LRT
Dalam bas ke LCCT
Dalam bas ke LCCT
Anak-anak pertama kali menaiki kapal terbang
KFC Kota Bharu
Pakat sambung tidur lepas subuh, walaupun sudah tengah hari
Makan di bilik
Pasar Siti Khadijah
Menunggu Air Milo
Sarapan
Menunggu adik ipar
Kenduri di Pasir Puteh
Pasar Pasir Puteh
Membeli remis
pintu masuk Pasar Pasir Puteh
Berjalan-jalan
Di sini pun ada kopitiam
Pasar Siti Khadijah
Pasar Siti Khadijah

Dalam penerbangan balik

Tiba di LCCT

Monday, June 4, 2012

hari ibu

Mungkin sudah lewat, tetapi saya ingin membuat catatan sedikit mengenai hari ibu.

Gambar di atas adalah gambar bunga yang diberi oleh anak saya yang berumur 6 tahun sempena hari ibu. Saya selitkan bunga tersebut di dinding dapur sebagai penghargaan dan tanda terima kasih saya kepadanya, walaupun ia hanyalah sekuntum bunga plastik. (Sesungguhnya saya juga menyayangi emak saya, emak mertua saya dan emak mertua angkat saya.)

Walau bagaimanapun, baru-baru ini saya terbaca tentang sambutan hari ibu yang diharamkan di dalam negara kita.  Ramai blogger dan alim ulama membuat pembahasan tentang perkara ini. Ada yang bersetuju diharamkan dan ada yang tidak bersetuju diharamkan, atas pelbagai alasan.

Secara asasnya memang ini satu perayaan yang bukan berasal dari negara kita. Perayaan ini disambut oleh orang-orang kristian dan tujuan asal hari ibu ini disambut adalah berkait rapat dengan agama kristian itu sendiri.

Tetapi saya agak tertarik dengan pendapat seseorang yang saya temui dari sebuah blog di sini. Antara pendapatnya :

(2) HARI IBU DI MALAYSIA

--> PENGASAS: Ann Jarvis (US)
--> MASA PERAYAAN: ahad (minggu ke-2 dlm bulan Mei)
--> OBJEKTIF: Sebagai hari bagi merayakan jasa & pengorbanan ibu yang melahirkan kita.
--> Maklumat tambahan : Pengasasnye juga tidak meletakkan garis panduan mnyambut hari ini dlm bntuk spiritual/keagamaan kerana objektifnye untuk memperingati pengorbanan para ibu2.

=============RUJUKAN===============
1)http://en.wikipedia.org/wiki/Cybele#Festivals

2)http://en.wikipedia.org/wiki/Mothering_Sunday

3)http://en.wikipedia.org/wiki/Mother%27s_Day

4)http://en.wikipedia.org/wiki/Mother_Teresa
==================================

So, x prlulah risau krana hari ibu yg disambut di asaskn olh Ann Jarvis ini langsung x menyentuh/bermotif perihal keagamaan/ketuhanan & tidak melaggar mana2 undang2 dlm islam, malah ada hikmah disebalik hari ibu ni kerana ia ibarat “alarm” untuk mengingatkn kita yg kadang2 terlupa akn tanggungjawab kita kpda ibu kita, tlupa untuk menghargai jasa2 & pengorbanan mereka.


Secara peribadinya saya menganggap, sambutan hari ibu bagi umat Islam di Malaysia bukan di sambut atas dasar yang sama seperti umat agama lain. Mereka menyambut hanya untuk meraikan hari itu pada satu hari tertentu, namun tidaklah pula sampai bermaksud pada hari-hari biasa mereka tidak menyayangi atau menghormati ibu mereka. Hari ibu tidaklah seperti hari kekasih yang selalu disalah guna untuk melakukan maksiat, malah ia langsung tidak berkaitan dengan perbuatan keji atau syirik.

Mungkin pendapat saya ini agak sensitif bagi sesetengah orang, tetapi pada saya selagi kita tidak mengganggap tujuan sambutan hari ibu itu sama seperti  tujuan keagamaan tertentu, mungkin ia tidak menjadi salah. Pasanglah niat kita kerana Allah dan kerana untuk menggembirakan hati sang ibu yang telah melahirkan, itu sahaja dan janganlah berlebih-lebihan. Cuba bayangkan anak kecil kita yang masih belum faham apa-apa datang sambil tersenyum pada suatu hari mencium pipi kita dan menghulur sekuntum bunga menyatakan "sayang ibu, selamat hari ibu!". Adakah kita akan menjerkah anak itu lalu mengatakan hari ibu haram disambut dan hadiah yang diberinya tidak kita terima. Apakah perasaan anak kecil itu? Adakah dia akan faham? Kita juga selalu menyambut hari jadi atau hari anniversary yang tidak pernah wajib disambut dalam kalendar Islam, malah kadang-kadang ada pula umat Islam yang bebal turut sama menyambut hari Krismas, jadi umat seperti itulah sepatutnya yang diberi perhatian lebih. Maaf jika terlanjur kata. Sekian

p/s : sedikit tambahan, walaupun perayaan hari ibu adalah satu budaya ikut-ikutan, namun ada banyak lagi majlis-majlis atau perayaan yang menjadi ikut-ikutan di kalangan orang islam dalam negara ini, sama seperti majlis sambutan hari jadi, majlis bersanding di atas pelamin dan perayaan hari kemerdekaan.

Friday, June 1, 2012

percutian di Kota Bharu - Part 2 (kenduri dan pasar pasir puteh)

Sambungan dari sini

Malam kedua di Kota Bharu, suami memaklumkan yang adiknya ada di Kelantan. Adik ipar saya berkahwin dengan orang Kelantan, jadi sempena cuti sekolah ini mereka pulang membawa anak-anak ke kampung selain menghadiri majlis kenduri kahwin seorang saudara. Langsunglah kami dipelawa untuk menghadiri kenduri itu di Pasir Puteh. Esoknya dia datang menjemput kami di hotel. Jalan penuh sesak kerana cuti sekolah dan hari bekerja, kesian saya kerana dia terpaksa menjemput kami anak beranak, walaupun pada asalnya kami merancang untuk menaiki bas sahaja.

Walau bagaimanapun saya tidak dapat menghayati kenduri itu dengan sepenuhnya, tetapi bukanlah kerana orang Kelantan tidak peramah atau budaya yang berbeza dan makanan yang tidak sedap, ini kerana waktu kami sampai itu, majlis masih belum sampai kemuncaknya, pengantinpun belum balik dari majlis akad nikah di masjid, cuaca pula sangat panas dan anak adik ipar saya demam. Jadi sebaik sahaja suami saya selesai makan, kamipun bergegas balik ke rumah mertua adik ipar saya. Saya agak terkilan juga kerana tidak sempat beramah mesra dengan tuan rumah, saya malu sebenarnya, tapi saya pasti, pengantinnya sudah tentu cantik, kerana ramai orang-orang kelantan memang cantik seperti isteri adik ipar saya itu.

Secara asasnya tidak ada apa perbezaan ketara pun antara kenduri orang di pantai barat dan di pantai timur, yang penting tetap akad nikah. Cuma mungkin sedikit lain ialah, mereka tidak kisah mengadakan kenduri pada hari berkerja, tidak seperti di sebelah pantai barat, amnya kenduri diadakan pada hujung minggu untuk memudahkan saudara-mara yang bekerja balik meraikan bersama-sama. Satu yang menarik hati saya ialah, masyarakat disini masih mengamalkan budaya menghulurkan barang keperluan asas seperti gula dan beras sebagai buah tangan untuk tuan rumah. Dulu-dulu orang kampung saya juga begitu, tapi kini ia semakin terhakis, mereka lebih selesa memberi dalam bentuk duit kerana beranggapan lebih mudah untuk tuan rumah merancang perbelanjaan dengan pemberian duit.

Balik itu, walaupun saya dan suami beria-ia meminta dihantarkan ke Pekan Pasir puteh sahaja (kami berniat untuk menaiki bas), tetapi adik ipar saya lebih beria-ia untuk menghantar terus ke bandar KB. Dia dan isteri kemudian membawa kami ke pekan pasir puteh tempat membeli belah terkenal di sini. Sangat hebat pasar ini, padanlah orang ramai rajin ke Kelantan untuk membeli barang-barang seperti periuk, toto, pinggan mangkuk dan sebagainya kerana harga yang sangat berpatutan. Maka, hancurlah janji saya untuk tidak membeli-belah selepas membeli dua buah toto dengan sokongan suami. Lagi sekali saya terhutang budi kepada adik ipar kerana sudi membawa toto itu balik ke Penang sebelum di hantar ke Perak rumah mak mertua. Ini kerana, kami datang menaiki kapal terbang jadi agak sukar untuk membawa barang-barang itu balik.

Di pasar itu juga ada dijual makanan-makanan yang terkenal di Kelantan seperti keropok dan asam-asaman, tetapi yang lebih menarik bagi saya ialah apam balik yang istimewa, dalamnya ada kismis, pisang dan sebagainya, terasa lebih enak dan kena dengan citarasa saya, walaupun ia agak manis. Ada juga tapai ubi yang digoreng sesuai untuk minum petang selain dari remis yang sudah siap di masak.

Dalam perjalanan balik itu sempatlah suami dan adik ipar mengimbas kenangan lalu mereka, iaitu ketika berjalan kaki sejauh lebih 5 kilometer bersama-sama emak mertua di hari pendaftaran adik ipar ke sebuah politeknik berhampiran. Adik ipar saya meluahkan kekesalannya kerana tidak mengambil teksi sahaja pada masa itu untuk ibu yang sudah tua. Tetapi saya fikir, memang kebanyakkan orang tidak banyak duit pada zaman itu, jadi mereka sangat sayang untuk berbelanja walaupun terpaksa berkorban tenaga yang banyak. Keluarga saya juga selalu begitu, dan saya amat memahaminya.

gambar di sini


Percutian di kota Bharu - Part 1

Memang sudah agak lama saya tidak ke Kota Bharu. Mungkin sudah lebih 5 tahun. Kedatangan kami kali ini bukanlah untuk menghadiri urusan tertentu, tetapi ia lebih kepada membawa anak-anak berjalan sahaja. Entah kenapa saya merasa agak selesa untuk berjalan-jalan makan angin di sini. Mungkin disebabkan sudah pernah datang ke sini beberapa kali. Dan kami masih memilih hotel yang sama pada kali terakhir kami datang ke sini. Walaupun bukan hotel bertaraf 5 bintang, tetapi pekerja-pekerjanya sangat peramah, itu yang membuatkan kami selesa. Selain dari itu, hotel ini ini juga berada di tempat yang sangat strategik di dalam kota bharu. Harga berpatutan, bilik yang selesa, pekerja yang baik dan akses yang mudah, sesuailah untuk kami yang membawa anak-anak kecil ini. Kami juga mendapat diskaun kerana pernah menginap dahulu. Saya tidak menolak kemungkinan, jka ke KB lagi, hotel ini masih menjadi pilihan.

Percutian ini telah dirancang sejak berbulan-bulan yang lalu. Tujuannya memang betul-betul untuk makan angin dan bukan membeli-belah. Kami datang kesini cuma untuk berehat, makan, tidur dan sedikit berjalan-jalan. Namun perancangan manusia  tidak selalunya tepat, pesawat kami itu telah tertangguh selama sejam dari jadual asalnya, saya dimaklumkan melalui emel beberapa minggu sebelum itu. Oleh kerana masa tiba agak lewat, kami menggunakan pengangkutan hotel sahaja dari airport dengan di cas RM 30. Bila sampai di hotel pada pukul 10 malam itu, semua kedai makan berhampiran hotelpun sudah ditutup, anak-anak pula mengadu kelaparan. Tetapi saya agak terkejut kerana KFC masih dibuka dan KFC di sini tutup pada pukul 3 pagi rupanya. Lokasinya pula, hanya beberapa ratus meter dari hotel itu.

Pagi esoknya, kami bersarapan di hotel sahaja. Memang kami tidak keluar pada hari itu dari pagi sampai ke petang. Makananpun hanya dibeli di dalam hotel. Room service untuk makanan sangat murah di sini, kualitinya boleh tahan juga. Sepinggan bihun hanya berharga RM 7, manakala chicken chop pula kira-kira rm10. Berbanding dengan beberapa hotel yang saya menginap sebelum ini, untuk sepinggan bihun goreng yang bodoh-bodoh pun boleh di cas sehingga rm 35! Memang saya sanggup naik bas ke tengah bandar kalau macam itu mahalnya.

 Pada petangnya barulah kami keluar berjalan-jalan di sekitar bandar Kota Bharu itu, di Pasar Siti Khadijah yang terkenal dan Wakaf Che Yeh. Namun hanya setakat bersiar-siar kerana kami bukan hendak membeli barang. Malamnya makan di pasar malam yang tidak kurang terkenalnya di sini. Disitu segala macam makanan Kelantan dan Siam ada dijual seperti jala mas, tahi itik, sotong sumbat pulut, som tam dan macam-macam lagi. Walaupun bukan peminat makanan manis, saya cuba juga seketul dua kuih muih itu. Pasar malam ini bukan setakat dihadiri oleh orang tempatan, malahan pelancong asing. Walaupun nampak teragak-agak, mereka memberanikan diri juga membeli makanan-makanan itu. Kalau saya jadi pelancong pun saya akan mencuba makanan tempatan tempat yang saya lawati itu selagi halal. Apa salahnya mencuba, kalau tak boleh makan banyak, makanlah sikit sahaja. Anak-anak saya, kerana sudah letih berjalan, ada yang sampai tertidur di meja makan. Jenuh jugak nak mendukung sampai ke hotel.

cerita ini bersambung lagi disini 
gambar pula di sini