Tuesday, August 28, 2012

Al-Arqam

Tujuan saya menulis entry ini adalah bukan kerana saya pengikut Al-Arqam atau ingin mempertahankan perjuangan mereka. Saya tidak pernah bergaul secara langsung atau terbabit dengan aktiviti-aktiviti mereka. Saya cuma ingin menceritakan beberapa pengalaman melalui kertas yang pernah dilihat mengenai Al-Arqam ini, terutamanya dari sudut positif. Tetapi untuk menggalakkan penubuhan semula Al-Arqam ini, tentulah tidak sama sekali kerana sudah nyata ia sebuah pertubuhan yang haram. Isunya juga amat-amat sensitif kerana dalam mana-mana ajaran sesatpun, sudah pasti ia melibatkan pemesongan aqidah.

Namun realitinya, Al-Arqam adalah antara pertubuhan sesat yang paling berjaya didalam negara kita. Walaupun ajaran Ayah Pin begitu panas dikatakan, tetapi impaknya tidak sehebat yang pernah dilakukan oleh Al-Arqam. Justeru, saya tidak dapat menolak, bahawa suatu masa dulu saya pernah merasa kagum dengan kejayaan kumpulan sesat ini.

Sebagai sedikit informasi, pertubuhan ini tidak pernah menggunakan kekerasan dalam ajaran mereka. Tidak ada pistol dan senjata-senjata. Juga bagi level yang rendah, tidak ada zikir keras yang pelik-pelik (untuk level yang lebih tinggi saya tidak tahulah). Mereka lebih menekankan aspek diplomasi dan dakwah yang berterusan. Aktiviti banyak difokus di kampung-kampung pedalaman dan dikawasan-kawasan orang miskin. Saya juga mendapati, mereka bukan berdakwah dengan cara memujuk atau menyeru seperti yang dilakukan oleh kumpulan-kumpulan tabligh biasa. Cara yang dilakukan oleh dua kumpulan ini adalah berbeza. Modus Operandi Al-Arqam lebih kepada mendekati, membantu secara berterusan, berkomunikasi dengan kaedah yang betul dan menunjukkan cara-cara hidup muslimin/muslimat yang baik tanpa menyeru sesiapa untuk menyertai mereka. Manakala, kumpulan tabligh pula datang terus kepada orang ramai sambil menyeru untuk masuk Islam dan sebagainya. Kebanyakan orang yang terlibat dengan Al-Arqam bukanlah kerana mereka diseru atau diajak, tetapi mereka menyertai dengan sukarela.

Kumpulan ini tidak mengharapkan belas ihsan dan bantuan kewangan dari derma atau kutipan pengikut, tetapi mereka mewujudkan empayar ekonomi tersendiri yang diasaskan oleh hampir kesemua jenis golongan, seperti Doktor, Jurutera, Peguam, Artis, Peniaga dan sebagainya. Diperkampungan di Sungai Penchala itu, mereka mewujudkan banyak jenis perniagaan yang ada di kalangan masyarakat seperti kedai runcit, kilang kecil, klinik dan dunia penerbitan majalah/bacaan untuk membiayai aktiviti dan menjana ekonomi seharian.. Walaupun nampak seperti kuno dan terkurung, tetapi sebenarnya mereka adalah jenis golongan yang berfikiran luas. Malah pengalaman mereka juga mungkin lebih luas berbanding dengan ustaz-ustaz yang di lantik oleh kerajaan-kerajaan pada masa ketika itu. Kumpulan ini juga banyak merendah diri dan mendekatkan diri kepada banyak golongan marhaen tanpa ragu-ragu.

Beberapa buku yang dihasilkan oleh Ashaari seperti 'Mengenal Diri Melalui Rasa Hati' dan 'Kenapa Salahkan Musuh' dari segi motivasinya adalah relevan untuk di baca. Walaupun buku itu saya baca sewaktu zaman kanak-kanak dulu, iaitu sekitar umur sepuluh tahun, tetapi saya positif yang ia tidak mempunyai sebarang unsur penyelewengan akidah. Buku itu juga pernah terjual sehingga lebih 1/2 juta unit. Suatu angka yang amat besar.

Benar, saya tidak pernah masuk ke dalam rumah Al-Arqam, walau sekalipun. Saya hanya melihat mereka dari luar sahaja. Tapi dari luarpun saya dapat merasakan, banyak kaedah yang digunakan oleh Al-Arqam ini boleh dicontohi oleh pendakwah-pendakwah dan alim-ulama kita. Buangkan sahaja kepercayaan yang memesongkan akidah mereka itu, tetapi ambillah apa yang baik yang pernah mereka lakukan. Tidak ada apa salah dan ruginya. Mereka berdakwah dengan cara mendekati dan menyertai. Mereka pergi dan hampir kepada golongan yang memerlukan. Mereka mengajar dan berlemah lembut. Mereka memerhati dan memberi perhatian. Mereka mewujudkan satu dunia ekonomi mereka sendiri yang berasaskan ciri-ciri keislaman. Itulah sesuatu yang masih gagal dilaksanakan oleh banyak golongan ilmu agama dan mana-mana pemerintahpun pada hari ini.

Namun dari beberapa pembacaan saya terutamanya dari buku bertajuk tersungkur di kaki syurga karya Zabidi Mohamed saya dapat menyimpulkan bahawa, manusia ini apabila terlalu taksub, syaitan dengan sedaya upayanya akan menghasut agar kita menjai riak dan ujub. Begitulah akhirnya syaitan memusnahkan sebuah institusi yang mungkin landasannya benar pada awalnya, diyakini, digerakkan dengan baik dan betul, tapi kemudiannya terpesong secara halus dan tanpa di sedari.

Saudara Zulkifli Nordin dalam satu entrynya pernah menyifatkan Ashaari adalah seorang lelaki yang amat sederhana seperti di sini.

Saya tidak pernah menyalahkan TDM atas keputusannya mengharamkan Institusi ini suatu ketika dahulu. Ia bukanlah kerana saya begitu taksub dengan orang tua itu. Beliau mempunyai alasannya tersendiri sebagai seorang ketua negara pada ketika itu. Tetapi bagi saya, sedikit kesilapan sahaja dari segi kepercayaan akidah boleh menghancurkan keseluruhan hidup umat muslimin ini. Begitulah yang terjadi kepada Al-Arqam.

imej kredit dari ms.wikipedia.org



Saturday, August 18, 2012

Selamat hari raya..

Selamat hari raya kepada semua umat muslimin dan muslimat, walau di mana juga berada. Saya mengharapkan agar umat Islam dimana-mana sahaja tidak akan ditindas lagi. Semoga umat Islam di Malaysia sentiasa bersatu padu dan hidup dalam keadaan aman dan makmur. Sekian terima kasih

Thursday, August 16, 2012

Blackrose - Penantian ( Original Version )

Blackrose - Penantian ( Original Version )



Dalam tahun 90-an, lagu ini memang popular dan mendapat tempat dihati peminat-peminat tempatan, termasuklah saya. Penyanyinya memiliki vokal yang sangat baik, mantap dan sesuai untuk menyanyikan lagu ini. Saya selalu membayangkan lagu ini untuk satu komik yang bertajuk 'Aku hidup dalam Blues' karya Ayie (yang juga sangat popular ketika itu). Sampai ke hari ini lagu ini masih mendapat tempat rupanya dihati kebanyakan generasi baru. Penyanyinya bernama Ajin, iaitu adik kepada seorang pelukis kartun yang sangat terkenal juga, iaitu Cabai ( 3 dara pingitan).

Mungkin agak sukar, tetapi itulah realitinya, lagu-lagu Melayu sudah semakin kurang berkualiti sekarang ini. Saya tidak bias dengan lagu zaman dahulu atau sekarang, walaupun membesar ditengah-tengah arena rock kapak, rap dan rock alternative (sekarang dipanggil Indie). Ada juga lagu-lagu zaman ini yang bagus dan berkualiti, tetapi kuantitinya sangat kurang. Radio-radio juga tidak berminat untuk memperdengarkan lagu-lagu yang berkualiti kepada pendengar. Orang seperti saya hanya mendengar radio, tetapi tidak berminat untuk membuat undian-undian seperti yang dihebahkan oleh stesen-stesen radio. Juruhebah zaman dahulu walaupun tidak tahu tentang statistik lagu mana yang diminati oleh pendengar, tetapi mereka tahu lagu mana yang berkualiti.

Wednesday, August 8, 2012

Pembantu Tadbir jawab guru kata kerani lembap

Pembantu Tadbir jawab guru kata kerani lembap

 (sumber dipetik dari Utusan)
Mungkin tidak semua Guru begini. Kakak dan sepupu saya adalah seorang guru juga. Setakat ini saya dapati tidaklah mereka merungut-rungut pun. Mungkin sebilangan sahaja guru yang agak tamak, mementingkan diri-sendiri, riak dan merasakan mereka patut diberi penghormatan lebih dari orang lain. Apapun, ya, tidak semua guru sebegitu, ada juga yang bertimbang rasa. Terpulanglah kepada mereka yang menjawat jawatan ini. Bagi yang berperangai buruk sebegini masih ada masa untuk berubah. Jagalah mulut masing-masing, menjadi guru tanggungjawab dan ujiannya lebih berat. Bagi pembantu Tadbir ini pula, baik-baiklah bekerja, jagalah ayat yang diluahkan, jangan terlalu banyak bermusuhan dengan guru kerana kamu dan anak-anak kamu juga dididik oleh seorang guru.

SEBAGAI penjawat awam, saya perasan yang akhir-akhir ini luahan 'Guru' banyak terpapar di dada-dada akhbar.
Pertama 'isu kerani lembap', kedua 'isu cuti khas perayaan' dan ketiga 'isu penempatan Guru Lepasan Ijazah J-qaf'.
Saya merasakan golongan ini terlalu ingin diberi banyak keistimewaan walaupun banyak keistimewaan telah diberi oleh kerajaan kepada anda.
Mungkin, seperti sebelum ini, apa jua permintaan dan perjuangan golongan pendidik ini mudah diterima kerajaan, mereka ibarat diberi betis, mahu paha pula.
Untuk makluman 'Guru' berkaitan 'isu kerani lembap', saya menyarankan anda menyemak dan meneliti fail meja dan arahan-arahan kerja anda sebagai seorang yang bergelar 'Guru'.
Anda tidak boleh menyalahkan Pembantu Tadbir di atas lambakan kerja-kerja anda. Anda tidak perlu membebankan pihak lain sekiranya tidak dapat menyiapkan tugasan anda. Kadangkala mereka juga muak dengan kerenah guru-guru yang mengarah itu ini dan satu lagi ayat yang dilihat anda seolah-olah mempertikai, menghina dan tidak faham kerjaya sebagai Pembantu Tadbir bahawa anda menyatakan bahawa anda adalah majikan Pembantu Tadbir.
Harus diingat, walaupun anda 'Guru', anda bukanlah majikan Pembantu Tadbir.
Hampir keseluruhan Pembantu Tadbir di segenap jabatan memiliki Diploma/Ijazah/Sarjana yang jauh lebih baik daripada anda dan tidak perlulah anda memandang rendah terhadap kerjaya mereka.
Pengalaman saya yang mempunyai ibu dan bapa saudara serta rakan-rakan yang bergelar guru, saya lihat mereka kurang mahir menggunakan komputer dan mengurus masa, tambahan pula apabila sesuatu yang urgent mula menggelabah.
Anda harus tahu kerjaya sebagai Pembantu Tadbir yang banyak menolong orang/pegawai atasan boleh membuat kerja di bawah tekanan dan cepat menyiapkan kerja melainkan dia seorang kakitangan yang malas dan tidak proaktif.
Kadangkala pegawai pun tidak cekap membuat kerja berdasarkan pengalaman saya yang telah bekerja di pelbagai jabatan swasta dan kerajaan.
Namun, tidak salah untuk Pembantu Tadbir membantu guru-guru tersebut, tetapi apabila terlalu banyak membantu, golongan guru menganggap itu adalah tugas Pembantu Tadbir dan mereka bebas melayari internet, bersembang kosong, aktiviti jualan langsung dan sempat pula membuat kerja sampingan lain di luar waktu bekerja.
Tidak wajarlah anda menikmati gaji besar sekiranya bebanan tugas anda digalas oleh pihak yang lain pula.
Anda sebagai guru ketika ini harus mencontohi guru-guru terdahulu yang membawa balik kerja ke rumah tanpa melibatkan kakitangan yang lain walaupun mereka bergaji kecil pada masa itu.
Mengenai isu 'guru diberi cuti khas perayaan' bagi memudahkan perjalanan balik ke kampung dan mengelak guru-guru mengambil cuti sakit semata-mata ingin balik awal ke kampung, adalah cadangan tidak masuk akal.
Apakah keistimewaan anda sehingga anda perlu diberi cuti rehat khas? Inikah mentaliti seorang pendidik? Mungkin anda kurang sensitif mengenai penjawat awam yang lain, yang juga mahu pulang ke kampung.
Kami menguruskan masa dan merancang cuti lebih awal dan ada lagi penjawat awam lain tidak pulang berhari raya dan tidak mudah untuk mengambil cuti perayaan kerana ada sistem giliran.
Saya hairan, kenapa perlu diberi cuti khas kepada golongan guru dan tidak salah kalau tidak dapat balik sehari sebelum hari raya, balik pada hari yang anda ada kelapangan.

Pengintip di dalam facebook

Agak kelakar juga jika mendapati facebook kita ada pengintip. Kesilapan pemilik akaun biasanya ialah, menyangka mereka telah menambah seorang kawan dari kalangan kawan mereka, rupa-rupanya orang itu bukan kawan mereka. Memang cuai. Lalu saya teringat di dalam suratkhabar beberapa minggu yang lalu, beritanya adalah seperti berikut:

FACEBOOK TEMPAT MENGINTIP??

Kira-kira sembilan daripada 10 pengguna Facebook menggunakan kemudahan rangkaian sosial itu untuk mengintip aktiviti bekas kekasih masing-masing. 
 
Tesis sarjana seorang mahasiswa Universiti Ontario Barat menunjukkan, 88 peratus pengguna Facebook memeriksa halaman bekas kekasih mereka untuk mendapatkan pelbagai maklumat. Kajian mendapati, ramai pengguna Facebook mendaftar masuk ke laman sosial popular itu menggunakan akaun rakan mereka bagi memudahkan aktiviti mengintip dilakukan.

Sesetengah mereka juga memadamkan gambar yang boleh mengingatkan kepada detik bercinta.
Sebahagian pengguna Facebook pula membaca kembali catatan yang dimuatkan dalam akaun bekas kekasih masing-masing.

Selain itu, ada juga individu yang menggunakan Facebook untuk merosakkan hubungan bekas kekasih dengan orang lain. Penulis tesis itu, Veronika Lukacs, berkata dia membuat analisis mengenai Facebook kerana ia memberi kesan sosial yang serius. Kata Veronika, 25. hampir setiap pengguna Facebook melakukan aktiviti mengintip bekas kekasih itu. “Kajian sama menunjukkan, 48 peratus pengguna Facebook terus bersahabat dengan bekas kekasih mereka, manakala 74 peratus pula cuba mengetahui setiap perkembangan buah hati bekas kekasih mereka,” katanya. - DM
sumber: Harian Metro

Tetapi tidak semua kes ada kena mengena dengan kekasih atau bekas kekasih. Ada juga orang yang mengintip kerana ingin tahu apa yang diperkatakan oleh jiran-jiran dan rakan-rakan mereka. Mungkin mereka fikir jiran dan rakan itu akan berkata buruk tentang mereka dibelakang.

Hidup ini jika selalu berfikiran negatif, maka kita akan nampak sebuah sisi yang malap sahaja. Tidak perlu berfikiran terlalu negatif. Banyak perkara-perkara yang boleh dihiasi. Bimbang nanti jika terlalu kerap mengintip fikiran akan menerima hasutan dari syaitan agar menyimpulkan apa yang ditulis oleh orang yang diintip itu adalah umpat keji dan perkara buruk sahaja, walhal mungkin orang yang diintip itu tidak bermaksud lain atau bercerita tentang hal lain, lalu hiduplah mereka dalam rasa amarah, dengki dan hasut menghasut yang berterusan.


Sunday, August 5, 2012

di unfreind dan block kerana bukan penyokong pembangkang

Saya baru perasan beberapa hari yang sudah dalam Facebook bahawa saya telah di unfreind dan di block oleh seorang saudara yang mempunyai semangat yang sangat tinggi sokongannya terhadap parti pembangkang. Saudara itu hanyalah seorang saudara kecil yang baru hendak belajar tentang erti kehidupan.Bukanlah maksudnya saya hendak memandang rendah terhadap budak kecil. Sharizat dulupun kalah di tanggan Izzah kerana terlalu memandang rendah terhadap 'budak kecil' itu.

Tetapi adalah sesuatu yang amat menyedihkan bila anak-anak dari kecil sudah diajar untuk menolak saudara-saudara yang bukan sefahaman dengan mereka. Ada orang kelihatan sangat beramal ibadat, namun bila masuk kepada pegangan politik ia menjadi begitu taksub dan sanggup bermusuh dengan saudara-mara sendiri dan jarang mahu bergaul dengan jiran-jiran serta saudara mara seolah-olah jiran-jiran dan saudara-mara mereka itu adalah kaum kafir lagi laknatullah.

Memang saya bukan penyokong pembangkang, tetapi saya bukanlah  menolak terus mereka. Saya masih menyokong setiap perbuatan baik yang diperjuangkan. Tetapi jika mereka berjuang dengan cara berpecahbelah dan taksub membabi buta, sudah tentulah saya tidak berapa setuju. Begitu juga jika kerajaan ada berbuat salah, sayapun tidak akan bersetuju. Kita ini dikurniakan akal fikiran, maka fikirlah dengan baik, tak perlu berpecah-belah kerana tidak sama pegangan politik

Friday, August 3, 2012

Lee Chong Wei mara ke final Olimpik

Tahniah. Walaupun belum mengesahkan emas, sekurang-kurangnya Malaysia telah memperbaiki rekod gangsa yang dimenangi oleh Razif dan Jalani lebih sepuluh tahun yang lalu.

Saya tidak biasa menulis tentang sukan, kerana tidak banyak sukan yang saya terlibat selain karate semasa di sekolah dan Universiti dulu. Tetapi kali ini saya memang amat berharap agar Lee Chong Wei memenangi pingat emas tersebut.

Berita terkini Chong Wei telah mengalahkan seorang lagi  jaguh Olimpik dari China iaitu Cheng Long. Cuma yang  mendebarkan saat ini ialah, mampukah Chong Wei bertahan dalam menghadapi Lin Dan pada perlawanan akhir nanti? Media terlalu memberi fokus yang berlebihan kepada Chong Wei. Walaupun ada antara berita itu bertujuan untuk memberi harapan dan menaikkan semangat, tetapi saya tetap bimbang kerana sebelum-sebelum ini bila media mengganggap Chong Wei akan menang, yang terjadi adalah sebaliknya. Saya masih berharap agar harapan yang ditulis oleh media-media akan jadi kenyataan untuk negara yang tercinta.

berita dari sini