Friday, October 19, 2012

Pengurusan emosi 2

 Bersambung dari sini

Pengurusan emosi yang betul akan membantu seseorang itu berfikir dengan waras tentang baik buruk sesuatu perkara yang akan dilakukan. Kita dapat lihat dengan jelas negara-negara timur tengah selalu berhadapan dengan konflik dan perperangan. Saya tidak menyalahkan seratus peratus orang-orang Barat dan Yahudi yang menjadi pemangkin kepada perpecah belahan mereka itu. Tetapi sikap buruk orang-orang dari Timur tengah ini dalam mengawal emosi merekalah yang menjadi penyebab utama mengapa masalah  perperangan itu tidak dapat diselesaikan malah makin bertambah-tambah pula.

Berikut adalah petikan dari post FB seorang pensyarah saya yang kini mempunyai beberapa orang pelajar dari timur tengah/asia barat untuk diselia :

Td g lunch dgn stdnt Asia barat kat Bkt Bntg, dlm prjlnan tnya die nape pljr dr sana byk mnyushkn penyelia (bkn heart atack je diabetes pun blh dpt) x cm pljr dr Asia Timur atau Afrika...jwpnnya ialah pepatah mrka ngatakn 'Jika org lain blh buat, biar mrka shj buat kita x perlu susah-susah...." kna byk sbr le nmpknya psl ada 4 org lg dr sana yg kini masih dselia...

(tadi pergi makan tengahari dengan pelajar Asia Barat di Bukit Bintang, dalam perjalanan, bertanya kepadanya, kenapa pelajar dari sana banyak menyusahkan penyelia (bukan sakit jantung sahaja, kencing manis pun boleh dapat), tidak seperti pelajar dari Asia Timur atau Afrika. Jawapannya ialah, pepatah mereka menyatakan 'jika orang lain boleh buat, biar mereka sahaja buat, kita tak perlu susah-susah'..Kena banyak bersabar nampaknya, kerana masih ada empat orang lagi dari sana yang kini masih di selia.

Begitulah sikap orang Arab. Kadang kala saya fikir, orang Islam tidak tahu bahawa, selain dari belajar Al-Quran, ilmu agama, menjaga aurat dan sebagainya, mereka juga harus belajar bagaimana hendak mengawal emosi mereka. Orang yang baru belajar sedikit ilmu agama pun kadang-kadang sudah merasakan diri mereka cukup pandai dan dengan mudah pula membuat tuduhan-tuduhan melulu terhadap orang lain kerana merasakan ilmu mereka sudah cukup banyak, disinilah pentingnya pengawalan emosi itu.

Saya memetik perenggan berikut dari PDF milik seorang pensyarah dari UTM, iaitu Ascc Prof Azizi
Yahaya :

Menurut Daniel Goleman (1996), kecerdasan emosi adalah kebolehan anda memahami perasaan sendiri dan menggunakannya untuk membuat keputusan yang berkesan di dalam kehidupan anda. Dengan mempunyai kecerdasan emosi, seseorang dapat mengawal rasa kecewa, sedih, frustrasi dan lain-lain perasaan yang negatif dengan baik. Seterusnya ia juga membolehkan seseorang mengkontrol dorongan (impulses) diri. Sekiranya seseorang menghadapi kesusahan, kecerdasan emosinya dapat membantunya tetap bermotivasi dan optimistik serta menaruh harapan untuk tetap mencapai matlamat yang telah ditentukan. Ia juga berupa empati dan mengetahui bagaimana perasaan orang lain di sekeliling anda. Ia juga berupa kemahiran sosial yang membolehkan seseorang dapat menyesuaikan diri dengan orang lain dan dapat mengurus dengan baik perhubungan interpersonal serta dapat memujuk dan memimpin orang lain. Menurut perkataan Goleman (1995), kecerdasan emosi adalah :” the ability to monitor one’sown and other’s emotions, to discriminate among them, and to use the information to guide one’s thinking and actions.”

Skill untuk menyembunyikan riak wajah dan mengawal emosi sebenarnya adalah sangat penting untuk menjaga keharmonian bermasyarakat. Banyak contoh yang boleh dilihat dari kegagalan pengurusan emosi. Kek-kes seperti sumbang mahram, bunuh, rompakan, pergaduhan dan lain-lain terjadi disebabkan kegagalan individu itu menguruskan emosi dengan baik. Orang yang beremosi dengan lebih baik akan memikirkan kesan jangkamasa panjang perbuatan mereka tersebut. Pengurusan emosi yang baik juga menjamin perhubungan yang baik antara sesama keluarga, ketua dan pekerja, pemimpin dengan rakyat dan seluruh masyarakat.

Pengurusan emosi yang baik banyak membantu seseorang individu untuk berlaku jujur, menghapuskan perasaan dengki dan dendam serta dapat menerima ujian dengan tenang. Mereka juga sukar untuk terpengaruh dengan gejala-gejala negatif, tidak kedekut, tidak sombong dan riak, berfikiran lebih terbuka dan sebagainya

Ketika zaman sudah berubah ini, sepatutnya kerajaan turut mengubah skop pembelajaran di sekolah-sekolah dengan menambah satu subjek atau kursus khas pengurusan emosi untuk membantu belia-belia menghadapi masa depan dengan lebih baik dan mengekang perkara-perkara negatif dari terus berlaku. Kadangkala orang yang tidak masuk ke Universiti pun, tetapi jika mampu mengawal emosi mereka dengan baik boleh menjadi seorang yang berjaya juga dalam hidupnya. Memang benar, pelajaran agama boleh membantu pelajar-pelajar memikirkan kesan buruk perkara negatif yang akan mereka lakukan, tetapi saya percaya kelas pengurusan emosi akan lebih membantu pelajar-pelajar dalam memahami keperluan agama itu sendiri.

Akhir sekali, tidak semua orang memahami tentang pengurusan emosi ini. Seperti IQ, EI juga boleh dilatih dari kecil jika ibubapa faham tentang keperluannya. Yang jadi masalah, kadang-kadang ibubapa turut gagal dalam pengurusan emosi, oleh itu anak-anak akan meniru kegagalan itu. Saya sendiri pernah gagal dalam menguruskan emosi ketika marah dan tersinggung. Tetapi saya berharap agar dapat memperbaiki keadaan ini untuk seterusnya. Saya juga berharap anak-anak saya mampu mengurus emosi mereka dengan baik di sepanjang kedewasaan nanti, tidak kira walau apapun pekerjaan mereka.

* Atas sebab-sebab sensitiviti, entry ini telah saya ubahsuai sedikit. Saya tidak mahu artikel ini disalah erti setelah diterbitkan. Hak milik adalah milik saya. Sebarang masalah sila berhubung dengan di meteorburning@yahoo.com. Artikel tidak ada kena-mengena dengan manusia yang masih hidup ataupun mati.

Pengurusan Emosi


Saya adalah salah satu contoh manusia yang kurang cemerlang dalam mengurus riak muka atau EI (emotional Intelligence) sewaktu berhadapan emosi-emosi tertentu. Saya tidak pandai bermuka-muka untuk menyembunyikan emosi ketika marah, gembira, teruja, letih dan sebagainya. Itu adalah kelemahan yang agak ketara dan walaupun malu, saya tetap terpaksa menerima hakikat ini. Cuma mungkin nasib saya agak baik kerana mempunyai seorang suami yang begitu memahami, adik-beradik yang baik, ketua yang begitu bijak dan kawan yang setia sejak dari darjah satu.

Saya akui, kegagalan dalam menyembunyikan riak muka boleh mengundang masalah walaupun tidak pernah berniat jahat. Dalam dua kejadian yang berlaku baru-baru ini telah menyedarkan saya bahawa sebenarnya tahap EI saya adalah tahap biasa-biasa sahaja. Ia amat memalukan sebenarnya bagi orang yang telah dewasa seperti saya. Lalu saya teringat pada kata-kata ini, “Marah umumnya menunjukkan sifat seorang yang lemah kerana gagal mengawal emosinya sendiri. Ia merupakan tabiat yang sukar dihapuskan”. Memang tidak mudah mengawal api kemarahan, tambahan pula bila kita dihasut-hasut oleh syaitan (kesalahan bukan kepada syaitan sahaja, kerana sudah menjadi tugasnya untuk menghasut manusia, jadi kita harus memainkan peranan kita pula sebagai seorang manusia). Mungkin saya harus belajar lebih banyak untuk mengurus emosi agar tidak mudah terganggu dengan sedikit ujian dari Tuhan. 

EI sama juga seperti IQ, mempunyai tahap pengukurannya sendiri. Oleh kerana setiap manusia yang lahir dimuka bumi mempunyai sifat dan kelakuan yang berbeza-beza, maka itu pengurusannya juga berbeza bagi setiap individu.

Sepanjang perjalanan ini saya dapat melihat beberapa orang yang benar-benar berjaya dalam menguruskan emosi mereka dengan baik. Antaranya ialah Dr Mahathir Mohammad, Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat, Ketua Seksyen saya dan suami saya sendiri. Mereka bukan sahaja bijak menguruskan emosi, tetapi juga bijak dalam banyak hal. Cuma suami saya agak gagal dalam menguruskan emosi ketika memandu kenderaan 
(rasanya kegagalan bagi semua pemandu di Malaysia).

Ahli-ahli politik sepatutnya mampu menguruskan emosi mereka dengan baik ketika berhadapan dengan rakyat. Kegagalan mereka dalam mengawal emosi akan memberikan impak yang besar dan hanya akan menunjukkan kejahilan mereka. Mereka juga tidak akan mampu mengurus tadbir negara dengan baik. Dalam satu wawancara TDM di luar negara dengan satu stesen televisyen terkenal di dunia, beliau telah diajukan dengan soalan-soalan yang begitu pedas dan menyedihkan sekali sebagai seorang individu bermaruah, tetapi TDM dengan tenang tidak melenting atau berubah wajah sebaliknya menjawab soalan itu dengan begitu baik, malahan menempelak pula pengacaranya sehingga dia termalu sendiri. Saya kira soalan-soalan pedas itu diajukan adalah untuk merendahkan martabat TDM dan jika beliau melenting, kredibilitinya akan turut tercalar. Mujurlah beliau cepat sedar dengan taktik itu dan berjaya mengawal emosinya dengan baik.Wawancara inilah sebenarnya yang telah mengangkat nama TDM di kalangan orang barat. Dalam parti pembangkang pula, Nik Aziz juga kerap menjawab soalan yang diajukan dengan tenang dan baik, walaupun banyak dari jawapan yang diberikannya itu sering diputarbelit media tempatan. Beliau jarang sekali kelihatan marah, menengking atau menjawab dengan kasar walaupun soalan yang dikemukakan itu kadang-kadang tidak masuk akal.

Tetapi lain pula yang terjadi kepada beberapa orang ahli politik dari pihak pembangkang ataupun kerajaan sendiri. Shahrizat, ketika suaminya dituduh menyalahgunakan duit NFC telah melenting dengan begitu garang sekali sehingga ia menjadi bahan ketawa pula dikalangan rakyat. Sekiranya beliau bertenang ketika itu, sudah pasti kes ini tidak akan menjadi sebegitu rumit pada pandangan mata rakyat. Manakala Anwar Ibrahim pula ketika ditanya oleh seorang wartawan tentang skandal seksnya, dengan begitu cepat melenting dan segera ia membangkitkan kisah Najib-Altantuya untuk mengaburi skandalnya itu. Malahan dalam sidang akhbar itu turut menunjukkan Anwar sedang cuba menakut-nakutkan wartawan yang menyoal apabila bertanyakan dengan garang dia dari media yang mana. 

Semua itu menunjukkan tidak semua pemimpin berjaya mengurus dengan baik emosi mereka. Untuk menjadi pemimpin yang mempunyai kredibiliti, memiliki aura positif dan cemerlang haruslah pandai menguruskan emosi. Setahu saya doktor-doktor perubatan memang dilatih untuk bertenang dan mengawal emosi mereka, oleh itu tidak hairan mengapa TDM selalu dapat mengawal emosinya pada saat-saat genting.

Sebenarnya, rata-rata rakyat malaysia tidak kira apa peringkat umur, pangkat dan taraf pendidikan pun adalah kurang berjaya dalam pengurusan emosi. Kita di Malaysia ini hanya mementingkan kualiti IQ, tetapi memandang rendah ataupun tidak tahu kepada keperluan kualiti EI. Oleh itu tidak hairanlah mengapa negara kita menduduki tempat yang kedua tercorot dalam satu kajian yang dibuat oleh Readers Digest terhadap 36 buah negara (seperti di sini) dan  pemandu teksi Malaysia pula diiktiraf sebagai antara pemandu teksi paling teruk di dunia oleh Londoncabs, manakala kedai-kedai milik orang melayu pula, seperti yang telah saya tulis di sini selalu juga menunjukkan kegagalan pengurusan emosi mereka. Kalaupun kajian-kajian yang dibuat oleh pihak barat itu tidak betul dan bertujuan untuk menjatuhkan nama baik negara, tetapi banyak perkara yang disebutkan itu benar-benar berlaku dalam kehidupan seharian kita. Kadang-kadang dalam hal-hal yang kecil sahaja, peniaga dan pembeli atau pemandu-pemandu kenderaan begitu cepat sekali melenting dan cenderung untuk bergaduh, walaupun masalah itu dengan mudah dapat diselesaikan dengan tolak ansur.

Saya tidak percaya bahawa semua orang yang mempunyai pendidikan yang tinggi atau ilmu agama yang tinggi mampu menguruskan emosi mereka dengan baik. Telah banyak bukti yang menunjukkan ada golongan profesional dan ahli-ahli agama ini yang tersasar dalam hidup mereka akibat pengurusan emosi yang tidak betul. Inilah yang membezakan antara IQ dan EI. Ada orang yang mempunyai tahap IQ yang tinggi, tetapi tidak semestinya tahap EInya tinggi juga. Kalau tidak masakan terjadi kes-kes rasuah, salah guna kuasa dan sebagainya oleh golongan profesional, manakala kes-kes liwat dan rogol turut terjadi dikalangan ilmuwan agama, walaupun mereka arif benar tentang ilmu dosa pahala dan syurga neraka.

Bersambung ke sini

Monday, October 15, 2012

Great people talk about ideas. Average people talk about things. Small people talk about other people.

1. "Great people talk about ideas. Average people talk about things. Small people talk about other people." – Eleanor Roosevelt


2. Di dalam bidang kajian psykology…tahap pemikiran manusia ada tiga kategori-:
 

      1-Minda kecil
      2-Minda sederhana
      3-Minda besar


MINDA KECIL-:
Golongan ini sentiasa berfikiran negatif dan prejudis dan sentiasa mencari salah orang lain.Senantiasa memikirkan perkara yang remeh temeh dan mempunyai mentality victim.Dan senantiasa cenderong untuk berbicara tentang kehidupan harian mereka. 95 peratus manusia adalah terdiri dari golongan ini.


MINDA SEDERHANA-:
Golongan ini sentiasa berusaha untuk menyelesaikan persoalan golongan minda kecil tadi.4 peratus manusia dari golongan ini.


MINDA BESAR-:
Golongan ini mempunyai minda yang besar..jiwa yang besar…golongan ini sentiasa mencari idea idea yang baru untuk kebaikan semua orang.Baik untuk negara…bangsa dan agama.Dan golongan ini senantiasa berpandangan jauh dan mempunyai skop pandangan yang luas.Golongan ini hanya 1 peratus sahaja.



Quotes yang pertama telah saya sharekan banyak kali di di dalam wall facebook saya, tetapi ia tetap hilang setelah suatu jangkamasa tertentu. Oleh itu saya menaipnya sahaja di sini. sudah memang lama saya berminat dengan quotes dari Eleanor Roosevelt ini. Ia selalu sahaja menjadi inspirasi. Kemudian semasa membaca jawapan Hilal Asyraf terhadap persoalan yang dikemukakan oleh TDM dahulu, saya bertemu pula dengan komen dari seorang pembaca seperti perkara no dua itu. Kedua-duanya mempunyai perkaitan dan ianya amat menarik perhatian saya. Sudah lama saya ingin menerbitkannya ke dalam blog, tetapi selalu sahaja tidak berkesempatan.

Apapun, walaupun mungkin saya tidak mampu menjadi sehebat orang-orang yang terkenal itu, tetapi saya tetap berminat untuk membaca apa sahaja kata-kata motivasi dari mereka, kerana sekurang-kurangnya hidup ini lebih bermakna apabila ada pengisiannya



Sunday, October 14, 2012

Kebaikan Facebook

Saya bukanlah kaki sangat dengan facebook yang mana semua cerita hendak di kongsi di sana. Tetapi banyak juga perkara yang baik-baik tentang Facebook ini, bukanlah semuanya buruk sahaja. Melalui facebook saya dan rakan-rakan sekolah dan Universiti dapat kembali berhubungan melalui Group kami. Setiap hari ada sahaja cerita untuk dikongsi. Apa yang lebih menarik, ada di antara rakan-rakan yang langsung tidak pernah rapat dulu (kerana berlainan kelas), akhirnya kini mula bertegur sapa dan rupa-rupanya kami mempunyai minat yang sama tidak pernah diketahui sejak dari dulu.

Facebook juga memberikan saya banyak informasi-informasi terkini melalui rakan-rakan yang rajin menghantar post. Ada bagusnya rajin berkongsi cerita, tidaklah salah meluahkan aktiviti di Facebook. Kadang-kadang bila tidak bertanya kita tidak akan tahu apa yang berlaku. Pada pendapat saya selagi yang dikongsi itu bermanfaat, apa salahnya. Misalnya, beberapa hari yang lepas terjadi banjir kecil di Putrajaya, ada kawan yang menulis tentang banjir itu di FB, sekurang-kurangnya orang lain tahu tentang hal itu dan menjadi lebih berhati-hati.

Ada juga rakan-rakan atau pages yang rajin berkongsi Quotes dan kata-kata motivasi. Semua ini bagus untuk dijadikan semangat, panduan dan pendorong dalam kehidupan seharian. PIQ dan General Knowledge adalah antara pages yang rajin memaparkan kata-kata motivasi yang bermanfaat. Tetapi yang agak menghairankan saya, banyak kata-kata motivasi ini apabila di kongsi di Facebook akan hilang selepas beberapa waktu. Mungkin Facebook mempunyai sistemnya sendiri untuk mengurangkan beban didalam wall itu kerana ada qoutes/gambar yang telah saya kongsi di blog ini tidak pula hilang.

Begitulah Facebook, akhirnya ia menjadi medan untuk merapatkan tali Silaturrahim selepas bertahun-tahun tidak berhubungan. Menjadi tempat untuk menambahkan ilmu dan informasi terkini serta juga menjadi tempat untuk mengurangkan tekanan dan mencari sesuatu yang berharga untuk dikongsi bersama-sama.



PIQ Quotes

Sekian

Bertuahnya kita cukup makan, pakai dan pelajaran

Untung sangat kita yang lahir di Malaysia ini. Tapi berapa kerat yang bersyukur. Lebihnya banyak yang mahu negara ini menjadi porak peranda. Sudah lama saya menulis, "pilihlah apa sahaja parti politik yang anda suka, tetapi janganlah berpecahbelah, tetaplah saling menghormati dan bersatu padu". Mungkin suara saya terlalu kecil untuk di dengar. Jadi saya kongsikan berita ini sebagai iktibar.


Kosmo! Online - Rencana Utama

Kedaifan minoriti Muslim di wilayah Cham Kemboja



MOHD. ZUL FADLAIN ABDULLAH, 35, masih ingat terhadap sekumpulan kanak-kanak berumur antara 4 hingga 6 tahun dalam perjalanan ke sekolah. Ingatannya itu mengembalikan memori ketika beliau berada di perkampungan di sebuah daerah di Kemboja.
Pakaian seragam berwarna rona teh susu yang tersarung pada tubuh kanak-kanak tersebut menjelaskan bahawa persalinan sekolah tersebut sudah lusuh dan lama tidak berganti.
Kepayahan penduduk minoriti Islam di kampung tersebut tidak jauh bezanya dengan Malaysia lima dekad lalu.
Mohd. Zul Fadlain meneruskan niatnya mengunjungi sebuah rumah untuk menghantar beras fidyah. Keadaan fizikal rumah yang beliau kunjungi boleh disifatkan separuh siap kerana tiangnya yang tinggi tanpa dinding, persis pondok sawah.
Selepas salamnya disambut, Mohd. Zul Fadlain yang juga Ketua Penolong Pengarah Bahagian Sukarelawan Al-Falah dipelawa masuk oleh tuan rumah.
Meskipun hidup dalam kedaifan, sebagai mengalu-alukan ketibaan tetamu, tuan rumah menghidangkan ubi kayu rebus. Tanpa mengetahui duduk perkara sebenar, Mohd. Zul Fadlain bertanya: “Rumah ni belum siap lagi ke?”
“Taklah, inilah rumah saya. Tiada duit nak buat dinding,” balas tuan rumah tersebut.
“Sayu hati saya melihat keadaan rumahnya. Ketika mahu menjamah ubi kayu yang dihidangkan dengan tangan, segera tuan rumah menghalang saya seraya berkata: ‘Tunggu kejap encik, saya tengah pinjam sudu dengan jiran sebelah’,” cerita Mohd. Zul Fadlain.
Beliau mengakui tersentuh dengan peristiwa tersebut sehinggakan air matanya menitis kerana dilayan sebegitu. Malah, katanya tuan rumah berkali-kali memohon maaf kerana tidak menyediakan minuman sebab air di rumahnya kotor, khuatir perutnya sakit.
Semangat berbakti
“Keadaan mereka membuatkan saya terharu dan menjadikannya kekuatan buat diri saya. Saya beruntung dan cukup bertuah dilahirkan di Malaysia. Lahir dalam keadaan kemudahan air dan elektrik serta serba-serbi lengkap jika dibandingkan dengan mereka,” ujarnya.
Episod kehidupan yang ditontonnya secara langsung itu membuatkan semangat sukarelawan yang mengalir dalam diri Mohd. Zul Fadlain semakin membara.
Dalam nada mendatar berbaur sesal Mohd. Zul Fadlain agak terkilan dengan apa yang berlaku di Malaysia kebelakangan ini.
“Pergilah ke luar negara dan lihat kehidupan rakyat di negara-negara dunia ketiga. Bukalah mata, lihat sendiri anak-anak di sana sangat susah. Ada yang terpaksa menjadi pelacur untuk meneruskan kelangsungan hidup.

SEDIKIT sumbangan yang diberikan oleh sukarelawan dapat meringankan beban penduduk minoriti Islam di Kampung Rakapram.


“Di Malaysia, anak-anak muda hidup senang dan mewah hingga ada yang tidak bersyukur. Di Kemboja, gaji AS$1 (RM3.70) sehari sudah besar bagi mereka,” katanya yang mengetuai Misi Bantuan Kemanusiaan ke Kemboja bersama Yayasan Dakwah Islam Malaysia dan Politeknik Metro Kuala Lumpur pada bulan Mei lalu.
Seramai 156 sukarelawan menyertai misi tersebut yang berlangsung selama dua hari semalam. Ia turut disertai oleh pelajar politeknik bagi memberikan pendedahan sekali gus membuat perbandingan keadaan di Malaysia dan Kemboja.
Serba kekurangan
Turut menyertai misi tersebut ialah Pakar Sakit Puan dan Perbidanan Hospital Pusrawi (Pusat Rawatan Islam Wilayah Persekutuan), Dr. Habibah Abdul Ghani, 55, yang merupakan salah seorang sukarelawan Al-Falah Pusrawi.
Mengakui dirinya kali pertama menjadi sukarelawan sejak ia ditubuhkan di Pusrawi pada 27 April lalu, Habibah juga terharu dengan sambutan yang diberikan oleh penduduk minoriti Islam Kampung Rakapram di wilayah Kampung Cham.
Kehidupan penduduk kampung yang terletak kira-kira 300 kilometer dari Phnom Penh itu sangat miskin dan serba kekurangan.
“Namun, kami dirai bak pembesar dan sepanjang berada di sama, kami diberi minum air kelapa sahaja kerana mereka khuatir air daripada sumber telaga akan menyebabkan kami sakit perut. Keadaan mereka memang menyedihkan dan ilmu pengetahuan mereka agak terhad. Kita perlu tunjuk ajar mereka hatta cara-cara menggosok gigi dan solat,” katanya sambil menyifatkan kerajaan Kemboja meminggirkan mereka.
Di perkampungan tersebut langsung tidak kelihatan sekolah-sekolah atau klinik-klinik kerajaan. Sebab itulah, jika ada yang jatuh sakit, mereka akan ke hutan untuk mencari penawarnya.
Naluri keibuan Habibah tersentuh apabila melihat kanak-kanak yang berhingus, berkudis, berjalan hanya beralaskan tapak kaki dan terdedah kepada pelbagai penyakit.
“Mereka perlu keluar dari kampung untuk bekerja di ladang-ladang yang dimiliki oleh orang Khmer kerana di kampung mereka memang tiada sumber pendapatan walaupun mempunyai tanah yang luas.
“Dalam sebuah rumah yang berkeluasan 2.5 x 3 meter, ia didiami oleh datuk, nenek, anak dan cucu. Rumah tanpa bilik itu hanya menjadikan kelambu sebagai bilik kelamin,” jelasnya.
Menyentuh hati
Menurut Habibah, boleh dikatakan nama Malaysia sentiasa meniti di bibir mereka. Masjid, surau, rumah jahitan, telaga dan sebagainya dibina hasil sumbangan rakyat Malaysia yang pemurah.
“Klinik kami diserbu dan mereka berebut-rebut mahu mendapatkan khidmat perubatan. Sungguhpun serba kekurangan, mereka tidak meminta-minta. Barang-barang yang kami bawa pun tidak diusik atau dicuri walaupun barang tersebut ditinggalkan tanpa dijaga. Mereka ambil apa yang diberikan kepada mereka sahaja,” katanya.
Bagi Mohd. Noor Wahi Ismail, 26, yang bertugas sebagai jururawat di Pusrawi, banyak peristiwa yang berlaku sepanjang berada di Kampung Rakapram tersebut menyentuh hatinya.

SUKARELAWAN berjaya membina sebanyak 105 telaga untuk kemudahan penduduk kampung tersebut.


“Seakan mahu menitiskan air mata tatkala melihat kanak-kanak di situ berebut gula-gula, tidak pakai selipar dan keterujaan mereka melihat kipas dinding.
“Ada seorang wanita yang usianya dalam lingkungan 60 tahun, berjalan dan berdiri di tepi pintu bas kami kerana mahu merasai sejuk pendingin hawa. Dia kemudian meminta izin naik sebentar ke dalam bas,” ceritanya yang pertama kali menyertai misi kemanusiaan.
Walaupun Wahi kini berada di tanah air, namun memorinya terhadap tempat berteduh seorang nenek di kampung tersebut seperti reban ayam.
“Kalau rakyat Malaysia miskin, kerajaan masih bantu dan paling tidak pun mungkin jiran akan beri ikan seekor dua, tetapi di sana, jiran mereka tiada apa-apa untuk diberikan,” jelasnya.
Dalam pada itu, pensyarah Politeknik Metro Kuala Lumpur, Mohd. Rosdi Ripin, 35, memberitahu, dia masih teringat bagaimana raut wajah gembira masyarakat Kampung Cham Kemboja ketika mereka datang memberikan sumbangan.
“Kehidupan mereka sangat daif. Masjid dan sekolah yang ada pun merupakan sumbangan masyarakat Islam luar negara.
Tambahnya, kunjungan ke Kemboja bersama sukarelawan lain membawa misi yang cukup besar iaitu membina 105 perigi yang diwakafkan, membuat pendawaian elektrik di masjid dan dua buah sekolah yang mempunyai 11 buah kelas, mengecat bangunan sekolah dan melaksanakan sembelihan akikah.

Pendapat saya tentang kematian

Beberapa bulan yang lepas, saya ada berjalan-jalan ke sebuah blog yang menulis tentang isu pengharaman kumpulan Al-Arqam. Di dalam blog itu terdapat beberapa komen, terutamanya tentang kematian saudara Ashaari Muhammad. Saya juga turut meninggalkan komen di dalam blog itu. Kemudian saya terfikir, baik juga jika diterbitkankan komen itu di sini. Apa salahnya berkongsi dengan skop yang lebih luas. Bagi saya sesiapapun walaupun bukan seorang lulusan Al-Azhar (atau yang setarafnya), selagi pendapatnya masih relevan, ia masih boleh dikongsikan. Jika ada sebarang bangkangan bolehlah mengemel saya di meteorburning@yahoo.com untuk berkongsi pendapat. Berikut adalah komen yang telah saya tulis itu (blog http://rizwanmenulis.blogspot.com/) :

ini lagi satu pendapat personal :

1.Hidup mati kuasa Tuhan. Pengetahuan manusia biasa seperti kita tentang alam kematian adalah amat terbatas.

2.Telah dinyatakan dengan terang, Rasullullah itu mati. Sila fikir dengan waras untuk menyebarkan berita jika anda kata anda(atau sesiapa sahaja) telah berjumpa dengan Rasulullah.

3.Katakanlah anda percaya anda (atau sesiapa sahaja) telah berjumpa dengan Rasullullah, simpan sahaja dalam hati kepercayaan anda itu, jangan di sebar. Tahukah anda kenapa? Didalam dunia ini ada berbagai ragam jenis manusia. Jika kepercayaan anda diterima oleh masyarakat, masyarakat akan menjadi lebih huru-hara dan lebih ramai penyampai-peyampai seperti anda akan wujud untuk menyampaikan bermacam-macam mesej dari 'alam ghaib'. Hasilnya juga, akan lebih banyak manusia yang akidahnya terpesong.

4. Tentang rupa paras seseorang dalam menghadapi kematian. Rujuk balik kepada perkara no. 1. Tetapi saya ingin menunjukkan dua contoh di sini :

a) Mungkin ada orang yang mati dalam keadaan tersenyum kerana sedang ditipu oleh syaitan semasa dalam sakaratul mautnya.

b) Mungkin orang ada orang yang mati dalam keadaan mukan masam kerana sedang menolak syaitan semasa dalam sakaratul mautnya.

(wallahualam bisawab - sekadar contoh kemungkinan- tidak ada kena-mengena dengan yang masih hidup ataupun sudah mati. Benar atau tidak agakan kita itu, Tuhan yang menentukan, kita manusia harus selalu bersangka baik!)

Saya bukanlah si cerdik pandai agama. Tetapi demikianlah pendapat saya. Jangan terlalu mudah untuk menjatuhkan hukuman. Kerana mati itu adalah rahsia Tuhan. Kita tidak pernah tahu berapakah jumlahnya dosa dan pahala kita di dunia ini, mahupun dosa pahala umat manusia yang lain. Semoga semua umat muslimin terdahulu, sekarang dan akan datang sentiasa dilimpahi rahmat-Nya

Krisis khidmat pelanggan (customer servis) dikalangan perniagaan orang melayu

Mungkin kedai-kedai orang melayu adalah perniagaan yang paling teruk menghadapi krisis khidmat pelanggan. Pergi sahaja kemana-mana kedai Melayu, terutama kedai makan, selalu sahaja kita berhadapan dengan masalah khidmat pelanggan. Ada juga yang memberikan khidmat yang baik, tetapi tidak banyak jumlahnya. Walaupun ada syarikat bukan Melayu yang gagal memberikan khidmat pelanggan yang baik, tetapi peratusannya tidaklah terlalu tinggi berbanding kedai orang Melayu.

Sebelum bekerja didalam bidang sekarang ini, saya telah bekerja dalam banyak tempat kerja. Kedai serbaneka 24 jam, syarikat kurier antarabangsa, casual dining restoran, klinik, syarikat insurans, Astro dan banyak lagi. Kebanyakkan syarikat ini saya bekerja semasa masih belajar dan hampir kesemuanya dimiliki oleh orang bukan Melayu, samada bangsa Cina, Inggeris atau India. Kesemua mereka amat mementingkan khidmat yang baik kepada pelanggan, walaupun hanya melalui telefon. Pekerja-pekerja wajib menjalani kursus khidmat pelanggan dan di ajar dengan asas-asas seperti senyuman, sapaan, khidmat yang baik dan bermacam-macam lagi.

Tetapi hari ini setelah begitu lama meninggalkan sektor-sektor itu, saya sudah tidak lagi di arah untuk menghadiri mana-mana kursus khidmat pelanggan (customer servis) oleh majikan saya. Kalau saya hendak menghadiri kursus seumpama itu saya haruslah membuat permohonan yang belum tentu lagi akan lulus dengan mudahnya. Kursus seperti itu juga sudah tentu bukan sesuatu yang wajib dari majikan. Oleh itu saya hanya bergantung kepada ilmu yang telah saya belajar beberapa lama dulu dari syarikat-syarikat swasta tersebut ketika berurusan dengan pelanggan. Cuma saya ada menambahkan sedikit ilmu melalui pembacaan dan pemerhatian.

Seperti yang telah saya sebutkan pada permulaan entry ini, mungkin perniagaan orang Melayu atau perniagaan yang diuruskan/dijalankan oleh orang Melayu adalah jenis perniagaan yang menghadapi krisis khidmat pelanggan yang paling buruk di negara ini ( kadangkala ada syarikat yang pemiliknya bukan orang Melayu, tetapi pengurusan dijalankan oleh orang Melayu, seperti Mc Donald, pasaraya, kedai-kedai baju dan sebagainya). Saya sedih dengan situasi ini. Ia seolah-olah menunjukkan bangsa Melayu gagal dalam pengurusan emosi dan mempunyai tahap EI yang sangat rendah berbanding bangsa lain. (EI adalah bermaksud Emotional Intelligence). Kegagalan pekerja dalam menguruskan emosi ketika bekerja sering sahaja menyebabkan khidmat yang diberi tidak memuaskan hati pelanggan.

Dalam satu video yang saya tonton di dalam You Tube, menunjukkan pergaduhan seorang pekerja KFC dengan pelanggannya setelah terjadi komunikasi yang tidak berkesan dan pekerja itu gagal dalam mengawal emosinya. Perkara ini bukan terjadi sekali dua dalam syarikat perniagaan restoran makan segera itu. Kebanyakan tidak dilapor oleh pelanggan kerana tidak tahu dimana boleh melapor, atau jika melapor pun tiada tindakan yang dibuat oleh pihak pengurusan atasan. Untungnya syarikat itu ialah, mereka mempunyai satu jaminan dengan memiliki ladang ternakan ayam mereka sendiri. Tiada syarikat makanan segera lain (ayam) yang mampu menyaingi mereka, walaupun mampu menyaingi rasa makanan itu. Jadi,pelanggan masih datang untuk menikmati makanan mereka hanya kerana tiada saingan dari syarikat lain.

Restoran sate terkenal di Kajang yang khidmat pelanggannya agak mengecewakan


Saya telah melihat banyak komplen didalam facebook berkenaan hal customer servis yang sangat buruk dari peniaga/pekerja melayu, antaranya :

semalam aku beli kasut, aku tanya kat brader tu..
"bang, boleh kurang sikit x harga kasut ni?"
nak taw x dye jawab ape?
"kalau aku tauke boleh xpe la"
aku terdiam bila fikirkan budi bahasa rakyat malaysia yg semakin rendah dan kurang ajar..apepown selamat Hari Malaysia.Siyes aku "suka" bila dia cakap mcm tu.

(Saudara Fikri Basir)

Saya juga mengalami banyak peristiwa-peristiwa sedemikian dikedai-kedai orang Melayu. Kadang kala dalam nasihat saya kepada pelanggan-pelanggan (kebanyakannya adalah usahawan) majikan saya, saya akan menyelitkan juga sedikit nasihat tentang keperluan mendahulukan strategi khidmat pelanggan yang baik kepada pelanggan. Saya tidak tahu samada mereka dapat menerima dan mempraktiskan nasihat saya itu, tetapi harapan saya biarlah perkara ini berubah menjadi lebih baik kepada usahawan/pekerja melayu tersebut.

Khidmat pelanggan yang baik  sebenarnya banyak membantu kejayaan sesebuah perniagaan itu. walaupun ia nampak seperti remeh-temeh, tetapi peratusan pelanggan yang akan datang kembali adalah tinggi. Jika kawasan itu mempunyai beberapa perniagaan yang sama jenis, pelanggan akan mengutamakan kedai yang mempunyai khidmat pelanggan yang baik sebelum beralih kepada kedai lain, jika barang yang hendak di cari tidak terdapat di kedai itu. Khidmat pelanggan yang baik juga adalah cerminan diri seseorang dalam kejayaannya mengawal emosi dan tingkahlaku yang kurang menyenangkan. Oleh sebab itulah banyak syarikat-syarikat perniagaan yang besar mementingkan pengawalan emosi pekerja-pekerja mereka agar pekerja itu mampu memberikan khidmat pelanggan yang terbaik.