Friday, November 30, 2012

berita dari HARAKAH

Tadi saja-saja baca surat khabar Harakah di rumah pakcik saya. Dari mukasurat satu sampai mukasurat terakhir ceritanya pasal politik aje. Relevan ke? Tak ada cerita pasal Islam pun? Saya tak kata akhbar Utusan Malaysia tu betul, TV3 betul dan sebagainya. Saya juga tak pernah beli suratkabar Utusan, BH dan sebagainya (hanya tumpang baca di opis). TV pun jarang-jarang bukak. Tapi berita dari Harakah itu sangat menyedihkan saya. Maafkan saya kepada pembaca-pembaca setia Harakah. Macamana nak menubuhkan negara Islam kalau asyik menyemai benih-benih kebencian ni? langsung tak ada berita pasal bola ke, pasal cerita harian dalam negara ke atau sebagainya. Atau memang surat khabar itu design begitu dan ada lain-lain bahagian yang saya tertinggal?

Wednesday, November 28, 2012

Colplay berbahasa Melayu?


Coldplay menulis dalam bahasa Melayu? Saya agak ragu-ragu pada mulanya, kemudian saya buka lagi page itu beberapa kali. Memang sah, ianya page Coldplay. Dan saya adalah peminat Coldplay. Ada beberapa entry saya tentang coldplay seperti disini dan disini.

Mungkin ianya hanya satu marketing strategi, tetapi ia tetap mengujakan, kerana yang menulis itu adalah sebuah band yang bertaraf 5 bintang!! Bukan penyanyi kelas C. Setakat ini, kumpulan Coldplay adalah kumpulan yang 'bersih' dan jauh dari imej tidak sihat. Video-video mereka juga amat menarik dan tidak banyak unsur-unsur negatif. Sehingga kini saya hanya berani membenarkan anak-anak saya menonton video barat milik Coldplay sahaja,

Apapun, saya turut merasa sedikit bangga kerana negara ini dikenali oleh sebuah band yang sangat hebat. Lihat, merekapun sudi nak berbahasa Melayu, kan? Dari orang melayu sendiri yang sibuk hendak berslangkan Inggeris apabila berbahasa ibunda (kononnya elit).

Tuesday, November 27, 2012

Cabaran ibu bekerja 2 (Tips ibu bekerja di luar)

Bukan sedikit bilangan ibu yang bekerja di dalam negara ini. Ia merupakan sesuatu perkara yang baik untuk kemajuan negara. Kalau di tempat kerja saya, bekerja diluar pejabat (out station) memanglah perkara yang amat biasa. Ada pegawai yang baru sahaja balik dari lapanganpun kadang-kadang terpaksa keluar lagi untuk bertugas. Ada yang bertugas  dikawasan projek, ada yang menghadiri seminar atau konvensyen, ada yang terpaksa memantau projek pelanggan majikan dan sebagainya. Kalau untuk rekod, saya bukanlah orangnya yang terlalu kerap keluar bertugas di luar kawasan, tetapi ia masih di kira banyak berbanding dengan sesetengah tempat kerja lain. Ada kawan yang ditemui di satu kursus memberitahu saya, majikannya tidak membenarkan mereka untuk keluar berkursus atau bertugas di luar kawasan langsung selain dari kursus wajib itu. Tetapi iyalah, ia bergantung kepada jenis pekerjaan juga, jika pekerjaan yang dilakukan itu tidak menuntut kerja luar, mengapa harus susah-susah, patuhi sahaja arahan majikan.

Saya tidak mempunyai orang gaji, semua kerja harus dilakukan sendiri, sama sahaja tugasan hakiki saya seperti surirumah sepenuh masa. Tidak ada bezanya, kadangkala membersihkan halaman rumah juga terpaksa dilakukan di malam hari. Jiran-jiranpun tidak kisah kerana hampir kesemua jiran wanita di sekeliling rumah saya bekerja. Memang agak janggal jika terjumpa ibu yang tidak bekerja di kejiranan saya. Ya, mungkin ada seorang dua. Tetapi pekerjaan surirumahpun bukanlah satu pekerjaan yang boleh dikecil-kecilkan, merekapun bekerja juga.

Berikut adalah tips yang selalu saya gunakan ketika bertugas diluar pejabat:

  • Basuh kesemua baju kotor sebelum keluar bertugas
  • Susun jumlah pakaian dan barang keperluan yang akan diguna oleh anak-anak setiap hari mengikut umur anak. Dulu saya akan masukkan ke dalam plastik bersih untuk setiap anak dan membuat tanda mengikut hari. Contohnya, hari Isnin : 2 pasang baju, tuala, botol susu dan sebagainya. Jadi suami saya tidak akan kelam kabut pada waktu pagi atau malam dalam menyediakan barangan anaknya.
  • Gosok baju sekolah anak-anak siap untuk seminggu, termasuk baju sendiri yang akan dipakai untuk bertugas semula balik dari outstation nanti.
  • Minta tolong rakan yang anak sama sekolah dengan anak dan boleh dipercayai untuk mengambil anak sewaktu balik sekolah. Berikan terus wang belanja kepada mereka untuk anak makan tengahari. Jika anak turut bersekolah di sebelah petang, cari juga kawan yang boleh membantu untuk membawa anak balik. Penting untuk berbaik-baik dengan masyarakat dan jiran!
  • Catatkan nombor-nombor telefon guru kelas dan sekolah, kalau terlewat mengambil, selalunya saya akan telefon guru kelas terus.
  • Makanan adalah perkara yang selalu menjadi isu utama ketika bekerja luar kawasan. Kalau berkemampuan, boleh guna khidmat syarikat mangkuk tingkat (www.mangkuktingkat.com), tetapi ia agak mahal sedikit. Dulu saya siap masak dan sejuk beku makanan dalam freezer, tetapi sekarang suami saya siap-siap beli sebelum balik dari pejabatnya.
  • Stock-up barang-barang makanan alternatif seperti biskut, roti dan sebagainya secukupnya sebelum kerja luar.
  • Saya juga menyediakan pingan mangkuk disposable sebagai alternatif dirumah, yang mana kalau suami saya tidak sempat membasuh pinggan, dia akan gunakan pinggan pinggan disposable itu, tetapi tidaklah begitu kerap dia menggunakannya. 
Begitulah yang biasa saya lakukan apabila ada kerja luar. Mungkin dengan tips yang tidak seberapa ini boleh membantu menambah idea kepada ibu-ibu yang bakal bekerja luar daerah.

Sekian







Wednesday, November 14, 2012

Cabaran ibu bekerja

Teringin untuk menulis lagi. Tetapi banyak kerja yang harus saya siapkan. Menulispun kadang-kadang memerlukan penumpuan. Masalahnya idea datang banyak sewaktu hari bekerja. Sedangkan pada hari itu saya harus menumpukan perhatian terhadap kerja saya. Saya baru sahaja balik dari Sabah atas urusan kerja. Dan sepatutnya kena outstation lagi pada minggu selepas Deepavali dan awal minggu bulan Disember nanti. Kadang-kadang saya merasa kagum kepada ketua dan rakan-rakan sepejabat yang kerap outstation di luar tetapi seperti tidak ternampak rasa terganggu. Saya pula, setiap kali bekerja diluar harus merancang segala-galanya dengan baik, siapa yang akan mengambil anak-anak saya pulang sekolah, nak hantar ke sekolah agama dan sebagainya kerana suami saya bekerja di Kuala Lumpur, agak jauh juga dari Putrajaya.

Kadangkala masa cuti sekolah atau ada cuti peristiwa saya terpaksa mengusung anak ke pejabat sekali. Kalau ada mesyuarat dan sebagainya masa itu, maka anak saya terpaksalah menjaga dirinya sendiri dikawasan opis. Tetapi saya tidak begitu risau dengan anak sulung kerana dia pandai menjaga dirinya sendiri dan tidak menyusahkan rakan sepejabat yang lain. Pekerja lain juga ada yang terpaksa membawa anak ke pejabat kadang-kadang. Mungkin mereka juga seperti saya, tidak ada pilihan lain. Kalau di Putrajaya ini, meninggalkan anak-anak di mana-mana nurseri untuk satu hari harus membayar sekurang-kurangnya RM20-30. Mahal betul. Selagi anak-anak itu tidak mendatangkan masalah, maka pekerja yang tidak ada pilihan lain terpaksalah membawa anak-anak mereka ke pejabat apabila ada cuti tertentu dari pihak sekolah.

Tetapi saya redha dan gembira di sebalik itu. Sekurang-kurangnya saya masih mempunyai sebuah pekerjaan yang seronok untuk dilakukan. Berbagai pengalaman yang boleh dikutip. Dan sekurang-kurangnya saya tidaklah memikirkan perkara-perkara yang remeh temeh apabila bekerja. Sebenarnya dalam hidup ini, apa pekerjaanpun yang dilakukan, jika ia menyeronokkan, tidak mendatangkan kegusaran maka ia adalah sebuah pekerjaan yang berbaloi. Suami juga memahami apabila terpaksa bekerja luar.





















Sesungguhnya apapun cabaran, semuanya sama sahaja bagi ibu-ibu yang bekerja ini, yang membezakan adalah cabang kerja itu. Sesetengah pekerjaan tidak memerlukan ibu-ibu selalu bekerja diluar, jadi ia mungkin menjadi sedikit ringan. Cabaran menjadi lebih berat apabila tidak mendapat sokongan dari suami atau tinggal berasingan kerana faktor kerja. Suami sayapun pada mulanya agak keberatan untuk membenarkan bertugas jauh-jauh kerana faktor keselamatan dan sebagainya, tetapi akhirnya beliau memahami. Kalau di tempat kerja saya ini, boleh dikatakan kesemua pegawai teknikal tidak kira lelaki atau perempuan akan kerap bertugas di luar, jadi mengapa pula saya harus merungut-rungut. Susah juga kalau terlalu mengambil kira perkara-perkara yang negatif, jadi yang penting harus selalu bertawakkal kepada Allah.

Friday, November 2, 2012

Review album 2-nd Law MUSE

 To the other Muse fan (from the other country) who wants to know the translation of the article ( or to share an opinion), please email me at the meteorburning@yahoo.com

Bagi yang benar-benar mengenali pasti sudah maklum bahawa saya adalah peminat kumpulan Muse sejak 10 tahun yang lepas. Saya juga adalah peminat Coldplay dengan usia yang sama dengan kumpulan Muse itu serta kumpulan Nirvana, Radiohead dan Greenday sejak hampir 20 tahun yang lalu.

Tetapi hari ini saya ingin bercerita tentang album baru kumpulan Muse yang bertajuk 2-nd law. Namun sewaktu menulis entry ini saya sedang mendengar lagu Space Dementia dari album Origin of the Symmetry dan Exogenesis Symphony (Full) dari album the Resistance.

Dalam kebanyakan album sebelum ini saya tidak pernah merasa kecewa kerana mereka sentiasa menghasilkan album yang berkualiti dan mempunyai identiti. Walaupun Muse kerap dituduh meniru Radiohead tetapi bagi saya, peniruan terhadap konsep lagu tidak akan mendatangkan kudis dan malapetaka kepada pemilik asal selagi masing-masing boleh bersaing dengan cara yang sihat dan dapat menghasilkan lagu yang terbaik.

Walau bagaimanapun kali ini saya terpaksa berterus terang di samping menerima hakikat bahawa kebanyakan lagu dari album 2-nd Law Muse tidak sama lagi genrenya dengan album-album lama mereka. Pendek kata, konsep mereka telah hampir bertukar sepenuhnya. Tidak ada lagi konsep gelap dan misteri dan saya juga masih belum berjumpa dengan 'kelas' yang dimiliki oleh kumpulan ini di dalam album itu. Versatile mereka seolah-olah sudah hampir terhapus.

credit : en.wikipedia.org

Album ini tidaklah teruk sangat, cuma ia seperti sudah menghilangkan identiti kepada kumpulan Muse itu. Ada banyak kumpulan yang telah menghasilkan lagu-lagu sebegitu sebelum ini dan bunyi mereka seakan-akan sama sahaja antara satu sama lain. Ia mungkin telah berjaya menarik peminat-peminat dari genre berlainan tetapi dalam masa yang sama turut mengurangkan sokongan dari peminat asalnya sendiri.

Sebenarnya saya tidak kisah jika Matthew Bellamy ingin mengubah konsep asal album mereka, tetapi perubahan yang dilakukan itu nampaknya tidak begitu sesuai. Oleh itu saya terpaksa menyifatkan mereka sebagai gagal, walaupun Album ini berjaya di pasaran.

Saya percaya ramai peminat setia muzik Muse  tidak begitu gembira dengan lagu-lagu dari album terbaru ini. Kebanyakkan rentak yang didengari adalah rentak yang sangat biasa di pasaran. Ada diantara lagu-lagu yang dirakamkan lebih berentak seperti Pop (Madness) atau rock biasa (Supremacy), malah ada juga yang berentak seperti breakdance (Panic station). Lagu Explorers berentak seperti balada manakala lagu-lagu lain juga lebih menjurus kepada rentak rock biasa atau pop. Tidak banyak pengunaan instrumen klasik seperti piano yang selalu menjadi identiti Muse. Cuma bagi lagu survival, ia adalah sebuah lagu yang diciptakan khas untuk sukan Olimpik 2012, jadi saya tidak begitu kisah tentang rentaknya kerana ia mempunyai spesifikasinya tersendiri

Kebanyakan album Muse sebelum ini mempunyai tema yang mendalam dan dipersembahkan dengan cara yang sangat unik (hanya orang yang memahami sahaja mengenali keunikan itu). Walaupun album baru ini mempunyai tema seperti album-album yang lain tetapi ia tidak dipersembahkan dengan kemas dan unik.

Sehingga ke hari ini saya masih lagi merasakan album terbaru Muse itu tidak dapat menandingi  album-album lamanya. Saya juga tetap merasakan album Absolution adalah album terhebat diantara album-album terhebat mereka setakat ini. Harap-harapnya  Muse akan menyedari kesilapan mereka dan memperbaiki semula konsep muzik mereka pada masa akan datang. Bagi saya konsep asal muzik mereka adalah sesuatu yang luar biasa dan kedengaran lebih jujur dan sangat misteri.

credit  : prog-sphere.com