Friday, December 28, 2012

Tangani masalah dengan bijak

Tangani masalah dengan bijak

Dipetik dari akhbar kosmo online
 
KES percubaan membunuh diri yang dilaporkan media sering berpunca daripada rasa kecewa akibat sesuatu kejadian yang tidak menyebelahi pelakunya. - Gambar hiasan


SEPANJANG tahun ini, kita sudah tentu melalui pelbagai pengalaman manis dan pahit. Kita mungkin telah mencapai kejayaan yang mungkin tidak dicapai orang lain.
Ada segelintir daripada kita mungkin terpaksa berhadapan dengan musibah yang besar sehingga berasa putus asa dan kecewa untuk meneruskan kehidupan.
Bagaimanapun, rata-rata manusia lebih mudah mengingati pengalaman buruk yang mereka hadapi sehinggakan menutup pengalaman indah yang dilalui.
Sehubungan itu, keupayaan individu untuk menangani isu psikologikal adalah sangat penting. Mereka yang menghidap penyakit fizikal mempunyai peluang untuk sembuh dengan rawatan tertentu.
Begitupun, mereka yang berhadapan dengan isu psikologikal pula lebih cenderung untuk menjadi manusia tidak waras jika tidak ditangani segera.
Dalam konteks ini, kita jarang mengambil berat mengenai isu kesihatan psikologikal tetapi hakikatnya kita perlu memberikan perhatian yang serius dengan perkara tersebut.
Teruskan kehidupan
Pada kebiasaannya, mereka yang mengalami masalah psikologikal cenderung melakukan sesuatu yang boleh merosakkan diri sendiri seperti membunuh diri.
Tindakan itu dilihat jalan mudah. Walau bagaimanapun, dalam kes ini, individu tersebut perlu berjuang untuk meneruskan kehidupan dan bukannya melarikan diri daripada masalah yang hadapi.
Menyentuh mengenai tekanan, secara psikologikalnya, ia boleh bersifat perangsang (stimulus) atau gerak balas (response).
Perangsang ialah apa sahaja yang boleh menjadi punca kepada tekanan yang kita alami. Misalnya masalah rumah tangga, konflik percintaan, beban pekerjaan dan hutang.
Ia seperti pisau yang boleh melukakan. Kita boleh mengatasi masalah yang dihadapi dengan menyingkirkan puncanya.
Tekanan yang dihadapi mungkin disebabkan kegagalan individu untuk menyesuaikan dengan punca masalah tadi. Ia adalah kesan masalah yang dihadapi.
Ia muncul dalam pelbagai bentuk misalnya kemurungan, kebimbangan, runsing, tidak tidur malam dan bercakap seorang diri.
Dalam kedua-dua keadaan tersebut, pada akhirnya tekanan itu sendiri hanyalah tafsiran individu terhadap masalah yang dihadapi.
Ada individu yang hanya mengalami ujian kecil tetapi mereka melihatnya sebagai sesuatu yang tidak dapat dibendung. Ada pula yang diuji dengan musibah yang sangat besar tetapi mereka melihatnya sebagai perkara yang mampu diatasi.
Sebab itulah, apabila kita dihadapkan dengan musibah atau ujian dalam hidup adalah lebih baik untuk kita menamakannya sebagai ‘isu’ dan bukannya masalah. ‘Masalah’ sering kali menyukarkan kita tetapi isu ialah sesuatu yang boleh ditangani.
Setiap kali dilanda dengan ujian, baik besar mahupun kecil, kita perlu berfikiran positif untuk menanganinya.
Kaedah yang paling mudah ialah dengan membuka sepuluh jari tangan dan kemudian menutup salah satu daripada jari tadi. Lihatlah, sebagai manusia kita masih mempunyai sembilan lagi isu lain untuk difikirkan.

SETIAP isu atau masalah dapat diselesaikan dengan sokongan keluarga, rakan ataupun kenalan yang memahami. - Gambar hiasan


Perubahan watak
Dalam pada itu, jika memberikan fokus yang keterlaluan terhadap sesuatu masalah yang dihadapi, ia akan merosakkan penumpuan kepada perkara lain. Lebih buruk, masalah lain pula yang akan muncul.
Biasanya, perubahan individu yang dilanda dengan masalah boleh dikesan dengan mudah seperti perubahan watak asal individu.
Misalnya, seseorang yang mungkin bersosial, kini lebih banyak mengurung diri di dalam bilik. Mereka yang seorang periang bertukar menjadi seorang yang pendiam. Seseorang yang penyabar sebelum ini menjadi pemarah.
Pada peringkat awal, biasanya mereka akan bersikap menafikan masalah yang mereka hadapi. Seolah-olahnya mereka tidak percaya bahawa mereka telah dipilih untuk ujian tersebut.
Mereka akan bertanya kepada diri sendiri ‘mengapa masalah itu memilih mereka, dan bukan orang lain’.
Pada peringkat itu, biasanya seseorang itu tidak mudah percaya dengan pandangan orang lain. Mereka merasakan bahawa merekalah satu-satunya manusia yang mengalami masalah yang paling berat dalam hidup.
Hakikatnya, jika kita dilanda masalah, maka akan ada jutaan lagi manusia yang ditimpa masalah yang lebih buruk.
Jadi, sekiranya kita mempunyai kenalan atau ahli keluarga yang mengalami masalah seperti ini, kita perlu membantu mereka.
Kita perlu meyakinkan mereka bahawa masalah yang dihadapi itu boleh diselesaikan. Paling penting ialah untuk memberikan mereka keyakinan bahawa masalah yang terjadi itu telah berlaku dan ia mesti dihadapi.
Sebagai manusia, walaupun sebaik manapun kita berhati-hati, kadangkala kita tidak mampu mengelakkan diri daripada menerima ujian.
Ujian itu bakal mematangkan kita sebagai manusia. Semakin berat ujian yang kita terima, ia bakal menjadikan kita manusia yang lebih hebat pada masa hadapan.
Semuanya bergantung sejauh mana kekuatan psikologikal kita untuk mengatasinya.
Selamat menempuh cabaran tahun baru!

Thursday, December 20, 2012

Blocking di dalam Facebook

Sekali kita telah memblocking seseorang dalam facebook, orang yang kita 'blocking' itu tidak akan dapat melihat kita langsung di dalam facebooknya walaupun kita telah mem'public'kan post-post dan gambar dari akaun itu. Oleh itu janganlah membuang masa berfikir yang orang yang telah di 'blocking' itu akan dapat melihat semua post dan gambar kita.

Ia adalah satu sistem keselamatan yang telah diwujudkan oleh facebook untuk melindungi pemilik akaun. Mungkin ada orang berfikir, bahawa bila ia telah mem'public'kan post dan gambarnya, maka semua orang akan dapat membaca dan melihat, betul, tetapi tidak bagi akaun yang telah di'blocking'kan.

Walaupun saya bukan pengguna tegar facebook, tetapi saya telah lama tahu ini, tetapi ada sebilangan pengguna facebook yang masih tidak tahu banyak rahsia-rahsia di dalam facebook.

Tuesday, December 11, 2012

Pesan orang-orang tua

Orang-orang tua selalu bercakap, satu jari menunding kepada orang lain, lagi empat jari akan menunding kepada diri sendiri. Maksudnya, berfikirlah dengan mendalam sebelum bercakap atau melakukan sesuatu kepada orang lain.

Suami saya juga selalu mengingatkan, walaupun kita berpengalaman dan pandai dalam sesuatu perkara janganlah mudah untuk berbangga-bangga diri,  kerana Tuhan yang akan menentukan segala perancangan yang telah dilakukan. Maksudnya, orang yang cerdik pandaipun boleh juga melakukan kesilapan yang tidak terjangka. Kadang-kadang kita merasakan diri kita sudah cukup sempurna dan semua orang menyukai serta menyayangi kita, tetapi kita tidak tahu hakikat yang sebenarnya dibelakang itu. Hidup hendaklah selalu berjaga-jaga, lantaran sudah disifatkan dunia berputar-putar, sekejap kita di atas dan sekejap kita dibawah.

Saya juga pernah melakukan kesilapan, tetapi dengan hati yang terbuka saya menerima kenyataan itu kerana merasakan hidup perlu ada rasa bahagia dan gembira, terutamanya bersama-sama ahli keluarga. Hati yang tenang dan bahagia berasal dari keluarga yang bahagia juga. Apalah sangat yang hendak dikejar dengan pujian dan sanjungan. Tidak guna merasa riak, ujub dan sombong, kelak akhirnya ia akan memakan diri. Amatlah menyedihkan jika tidak menyedari hakikat sebenar tentang diri sendiri dan orang disekeliling yang memandang-mandang.

Dalam beberapa minggu ini saya telah melalui banyak perkara, berjumpa ramai orang dan pergi ke beberapa tempat. Akhirnya saya memerlukan satu medium untuk berkongsi pendapat bersama-sama pembaca saya. Yang baik apa salahnya diikut, yang buruk, tinggalkan sahaja.





Ulang tahun perkahwinan

5 Disember adalah hari ulang tahun perkahwinan saya dan suami. Genap ulangtahun yang ke lapan.

Saya berdoa agar perkahwinan ini dipanjangkan usianya untuk selama-lamanya dengan kebahagiaan.

Saya tidak kisah jika suami saya tidak mampu membelikan saya sebuah kereta yang diimport dari luar negara

atau sebiji rumah sekurang-kurangnya sebuah semi D

atau berhelai-helai pakaian berjenama yang berharga ratusan ringgit

juga gelang tangan atau rantai leher yang bergemerlapan sehingga menyilau mata

Tetapi saya selalu sahaja merasa bangga berkahwin dengannya

Dia yang hadir dengan segera diketika kereta saya kehabisan minyak di sebatang highway

Dia yang turun dari kereta untuk mencari saya di kedai apabila tidak ternampak kelibat kerana bimbang sesuatu berlaku kepada saya.

Dia yang duduk setia setiap malam berteman nyamuk dan kesejukan hospital untuk menemankan saya yang sakit melahirkan

Dia yang setia mendengar cerita-cerita dikala saya sedih, gembira, marah, teruja dan sebagainya

Dia yang menjaga saya dan anak-anaknya dengan baik

Dia yang tidak pernah bercakap kasar dan mengutuk saya walau sekalipun sepanjang mengenali dirinya. Walaupun ketika saya kurus, ketika saya gemuk, ketika saya wangi, ketika saya busuk, ketika saya kemas atau ketika saya sangat selekeh.

Dia yang segala macamnya untuk saya.

Ya, begitu tinggi melangit pujian saya untuk sang suami. Ramai juga lelaki yang baik-baik dalam dunia ini, bukan suami saya seorang sahaja. Namun saya tetap merasa gembira untuk menyatakannya kerana dia adalah salah seorang diantara yang ramai itu. Oleh itu saya sangat menghargai perkahwinan ini. Mungkin tidak ada hadiah untuk saya kepadanya atau hadiah dari dia kepada saya. Tetapi kebahagiaan yang telah dilalui adalah hadiah yang terbaik untuk ulangtahun perkahwinan ini.




Wednesday, December 5, 2012

Bangga diri

Jangan selalu berbangga dengan kelebihan diri sendiri, semua itu hanya pinjaman semata, kerana segalanya milik Allah