Thursday, January 10, 2013

pengalaman di Zoo Negara

Ini adalah pengalaman kali ke dua kami anak beranak ke zoo. Kali pertama kami melawat zoo ialah Zoo Melaka, pada musim cuti sekolah pertengahan tahun lepas. Tapi memang anak-anak suka melawat zoo. Maklumlah, emak dan ayahnya orang kampung, sudah biasa dengan alam semulajadi, tinggal lagi tidak ada harimau sahaja di kampung saya. Kalau ada, habis dah kena baham agaknya.

Ok, perjalanan ke Zoo ini tidaklah mengambil masa yang lama dari rumah. Cuma hari itu adalah hari yang amat sibuk buat kami sekeluarga. Pagi saya menghantar kereta untuk di servis dulu, barulah kami bertolak ke Zoo. Malamnya ada rumah terbuka pula di rumah kawan sekerja suami. Anak-anak kami usung bersama-sama untuk semua aktiviti ini. Mungkin ada orang meluat mendengar cerita anak-anak dibawa bersama-sama kemana-mana. Tapi selagi tidak menyusahkan, apa salahnya, jadikan sahaja semua aktiviti kita sebahagian dari aktiviti keluarga, dengan itu anak-anak terasa lebih dihargai. Tambahan pula keadaan dipusat servis EON di Bukit Serdang itu agak selesa dan customer servisnya sangat baik setakat ini.


Pusat servis autowolrd, bukit serdang

Dari pagi saya sudah siapkan bekalan nasi goreng dan sandwich. Zoo ini mempunyai dua tempat masuk iaitu gate A dan B, oleh kerana cuti sekolah, zoo penuh dan ramai pengunjung, maka kami terpaksa parking diluar dengan bayaran parking RM 6 dikutip oleh penjaga parkingnya. Err..Ulatkah itu, atau memang penjaga parking yang dilantik oleh zoo? Entahlah. Hari hujan renyai-renyai pula selepas itu, tapi mujurlah, sebaik masuk ke kawasan zoo, hujan berhenti.

Tiket berharga RM 30 dewasa dan RM 6 untuk kanak-kanak semasa cuti sekolah ini. Memang mahal. Kalau ibu bapa yang hasil pendapatannya cukup makan sahaja dan teringin pula nak bawa anak masuk ke zoo musim cuti sekolah ini, bila baca harga tiket mesti patah balik ke kampung. Tengok kebun belakang rumah lagi puas hati, macam rupa zoo jugak. Setakat Gajah dan Zirafah boleh tengok dekat ensiklopedia. Bukan setakat itu, Harga sebijik burger simple RM 4.5, harga nuget 3 biji RM 4.00. Ohh..sadisnya. Semalam saya terbaca di surat khabar tentang penjagaan haiwan di zoo negara. Mungkin juga harga tiket mahal kerana kenaikan kos makanan dan penjagaan haiwan-haiwan itu. Apapun selagi anak-anak gembira, kamipun tak berkira sangat dengan harga tiket.

 Sampai di zoo perut sudah lapar, kami singgah di sebuah kiosk yang dekat dengan tram, tapi seperti yang saya cakap si atas, harga sebiji burger biasapun sampai RM 4.50, langsung saya tak jadi beli. Dalam hati, nasi goreng dan sandwich aku lagi sedap. Maaf ye, si penjual burger. Oleh itu kami hanya menumpang makan di meja makan sahaja, tapi untuk sedapkan hati, saya beli juga nuget RM 4 itu untuk anak-anak.






tempat makan yang berdekatan dengan tram

Kemudian kamipun naik tram dengan duduk di bahagian paling depan, betul-betul belakang pemandu. Masa pemandu bercerita memberi informasi, si abang, anak no 2, beria-ia melayan cerita pemandu itu. Peramahlah pulak budak ini kali ini.



















Semua binatang yang dilihat sama sahaja seperti di Zoo Melaka dulu. Tapi anak-anak saya memang sukakan zoo. Sesuatu yang menarik ialah, gajah di zoo ini nampak sangat jinak dengan menjuntai-juntaikan kakinya ke longkang seolah-olah sedang menari. Kalaulah dia melompat ke seberang longkang itu, memang naya. Sepatutnya tidak boleh beri makanan pada haiwan di zoo, tapi saya tengok, ramai juga pengunjung yang engkar arahan itu.

Kami membuat dua pusingan lawatan, sekali menaiki tram dan sekali lagi berjalan kaki untuk lebih puas hati. Turut kami lawat pada kali ini ialah zoo aquatic. Selain itu terdapat persembahan binatang di amphiteater. Agak menarik persembahan anjing lautnya, tapi sekejap sahaja. Bagi saya persembahan dan kebersihan panggung itu perlu diperbaiki, kerana ia turut dikunjungi oleh pelancong luar negara, jadi sepatutnya ia menjadi imej atau tarikan negara. Persembahan itu percuma sahaja dengan durasi hanya kira-kira 30 minit. Ia pula hanya dipersembahkan dua kali sehari, iaitu pada pukul 11pagi dan 3petang, kalau terlepas, silalah tunggu esok.

Walau bagaimanapun kami tetap tak dapat habiskan lawatan ke semua tempat kerana selepas itu bergegas pula hendak ke rumah terbuka kawan suami di Gombak (tak tahu sempena apa). Kawasan rama-rama, unta dan beberapa binatang lagi tidak sempat di lawati. Balik itu, hujan lagi sekali, saya hampir-hampir basah kuyup kerana tertinggal payung di kandang harimau. Mungkin harimau itu pinjam payung kami agaknya, kerana sewaktu berpatah balik untuk mengambilnya, ia sudah lesap. Jadi, sebelum ke rumah terbuka itu kami singgah dulu di rumah adik ipar di PPR Gombak untuk tumpang mandi kerana masing-masing sudah berbau zoo. Untungnya, makanan yang disajikan di rumah terbuka kawan suami saya sangat enak, betul-betul macam rumah terbuka hari raya.

Informasi tambahan :

harga tiket : Dewasa :RM30
                    Kanak-kanak : RM6
                    (Cuti Sekolah/SabtuAhad/Cuti Am)

                    Dewasa : RM25
                    kanak-kanak : RM 6

                   lain-lain informasi di sini

Tiket tram : RM 3 (dewasa)
                    RM 2 (kanak-kanak)
 Ada dua station untuk tiket tram. Kiranya, kalau kita nak berjalan semata menaiki tram, kena beli dua kali tiket (kaunter lain-lain). Tiket yang dibeli dari kaunter mula-mula hanya berhenti di kawasan amphiteater kalau tak silap saya, lepas tu kena beli lagi satu tiket lain. Lagi satu, tiket yang dibeli dikaunter mula-mula tadi akan membuat transit di kandang harimau. Di situ kita boleh turun dan jalan-jalan. Kemudian naik semula tram yang lain untuk meneruskan perjalanan menggunakan tiket yang sama sampailah ke amphiteater.

Waktu musim cuti sekolah memang ramai orang, jadi naik tram akan beratur panjang.

sekian

No comments:

Post a Comment