Thursday, January 3, 2013

Pengalaman ke Muzium Negara

Muzium negara bukan satu nama yang sangat asing bagi rakyat Malaysia. Tempatnya memang strategik ditengah-tengah Kuala Lumpur. Ada jambatan yang boleh menghubungkan muzium ini dengan planetarium. Lain dari itu, ia juga terletak berdekatan dengan KL Sentral. Tangga jambatan itu terletak berhampiran dengan keretapi berwarna hitam yang dipamer dihadapan pintu masuk.

GALERI-GALERI DALAM MUZIUM
Dalam muzium utama terdapat beberapa galeri, iaitu A,B,C dan D. Tetapi semasa kami pergi hanya galeri A, B dan C sahaja dibuka. Manakala galeri D ditutup untuk renovasi. Galeri A adalah untuk zaman Prasejarah. Galeri B adalah zaman kerajaan-kerajan melayu  dan galeri C adalah zaman penjajahan atau kolonial. Kesemua galeri Ok.

Cita-cita awal saya zaman persekolahan dahulu adalah menjadi seorang kurator, manakala sejarah adalah mata pelajaran kesukaan saya. Memang saya lulus dengan kredit yang agak baik juga semasa SPM, tetapi malangnya saya tidak berjaya mendapat A. Pada masa itu kami sekelas lebih menumpukan perhatian kepada subjek-subjek yang berat seperti kimia, fizik dan matematik tambahan. Jadi matapelajaran teras seperti sejarah memang agak terabai. Itulah kesilapannya. Akhirnya saya tidak berjaya menjadi seorang kurator.

MUZIUM ORANG ASLI, KERETAPI SEJARAH DAN LAIN-LAIN PAMERAN
Kalau sudah namanya muzium, pastilah ia menempatkan artifak-artifak dan dokumentasi yang berkaitan dengan sejarah. Disekeliling muzium utama ini terdapat lagi muzium-muzium mini seperti muzium orang asli, muzium rumah/istana melayu tradisional dan sebuah muzium bermusim. Muzium bermusim adalah muzium yang menempatkan artifak/replika mudah alih mengikut tema pameran. Misalnya, musim cuti sekolah ini ada pameran tentang topeng. Beberapa tahun yang lepas terdapat pameran tentang hantu. Memang rating pengunjung sewaktu pameran hantu itu adalah amat tinggi sekali, tetapi ia tidaklah seseram mana. Walau bagaimanapun kami tidak masuk untuk pameran topeng itu kerana kesuntukan masa. Anak lelaki saya pula sibuk hendak melihat gerabak kereta api yang dipamer diluar muzium itu.

 
















GALERI A : PERAK-MAN DAN TAPAK WARISAN DUNIA/ZAMAN PRASEJARAH
Peminat sejarah seperti saya pasti teruja memasuki muzium, tetapi berbeza pula bagi kanak-kanak yang berumur bawah 6 tahun, kerana mereka tidak faham dengan apa yang dipamerkan di dalam muzium itu. Saya teruja untuk melihat sendiri 'Perak-man' yang dibawa dari Tapak Warisan Sejarah di Lenggong Perak. Walaupun hanya tinggal rangka, tetapi penemuan itu sangat mengkagumkan. Bukan mudah untuk seorang kurator memlihara dengan baik sebuah rangka yang sudah berumur lebih 10 ribu tahun. Rangka itu pula ditemui pada awal 90-an, tetapi hanya di beritakan kepada umum baru-baru ini, itupun selepas daerah Lenggong di wartakan sebagai salah satu dari kawasan Tapak Warisan Dunia. Melaka dan Pulau Pinang adalah antara beberapa tempat yang telah dapat di wartakan sebagai Tapak Warisan Dunia di negara kita. Bukan mudah untuk mendapat 'Title' itu, maka hargailah ianya

Mujur juga Perak-man tidak dibawa balik ke negerinya, kalau tidak, tak dapatlah saya berjumpa ia. Memang sebelum itu ada ura-ura rakyat Perak ingin membawa 'beliau' balik ke negeri asalnya, tetapi nampaknya berita itu senyap sahaja. Mungkin juga muzium negara akan menghantar beliau balik semula ke negeri Perak pada satu masa yang lain.







Kawasan yang menempatkan perak-man

dikawasan rangka perak-man


gambaran penduduk gua zaman? err Paleolitik atau mesolitik


GALERI B - SEJARAH KESULTANAN MELAYU

Ingatan saya dalam sejarah kesultanan melayu tidaklah begitu baik. Tetapi saya masih mengingati akan kehebatan tamadun melayu melaka itu. Pada zamannya ia adalah antara kawasan perdagangan yang maju dan mampu mengekang kekuasaan kerajaan siam. Ia juga mempunyai satu hubungan dagang yang sangat baik dan istimewa dengan kerajaan China, sebuah negara yang begitu besar. Selain itu, hampir keseluruhan negeri yang berada di persisiran selat melaka adalah menjadi milik Melaka.

Mungkin ramai bangsa Cina dan India (turut sebahagian bangsa Melayu yang bebal) mendakwa orang melayu adalah pendatang di tanah ini. Tetapi haruslah di fahami, kepulauan Melayu adalah satu rumpun yang didiami oleh orang Melayu, mereka bersaudara sesama sendiri dan kepulauan itu adalah milik mereka pada masa itu. Tidak timbul isu orang melayu mendatang ke dalam negaranya sendiri! Ia sama juga seperti bangsa cina dari Ghuang Zhou berhijrah ke Shang Hai atau bangsa India dari Chennai berhijrah ke Bombay!









GALERI C-ZAMAN PENJAJAHAN
Berbalik kepada galeri C, hati saya merasa begitu sedih melalui pameran-pameran di sini. Inilah detik awalnya zaman penjajahan Inggeris ke atas tanah Melayu. Melalui Perjanjian Pangkor yang ditandatangi pada 1824 bersama-sama Raja Abdullah, Inggeris telah dibenar untuk masuk campur dalam urusan pentadbiran masyarakat Melayu. Inggeris begitu bijak memanipulasi dan menipu  sultan-sultan melayu agar dapat menjajah tanah ini.

Saya tidak pernah percaya bahawa tujuan kedatangan penjajah adalah semata-mata untuk mengutip hasilannya yang subur.  Itu memang betul, tetapi mereka juga mempunyai agenda lain yang tersembunyi. Walau bagaimanapun berikutan sikap agresif penduduk tempatan dan penentangan yang berlarutan bermula dari pembunuhan JWW Birch dan lain-lain siri penentangan, Inggeris kurang berjaya dalam misinya yang satu itu. Namun hasil tinggalan penjajah dalam  memanipulasi pemikiran penduduk tempatan masih kekal kuat sehingga ke hari ini.

Sejarah juga telah menceritakan, sifat buas nafsu dan terburu-buru manusia akan meninggalkan kesan yang berpanjangan kepada generasi yang seterusnya.


Orang melayu bukan tidak berupaya untuk menentang penjajah, tetapi sikap orang melayu itulah yang membuatkannya terus dijajah









Secebis kata-kata dari saya untuk diri sendiri, berhati-hatilah dalam setiap tindakan dan perbuatan. Janganlah mudah merasa bongkak dan riak. Kalau kita pandai pun, ada orang yang lebih pandai dari kita. Penjajahan bermula dari sifat riak dan bongkak serta suka dipuji sebenarnya.

Sedikit maklumat tambahan :

waktu melawat : 9-6pm
tiket : RM 2 dewasa dan percuma bagi kanak-kanak.
restoran/kedai : ada.

Makanan tidak dibenar dibawa masuk ke dalam muzium.

Kanak-kanak dibawah 6 tahun boleh dibawa melawat, tetapi bantulah ia tentang setiap perkara yang kita lawati itu. Kalau tidak lawatan akan menjadi sia-sia sahaja bagi mereka.


2 comments:

  1. banyak juga admin dah pergi muzium..memang best bila mengenangkan kembali kisah masa lampau

    Jom terjah sini Etika Penulisan Di Blog

    ReplyDelete
    Replies
    1. Memang seronok, tapi anak-anak kecil ni kalau tak assist diorg tak berapa faham. Kena terangkanlah juga

      Delete