Thursday, January 3, 2013

Pengalaman ke Planetarium

Planetarium terletak dikawasan perlancongan stragtegik Kuala Lumpur yang berhampiran dengan Lake Garden, Taman Burung, Taman Rama-Rama, Taman Bunga Raya, Taman Orkid, Memorial Tun Abdul Razak, Muzium Negara dan sebagainya. Ia adalah sebuah bangunan yang menempatkan maklumat-maklumat mengenai sistem suria, angkasa, planet-planet dan sebagainya. Tidak lupa, ia turut menempatkan catatan maklumat yang berkaitan perjalanan angkasawan pertama Malaysia iaitu Shekh Muzhapar Shukor ke angkasa beberapa tahun yang lepas dan perjalanan angkasawan pertama dunia ke bulan iaitu Neil Amstrong berpuluh tahun yang lalu.


Tangga yang sangat tinggi tidak sesuai bagi warga emas dan OKU untuk menaikinya

Menunggu tayangan filem dokumentari "journey to a star"









Contoh tempat tidur didalam kapal angkasa







menara yang di sebelah kanan itu adalah balai cerap
 SIAPA YANG SESUAI MELAWAT
Planetarium adalah sebuah tempat yang sangat sesuai untuk dikunjungi oleh pelajar-pelajar sekolah yang berminat dengan sains angkasa atau aerospace. Namun, ia sesuai juga dikunjungi oleh orang dewasa yang berminat dengan sains angkasa. Terdapat teleskop di balai cerap disini yang boleh diguna untuk melihat angkasa. Tetapi sudah tentulah tidak ada apa yang dapat dilihat diangkasa pada waktu siang.Saya tidak pasti pengunjung boleh mengunjungi pusat ini pada waktu malam atau tidak.

RESTORAN DAN MAKANAN
Seperti taman rama-rama, saya tidak nampak restoran di sini. Atau mungkin ada, cuma saya tak nampak. Saya membawa bekalan dari rumah kerana kami berjalan sehari suntuk sampai malam. Yang baiknya tentang kawasan ini, ia mempunyai satu taman kecil di bawah tangga dan sesuai untuk makan di sana. Tapi tolonglah jaga kebersihan. Selepas makan, kemaskanlah tempat itu. Jika tong sampah penuh, janganlah disumbat lagi, bawalah sampah itu ketempat buang sampah lain yang lebih sesuai. Jangan suka melakukan kerja mudah. Sikap buruk sesetengah orang akan memberi kesusahan kepada orang lain.

KERA
Disini juga banyak kera yang mencari makanan. Maklumlah, hutan semakin pupus, jadi mereka datang mencari makanan ketempat yang berdekatan. Ada pengunjung yang suka membuang samapah merata atau memberi makanan kepada kera ini membuatkan mereka menjadi lebih jinak. Tapi awas! jangan ingat kera yang jinak itu binatang berakal. Silap-silap mereka boleh melakukan kerosakan dan membahayakan manusia pula.

PARKING DAN TANGGA KE PLANETARIUM
Sesuatu yang ingin saya sentuh tentang tangga di sini, ia sangat tinggi. Sudah tentu Planetarium perlu dibina ditempat tinggi untuk memudahkan pencerapan bintang dilakukan. Saya tidak pasti samada disediakan kemudahan untuk warga emas dan oku untuk melawat. Jadi pelawat yang ingin membawa OKU dan warga emas silalah telefon dulu pusat ini untuk maklumat lanjut. Takut-takut nanti mereka kena tunggu dalam kereta pula. Berkenaan parking pula, semasa saya pergi parkingnya banyak kosong, mungkin awal pagi.

TAYANGAN FILEM DOKUMENTARI TENTANG ANGKASA
Tentang tayangan filem dokumentari, ia menyediakan beberapa slot tayangan yang berdurasi kira-kira 25 minit. Tayangan pada musim cuti sekolah diadakan setiap jam. Pada saya tayangan seperti ini amat menarik. tetapi kami hanya sempat menonton satu filem sahaja iaitu "journey to a star". Panggungnya selesa seperti panggung wayang, tetapi harus mendongak untuk memberi tumpuan. Sepanjang 20 minit tayangan anak-anak saya asyik betanya apa tu, kita kat mana ni dan macam-macam lagi, ini kerana jika memberi tumpuan kepada skrin kita akan merasa seperti turut berada di angkasa. Suami saya pening-pening lalat sebaik sahaja keluar kerana asyik memandang tepi-tepi skrin yang menyebabkan dia merasa seperti tempat duduk itu berpusing-pusing. Manakala anak kecil saya yang berumur setahun lebih merasa ketakutan kerana panggung yang gelap dan bunyi yang kuat. Beberapa minit yang pertama dia asyik meragam, hingga saya hampir hilang fokus, haishhh..Memang tidak sesuai membawa bayi ketempat seperti ini. Beberapa pengunjung yang membawa bayi turut mengalami masalah yang sama dengan saya.

JAMBATAN KE MUZIUM NEGARA
Anak-anak saya merasa amat gembira sepanjang berada di sini. Ramai juga pelancong dari luar negara ketika itu. Selain itu, terdapat jambatan yang menghubungkan planetarium ini dengan Muzium Negara. Jadi alang-alang sudah datang ke sini, anda boleh melawat sekali muzium negara. Ianya akan menjadi lebih berbaloi. Cuma tangganya sangat tinggi dan curan. Eskalatornya sudah tidak berfungsi.

Maklumat lain :

waktu operasi  : 9.00-5pm
tiket                 : percuma
Tiket tayangan : RM 6 dewasa
                         RM 4 kanak-kanak
                        (tiket musim cuti sekolah)

No comments:

Post a Comment