Thursday, January 24, 2013

Dunia huru-hara

Semalam saya out-station ke Lenggong Perak, bersama ketua dan beberapa pegawai lain. Dalam perjalanan balik, seorang pegawai menceritakan pengalamannya semasa tinggal di U.K berbelas tahun yang sudah. Apabila balik di rumah malam itu, saya membaca berita dan terjumpa sebuah berita yang jalan ceritanya hampir-hampir mirip kepada kejadian yang berlaku di U.K itu.

Dunia kini sudah huru-hara, walau dimana-mana, semakin populasi manusia bertambah, semakinlah bertambah masalahnya. Jangan fikir Mat Salleh itu berhemah, penuh adab sopan dan baik-baik semuanya.Ceritanya seperti berikut:

Semasa pegawai yang diceritakan sedang melanjutnkan pelajarannya di U.K, beliau tinggal di sebuah apartment berdekatan dengan Old Trafford. Suatu hari terjadi satu isu di U.K, seorang lelaki sedang mencuri di sebuah rumah, secara kebetulan jiran kepada tuan rumah telah ternampak dan menangkap pencuri itu. Dalam pergelutan, tangan si pencuri telah terseliuh namun dia berjaya dibawa ke balai polis. Tapi kemudian, pencuri itu telah mengemukakan saman kepada si penangkap atas dakwaan penangkap telah menyebabkan kecederaan kepada tangannya. Dalam hujahnya pencuri mendakwa, kecederaan itu menyebabkan dia tidak dapat meneruskan pekerjaannya sebagai seorang pencuri lagi. Si penangkap turut menerima hukuman di atas saman ini. Kata pegawai yang menceritakan kisah ini kepada saya, kejadian itu menjadi satu isu yang agak hangat di U.K dan ramai orang menyifatkan undang-undang di U.K adalah undang-undang yang huru-hara.



Balik kepada berita yang saya baca tadi, berikut adalah petikannya :

"Kerugian saya lebih besar"

Wartawan Sinar Harian 23 Januari 2013

"Kerugian saya lebih besar" Kamaruddin dijatuhi hukuman penjara dua tahun oleh Mahkamah Majistret, semalam.
AYER KEROH - Seorang penganggur yang mempunyai lapan rekod jenayah lampau merayu Mahkamah Majistret di sini, semalam agar menjatuhkan hukuman ringan terhadap dirinya kerana dia mengalami kerugian lebih daripada pengadu apabila tulang pinggulnya patah.
Tertuduh, Kamaruddin Alip, 38, turut merayu hukuman ringan kerana perlu menjalani terapi trauma akibat kecederaan dialami selepas dibelasah pengadu kerana mencuri bingkai pintu aluminium, minggu lalu.

“Selain pengakuan salah saya menjimatkan kos mahkamah, saya mengalami kecederaan dan kaki saya ini lebih berharga daripada kerugian ditanggung pengadu.

“Menurut doktor hospital besar, saya yang patah dan retak  tulang pinggul perlu jalani terapi trauma disebabkan  tidak boleh berdiri dengan kedua-dua belah kaki,” katanya.

Terdahulu, Kamaruddin mengaku bersalah terhadap pertuduhan mencuri dua bingkai pintu aluminium bernilai RM500 kepunyaan Eng Development Co Sdn Bhd di Plaza Wang, Jalan Tun Perak, kira-kira jam 9 pagi pada 16 Januari 2013.

Dia didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Bagaimanapun, Pegawai Pendakwa Inspektor Muhather Mohd Kudus yang mengendalikan kes meminta mahkamah memberikan hukuman setimpal terhadap tertuduh bergiat aktif mencuri biarpun mempunyai lapan rekod jenayah lampau.

“Pengadu dalam kes ini bertindak memukul tertuduh kerana mahu mempertahankan diri selepas diserang tertuduh ketika kejadian,” katanya.

Selepas mempertimbangkan rayuan dan hujah kedua-dua pihak, Majistret, Nor Azizah Yusof kemudian menjatuhkan hukuman penjara selama dua tahun terhadap tertuduh bermula semalam.


Tiba-tiba saya terasa seolah-olah kedua-dua berita ini seperti ada kaitannya. Orang yang dengan terang-terangan telah berbuat salah, ingin menuntut agar kesalahan yang telah dilakukan itu diterima dalam masyarakat sebagai satu pekerjaan yang betul. Dunia apakah ini.

1 comment:

  1. kalau macam ni, makin ramailah yang nak jadi pencuri lepas ni...hmm dunia dunia...

    ReplyDelete