Saturday, February 16, 2013

Jiwa wanita terlalu kacau

 Petikan dari Harian Metro

 Rasanya boleh juga artikel ini dijadikan panduan. Perkara tegur-menegur mesti dilakukan dengan berhemah, tidak kira walau apapun perkaranya. Salah-salah provokasi buruk padahnya. Siapalah manusia yang suka menerima provokasi melampau. Provokasi juga boleh dikira sebagai senjata untuk melukakan hati manusia. Orang yang suka melakukan provokasi tidak begitu cerdik dari segi emosinya. Ia merasa puas apabila dapat mengeluarkan senjatanya itu, tetapi kurang berfikir akan kesan dari kelakuannya itu. Provokasi boleh juga dilakukan melalui laman-laman sosial. Kebelakangan ini ramai juga pemilik laman sosial yang dikenakan tindakan kerana melakukan provokasi bersifat perkauman, keagamaan dan sebagainya. Malangnya provokasi melalui lidah amatlah sukar untuk dibuktikan di mahkamah

Jiwa wanita terlalu kacau

Kuala Lumpur: “Wanita yang hilang pertimbangan sehingga tergamak menikam suami sendiri di Melaka Isnin lalu, berkemungkinan berdepan tekanan emosi dan tidak dapat mengawal perasaan,” kata Pakar Perunding Kanan Psikiatri Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof Dr Osman Che Bakar.
Menurut beliau, kecenderungan individu bertindak di luar kawalan sering berkait dengan emosi dan tekanan perasaan yang dilalui dalam kehidupan seharian.

“Dalam kes yang berlaku di Melaka, kita percaya wanita berkenaan bertindak sedemikian kerana ada unsur provokasi dalam teguran suaminya.
“Mungkin ada perkataan atau tuduhan berat yang sudah kerap kali dinafikan wanita berkenaan, namun masih dijadikan senjata oleh suami dan mungkin juga ada kritikan yang mengguris perasaan serta mencalar maruahnya sebagai isteri.

“Semua faktor ini perlu diambil kira kerana boleh mendorong kepada tekanan emosi melampau. Apabila ia gagal ditangani dengan baik, maka wanita berkenaan cenderung bertindak mengikuti emosi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas laporan Harian Metro mengenai seorang wanita yang `naik minyak’ dan bertindak menikam suami menggunakan pisau selepas berang ditegur kerap keluar rumah tanpa izin.
Menjelas lanjut, Dr Osman berkata, biarpun suami berhak menegur perbuatan buruk isteri, namun ia perlulah dilakukan dengan cara berhemah.

“Ada orang yang mudah menerima teguran, tapi ada juga yang tidak boleh mengawal kemarahan sekiranya perbuatan mereka dikritik, terutama orang terdekat.
“Sebab itu kita perlu berhati-hati apabila ingin menyampaikan teguran,” katanya ketika dihubungi, semalam.

No comments:

Post a Comment