Sunday, February 10, 2013

Kenangan muzik Nirvana



Entry ini hanyalah untuk menceritakan minat dan pengalaman zaman remaja saya terhadap kumpulan Nirvana. Ia bukanlah entry yang menceritakan sepenuhnya perihal kumpulan ini. Ia mungkin bercampur baur dengan pengalaman saya sendiri.


Ramai mengetahui saya adalah peminat Coldplay dan Muse. Tetapi sebenarnya saya juga adalah peminat muzik Nirvana sejak bertahun-tahun lamanya. Mereka telah banyak meninggalkan kenangan-kenangan manis disepanjang zaman persekolahan dan Universiti dulu. Dengan begitu susah payah saya pernah mencari duit untuk membeli album-album atau kasut, beg dan baju yang beridentitikan Nirvana. Converse adalah jenama yang paling sinonim dengan kumpulan Nirvana. Begitulah kuatnya pengaruh kumpulan itu terhadap zaman remaja saya.  


  

Walaupun saya tahu ada persepsi buruk terhadap mereka dari pelbagai pihak termasuk adik beradik saya sendiri, tetapi ia tidaklah dapat menghalang minat saya. Bayangkan selama beberapa tahun dari tahun 1995 di tingkatan empat sehingga saya masuk ke Universiti dan bergraduat pada tahun 2003, saya masih setia mendengar lagu-lagu mereka. Hampir seperti tidak ada kumpulan lain yang mampu menandingi minat saya itu (sebelum berjumpa dengan muzik Muse dan Coldplay). Ada juga kumpulan lain yang saya minati dan beli kasetnya seperti Greenday dan Linkin Park, namun ia tetap tidak sama dengan pengaruh muzik Nirvana  dalam diri saya. 

Saya tidak ingat bagaimana boleh terpikat dengan muzik grunge atau alternatif, tapi itulah titik permulaan minat saya terhadap lagu-lagu jenis hardcore sampai kini. Walaupun pada zaman itu tidak ada akses IT seperti sekarang yang memudahkan peminat untuk mencari maklumat, tetapi saya tahu banyak juga tentang kisah Kurt Cobain dan Nirvana. Kaset yang mula-mula saya miliki ialah Nevermind kemudian Unplugged In New York dan seterusnya In Utero.

Mungkin tidak banyak album yang dihasilkan oleh Kurt Cobain semasa hayatnya. Tetapi beberapa album mereka memberi kesan yang sangat meluas. Saya mengumpamakan Nirvana adalah satu lagenda pioneer dalam industry muzik, sama seperti Elvis Presley, The Beattle dan ABBA. Kurt Cobain dan kumpulannya adalah orang yang mula-mula mempopularkan muzik Grunge Alternatif. Selepas muzik Nirvana mendapat tempat, barulah keluar Radiohead, Better Than Ezra, Greenday, Smashing Pumpkin, Pearl jam, Oasis, Offspring dan sebagainya.
Kurt Cobain, seorang kutu jalanan yang pandai bermain muzik. Mungkin kisah hidupnya tidak sebaik Matthew Bellamy atau Chris Martin dalam permulaan karier muzik. Kisah hidup yang penuh berliku dan bersimpang siur. Seorang anak terbuang yang tidak dididik dengan sempurna  lalu terpengaruh dengan banyak gejala-gejala negatif dalam hidupnya. Namun dia seorang yang begitu berbakat. 

Smell Like Teen Spirit dan Something in the Way adalah kisah jalanan yang benar-benar dilalui oleh Cobain. Video klip Smile Like Teen Spirit mungkin ditonton oleh jutaan peminat dan mendapat banyak komen, tetapi dalam satu rencana menyatakan video klip itu dibuat dengan menggunakan perbelanjaan hanya sebanyak 10,000 US Dollar sahaja, sebuah bajet yang sangat kecil berbanding penyanyi penyanyi ternama lain yang mungkin mencecah sehingga 100,000 US Dollar! Alasannya, mereka bukan kumpulan yang popular. Dan sebelum terkenal,  beliau pernah terlibat dengan persembahan yang hanya dihadiri oleh dua orang penonton sahaja.

Saya adalah seorang yang agak particular dalam memilih muzik yang diminati. Seingat saya hanya ada beberapa penyanyi sahaja yang benar-benar mendapat tempat dihati. Yang lain-lain itu, setakat minat sahaja, tetapi tidak banyak mempengaruhi kehidupan saya atau sekurang-kurangnya meninggalkan kenangan.


Minat pada kumpulan ini telah membuatkan saya mencipta satu signature dan nama samaran yang selalu digunapakai semasa disekolah dulu. Seorang sahabat yang telah terpisah bertahun-tahun lamanya pernah mencari saya di internet dengan menggunakan nama samaran itu, tetapi selepas bergraduat saya  tidak lagi khayal dalam dunia gigs dan tidak menggunakan mana-mana nama samaran yang melibatkan artis.

Walaupun saya peminat Nirvana, tetapi Alhamdulillah, dari mula sampai ke hari ini saya belum pernah terjebak dengan mana-mana aktiviti tidak sihat. Lirik-lirik lagu merekapun saya teliti juga serba sedikit kerana mungkin ada diantara lirik-lirik itu agak keterlaluan dan tidak sesuai. Tidak seperti Muse dan Coldplay, saya tidak pernah memperkenalkan Nirvana kepada anak-anak saya. Mereka memang tahu saya seorang peminat Muse dan Coldplay, tetapi mereka tidak pernah tahu saya adalah seorang kipas susah mati kumpulan Nirvana suatu ketika dulu.




No comments:

Post a Comment