Monday, February 11, 2013

Perempuan tidak cantik dan perempuan berhias


Bagi seorang perempuan yang normal pasti akan merasa kecil hati apabila digelar tidak cantik. Begitulah yang pernah terjadi kepada saya beberapa ketika sebelum berkahwin. Tetapi mujurlah suami ingin berkahwin dengan saya bukan kerana paras rupa. Ceritanya, ada seseorang apabila mengetahui kami berkawan dan ingin berkahwin berkata kepada suami saya, carila perempuan lain yang ada rupa sikit, dia (saya) tu tak lawa. Lebih kurang begitulah ayatnya. Demikianlah saya masih mengingati sampai ke hari ini ayat kutukan itu sebagai satu tauladan.

Cantikpun subjektif juga. Tidak semestinya pada paras rupa. Tak guna kalau ada rupa tapi mulut dan hatinya dangkal. Nanti mana tahu lepas kahwin, selang beberapa tahun isteri yang disangka cantik dan dibangga-bangga itu akan berubah menjadi gemuk gedempol pula. Tak ke haru. Bangga setakat pada hari perkahwinan sahajalah. Kena pulak kalau isteri itu bermulut celupar, sudahlah rupa kurang, hatipun sakit.

Baru sekejap tadi saya membaca rencana tentang larangan mengubah wajah. Memang saya bersetuju dengan rencana itu. Tidak perlu mengubah wajah yang telah siap dicipta sempurna oleh Penciptanya. Dalam rencana itu juga menyatakan wanita hanya boleh berhias untuk suami sahaja, lain dari itu mereka tidak dibenar berhias langsung. Haa, yang itu saya kurang setuju.
Ok, setiap orang mempunyai persepsi tersendiri terhadap perkara berhias. Bagi saya orang yang cantik berhias itu mempunyai auranya tersendiri, mampu mendatangkan perasaan senang kepada mata yang melihat, tidak kira lelaki atau perempuan. Bukan semua wanita yang cantik berhias akan mendatangkan nafsu syahwat. Saya tidak begitu percaya statement itu. Lelaki kalau hidung belang dan bernafsu buas, nenek tua berkembanpun dia terliur. Memang ada sesetengah orang yang personalitinya boleh menimbulkan berahi, tetapi bukanlah semua orang.  

 


Pada zaman ini, berhias sudah menjadi seperti satu keperluan, bukan lagi untuk menunjuk-nunjuk. Walaupun ia bukan satu perkara fardu, tetapi apabila kelihatan menarik, ia akan mendatangkan perasaan senang dan yakin kepada orang sekeliling serta kepada diri sendiri. Tidak usahlah menipu diri sendiri.Namun janganlah berlebih-lebihan sehingga menjadi bahan kutukan atau menyakitkan mata yang memandang serta masih perlu menjaga syariat.

Saya pernah melihat beberapa situasi, suatu hari seorang wanita berpakaian sederhana tetapi menutup aurat dan tidak bermake-up masuk ke dalam sebuah kedai pakaian. Pelayan di kedai itu tidak berminat melayannya dan hanya menjawab sambil lewa seolah-olah pelanggan wanita itu adalah orang yang bodoh dan tidak bersekolah. Dalam kedai yang sama, masuk lagi seorang wanita yang berpakaian menutup aurat juga, tetapi agak lebih kemas dan sofistikated, serta berhias diwajahnya. Pelayan kedai dengan berhati-hati menjawab pertanyaan pelanggan ke dua ini serta memberi perhatian yang lebih.


Lagi satu situasi, keadaan yang sama seperti wanita pertama diatas, sangat sederhana, menutup aurat dan tidak bermake-up, masuk ke sebuah kedai serbaneka untuk memohon borang kerja, tiba-tiba pekerja kedai itu memaklumkan tiada kerja kosong, padahal sudah terpampang diluar kedai ada kekosongan. Memanglah kita rasa tidak patut kedua-dua pekerja di atas memilih bulu, tetapi itulah hakikatnya. Orang yang selekeh dan tidak  kemas tidak akan diyakini kredibilitinya. Kedua-dua cerita ini adalah cerita benar yang dilihat dengan mata kepala sendiri.

Dulu sewaktu menghadiri interview mana-manapun saya akan memakai blazer dan merapi diri untuk memberi keyakinan kepada tukang interview saya itu. Hampir kesemua syarikat yang saya pergi interview itu menawarkan pekerjaan. Saya bukan cantik jelita, tetapi perapian dan berpakaian kemas dalam sesetengah situasi memang perlu. Oleh itu saya menyebutnya sebagai satu keperluan.

Cuma sekarang, saya sudah tidak perlu untuk berhias seperti beberapa tahun yang lepas ketika pergi interview. Hanya setakat berpakaian seperti yang dituntut oleh majikan. Tetapi saya masih memakai alatan solek setiap hari. Tujuan memakai alat solek itu pula bukanlah untuk menarik perhatian orang, kerana kesemua pelanggan yang datang bertemu dengan saya bukan bertujuan untuk melihat perempuan cantik, sebaliknya hanyalah untuk tujuan kerja. Cara berkomunikasi dan kredibiliti adalah jauh lebih penting dalam pekerjaan ini. Saya memakai alatan solek hanya untuk melindungi wajah dari pancaran radiasi matahari dan lain-lain persekitaran yang tidak sihat seperti habuk dan jerebu.


Pemikiran dangkal sesetengah orang sebenarnya banyak menjejaskan diri mereka sendiri. Orang melayu asyik menyalahkan orang cina dan india kerana jarang memberi peluang kepada mereka dalam sektor pekerjaan yang lebih baik. Tetapi jika anda adalah seorang majikan, anda pasti akan memilih seorang pekerja yang anda yakini untuk membantu melakukan kerja-kerja anda, bukan seorang yang selekeh dan tidak menyakinkan. Itulah kenyataannya.

Walau bagaimanapun, bukan setiap masa seseorang perempuan itu kena berhias dan bersolek. Ia harus mengikut tempat dan kesesuaian juga. Bayangkan, apa persepsi masyarakat bila melihat seseorang yang datang menziarah jenazah atau orang sakit dengan memakai baju lip lap dan eye shadow seperti kera baru lepas pecah rumah? Atau juga bila melihat seseorang yang berpakaian ala-ala gangster ketika menghadiri sebuah majlis pernikahan? Ate, nape gitu, idok tau majlis ke, buruk benor ghopernyer kata orang-orang Perak.



No comments:

Post a Comment