Friday, April 12, 2013

Pengalaman di Negeri Perlis, melawat Ladang Anggur dan Padang Besar

Dalam entry saya sebelum ini menceritakan tentang perjalanan ke negeri Indera Kayangan. Ini adalah kali pertama kami ke negeri Perlis.

Perlis berkeluasan kira-kira hampir 800 kilometer persegi. Ada beberapa perkara yang menjadi tarikan perlancongan di Perlis. Antaranya, ia adalah tempat persinggahan utama pelancong yang ingin ke Langkawai melalui Jeti Kuala Perlis. Perlis juga mempunyai beberapa pusat perniagaan barangan yang terkenal seperti di Padang Besar dan Wang Kelian. Industri buah-buahan di sini turut meriah dengan penanaman anggur dan mangga harumanis.

Pada hari pertama saya keluar melawat projek di Kedah dan sebuah projek di Kubang Pasu. Projek di Kubang Pasu itu adalah projek sejenis cendawan yang dijadikan perubatan atau tonik. Pemiliknya adalah merupakan pengasas kepada Syarikat NTPM yang menghasilkan produk-produk terkenal seperti tisu Premier dan tuala wanita Kotex.







Sebelah petangnya kami melawat ladang anggur pula. Kali ini suami saya turut serta dalam lawatan. Kami diberi penerangan yang agak ringkas oleh pemilik ladang. Agak geram dengan buah-buah yang masak ranum ditangkai. Memang ada orang menanam anggur di sebelah selatan, tetapi penanaman di sini lebih berjaya, mungkin kerana keadaan topografi yang kurang menerima hujan. Kebanyakan varieti anggur tidak sesuai dengan penerimaan kadar air yang tinggi. Sama seperti mangga harumanis, ia menjadi lebih manis kerana cuaca yang panas dan kurang menerima taburan hujan. Tapi, bulan Mac bukanlah musim buah mangga harumanis masak, jadi kami hanya melihat putik sahaja dari tepi jalan. Ia dijangka masak pada bulan Mei.

Ladang anggur itu terletak berdekatan dengan bandar Kangar. Menurut pemilik ladang, hari Isnin ladang ini ditutup, namun kadang-kadang kerana tidak mahu menghampakan pelawat yang datang dari jauh, mereka tetap buka juga. Tidak banyak signboard untuk ke sini. Katanya, kapasiti pengeluaran anggur diladang itu tidak mencukupi untuk seluruh dinegeri Perlis, sebab itu mereka tidak mewar-warkannya kepada umum. Mereka memerlukan tempat yang lebih luas untuk menampung keperluan pasaran seluruh negara.

Salah satu panduan yang dapat saya beri kepada pembaca untuk ke taman ini ialah, sila ikuti signboard Taman Ular. Jika taman ular berada di sebelah kiri maka jalan terus beberapa ratus meter lagi dan akan bertemu ladang tersebut. Pada masa saya datang itu memang anggur tengah berbuah lebat. Anggur yang berwarna hitam tanpa biji sangat manis. Terdapat 4 varieti anggur di sini, iaitu anggur hitam berbiji, anggur hitam tanpa biji, anggur hijau dan anggur kuning. Boleh juga membeli buah anggur dari ladang ini, sepeket berharga RM10, agak mahal sedikit berbanding anggur import, tetapi ia masih berbaloi. Pada hari itu hanya terdapat anggur hijau yang dijual. Walaupun banyak anggur sudah masak di atas pokok, tetapi ia masih belum dituai. Saya hanya beli 5 peket. Anggurnya kecil-kecil sahaja, dengan rasa manis yang tidak keterlaluan seperti anggur hitam, namun sangat ranggup dan enak. Pada hari balik, kami singgah lagi sekali di ladang ini kerana tak puas hati dan beli lagi 5 peket anggur, kali ini anggur hitam tanpa berbiji, memang sangat berbaloi rasanya.


















Balik dari ladang anggur kami sekeluarga terus menuju ke Padang Besar. Bukanlah saya hendak membeli belah sangat di sana, tujuannya hanya untuk melawat kerana selalu mendengar cerita orang tentang pusat beli belah ini. Perjalanan dari Kuala Perlis ke sini makan satu jam lebih juga. Tidak ada apapun yang hendak kami beli, selain window-window shopping.

Satu perangai peniaga di sini ialah jika pembeli adalah pelancong, maka mereka tidak akan menurunkan harga barang, kalau turunpun sedikit sahaja, terutama semasa cuti sekolah. Oleh itu, cara untuk mengajar ialah jangan beli barang mereka. Sebenarnya kualiti dan harga barang-barang itu tidak jauh bezapun dengan harga di selatan. Mungkin ada kedai yang benar-benar menjual barangan dengan harga murah, tetapi kebanyakan kedai menipu. Kami hanya singgah untuk merasa makan pulut mangga di sebuah kedai. Dua mangkuk pulut mangga, sebotol oren fanta, air sirap dan air epal, kami telah di cas RM19! Jadi, apa pendapat anda, adakah berbaloi? Mungkin lain-lain orang lain pula pendapatnya di sini. Ada juga saya terniat nak menyeberang ke Hat Yai memandangkan sudah dekat benar dengan pintu sempadan, tetapi memikirkan kesuntukan masa, hasrat itu dibatalkan sahaja. Tambahan passport suami tertinggal di rumah, hanya pasport saya dan anak-anak sahaja di bawa.













Selain padang Besar dan Ladang Anggur, sebenarnya Perlis juga mempunyai tempat tumpuan pelancong yang lain seperti Wang Kelian dan Gua Kelam. Tetapi kedua-dua tempat ini kami tidak jadi pergi. Jika berminat, bolehlah google bagaimana nak ke sana. Kalau tak silap, perjalanan ke Padang Besar turut melalui Gua Kelam ini.


3 comments:

  1. Tq byk kerana info ini,sbb saya bercadang nak pegi sana cuti sek 2 minggu ni, inshaaAllah kalau tiada aral lah...

    ReplyDelete
  2. Terima kasih ..... nak pergi taman anggur sekejap lagi

    ReplyDelete
  3. feeling dok oversea petik anggur..hihi

    ReplyDelete