Thursday, April 11, 2013

Perjalanan ke Kuala Perlis

Satu-satunya negeri yang tidak pernah saya jejaki di negara ini ialah Perlis. Walau bagaimanapun, pada cuti sekolah yang lalu, saya dan suami mengambil keputusan untuk bercuti di Perlis dan Langkawi. Secara kebetulan, pada minggu itu juga ada seorang kawan sepejabat yang melangsungkan perkahwinan di Ipoh Perak dan esoknya terdapat satu mesyuarat dan lawatan kerja yang perlu saya hadiri di sekitar negeri Perlis dan Kedah. Oleh kerana tiada pemandu yang free pada minggu itu, 
tambahan saya membawa keluarga, jadi lebih sesuai membawa kenderaan sendiri.

Perjalanan dari Putrajaya ke Perlis jika tidak berhenti dan pada tahap kelajuan tertentu mungkin hanya mengambil masa sekitar 6-7 jam. Atau mungkin boleh lagi cepat jika tiada halangan dan memandu dengan laju. Apapun memandulah dengan berhemah.

Untuk perjalanan kami, kami keluar pada jam 10 pagi dan minum pagi di Putrajaya, pukul 12 baru kami masuk ke tol PLUS Putrajaya, kemudian keluar di Tol Jelapang untuk ke kenduri sahabat sepejabat saya di Ipoh. Selepas itu kami meneruskan perjalanan ke Utara dan keluar di Tol Juru. Oleh kerana ini adalah pengalaman pertama menaiki kenderaan sendiri ke Utara jauh, maka banyaklah perkara yang tidak  kami ketahui. Namun highway Utara Selatan memang benar-benar membantu memudahkan perjalanan. 
Nak lagi senang, godek-godek sahaja encik Google, ia akan lebih membantu. 
Bersyukur dengan nikmat kemajuan yang dikurniakan oleh Allah Taala.

Tempat yang kami tuju ialah Hotel Brasmana Putra, Kuala Perlis





Selepas tol Juru kami masuk satu lagi Tol PLUS, dan keluar di Tol Kampung Hutan. Untuk menuju ke Kuala Perlis jalan paling sesuai adalah melalui Jitra Kedah. 
Terdapat tiga Tol yang harus ditempuhi, saya hampir lupa nama ketiga-tiganya kerana tidak mencatat, kalau tidak silap Tol Juru, Tol Hutan Kampung dan Tol Jitra.
Semua ini boleh disemak di Google.
Untuk lebih mudah, kami ikut signboard Changlun atau UUM Kedah.
Di Changlung ada banyak signboard menuju ke Kuala Perlis, ikut saja, ia akan masuk ke Highway Kuala Perlis-Changlun dan lebih mudah. Ada jalan lama, sebelum Changlun terdapat satu simpang di Napoh yang juga boleh dilalui untuk sampai ke Kuala Perlis. Jalan ini akan melalui Kodiang. Tetapi kalau pertama kali pergi usah ambil risiko, takut sesat larat.
Kami ikut jalan ke Changlun sahaja, sampai satu simpang/fly over besar, simpang kekiri adalah ke Kuala Perlis, manakala simpang ke kanan ke UUM.
Nanti habis entry saya akan nyatakan bilangan KM dan jumlah kesemua RM Tol.

Simpang ke kanan ke UUM, SImpang ke kiri Highway Changlun-Kuala Perlis, Jalan Terus Bukit Kayu Hitam
Perjalanan dari Highway Changlun-Kuala Perlis ke Hotel Brasmana tidaklah mengambil masa yang terlalu lama, sekitar 1 jam lebih sahaja. Tetapi jalannya sedikit beralun. 
Agaknya disebabkan topografi kawasan yang berbukit. 
Selepas dari Ipoh kami tidak banyak berhenti. Hanya berhenti di hentian Ipoh Utara untuk menambah minyak dan mengeluarkan duit, itu sahaja.

Hotel Putra Brasmana adalah hotel yang sangat strategik di Kuala Perlis ini untuk menginap. Yang pertama,  ia adalah paling hampir dengan restoran makanan laut yang terkenal di Kuala Perlis. Yang kedua ia sangat berhampiran dengan jeti nak ke Langkawi, hanya berjalan beberapa minit sahaja. Yang ketiga, tempat parkingnya adalah luas dan lebih selamat, kerana benar-benar berhadapan dengan lobi hotel. Ada juga hotel lain disini, seperti hotel bajet dan hotel sederhana yang lebih dekat dengan jeti. Tetapi jika ingin sedikit selesa lebih baik ke hotel Brasmana. Untuk bilik Family harganya RM250, Bilik King deluxe RM240 dan Standard room hanyalah RM150. Bagi yang membawa anak-anak seperti saya lebih elok mengambil bilik family, namun ada juga option, boleh ambil bilik standard dan tambah tilam, cuma RM35.

Walau bagaimanapun, mengikut pengalaman saya di seluruh Malaysia, tidak semestinya hotel bajet tidak selesa. Ada hotel yang namanya gah, 5 bintang, sangat mahal, tapi biasa-biasa sahaja perkhidmatannya, tak sesuai dengan bintangnya itu. Ada pula hotel bajet yang sangat murah, tetapi penginapannya sangat selesa pula.








Selesai Check-In, kami dengan segera pergi makan ke restoran tepi laut berdekatan. tidak sah kalau ke Kuala Perlis tidak makan makanan laut dan laksa Kuala Perlis mereka. 
Ada beberapa restoran yang agak terkenal, antaranya restoran Mona. Hari pertama kami makan di restoran yang sebelah restoran Mona itu, hari ke dua baru kami makan di restoran Mona, tetapi restoran yang kami makan pada hari pertama adalah lebih memuaskan, tak ingat pula apa namanya. 
Harga makanan kedua-dua restoran agak berpatutan. Saya order sotong rangup, ketam tomyam, ikan masak tiga rasa (ikan yang agak besar), udang mentega dan kailan ikan masin. Mereka turut menambah ulam-ulaman dan bermacam-macam pencicah, harganya cuma RM60 sahaja untuk semua makanan.













Kalau perut sudah lapar, makan apapun dan walau dimanapun sedap juga.
Restoran ini benar-benar ditepi pantai.

Oklah, kita cerita pasal tambang dan Tol.

Perjalanan keseluruhan dari Kuala Lumpur/Putrajaya ke Kuala Perlis adalah kira-kira 500km lebih. Jadi jumlah KM keseluruhan pergi dan balik ialah 1000km lebih

Untuk perjalanan pergi dan balik kami menggunakan kira-kira RM160 petrol. Keseluruhan yang diisi dari mula pergi sampai balik ialah RM190, tetapi dari hari balik, iaitu Rabu, kami tidak mengisi petrol sampailah hari Jumaat. 

Khamis dan Jumaat itu saya berjalan merata disekitar Putrajaya, Serdang dan Sungai Besi. 
Hari Jumaat semasa mengisi tambahan petrol ia masih ada satu bar lagi, belum kuning. 
Semasa di Perlis, saya bawa kereta itu kemerata tempat, termasuklah melawat kawasan-kawasan projek, pergi ke Kuala Kangsar dan Padang Besar.
Perjalanan itu lebih 1000km, mungkin hingga 1300km atau lebih.
Kereta kami ialah Persona 1600cc. 
Untuk Enjin kereta lain saya tidak tahu, mungkin kurang dari kereta saya penggunaan petrolnya atau mungkin lebih.

Tol pula, seperti telah diterangkan di atas, dari Putrajaya atau KL, jika tidak ikut lain-lain tol seperti Guthrie, kita akan melalui 3 tol, iaitu Tol Juru, Tol Hutan Kampung dan Tol Jitra.
Dari Tol Putrajaya ke Tol Juru jumlahnya ialah RM48.20, Tol hutan Kampung RM13 dan Tol Jitra RM 1.60. Jumlah keseluruhan tol pergi dan balik ialah RM 125.60.

Campur tolak makan di Highway dan berhenti untuk kudapan, kami mungkin telah membelanjakan lebih kurang RM100.

Jadi jumlah total keseluruhan perjalanan pergi dan balik kami termasuk makanan disepanjang perjalanan berjumlah kira-kira RM385.60.

Lain-lain kos seperti penginapan dan perbelanjaan tidak dimasukkan di sini. 
Anda mungkin boleh lebih berjimat dari saya.
Sekian untuk panduan.


1 comment:

  1. Laluan terdekat ke kuala Perlis ialah PLUS exit Alor Setar Selatan, kemudian ikut signboard Kangar jalan bawah. 5km sebelum Kangar ada simpang ke kiri ke Kuala Perlis, sejauh 10km dari simpang tersebut.

    Laluan terdekat inj menjadi pilihan ramai, maka x hairan lah sepanjang jalan ni ada 2 tempat jem di pekan kuala sungai (2km dari Alor Setar) dan Kerpan (23km dari Alor Setar).

    Jarak keseluruhan Alor Setar ke Kuala Perlis ialah 50km.

    ReplyDelete