Wednesday, May 1, 2013

Dulu dan sekarang


Saya seorang anak kampung yang miskin. Ayah penoreh getah dan emak surirumah sepenuh masa. Emak saya selalu bercerita tentang kesusahannya semasa dulu-dulu. Nak makan susah, nak bergerak dari satu-tempat ke satu tempatpun susah, tiada pengangkutan.

Bila kakak saya yang nombor lima masuk Universiti, emak jual lembu kami untuk tampung bayar yuran semester pertama. Itupun masih tak cukup duit dan terpaksa minta derma dari penduduk kampung di masjid. Kedua-dua orang tua saya tidak ada pendidikan. Tidak pernah ke sekolah dan buta huruf. Ada orang kampung pernah berkata, Memmet tu kalau dah bodoh, takkan pandai anak ey doh, tapi ayah saya hati kering dan buat-buat tak dengar atau tak faham.

Kemudian kakak saya itu dapat tawaran biasiswa JPA. Dengan biasiswa itulah dia meneruskan pelajarannya kerana tiada siapa dalam keluarga kami yang mampu menanggung beliau belajar. Kakak sulung dan nombor tiga seorang suriumah, abang kerjanya tidak menentu, kakak keempat pula bekerja dikilang tego Seremban.

Bila ekonomi bertambah baik pada penghujung tahun 1990an, banyak pelabur datang ke Malaysia dan kilang-kilang didirikan. Kakak keenam saya sudah habis sekolah ketika ini dan mula bekerja sebagai pekerja kilang. Kakak saya yang di Universiti juga sudah bergraduat dan bekerja secara sambil-sambilan di banyak tempat sebelum dia meneruskan pelajarannya dalam diploma pendidikan. Ayah saya pula sudah tidak bekerja lagi kerana sudah tua. Saya sudah bersekolah menengah ketika ini. Ekonomi keluarga kami dijana oleh kakak-kakak saya. Tapi kami selalu juga mendapat bantuan-bantuan dari kerajaan dalam bentuk makanan.

Selama dalam tempoh 20 tahun lebih saya telah melihat pelbagai transformasi ekonomi yang berlaku dalam keluarga saya. Dulu usah kata kereta, motor yang murahpun tak mampu dibeli. Sekarang, adik beradik saya sekurang-kurangnya mempunyai dua buah kenderaan dirumah masing-masing. Makan pakai, usah cakaplah.

Sengaja saya menerbitkan entry ini sebagai mengenang keadaan ekonomi kami dahulu. Sudah dua hari saya memandu kereta kancil ke pejabat kerana bateri kereta persona saya telah habis. Saya bukan hendak berbangga-bangga diri atau menunjuk-nunjuk. Saya bersyukur kepada Allah yang telah mengurniakan rezeki untuk kami sekeluarga ini. Dulu kami sangat susah, walaupun sekarang belum mewah, tapi kami lebih senang. Saya selalu ingin menjadi seorang yang mengenang budi. Kalu negara ini tidak berkembang dengan baik, sudah tentu keluarga kami masih hidup melarat dan susah.






Banyak perkara berlaku sejak akhir-akhir ini. Ada orang yang hidupnya sudah senang dan mula lupa diri serta tidak mengenang budi. Malah menjadi seperti anjing yang dilepaskan ketika tersepit pula. Sedikit kekhilafan yang berlaku sepanjang zaman selagi ia tidak mendatangkan mudarat kepada semua orang, maka ia masih boleh diperbaiki dan ditegur. Sepatutnya semua orang bersatu mengembleng tenaga untuk memajukan negara ini dan hidup dengan lebih senang serta aman.


Sekian.


2 comments:

  1. hai memetlenggeng...
    ni pesbuk akak

    akak dah tua pun..dah beruban..ekekek

    https://www.facebook.com/yati.harun.1?ref=tn_tnmn

    ReplyDelete
  2. apa nama profil facebook memetlenggeng

    ReplyDelete