Tuesday, May 21, 2013

Pengalaman di Cameron Highland - Part 1- Kenangan lalu

Untuk entry kali ini saya akan membuat beberapa slot, 
sama seperti entry Pengalaman di Perlis dan Langkawi. 
Tujuan diadakan beberapa slot adalah untuk menerangkan se'detail' yang mungkin pengalaman saya supaya dapat dijadikan satu asas kepada pembaca yang mencari panduan hendak becuti  di sini. Walaupun mungkin melalui pengalaman yang berbeza dengan penulis lain, namun saya berharap pembaca akan tetap mendapat suatu ilmu dan panduan.

**********************

Sudah lebih 22 tahun saya tidak menjejakkan kaki ke Cameron Highlands. 
Bersyukur dengan rezeki yang telah dikurniakan oleh Allah. 
MelaluiNyalah dapat saya merasa berjalan-jalan ke merata tempat di dalam Negara ini dan mengutip pengalaman yang boleh dikongsikan bersama-sama orang lain.

Apabila ditugaskan untuk satu bengkel yang agak penting dan melawat beberapa tapak projek di Cameron Highlands hati saya merasa agak teruja. Maklumlah, kali terakhir datang ke sini ketika berusia 12 tahun. Hanya beberapa cebis kenangan sahaja yang masih tinggal difikiran. 
Teringin sangat saya untuk kembali melawat ladang teh dan taman permainan kanak-kanak milik MARDI, Sekolah Convent tempat kami menginap dulu,
gerai-gerai menjual pelbagai sayuran serta buah-buahan segar,
dan suhu segar yang sejuk di Cameron Highlands.

 
Kedatangan bersama rombongan sekolah ketika itu hanyalah beryuran sebanyak RM 15 sahaja. Cikgu-cikgu tidak mengutip duit lebih kerana tahu kami adalah anak-anak orang kampung yang miskin. 
Duit RM15 itulah buat bayar tambang bas, makan-minum dan mungkin juga sedikit saguhati penginapan kepada pihak Sekolah Convent.

Saya hanya dibekalkan beberapa ringgit sahaja untuk rombongan itu, kerana ayah tidak mampu. 
Tapi kalau harap kami pergi sendiri sekeluarga, lagilah tidak mampu.
Oleh itu ayah suruh juga pergi.Tetapi jasa baik sepupu saya, 
Abang Lang telah menambah duit itu menjadi RM 35. 
Satu jumlah yang sangat besar untuk saya.

Beg pun saya tidak ada ketika itu. 
Hanya menggunakan beg plastik. Seorang emak kawan yang sangat bersimpati telah mengosongkan beg anaknya kepada beg lain dan memberikan beg itu kepada saya.
 Sampai sekarang saya masih ingat bagaimana rupa bentuknya, ia adalah sebuah beg kait rotan yang berwarna putih krim. Dalamnya dilapisi kain berwarna merah tetapi tidak mempunyai zip. 
Saya tempatkan baju-baju saya di dalam beg itu.

Dengan RM 35 itu saya telah membeli beberapa jenis sayuran yang murah seperti kobis 
dan sebuah cendera mata.
Sayur-sayuran itu saya hadiahkan kepada maklong saya 
(emak abang Lang, sekarang sudah meninggal dunia), guru mengaji dan beberapa orang jiran.
Dua cikgu pengiring yang masih saya ingat sampai ke hari ini ialah cikgu Ahmad dan cikgu Norizan. Cikgu-cikgu lain saya sudah lupa. Dalam bas itu kami duduk bertiga-tiga untuk menjimatkan ruang. Maklumlah badan masih kecil.
Berpuluh tahun kemudian, saya berseloroh dengan kawan-kawan yang sama pergi rombongan itu dahulu, dulu dua seat muat  tiga orang, tapi kalau sekarang, satu seat, belum tentu muat seorang, maklumlah masing-masing sudah senang dan badan pun naik macam di pam-pam.
Apapun syukur kerana silaturrahim antara kami masih berjalan dengan baik.

Kenangan rakan sekelas bersama cikgu Norizan yang baik hati
Perjumpaan yang diadakan baru-baru ini
Hari ini bila saya datang lagi ke Cameron Highland, cuacanya sudah tidak sejuk seperti dulu. Banyak hutan-hutan sudah di tebang. Kereta-kereta memenuhi segenap tempat dibukit itu. Bangunan-bangunan seperti hotel juga berdiri dengan megah diselang-seli bangunan pasaraya atau kedai-kedai.
Pelawat tidak perlu memakai baju sejuk. Mulutpun tidak berasap lagi bila bercakap. Air paip tidak sejuk macam air di dalam peti sejuk.Sudah banyak kedai-kedai moden dan kedai-kedai yang menjual barang keperluan seperti di bandar-bandar lain. KFC dan Starbuck juga ada di sini. 

 Begitulah harga yang harus dibayar untuk sebuah kemajuan. Di mana-mana negara di dalam dunia ini juga begitu. Cuma bila pembangunan itu tidak dilakukan dengan terancang, maka krisis alam sekitar akan turut berlaku.

Di Cameron Higland saya minta pemandu berhenti di taman yang saya pernah singgah semasa kanak-kanak dulu. Terasa begitu nostalgia. Walaupun tidak banyak kenangan yang tinggal, tetapi saya masih ingat pernah bermain-main di taman ini.

Hotel Heritage tempat saya menginap pula hanya terletak di kawasan bahagian atas Sekolah Convent. Mulanya saya ingin menyinggah di sekolah itu, tapi kerana jadual yang padat,
saya hanya sempat mengambil gambar sahaja, jadilah.

Apapun terubat sudah kerinduan saya pada kenangan lalu.
Cuma ladang teh MARDI tidak saya masuk, kerana agak sibuk.











Lain-lain entry berkaitan :
Pengalaman di Cameron Highland Part 2



No comments:

Post a Comment