Tuesday, June 25, 2013

Cerita kehidupan



Kawan sepejabat saya baru sahaja update statusnya di facebook, tentang seorang kawannya yang baru kehilangan suami. Mungkin kehilangan secara tiba-tiba, yang membuatkannya menjadi Down.
Sebagai seorang wanita sudah bersuami, saya turut bersimpati terhadap kawan kepada kawan sepejabat saya itu, walaupun tidak mengenalinya.

Dalam berjuta-juta perkara dalam dunia ini, perkara yang paling sensitif untuk saya kenangi selalu ialah suami saya. Saya bukan hendak menunjuk-nunjuk atau bercakap berlebih-lebihan. Tidak semua orang suka bila kita bercakap tentang perasaan dan kehidupan seharian kita. Itu perkara normal. Berlebihan akan membuatkan orang jemu dan meluat, tentang apa sahaja. 

Tetapi jujur saya katakan, suami saya adalah seumpama cahaya. Cahaya yang lebih terang dari matahari dan lebih bersinar-sinar dari segala bintang yang ada di kaki langit. Tanpanya saya menjadi lemah, biarpun seketika, biarpun hanya beberapa saat. Ya, kami juga adalah pasangan yang normal, kadangkala ada perselisihan dan kadangkala ada saat muram tapi saya tak mampu tersenyum tanpa sokongan darinya.

Tuhan telah kurniakan suami saya dengan beberapa karakter yang sangat istimewa, yang menyukarkan untuk saya memandang orang lain sebagai idola di dalam kehidupan saya. Yang menyebabkan saya selalu terfikir, apakah didikan yang telah diberikan oleh ibu mertua sehingga membuatkan saya memandang dia sebagai seorang yang amat hebat. Walaupun mungkin pada mata orang lain dia biasa-biasa sahaja. Lelaki biasa yang tak punya apa-apa. Yang marhaen dan tidak maksum.

Berbalik kepada cerita di atas, kehilangan suami yang dikasihi oleh mana-mana wanita adalah satu detik yang paling tidak diingini. Apatah lagi jika perhubungan itu sangat rapat, pasti akan meninggalkan kesan yang amat mendalam. Jika mempunyai anak-anak  yang masih kecil ia akan tambah memeritkan. Tidak dapat saya bayangkan kesedihannya. Beberapa kali saya merasa tersentuh dengan kisah-kisah sebegini. Hanya doa yang dapat saya titipkan semoga mereka sentiasa tabah dalam menjalani kehidupan seharian yang penuh dengan cabaran ini.

Kepada kaum lelaki, hargailah isteri supaya mereka menyanjungi anda sepenuh hati samada ketika hidup ataupun sudah mati. Jangan jadikan isteri itu sebagai ibu tunggul. Umpama tidak berguna dan tidak diperlukan. Yang kalau adapun ok, tak adapun ok. Saya lebih bersimpati dengan wanita yang bernilai sebegini. Kepada kaum wanita, hargailah juga suami anda, jangan gemar memperlekeh-lekehkan dan merendah-rendahkan martabat suami. Usah bercerita buruk tentang suami dibelakangnya.

Sekian















No comments:

Post a Comment