Wednesday, June 19, 2013

Harry Potter, The Hunger Games dan Twillight

Bagi orang yang tidak minat memang tidak akan faham mengapa ada peminat yang begitu fanatik dengan novel-novel fantasi yang disebutkan di atas. Saya adalah kategori peminat tegar, tetapi bukan terlalu taksub. Ketiga-tiga novel ini saya baca dan mempunyai koleksinya di rumah. Kawan-kawan dan kakak saya pula membaca novel-novel cinta tempatan. Saya tidak pandai baca novel cinta, kecuali dalam bahasa Inggeris, sebab nanti saya mudah meluat dengan gaya bahasa romantik yang digunakan dan memberikan komen-komen yang menyebabkan orang lain annoying dengan saya. Tidak ada koleksi novel cinta tempatan dalam simpanan  untuk menghalang saya berkelakuan ganjil dalam memberi komen terhadap novel-novel tersebut. Oh, tapi rasanya bukan semua novel cinta tempatan tidak berkualiti, harap maklum.

Harry Potter

Mempunyai tujuh siri kesemuanya menceritakan tentang seorang budak sihir. Penceritaan yang santai dan bersahaja berserta fakta-fakta yang menarik. Penulis yang baik ialah penulis yang mampu membuatkan pembaca membayangkan mereka berada bersama-sama dalam novel tersebut. Inilah J.K Rowling. Tidak hairan mengapa dia mempunyai berjuta-juta pengikut di seluruh dunia. Penerangan yang diberi dalam novelnya juga jelas dan mudah. Tidak perlu membayangkan isu-isu yang berat. Plot-plot cerita disusun dengan baik agar dapat bersambung dari siri 1 sampai siri terakhirnya. Ada detik komedi, ada detik mengujakan, ada detik menyedihkan, ada detik yang menyeramkan, ada detik mencemaskan dan ada detik yang sangat-sangat mencemaskan. Sekali baca, kita akan tertunggu-tunggu dan tidak sabar untuk membaca buku seterusnya. Tidak banyak aksi cinta, itu sesuatu yang baik untuk remaja, sebaliknya ia lebih menerapkan semangat setiakawan dan kejujuran. Buku ini juga tidak mengangkat heronya berlebih-lebihan seperti novel lain tetapi Harry Potter adalah hero yang sangat menyentuh hati. Jalan cerita tidak terganggu dengan bayang-bayangan cinta seperti novel Stephanie Meyers atau Suzanne Collin atau L.J Smith. 
Rumusannya, ini adalah novel terhebat sepanjang zaman yang pernah saya baca. Jujur. 
Buku ini akan menjadi lagenda suatu ketika nanti.



The Hunger Games

Telah ada ulasannya saya buat di sini. Tidak terlalu fantasi, tetapi masih boleh dikategorikan sebagai novel fantasi. Buku ini mempunyai dua tema, tema cinta dan juga tema aksi. Fokusnya tidak sepenuh kepada cinta. Ia lebih kepada aksi dan pengorbanan. Unsur-unsur percintaan diselitkan bagi memeriahkan jalan ceritanya, tetapi ia masih kena. Saya tertarik kepada buku pertama dan bab terakhir dalam siri terakhirnya. Bagaimana Katniss menjadi hampir gila dan mengenang semula semua sejarah yang telah berlaku sepanjang zaman cengkaman Capitol. Suzanne Collin menceritakan dengan baik dan meninggalkan satu perasaan yang hebat dalam diri pembaca. Saya terasa bersedih dengan siri terakhir ini. Ia juga boleh menjadi novel lagenda.


The Twillight

Saya membaca Twillight selepas Harry Potter dan sebelum Hunger Games. Buku ini adalah tulisan Stephanie Meyers. Cerita  cinta 3 penjuru tentang Manusia biasa, Pontianak dan Serigala jadian. Cerita yang agak mengarut sedikit tetapi kalau dah nama novel fantasi begitulah. Kekuatan cerita adalah kepada hero dan heroin utama yang berjuang demi cinta pelik mereka. Dimasukkan juga elemen-elemen aksi seram seperti serangan pontianak jahat yang tidak berpuashati. Ya, novel seperti ini pastinya menjadi pilihan remaja yang asyik masyuk dengan dunia percintaan. Penceritaan untuk siri pertama agak menarik dan menimbulkan suspen. Tapi bila masuk siri ke dua dan seterusnya ia sudah meleret-leret kepada percintaan tiga segi pula. Rumusannya, novel ini adalah novel cinta sepenuhnya.


Penulis Britain dan penulis Amerika

Mungkin pembaca novel tegar dapat mengenali perbezaan budaya menulis novel diantara penulis dua negara ini. Penulis Britain tidak begitu mementingkan cinta dan romantik dalam novel mereka, berbeza dengan penulis Amerika yang gemar memasukkan unsur-unsur romantik dan seks. Cara menulis fakta juga adalah berbeza antara penulis Britain dan Amerika. J.K Rowling, Enyd Blyton dan Anna Sewell adalah penulis British, manakala Suzanne Collins, Stephanie Meyers dan L.J Smith adalah penulis Amerika. Penulisan orang British lebih tersusun dan mempunyai penerangan yang mudah dan baik. Mereka juga banyak menerapkan usnur-unsur teladan berbanding dengan penulis Amerika yang gemar memasukkan unsur-unsur seks dan budaya tidak sihat. Apapun, bagi pendapat peribadi saya, saya lebih gemarkan penulisan penulis British dari Amerika. Begitu juga dengan pilihan muzik, pemuzik British lebih kreatif dan mempunyai 'manner' berbanding pemuzik Amerika. 

Dari ketiga-tiga novel fantasi di atas, saya memilih Harry Potter sebagai novel terbaik, diikuti Hunger Games dan Twillight.


No comments:

Post a Comment