Monday, June 3, 2013

Ulasan Novel The Hunger Games


Terkini novel yang saya baca ialah The Hunger Games. Semasa di Cameron saya telah tertonton filem The Hunger Games ini. Balik itu saya terus membeli kesemua koleksi novelnya dan sudah habis membaca siri 1 dan 2 (sekarang tengah membaca novel ke tiga pula). Ia adalah sebuah novel yang menarik. Kalau  nak mengulas dari siri satu sampai 3 memang panjang. Saya pendekkan sahaja. Bagi yang pandai dan fasih membaca bahasa Inggeris, ulasannya banyak di Wikipedia. Saya menulis untuk mereka yang tidak begitu fasih membaca dalam bahasa Inggeris. Buku ini tiada terjemahan dalam Bahasa Melayu.



Buku 1 - The Hunger Games

District 12 juga di panggil Seam berindustrikan lombong arang batu. Ia terletak dalam Panem dengan ibu negaranya ialah Capitol. Terdapat 11 lagi District di bawah Capitol selain District 12. Setiap Daerah mempunyai industri mereka tersendiri seperti industri pertanian, elektronik, perikanan dan sebagainya. Kesemua daerah ini hidup dengan ditindas oleh kerajaan Capitol yang zalim. Hasilan industri mereka akan diserahkan kepada Capitol. Rakyat-rakyat sangat miskin dan tertekan. Menambahkan lagi tekanan, Capitol telah mencipta satu permainan tahunan yang dipanggil The Hunger Games. Tujuan permainan ini adalah untuk menakutkan dan memberi amaran kepada setiap daerah di atas pemberontakan yang telah berlaku  73 tahun yang lalu. Dalam pemberontakan itu satu daerah iaitu district 13 telah dihancurkan dan hanya tinggal abu.

Temasya The Hunger games memaksa penduduk kampung yang melarat untuk menghantar anak-anak berumur 12 hingga 18 tahun untuk upacara reaping (pengundian). Setiap anak-anak yang menghantar nama untuk upacara itu akan menerima saguhati berupa makanan, minyak dan lain-lain. Pengundian dijalankan dengan memilih dua nama, seorang lelaki dan seorang perempuan setiap daerah. Kanak-kanak yang terpilih dihantar ke capitol untuk menjalani latihan sebelum dipaksa memasuki Arena dan berbunuhan sesama mereka. Pembunuh terakhir yang hidup akan dikira sebagai pemenang.

Katniss adalah seorang gadis yang hidup dibawah kemiskinan melampau di district 12. Tinggal bersamanya ialah ibu dan adiknya Primrose. Ayahnya mati dalam satu kejadian letupan arang batu. Katniss baru berumur 11 tahun ketika itu. Sejak itu ibunya menghadapi tekanan mental yang amat teruk dan tidak mampu melakukan sebarang pekerjaan. Untuk menyara hidup dia pergi berburu di hutan larangan Capitol secara sembunyi-sembunyi dan menjual hasilan hutan itu di Hob, iaitu pasar gelap di Seam. Aktiviti perburuan haramnya itu disertai oleh seorang rakan bernama Gale yang turut kehilangan ayah dalam kejadian letupan lombong arang batu. Gale pandai memasang jerat manakala Katniss pandai memanah.

Setiap tahun untuk membantu keluarganya, Katniss dan Gale menghantar nama untuk upacara reaping the Hunger Games ini.

Cerita bermula apabila Prim berumur 12 tahun dan turut menghantar nama dalam upacara itu untuk kali pertama. Katniss bagaikan tidak percaya apabila adiknya terpilih untuk permainan maut itu. Untuk melindungi Prim, Katniss telah menawarkan diri menggantikannya secara sukarela. Remaja lelaki yang terpilih  pula adalah anak seorang penjual roti bernama Peeta Mellark. Katniss dengan segera teringat bahawa Peeta adalah budak lelaki yang telah membantunya sewaktu kebuluran hampir mati dengan memberikan roti yang sengaja dibiarkannya hangus sedikit. Untuk tujuan itu Peeta telah dipukul dengan teruk oleh ibunya yang garang menggunakan kayu penguli.

Sebelum berangkat, Katniss telah berjumpa dengan Madge anak mayor District 12 yang memberikannya sebuah pin berlambang burung Mockingjay. Gale turut berjumpa dengan Katniss dan memberikannya kata-kata sokongan. Katnis merasa keliru samada dia suka atau tidak dengan Gale.

Didalam perjalnan ke Capitol, Katniss dan Peeta diperkenalkan kepada Haymitch si pemabuk yang juga bekas juara (Victor) yang akan menjadi mentor mereka dalam arena nanti. Haymitch tidak begitu berminat membantu mereka pada awalnya kerana terlalu sedih dan kecewa dengan sukan yang tidak adil ini sehinggalah selepas beberapa insiden yang menyerlahkan satu harapan baru kepada district 12 dan seluruh district dalam Panem.

Untuk pertandingan ini, orang ramai boleh menjadi penaja kepada peserta disukai dan ada harapan untuk menang. Oleh itu Peeta dan Katniss harus berbuat sesuatu agar penonton dari Capitol sukakan mereka dan menjadi penaja pada saat-saat yang diperlukan di dalam arena nanti. Di sini Katniss dan Peeta diperkenalkan kepada Cinna dan Portia pereka imej yang sangat kreatif dan memahami kesukaran yang dilalui oleh peserta-peserta The Hunger Games. Walaupun bekerja dengan Capitol, tetapi terserlah bahawa mereka juga tidak sukakan sukan yang tidak masuk akal itu. Pada permulaan Cinna telah mereka pakaian yang sangat mengkagumkan dengan sut yang berapi di belakangnya. Seluruh penonton merasa teruja dengan pasangan Katniss dan Peeta pada persembahan pembukaan itu.

Berbagai-bagai perkara telah berlaku semasa latihan di pusat latihan Capitol sehinggalah antaranya pada suatu ujian, Katniss telah membuat kejutan dengan memanah epal yang berada dalam mulut babi panggang untuk gamemaker (ajk-ajk Hunger Games), ini menyebabkan Katniss mendapat markah tertinggi dan mendatangkan rasa cemburu kepada tribute lain terutamanya tribute dari District 2 (dalam buku seterusnya district 2 akan dihuraikan dengan lebih dalam). Peeta juga mendapati, Katniss telah diekori oleh seorang peserta dari district 11 bernama Rue. Pada malam temuramah para peserta, Peeta membuat pengakuan kepada seluruh penonton yang dia jatuh cinta kepada Katniss sejak sekian lama. Pengakuan ini membuatkan Katniss marah kerana menyangka Peeta memperalatkan dirinya untuk menang. Tapi ternyata sangkaan Katniss salah, Peeta memang benar-benar menyukai Katnis.

Tibalah hari perlawanan, Cinna menyediakan pakaian yang selesa untuk arena itu dan menghantar Katniss ke tube kaca. Sebelum berlepas Cinna melekatkan satu pin Mockingjay pada baju Katniss dan memberitahu dia mahu menaja Katniss tetapi tidak dibenarkan oleh undang-undang Capitol.

Di dalam arena disediakan satu kapal yang dipanggil Cornucopia. Cornucopia ini menempatkan semua senjata dan bekalan makan untuk para peserta. Ada juga beg-beg berisi senjata yang sengaja disepah-sepahkan di hadapan pintu Cornucopia tersebut. Para peserta perlu berlawan dan berbunuh-bunuhan untuk mendapatkan keperluan mereka di Cornucopia ini.

Beberapa saat sebelun perlawanan dilancarkan, Katniss terpandang Peeta yang memberi amaran kepadanya jangan pergi ke Cornucopia itu. Tetapi Katniss tidak memperdulikan amaran Peeta dan turut berlari bersama-sama peserta lain ke arah pintu Cornucopia. Dalam perlawanan itu, Katniss hampir-hampir terbunuh, tetapi berjaya melarikan diri bersama-sama sebuah beg dan sebilah pisau yang cuba dilempar oleh peserta dari District 2, iaitu Clove. Katniss melarikan diri ke dalam hutan berhampiran.

Berbagai-bagai dugaan dilalui oleh Katniss semasa dalam hutan ini, antaranya kekurangan sumber air yang menyebabkannya hampir dehidrat, dikejar oleh bebola api yang dihantar Gamemaker dan juga dikejar oleh tribute-tribute lain yang ingin membunuhnya. Sampai satu tahap, Katniss telah memanjat pokok walaupun mengalami kecedaran yang teruk untuk menyelamatkan diri. Cato dan Clove pula telah membentuk kumpulan bersama beberapa orang lagi . Termasuk dalam kumpulan ini ialah Peeta. Tujuan kumpulan itu dibentuk adalah untuk memburu dan membunuh peserta-peserta yang lebih lemah. kumpulan Cato cuba membunuh Katniss yang berada di atas pokok, tetapi dilarang oleh Peeta yang sebenarnya ingin melindungi Katniss. Semasa berada di atas pokok, Haymitch telah mendapatkan penaja untuk membelikannya ubat yang boleh di sapu pada lukanya. Selepas terlelap beberapa ketika Katniss terjaga apabila dipanggil senyap-senyap oleh Rue dari District 11.

Rue mencadangkan kepada Katniss untuk memotong sebatang dahan yang terdapat lebah berbisa dipanggil Tracker Jacker. Sarang lebah ini terletak benar-benar di atas kumpulan Cato yang sedang tidur menunggu hari siang untuk membunuh Katniss. Dengan susah payah Katnis berjaya menjatuhkan sarang itu dan membunuh dua orang peserta perempuan, manakala Cato dan Clove berjaya melarikan diri ke sungai. Katnis turut terkena bisa Tracker Jacker ini dan mengalami halusinasi. Dalam keadaan halusinasi dan mabuk itu, Peeta telah menyelamatkan dirinya dengan menunjukkan jalan dan memaksa Katniss melarikan diri. Peeta sendiri telah berhadapan Cato yang kembali untuk mendapatkan Katniss dan berjaya menghalang, tetapi telah mengalami luka yang amat teruk pada kakinya.

Seterusnya selepas tersedar, Katniss mendapati Rue telah menolong dirinya dan mereka akhirnya membentuk satu kumpulan serta berkerjasama mencari makanan dan melindungi antara satu sama lain. Sampai pada satu masa, mereka berpecah untuk menghancurkan sumber makanan dan keperluan di Cornucopia. kumpulan Cato telah menawan Cornucopia ini. Sebelum berpisah Rue mengajar Katniss isyarat keselamatan dengan nyanyian yang boleh ditiru oleh burung Mockingjay yang terdapat didalam hutan itu. Apabila mereka menyanyi, burung-burung Mockingjay ini akan turut meniru suara mereka. Itu adalah isyarat mereka selamat.

Selepas berjaya menghancurkan bekalan makanan di Cornucopia, Katniss kembali untuk mendapatkan Rue, dan menyanyi lagu Mockingjay tetapi tidak bersambut, rupanya Rue terperangkap dengan jerat dari tribute 7. Peserta dari tribute 7 itu cuba membunuh Katniss, tetapi berjaya dielak. Katnis membalas dengan memanah peserta itu sampai mati. Dalam masa yang sama, Rue telah terkena pisau yang dilempar oleh peserta district 7 itu. Rue menemui ajal dalam keadaan yang tragis dan Katniss amat bersedih dengan kematiannya, dimana Katniss mengganggap Rue adalah seperti adiknya iaitu Prim. Sebelum Rue menghembuskan nafas terakhir, Katniss menyanyi dan meletakkan kuntuman bunga di atas badan Rue sebagai penghargaan. Peristiwa ini memberi satu impak yang besar apabila penduduk district 11 menghadiahkan Katniss dengan sebuku roti khas (sebagai tanda terima kasih) yang tidak pernah berlaku dalam mana-mana perlawanan sebelum ini.

Tidak lama kemudian, Ketua Gamemaker mengumumkan, terma pertandingan telah di ubah, pada perlawanan kali ini, dua peserta dari tribute yang sama dibenarkan menjadi juara. Dengan segera Katniss teringat Peeta dan ingin menyelamatkannya. Selepas bersusah payah mencari, Katniss menemui Peeta yang kesakitan akibat dicederakan Cato di tepi sungai. Katniss membawa Peeta ke satu tempat selamat dalam kawasan batu dan merawatnya yang separuh mati itu. Dalam gua ini pelbagai perkara berlaku, kemudian Katniss dapat tahu Peeta mencintai dirinya sejak berumur 5 tahun lagi. Katniss juga menyedari dia merasakan satu perasaan yang aneh dan tidak mahu kehilangan Peeta walaupun berbelah bagi dengan perasaan terhadap Gale.

Peeta kemudian mengalami demam yang sangat teruk dan hampir tiada harapan untuk hidup. Dalam pada itu Gamemaker mengumumkan terdapat feast yang disediakan untuk setiap tribute yang masih hidup dan diletakkan berhampiran Cornucopia. Feast ini mengandungi barang yang sangat diperlukan oleh setiap tribute. Katniss bersiap sedia untuk mendapatkan feast ini tetapi dilarang oleh Peeta yang tidak mahu ia membahayakan nyawanya. Haymitch menghantar sirap tidur dan Katniss memperdayakan Peeta untuk minum sirap ini sebelum pergi ke Cornucopia.

Semasa di Cornucopia. Katniss terserempak dan bergelut dengan Clove, pasangan Cato (Cato tiada di situ masa itu). Pada saat-saat yang sangat genting, Tresh dari District 11 telah membantu Katniss dengan membunuh  Clove. Tresh memberitahu dia membantu Katniss kerana tidak mahu terhutang pada Katniss yang telah membantu Rue.

Katniss kembali kepada Peeta dan menyuntik Peeta dengan ubat yang diperolehi dari feast. Peeta beransur pulih dan mereka keluar untuk berburu mencari makanan sebelum Peeta menemui sejenis berri.  Berri ini kemudian dicuri oleh seorang lagi peserta yang masih hidup yang digelar Fox face oleh Katniss. Fox face mati bila memakan berri yang dicuri itu. Katnis menyedari berri beracun itu adalah dipanggil Nighlocks. Mereka menyimpan Berri itu di dalam poket untuk dijadikan umpan kepada Cato. Kemudian mereka mendapati Tresh mati dibunuh Cato yang berdendam apabila Tresh membunuh Clove

Dalam perjalanan menuju ke Cornucopia, Katniss dan Peeta dikejar oleh Mutt, iaitu binatang mutasi yang dicipta oleh Gamemaker. Binatang ini amat bahaya dan mempunyai fizikal seperti anjing dan manusia. Mereka sempat melarikan diri dan memanjat ke atas Cornucopia. Rupa-rupanya Cato yang memakai baju besi yang ditaja telah bersedia menunggu di atas Cornucopia itu untuk membunuh mereka. Selepas perlawanan sengit, Peeta berjaya ditangkap dan Cato mengugut Katniss untuk membunuhnya. Peeta memberi isyarat kepada Katniss untuk memanah ke arah tangan Cato. Panahan ini berjaya menjatuhkan Cato dan dia dicederakan dengan teruk oleh Mutt itu sehingga terpaksa merayu pada Katniss untuk mengakhirkan nyawanya.

Selepas Cato mati, mereka menunggu untuk diumumkan sebagai juara. Tetapi sebaliknya pula berlaku. Gamemaker mengumumkan terma permainan telah diubah semula dan hanya seorang sahaja yang dibenarkan menang. Peeta dengan segera menjatuhkan senjatanya dan minta Katniss membunuh dirinya. Katniss tidak sanggup membunuh Peeta dan mengeluarkan Nighlock dari poket serta mengajak untuk membunuh diri bersama-sama. Terdesak mencari pemenang, Gamemaker menyuruh mereka berhenti dan mengumumkan dua pemenang selepas itu.

Selepas diselamatkan, Katniss pengsan. Bila terjaga ia mencari  Peeta yang cedera di kaki, tetapi didatangi oleh Cinna. Cinna menerangkan, rawatan dilakukan untuk kesemua luka dan parut Katniss dan beberapa pengubahsuaian telah dilakukan kepada tubuh badan Katniss atas campur tangan Haymitch. Katniss keliru apabila Cinna tidak lagi mengunakan tema Girl on Fire untuk pakaian kemenangannya kali ini. Sebaliknya pakaian dan keadaan dirinya adalah seperti remaja yang berumur 14 tahun.

Sebelum balik, Haymitch menerangkan senyap-senyap kepada Katniss, beliau menjadi target kepada Capitol yang tidak suka caranya mendapat kemenangan. Capitol berpendapat, Katniss cuba menunjukkan penentangan terhadap undang-undang capitol apabila mencadangkan Peeta dan dirinya membunuh diri. Hanya satu jalan untuk menyelamatkan diri, Katniss mesti berlagak seperti seorang remaja yang benar-benar dilamun cinta dan gilakan Peeta sehingga sanggup membunuh diri, bukan atas sebab lain. Dalam perjalanan balik ke district 12, Katniss memberitahu Peeta, semua yang berlaku di arena bukan kerana dia benar-benar mencintai Peeta, tetapi kerana dia ingin menyelamatkna nyawa mereka berdua. Peeta terasa kecil hati dengan kenyataan itu. Katniss masih berbelah bagi tidak pasti samada dia mencintai Peeta atau tidak. -bersambung buku 2.

No comments:

Post a Comment